Showing posts with label Penggunaan. Show all posts
Showing posts with label Penggunaan. Show all posts

Saturday, 5 January 2013

Jumpa Barang dan Cara Penyelesaiannya..

Entri ini aku buat untuk berkongsi sedikit pengetahuan. Tercetus rasa untuk berkongsi selepas melihat beberapa orang di kalangan kita kurang arif tentangnya. Namun, ia sekadar pengetahuan secara permukaan dan bukan dalaman; harus sahaja kalian merujuk pada asatizah atau guru-guru yang arif tentangnya.

Dalam undang-undang sekular atau sivil, cara penyelesaian masalah dalam kes jumpa barang memang agak rumit kerana tiada garis panduan khusus. Namun, di dalam Islam ada. Aplikasinya di Malaysia, sama sekali tidak berlaku.

Berikut beberapa jenis contoh kes dan cara penyelesaiannya.


Apabila terjumpa wang dalam jumlah yang banyak atau barang berharga dan orang yang menjumpainya menginginkan wang atau barang tersebut, ia hendaklah diumumkan atau diiklankan selama setahun akan wang yang dijumpainya itu. Jika datang orang menuntutnya, hendaklah dipulangkan. Sekiranya lebih dari setahun, dan orang yang menjumpainya menggunakan wang tersebut untuk tujuan perniagaan, maka untung dari modal tersebut itu adalah haknya. Dan sekiranya datang orang menuntut wang tersebut walaupun selepas setahun, ia tetap perlu dipulangkan. Sekiranya telah digunakan, perlu diganti.

Apabila terjumpa wang dalam jumlah yang kecil, tidak perlu diiklankan besar-besaran. Memadai dengan mengumumkan pada orang sekeliling. Dan jika tiada yang menuntut, maka hendaklah dia berkata, "Aku milik akan wang sekian banyaknya ini" disaksikan orang sekeliling. Namun, jika selepas itu ada orang yang menuntutnya kemudian itu, perlulah dipulangkan.

Apabila terjumpa ternakan, contohnya kambing jantan dan betina, dan ingin memilikinya, maka hendaklah dia mengiklannya selama setahun. Jika dalam masa setahun pengiklanan itu, ternakan itu beranak pinak, maka ia masih tetap milik tuan asalnya. Namun, anak-anak ternakan yang lahir selepas setahun tempoh pengiklanan, adalah hak milik orang yang menjumpai ternakan itu. Dan jika tuntutan dibuat oleh tuan asal, tuan asal tersebut hendaklah membayar upah kepada orang yang jumpa untuk kos makanan ternakan, kos penjagaan termasuk upah menjaga selama mana ia di dalam penjagaan.

Apabila terjumpa bayi di dalam negara yang ada komuniti Islam, walaupun bayi yang dijumpai itu memang nampak bukan anak Melayu atau Islam, malah jelas sepet matanya atau hitam warna kulitnya, hendaklah tetap diambil bayi itu secara anak Islam dan diIslamkan. Ketika mengambilnya, hendaklah ada saksi ketika waktu pengambilan, melainkan di situasi bahaya seperti ada binatang buas hendak mencederakan bayi itu. Penjagaannya hendaklah dimaklumkan pada Baitulmal untuk urusan wang belanja anak itu. Perlulah diiklankan tentang jumpa bayi tersebut.


Itulah sedikit sebanyak tentang cara atau undang-undang jumpa barang yang ditulis dalam kitab-kitab tua. Namun, penjelasan yang aku beri, sangat-sangat mudah dan hanya menjadi titik tolak untuk kalian berfikir bagaimana lengkap dan canggihnya perundangan Islam. Harus juga disimpulkan di sini bahawa, pemilikan barang-barang yang dijumpai itu bersifat pemilikan sementara sampai bila-bila. Waima ada orang menuntut setelah 20 tahun sekalipun, tetap perlu dipulangkan dengan hematnya. Begitulah. 

Sekian.


Selit-selit: Dah memang undang-undang Islam canggih. Tapi tetap tak nak guna. Macam mana nak sebut Quran sebagai panduan bila disoal dalam kubur nanti, sedangkan kita guna perlembagaan sekular?

Selit-selit: Hari ini aku sedikit gembira. Itu sahaja.



Tuesday, 11 December 2012

Bil, Kemodenan dan Hari Ini..


Dari cerita tentang orang kahwin pakai baju tentera (konon kacak), kemudian Harimau Malaya tidur di saat akhir sehingga dapat seri, sampailah ke cerita politik yang tak sudah-sudah dengan tipu helahnya, hari ini aku ada terbaca satu berita menarik. Agak ringan bagi aku.

