Showing posts with label PDRM. Show all posts
Showing posts with label PDRM. Show all posts

Monday, 1 October 2012

Kebahagiaan di Jalanraya? Apakah?


Dah kira banyak entri aku buat. Beberapa perkara dan cerita dah aku kongsi. Aku akan berhenti menaip lebih kurang seminggu dari tarikh entri ini. Sayugia aku ada perjalanan yang perlu dibuat. Doakan perjalanan aku selamat dan apa yang aku kerjakan berjaya.

Apapun, aku nak kongsikan satu perkara bersama kalian semua. Kali ini memang entri yang ringan sahaja. Tak ada matematik, pengiraan, sains waima apa pun. Ini adalah tentang memandu kenderaan di atas jalan raya.

Kelajuan membunuh. Itu adalah pesanan yang selalu kita dengar. Tapi biasalah, kita ini, bila dinasihatkan elok-elok, memang takkan dengar. Mungkin petikan kata-kata dari salah seorang pegawai tinggi PDRM tahun 1986 sedikit memberi kesan kepada kita semua. Katanya, "..kenderaan yang dipandu oleh seorang tolol itu lebih merbahaya dari selaras senapang..". Menarik bukan kata-katanya? Kata-kata ini boleh dijumpai dalam buku Ilmu Asas Memandu PDRM tahun 1986. Walaupun tulisan buku itu dari typewriter, tapi ia sangat relevan. Kerana ia mengajar anggota PDRM itu memandu dengan cara yang terbaik dari segi kesopanan, teknikal dan ekonomi. Buku yang dikeluarkan JPJ, agak longgar dan ujiannya juga sangat-sangat longgar. Bak kata pemandu kelas standard PDRM, lesen JPJ ini bukan lesen memandu, tapi lesen 'menggerakkan kenderaan'. Maaf kalau ada yang rasa ayat ini kurang menyenangkan.

Memang kenderaan itu merbahaya. Ada orang, bila pegang stereng kereta, terus-terus berubah identiti. Dari seorang yang lemah lembut, menjadi orang yang separuh gila. Akibatnya, ramai terkorban diatas kekurang-bijakan beliau. Seorang pemandu bas boleh membunuh 40 orang sekaligus kalau dia buat gila. Dah nampak lebih bahaya dari sepucuk pistol atau senapang kan? Tapi, berapa kerat sangat orang yang baca entri ini akan sedar bahayanya kenderaan?

Maka, tujuan aku menaip entri kali ini adalah kerana aku nampak satu kemalangan yang berlaku pagi tadi. Dan sekaligus aku teringat kata-kata seorang pakcik bahawa jalanraya ini sungai maut. Gamaknya kalau kita boleh nampak malaikat maut, mesti boleh selalu jumpa di jalan-jalan. Baru nak ada rasa. Hahah.

Syahadan, berhati-hatilah di jalanraya. Pada yang dah ada lesen, atau yang pernah ambil lesen tapi tak sempat nak ujian, gunakanlah ilmu memandu yang diberi walau ilmunya sedikit. Berlaku sopanlah jika kita berada di jalanraya. Ingat, nyawa ini tak ada di pasar boleh beli lain. Kalau sekalipun kereta atau motosikal kita jauh lebih besar, mahal dan hebat dari orang lain, ingat, ia cuma pinjaman dari Allah. Kalau direntap nikmat itu, baru nak tahu ada rasa ke tidak.

Semoga berjumpa lagi di entri akan datang. Semoga kehidupan kalian sentiasa ceria dan bahagia di samping yang tersayang.




Selit-selit: Jauh perjalanan, banyak pengetahuan. Laju perjalanan, cepatlah ke liang lahad.


Monday, 10 September 2012

PDRM, Moral dan Perkongsiannya..

Untuk entri kali ini, aku nak berkongsi sedikit perkara yang aku rasa sedikit terkilan iaitu tentang masyarakat di Malaysia yang suka sangat mengherdik, mencaci dan segala-gala perkataan yang berkaitan dengannya terhadap Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Jangan nak kata aku ini penyokong tegar kerajaan apa semua. Aku menyokong pembangkang (kalau tengok entri aku yang lepas-lepas patut anda dah tahu), tetapi dalam hal ini, aku rasa aku perlu kongsikan sedikit.

