Showing posts with label kenderaan. Show all posts
Showing posts with label kenderaan. Show all posts

Thursday, 11 October 2012

Kuala Lumpur, dan Keangkuhannya. Lumpur tetap lumpur.

Aku kembali semula setelah beberapa ketika aku sibuk dengan urusan-urusan yang perlu diselesaikan. Jadi apa yang aku nak kongsikan bersama hari ini ialah beberapa keadaan/pengalaman/situasi yang cukup-cukup menekan perasaan aku ketika aku dalam perjalanan pulang ke negeri tercintaku, Perak. Kalau rasa entri kali ini agak menyinggung mana-mana perasaan pembaca, aku sikit pun tak ambil peduli. Rasa nak baca, baca. Tak nak, kau boleh tengok dekat header apa yang aku tulis.

Tersebutlah kisah di mana aku berada di kawasan selatan tanah air, menuju ke utara semenanjung, menaiki kenderaan awam jualah. Yang dikatakan perkhidmatannya mesra, berhemah jua beriringan senyuman manis bak susu krimer pekat.  Maka, aku pun sampailah ke satu bandar, yang konon dijulang bandar serba hebat dan berbagai-bagai lagi. Perhentian pertama aku, Terminal Bersepadu Selatan atau lebih dikenali dengan TBS. Keadaan di sini memang bagus. Tak ada perayu tiket dan ulat tiket. Dah hampir macam lapangan terbang pun ada. Selesa. Maka, disebabkan aku hendak menuju ke utara, aku perlu tukar ke Puduraya.

Maka, aku pun pergilah ke bahagian tren atau komuter untuk menghala ke stesen Plaza Rakyat. Setelah tiket dibeli, aku pun menjadi keliru di sebelah mana tren yang patut menghala ke Plaza Rakyat. Jadi, aku bertanya pada seorang lelaki berbangsa Cina yang tengah sedap berasmaradana depan orang ramai. Tindakbalas dari beliau? "English please." Aku pun bertanya kembali dengan bahasa penjajah itu. Tapi jawapan yang aku dapat, dia suruh aku ke kaunter pertanyaan yang agak jauh sebab badan aku dah penat. Dengan sedikit perasaan geram, aku melontarkan soalan terakhirku. "Are you Malaysian?" soalku. Jawapan dia, "Yes, I am Malaysian." Maka sahutku dengan bahasa yang dah tak kenal erti kesopanan dan kesusilaan, "Then better you find some other place to live. This is Malaysia. Don't use some other fu*king language with me. Even your people from mainland didn't understand English.". Aku terus ditenangkan oleh seorang abang yang memberitahuku ke mana patut aku menunggu.

Aku tak berniat nak membangkitkan sifat perkauman di sini. Jauh sekali. Tapi aku meluat dengan sikap warganegara Malaysia yang sangat-sangat menjijikkan. Bahasa Inggeris? Aku dah pergi macam-macam negara. China? 'Yes' dan 'no' pun tak faham. Aku dah masuk Dalian. Nak cerita yang konon Bahasa Inggeris dia hebat? Ceh! Kalau orang Melayu sekalipun yang buat begitu, memang aku pandang dengan penuh jijik sebab lebih bangga dengan bahasa asing dari bahasa sendiri. Ingat Kuala Lumpur bagus sangat? Infrastruktur tinggi, tapi nilai moral rendah. Tak payah nak sembanglah cerita Kuala Lumpur hebat. Geli anak tekak aku.

Sampainya aku ke Plaza Rakyat, aku terus menuju ke Puduraya. Di sini terlalu merunsingkan dan merimaskan. Kenapa? Sebab terlalu banyak perayu tiket. Maka, aku pun pergi ke bahagian tiket. Dalam perjalanan naik ke atas, ada seorang perayu tiket bertanya pada aku destinasi. Aku menjawab tidak tahu. Kenapa aku kata tak tahu? Sebab bapa aku duduk di bahagian selatan Perak. Ibu aku duduk di utara Perak. Rumah aku? Berada di tengah-tengah Perak. Dah tentu aku nak tengok tiket mana yang lebih awal dan sesuai. Apa dia kata pada aku? "Susah kalau orang berjalan tak ada destinasi ni bang, agak-agak la kalau nak tipu pun, bukan duit abang tu besar sangat saya nak ambil". Dari escalator yang naik ke atas, aku turun kembali ke bawah mencari dia. Badan aku yang penat membawa haversack mula mengepam adrenalin. Aku jumpa dia depan kaunter polis bantuan. Aku pun memanggil dia dan berkata, "Kau ada masalah dengan aku? Kau tak nampak dekat papan tanda tu dah tulis jangan beli tiket dengan orang macam kau? Aku ada banyak tempat aku boleh pergi. Dah yang kau nak bahasakan aku apa hal? Tak sekolah?". Kemudian seorang polis bantuan datang dan meminta aku meneruskan urusanku sambil dia bercakap dengan budak tak berapa nak dididik oleh ibubapa itu.