Di Arab Saudi, seorang lelaki mencatat sejarah dalam hidupnya apabila dianugerahi dengan bil telefon yang aku rasa boleh tahan bayarannya. Angka dalam bil itu ialah SR 10 billion, atau RM 8.16 billion. Ditambah pula dengan kenyataan perkhidmatan komunikasi itu, ia mungkin betul kerana kononnya cas panggilan ke luar negara adalah mahal ditambah penggunaan internet. Lelaki Arab itu mahu menghadapkan bil itu ke muka pengadilan.

Tak lama dahulu, kes yang hampir sama, seorang lelaki terkejut apabila bil kad kreditnya berjumlah juta-juta juga setelah selesai membeli sekotak rokok. Namun, pihak bank membetulkan kembali kesilapan itu, termasuk membayar ganti rugi insan tersebut untuk panggilan ke bank dan sebagainya.

Agak-agak, kalau kita kena macam itu, aku rasa mungkin sahaja kita terus rasa pening nanar. Kalau ustaz-ustaz pun, aku rasa mahu juga naik merah mukanya. Anak kahwin lari pun mungkin kita boleh maafkan dan terima 'menantu segera' kita, tapi bila bab wang, manusia mampu menjadi satu makhluk yang sangat menakutkan. Bak kata Encik Rambo, "Killing is easy as breathing". Namun, berita-berita ini cuma ada di zaman sekarang.

Begitulah halnya dunia sekarang. Aku berani jamin, 15-20 tahun dahulu, di zaman bapa aku masih menjadi rebutan ramai gadis, dia mungkin hanya perlu memikirkan beberapa helai bil sahaja di hujung bulan. Bil elektrik, air dan mungkin kalau ada, bil telefon rumah. Namun, cuba kita tenung-tenung peti surat kita pada zaman moden ini. Berapa banyak bil yang sampai? Bil elektrik, air, telefon bimbit sendiri dan isteri, internet, Astro, kad kredit dan segala macam kertas-kertas nipis yang akan membuatkan poket kita nipis di hujung hari. Itu belum masuk Touch N Go yang mana aci kerat jari, waktu bapa aku muda dulu, dia tak pernah terbayang pun bagaimana rupa kad tersebut.

Namun, jika orang bertanya pada aku, "RL, kau rasa kau moden tak dunia sekarang?", aku hanya mampu tersenyum tanpa kata. Satu soalan yang ada dua jawapan yang sangat berbeza. Nak hidup cara ala-ala 15 tahun dahulu, nanti dikata orang sebagai ketinggalan zaman. Nak diikutkan cara zaman sekarang yang ala-ala moden, entah terikut atau tidak dengan kosnya yang mahal.

Kata orang, "go with the flow" atau ikutlah arus. Tapi apa yang aku belajar, untuk kemudikan kapal dengan lebih berkesan dan selamat, lawanlah arus. Fikir-fikirlah.



Selit-selit: Pernah aku buat bil telefon melambung waktu tingkatan dua. Separuh mati aku menahan nyawa dari hilang terbang. Hahah.

Selit-selit: Iye nae sonul japgo nunulkamayo uri saranghaetton-nalto sengkaghepayo, uri nomu saranghaeso apossonnaeyo, soro saranghandan malto mottansondaeyo.



Monday, 22 October 2012

Asal-usul Istilah dan Nama.. Apakah?

Aku sarapan pagi ini, sambil baca macam-macam benda pelik-pelik dan berat-berat dalam surat khabar. Pening aku jadinya. Dari mak yang bawa anak ke kafe siber, sampailah ke penipuan dalam politik yang tak sudah-sudah. Maka, pagi ini aku nak menaip benda-benda ringan sahaja. Tambahan pula, orang-orang tersayang dalam hidup aku dah balik ke Perak hari ini. 

Jadi aku terfikir nak ajak pembaca fikir-fikirkan tentang nama-nama dan perkataan yang dah diputar-putar oleh orang barat ikut sesedap hati mereka. Sumbernya aku dapat dari mulut ke mulut, langsung masuk ke telinga aku. Ada yang aku baca dari macam-macam buku. Ada yang aku dapat dari bertanya ke tempat-tempat yang aku pernah singgah dulu. Macam-macam. Setakat mana kesahihan sumber, entahlah. Ini aku kongsikan pun sekadar nak meringankan kepala.