Sejak dari umur aku sehari, sampailah sekarang, aku hidup di kalangan masyarakat yang rata-ratanya anggota PDRM. Mereka ini ialah penjawat awam yang menjalankan tugas-tugas yang diberi berdasarkan undang-undang yang telah sedia ada di Malaysia. Aku lihat ada segelintir masyarakat kita, menggelar PDRM ini sebagai 'anjing kerajaan', 'pemakan rasuah', 'samseng beruniform', dan sebagainya. Tetapi sedar atau tidak kita bahawa dah 200 tahun lebih pasukan ini membantu rakyat Malaysia?

Ya, kalau kita lihat video-video yang dipetik dari Perhimpunan Bersih, aku tak nafikan ada jenis-jenis polis yang memang melampaui batas etika. Ada juga di antara mereka, sifatnya seperti binatang. Akan tetapi tahukah kita mengapa mereka jadi begitu? Sebelum apa-apa, kita lihat dahulu siapa di belakang mereka dan siapa yang 'membasuh minda' mereka sehingga anggota-anggota polis ini sanggup bertindak di luar batasan adab manusia. Masih ingatkah kita peristiwa Memali? PDRM menyerang kampung yang ada Ibrahim Libya sampai ramai orang kampung yang tiada dosa mati. Dalam peristiwa ini, pihak polis menerima laporan bahawa ada kubu komunis di kawasan itu. Yang beri laporan dan arahan untuk musnahkan kampung itu siapa? Rasanya dah boleh buka sedikit minda kalian yang membaca.


Aku pernah hidup susah bersama mereka. Kalian yang mengatakan bahawa polis itu semuanya makan rasuah, pernah atau tidak bercampur dengan kelompok polis yang mencari rezeki halal? Yang menerima rasuah terlalu sedikit bilangannya. Sama macam penjaga gol, kita takkan kira berapa banyak bola dia mampu tepis, tapi kita salahkan dia pada satu gol yang bolos. Di kalangan anggota yang aku kenal, ada yang membuat kerja sampingan sebagai pencari besi buruk. Ada yang pernah diberi amaran kerana buat kerja sambilan sebagai pemandu bas ekspres. Ada yang aku pernah lihat datang kerja dengan motosikal kerajaan kerana tak cukup duit untuk isi minyak motor selepas bagi duit belanja sekolah pada anak-anak. Ada yang tetap pergi kerja dalam keadaan sakit demi tidak terlepas elaun perjalanan untuk buat beli buku kolej anak. Pernah kalian tengok? Mereka hidup begitu rupa, tetapi hati mereka senang. Anak-anak mereka berjaya. Jurutera? Doktor? Guru? Pegawai-pegawai kerajaan? Malah ada yang kembali menjadi pegawai kepada bapa sendiri. Kalian tak lihat semua itu. Yang hanya tahu mencari salah orang, tetap mencari salah orang.

Apapun, aku tetap tahu dan sedar bahawa yang memang kepalanya tahap tegar untuk mengatakan PDRM tak guna dan sebagainya, amat sukar nak diubah. Tambahan pula, ada kira-kira 28 juta penduduk Malaysia sekarang. Tak sampai berapa kerat sangat yang nak baca dan ambil tahu. Tapi aku tetap taip kerana aku tahu PDRM dan perkhidmatannya itu tak lain dan tak bukan untuk rakyat Malaysia juga.

Walaubagaimanapun, jika ada di antara kalian ini adalah anggota PDRM, atau ahli keluarga anda ada yang berkhidmat dalam PDRM atau sekadar ada kenalan di dalam pasukan itu, harus ingat satu perkara; orang-orang tua dahulu pernah berpesan, kerana setitik nila habis rosak susu sebelanga. Kerana ada anggota dalam pasukan itu yang tak berapa nak ada sivik dan moral yang baik, habis nama orang lain busuk sama. Jadi, sekiranya ada jumpa di antara mereka itu yang akhlaknya tahap budak yang patut kena rotan, sila tegur mereka. Kalau mereka menjawab dengan alasan yang klise seperti "kau tak payah nak jaga tepi kain orang, kubur lain-lain", sila jawab seperti ini, "memang kubur lain-lain, tapi yang nak mandikan mayat kau esok lusa, nak tanam kau bila mati nanti, orang-orang yang tak sekubur dengan kau.". Begitulah adanya.






Selit-selit: Salah tetap salah, dan hendaklah diperbetulkan. Tak kiralah dari mana datangnya sekalipun.