Aku ambil bas Shamisha Holiday untuk ke utara Perak pada jam 1900. Aku pergi makan di medan selera dan aku menunggu. Jam 1900, aku turun dan pengurusan bas di sini sekali lagi membuatkan darah aku menyirap. Mereka suruh naik bas yang ada dahulu, kemudian tukar di Duta. Aku dah malas nak kata apa, ikutkan sahaja. Hujan mula menyimbah bumi Kuala Lumpur yang memang sangat-sangat menyampah ini. Kesejukan mula terasa dan aku pun bertukar bas dan menghala ke utara Perak. Akhirnya, aku sampai di tempat aku lebih kurang jam 0100. Lepas ini aku akan cuba seadanya untuk tak jejak di Kuala Lumpur. Ada banyak pilihan lain.

Aku tak tahu nak kata apa. Sekalipun kita ini tak ada rupa, tak ada harta, banyak dosa, tapi biarlah kita ini berbudi bahasa dengan orang lain. Kesabaran Tuhan tak diketahui tingginya. Tetapi tahap kesabaran manusia terlalu rendah. Aku bukan nabi dan rasul. Duduk di tengah kotaraya sekalipun, tetapi tahap moral macam kerbau balar, tak payah sembanglah. Orang pekan dan kampung tak takut sedikit pun dengan rambut orang bandar yang berwarna karat dan terpacak itu. Ukirlah tatu sampai jari kelingking pun, orang pekan dan kampung tak gentar. Cakaplah bahasa Inggeris berterabur mengalahkan orang putih sendiri pun, kau tetap kena ambil subjek Bahasa Melayu dalam SPM. Tak payahlah nak berlagak dengan Kuala Lumpur. Tak ada apa sangat nak dibanggakan. Namanya tetap lumpur.


Selit-selit: Teringat lagu Senyumlah Kuala Lumpur nyanyian Alleycats. Itu lagu cinta, memanglah semuanya jadi manis dan cantik.

Selit-selit: Khaldun pernah berkata; semakin maju pembangunan, semakin runtuh nilai moral rakyat.

Monday, 1 October 2012

Kebahagiaan di Jalanraya? Apakah?


Dah kira banyak entri aku buat. Beberapa perkara dan cerita dah aku kongsi. Aku akan berhenti menaip lebih kurang seminggu dari tarikh entri ini. Sayugia aku ada perjalanan yang perlu dibuat. Doakan perjalanan aku selamat dan apa yang aku kerjakan berjaya.

Apapun, aku nak kongsikan satu perkara bersama kalian semua. Kali ini memang entri yang ringan sahaja. Tak ada matematik, pengiraan, sains waima apa pun. Ini adalah tentang memandu kenderaan di atas jalan raya.

Kelajuan membunuh. Itu adalah pesanan yang selalu kita dengar. Tapi biasalah, kita ini, bila dinasihatkan elok-elok, memang takkan dengar. Mungkin petikan kata-kata dari salah seorang pegawai tinggi PDRM tahun 1986 sedikit memberi kesan kepada kita semua. Katanya, "..kenderaan yang dipandu oleh seorang tolol itu lebih merbahaya dari selaras senapang..". Menarik bukan kata-katanya? Kata-kata ini boleh dijumpai dalam buku Ilmu Asas Memandu PDRM tahun 1986. Walaupun tulisan buku itu dari typewriter, tapi ia sangat relevan. Kerana ia mengajar anggota PDRM itu memandu dengan cara yang terbaik dari segi kesopanan, teknikal dan ekonomi. Buku yang dikeluarkan JPJ, agak longgar dan ujiannya juga sangat-sangat longgar. Bak kata pemandu kelas standard PDRM, lesen JPJ ini bukan lesen memandu, tapi lesen 'menggerakkan kenderaan'. Maaf kalau ada yang rasa ayat ini kurang menyenangkan.