  • Asal nama Portugal, datangnya dari pokok limau yang banyak ditanam di sana. Dalam bahasa Arab, limau disebut "burtuqal". Maka, jadilah ia negeri limau. Negara Portugal.
  • Asal nama Gibraltar, datang dari panggilan Jabal Tariq, yakni tempat singgah Tariq Bin Ziad sewaktu nak menyerang Sepanyol. Diterbalik dan diubah oleh orang, menjadi Gibraltar.
  • Nama binatang Kangaroo yang ada di Australia. Ceritanya, orang putih yang sampai di sana, bertanya, "What is this?", maka tak faham oleh orang asli Australia itu, dijawabnya "Kangaroo" bermaksud "I don't understand you" atau saya tidak faham awak. Maka di atas sebab kebangangan orang putih itu, dipanggilnya sampai sudah, Kangaroo. Kiranya binatang itu sebenarnya tidak bernama.
  • Istilah Alphabet yang ada dalam bahasa Inggeris. Dikatakan berasal dari bahasa Arab, alif ba ta. Maka dipusing oleh orang menjadi Alphabet.
  • Istilah Medicine yang bermaksud ubat. Datang dari bahasa Arab yang bermakna "tulisan Sina (Ibnu Sina)" atau "pen Sina". Adapun, ini memang susah nak cakap sebab ada yang mengatakan datang dari bahasa Latin dan sebagainya.
  • Istilah Admiral. Ini datang dari bahasa Arab. Yakni dari perkataan Amir-Al-Bahr (Kapten laut). Entah dibuang macam mana Bahr (laut) itu, jadilah Admiral.
  • Almanac. Yakni buku yang ada maklumat pergerakan matahari, dan segala objek samawi. Datang dari perkataan Al-manakh. Ini Arab Parsi kalau tak salah aku. Tapi masih tak dapat dipastikan.
  • Adapun satu lagi bahagian, nama-nama bintang yang boleh digunakan untuk navigasi. Kebanyakan bintang-bintang ini mendapat nama dari bahasa Arab. Aldebaran, Alkaid, Alnilam, Fomalhaut, Mirfak, dan macam-macam lagi. Sejarahnya, cuma sedikit yang aku tahu. Nak cerita pun panjang. Lagipun ramai yang aku rasa tak berminat nak tahu nama bintang.

Begitulah sedikit sebanyak. Ada banyak lagi yang aku lupa. Kalau dalam internet, memang boleh cari asal usul perkataan pinjaman dari bahasa Arab. Tapi jalan cerita bagaimana boleh jadi sampai begitu, itu yang menarik bagi aku. Dan kebanyakannya dibuat oleh orang putih/orang barat. Entah macam mana mereka boleh mengaku pandai, pun aku tak tahu. Maka, kalau agak-agak nak berbangga dengan bahasa Inggeris, hentikanlah. Sekadar guna untuk belajar dan berkomunikasi dengan orang luar, cukuplah.




Selit-selit: Rasa berbahagia bila orang-orang tersayang ada dekat dengan kita.

Selit-selit: Mengikut ilmu mantik, secara asasnya, penafian itu bermaksud ada. Contoh, jika menafikan bahawa tuhan itu tidak ada, maka bermaksud ia tahu bahawa tuhan itu ada. Maka, kalau dengar orang cakap, "Kami tidak menipu rakyat", maka maksudnya macam mana? Hahahah.


Sunday, 14 October 2012

Waktu Solat, Pengiraan dan Perkongsiannya..


Aku kebelakangan ini sibuk betul dengan macam-macam urusan. Ke sana sini hampir hari-hari. Otak dan akal terus bekerja tak henti-henti. Entri baru? Idea mencurah nak menaip, tapi masanya pula tiris sangat. Maaflah. Maka, hari ini aku ke Bandaraya Bunga Kertas, yakni Bandaraya Ipoh, sekali lagi. Menguruskan sedikit hal. Esok pun mungkin ke sana lagi. Macam-macam kerja. Lusa dah nak ke selatan semenanjung lagi. Gila jadinya. Bukan senang nak senang.

Apapun, aku rasa terpanggil untuk berkongsi satu perkara yang dipersoalkan oleh sahabat aku. Waktu solat. Kalau atas darat, senanglah. Ada azan, ada takwim, macam-macam cara boleh guna nak tahu waktu solat. Tapi bagaimana dengan atas kapal?

Di atas kapal, tak ada jabatan agama nak tolong sediakan takwim. Tapi kena kira sendiri. Kaedah bayang-bayang? Kapal itu sentiasa bergerak dan bergoyang, susah. Lagipun kan senang kalau kira? Maka yang aku perturunkan ini adalah cara pengiraan yang majoriti digunakan oleh pelaut terutamanya pelaut Malaysia. Sekali lagi diingatkan, ini adalah cara pengiraan yang digunakan pelaut. Adapun pengiraan yang sebenarnya digunakan oleh jabatan agama dan falak agak rumit. Dan pengiraan yang digunakan pelaut ada sedikit lari dengan jawapan yang diperolehi dari cara pengiraan ahli falak. Pengiraan berdasarkan ahli falak, bersama sandaran pendapat-pendapat ulama falak, entri akan datang baru aku cerita.