Memang kenderaan itu merbahaya. Ada orang, bila pegang stereng kereta, terus-terus berubah identiti. Dari seorang yang lemah lembut, menjadi orang yang separuh gila. Akibatnya, ramai terkorban diatas kekurang-bijakan beliau. Seorang pemandu bas boleh membunuh 40 orang sekaligus kalau dia buat gila. Dah nampak lebih bahaya dari sepucuk pistol atau senapang kan? Tapi, berapa kerat sangat orang yang baca entri ini akan sedar bahayanya kenderaan?

Maka, tujuan aku menaip entri kali ini adalah kerana aku nampak satu kemalangan yang berlaku pagi tadi. Dan sekaligus aku teringat kata-kata seorang pakcik bahawa jalanraya ini sungai maut. Gamaknya kalau kita boleh nampak malaikat maut, mesti boleh selalu jumpa di jalan-jalan. Baru nak ada rasa. Hahah.

Syahadan, berhati-hatilah di jalanraya. Pada yang dah ada lesen, atau yang pernah ambil lesen tapi tak sempat nak ujian, gunakanlah ilmu memandu yang diberi walau ilmunya sedikit. Berlaku sopanlah jika kita berada di jalanraya. Ingat, nyawa ini tak ada di pasar boleh beli lain. Kalau sekalipun kereta atau motosikal kita jauh lebih besar, mahal dan hebat dari orang lain, ingat, ia cuma pinjaman dari Allah. Kalau direntap nikmat itu, baru nak tahu ada rasa ke tidak.

Semoga berjumpa lagi di entri akan datang. Semoga kehidupan kalian sentiasa ceria dan bahagia di samping yang tersayang.




Selit-selit: Jauh perjalanan, banyak pengetahuan. Laju perjalanan, cepatlah ke liang lahad.


Friday, 29 June 2012

Kenderaan, Adab dan Manusia?


Aku dah lama tak kemaskini blog sebab masa tidak mengizinkan. Sekarang aku balik menaip. Jari-jari tangan aku dah lenguh nak melayan karenah manusia yang macam-macam. Dah, takat itu sahaja. Ok, sekarang ini, aku nak taip tentang perkara yang jarang-jarang kita ambil berat sedangkan kita berhadapan dengan perkara ini hampir tiap-tiap hari.

Ramai orang sekarang mengambil berat tentang adab dan tatacara, walaupun sesetengahnya macam tak pernah diasuh langsung. Bagaimana dengan kenderaan? Kita ada macam-macam jenis kenderaan, contohnya kereta, motosikal, kapal, kapal terbang, basikal, beca, keretapi, lori, bas, kuda, unta dan sebagainya. Dari yang diperbuat dengan besi dan plastik, sampailah ke kenderaan yang jenis tahu buang air kecil dan besar dan juga tahu beranak. Aku nak ajak kalian tengok-tengok. Kalau rasa boleh praktikkan, boleh mulakan terus. Kalau yang jenis cipta seribu satu alasan, boleh tengok juga. Aku tak pernah larang. Aku kongsikan sedikit sebanyak adab, sunnah dan akhlak berkenaan kenderaan. Aku muslim, jadi Tuhan aku ada berfirman yang maksudnya, "..Dia menjadikan untuk kamu kapal dan ternakan untuk kamu naiki. Supaya apabila kamu duduk di atasnya, kamu akan ingat nikmat Tuhanmu." Kalau ada di kalangan pembaca adalah bukan muslim, juga digalakkan baca. Agama Islam lengkap dari jalanraya, sampailah ke pentadbiran negara. 

Adab-adab dan sunnah ketika membeli atau menerima kenderaan baru (tak kiralah koyak plastik atau jenis terpakai): 
Disunatkan membaca doa seperti berikut: "Ya Allah, berikan aku kebaikannya dan kebaikan penciptaanya, dan jauhkan aku dari kejahatan dan kejahatan penciptaanya." Aku tak boleh taip dalam bahasa Arab sebab aku bukan 'copy-paste' macam sesetengah orang lain. Jadi pandai-pandai cari. Aku percaya kalian bijak-bijak belaka.

Adab-adab dan sunnah apabila berkenderaan atau sedang dalam perjalanan:
Hendaklah menolong orang lain yang tidak berkenderaan. Tak semua orang mampu berkenderaan. Dah diberi nikmat oleh Tuhan, jangan sombong tak tentu hala. Bila ditarik nikmat itu nanti, baru nak tahu rasanya macam mana. Ajaklah naik sekali. Pahala dapat, sekaligus kurang cemar alam sekitar. Muhammad ada bersabda, "Sesiapa yang dapat nikmat tunggangan(kenderaan), maka manfaatkannya untuk yang tak dapat." Satu lagi, berikanlah salam pada yang berjalan kaki. Tapi janganlah anda beri salam waktu tengah bawa laju-laju. Bijak sampai macam itu pun susah juga. Buatlah ketika selamat berbuat demikian.

Adab-adab dan sunnah apabila berada dalam kesesakan lalu-lintas: 
Bab ini sangatlah bagus. Kebanyakan kita akan menyumpah seranah. Termasuklah aku waktu aku jahil dulu. Silap-silap ada yang mencarut. Apa yang perlu kita buat, hendaklah membaca basmalah. Mengapa? Kata Muhammad, sekalipun kita maki syaitan, contohnya "celaka punya setan!", sebenarnya dia makin suka. Makin besar dia sampai lebih dari sebuah rumah. Tapi bila kita baca basmalah, kecil dia sehingga sekecil lalat dan dia pun hilang. Kenapa dengan syaitan? Dia suka buat kita marah. Itu sahaja. Akibat dari marah, sendiri boleh fikir. Ini banyak berlaku untuk pengguna jalanraya di bandaraya.

Adab-adab dan sunnah berkaitan mencuci kenderaan:
Muhammad itu mencuci dan membersihkan tunggangannya sendiri. Kita ini tak reti-reti bahasa nak pergi membazir pergi cuci kereta dekat 'car wash'. Kalau dah duduk dalam rumah pangsa tingkat 23, tak apalah sebab tak ada pilihan. Tapi kalau dah paip air tercongok di luar rumah, tak payah nak mengada buang duit hanya untuk cuci sebab but kereta ada kena najis burung. Badan sihat sebab berpeluh, duit pun jimat, pahala pun dapat sebab ikut sunnah.

Adab-adab dan sunnah apabila dijemput naik kenderaan:
Bila orang jemput untuk tumpang, hendaklah tunggu sehingga tuan kenderaan itu memberitahu di mana kita boleh duduk. Jangan nak sedap-sedap langkah masuk ikut suka hati. Ini kerana Muhammad beritahu bahawa tuan punya kenderaan itu lebih berhak ke atas kenderaannya. Tapi jangan pula kalau ada kalian yang baru nak ambil lesen memandu, suruh penguji JPJ itu duduk di belakang pula. Itu nak kena lempang sampai mendap namanya.

Adab-adab dan sunnah berkenaan kelajuan kenderaan:
Muhammad bersabda, "Kebaikan itu tiada pada menunggang kuda atau unta dengan laju. Maka bertenang dan tungganglah dengan aman". Hadis ini sebut tentang kuda dan unta sebab itu yang ada pada masa baginda. Janganlah singkat sangat akal untuk mengecualikan hadis ini untuk kereta dan bas. Pandulah dengan selamat. Ikut peraturan jalanraya. Lainlah kalau ambulans atau kereta polis dalam kecemasan. Itu dah memang dalam keadaan tak baik. Kalau anda naik bas pula, dan pemandu itu pandu bas macam pandu kereta lumba, beritahu dia, Muhammad tak suka. Kalau dia tak dengar, elok lagi kalau pemandu itu muslim, cakap pada dia, "Nanti di akhirat kau buat muka tak malu nak minta syafaat nabi, tapi ikut sunnah tak mahu."

Adab-adab dan sunnah berkenaan kenderaan yang dimiliki:
Aku suka hendak mengingatkan bahawa jenis kenderaan, atau harta benda tak membawa sebarang nilai di hadapan Allah dan rasul. Pandulah kereta mahal yang sama harga dengan kapal terbang sekalipun, siap tampal nombor pendaftaran mahal macam harga rumah sekalipun, Allah tak pandang langsung. Perasaan riak atau bangga diri itu tak harus ada. Sepatutnya kita lihat bagaimana tahap kesopanan pemandu itu di atas jalanraya.

Dah lenguh taip rasanya. Apapun, dah nampak sedikit sebanyak perkara yang nak aku kongsikan. Kenderaan itu nikmat Allah, maka boleh kita gunakan nikmat yang diberi itu untuk menambahkan rasa cinta kita kepada Rasulullah. Dengan nikmat itu juga akan membuatkan kita rasa bahawa kita ini sangat-sangat kerdil di mata Allah. Maka, mari kita sama-sama manfaatkan kenderaan yang diberikan kepada kita.