Secara ringkasnya, pengiraan ini melibatkan penggunaan Nautical Almanac. Apa itu almanac? Cari sendiri. Jenuh nak terangkan.

Subuh: Adapun letaknya pada masa Astronomical Twilight. Dalam Nautical Almanac cuma ada Civil dan Nautical sahaja, maka kenalah buat interpolation. Tukar semula pada masa tempatan, dan dikira itulah subuh.

Zohor: Adapun ia berlaku ketika gelincir matahari (rasanya kalian ingat ustaz/ustazah dulu ada cakap). Maka, diambil waktu MP (Meridian Passage) yakni dalam bahasa falak sebagai waktu Istiwa atau dalam bahasa mudahnya, waktu matahari berada di posisi paling tegak pada kedudukan kita. Waktu itu ditukar kepada waktu tempatan dan ditambah dengan 5 minit.

Maghrib: Ini paling senang. Cari waktu matahari terbenam dalam Almanac, kemudian tukar balik pada waktu tempatan. Ada juga yang cari Twilight untuk sunset, tapi kebanyakannya mencari sunset.

Asar: Paling mudah dan paling 'koboi'. Waktu Zohor campur waktu Maghrib, dibahagi dua dan ditambah 20 minit.

Isyak: Ini sebenarnya ada macam-macam pendapat. Yang aku guna, membahagikan waktu malam kepada 8 bahagian, kemudian dikira Isyak itu selepas habisnya 1/8 malam. Begitulah adanya.

Agak kalau ada yang betul-betul berminat nak tahu betul-betul cara kiranya, hubungi aku.

Walaubagaimanapun, setelah dibuat pengiraan semula dan dibandingkan dengan pengiraan sebenar oleh ulama falak, memang ada perbezaan. Pelaut kebiasaannya akan tunggu lambat sedikit dari masa pengiraan supaya tak solat sebelum masuk waktu. Aku sendiri baru belajar cara yang betul dari ustaz yang mengajar ilmu falak dan belum aku aplikasikan lagi. Nanti aku cerita.

Satu lagi, mungkin ada yang akan kata, "macam manalah nak jadi pelaut. Solat pun kira tak tahu." Bagi aku, memang kami tak berapa pandai, tapi paling tidak, kami tak mencipta alasan untuk tinggal solat. Sekalipun kami sibuk dan separuh gila sebab kerja, tanggungjawab sebagai makhluk tuhan tetap dijalankan. Jangan jadi macam orang yang ada di darat. Ada azan, ada takwim, tapi tetap tak solat.





Selit-selit: Aku separuh bingung dengan filem-filem di Malaysia. Aku tengok pagi tadi satu cerita di siaran Oasis. Cerita tentang ustaz bunuh orang apa bagai. Pelik aku, dalam filem Malaysia, kebanyakannya, asal ustaz, pakai kopiah, serban, dilabel sebagai jahat, gila, sasau, tak boleh percaya dan sebagainya. Apa yang pakai pakaian tak cukup kain, dedah sesuka hati itu baik sangatkah? Dah tak ada akal?

Selit-selit: Politik sikit. Untuk solat, kita pilih imam yang betul-betul layak dan alim untuk jadi imam kita untuk solat lima minit. Tapi, kita tak pilih yang alim dan betul-betul elok untuk jadi imam (pemimpin) negara yang akan memerintah selama 5 tahun. Tak pelik?


Friday, 12 October 2012

Laman Sosial dan Perasaan Kita..

Sebermula alkisah, tersebutlah suatu tempat bernama Bendang Panjang, dalam Kuala Kangsar jua adanya, tertakluk jua ia di dalam kamus perbendaharaan Perak Darul Ridzuan, ke bawah sedikit letaknya di bumi semenanjung dari Kedah jua adanya. Tatkala hijratun-nabiyyi sallallahu alaihi wa sallam seribu empat ratus tiga puluh tiga, kepada tahun hijrah, pada dua puluh enam haribulan Zulkaedah, kepada hari Jumaat, waktu gelincir matahari, pada zaman kerajaan Najib Razak, maka tersebutlah suatu kenderaan, kereta jenisnya, Proton Wira bangsanya, terjatuh dua tayar kanannya ke dalam longkang kerana tersilap agak jarak longkang dan bahu jalan. Jemaah yang baru selesai Jumaat menjenguk.

Wa ba'adahu adapun kemudian dari itu, telah berkata aku yang insaf akan lemah dirinya, dan singkat pengetahuan ilmunya, "Moh kite angkat ramai-ramai. Jenuh kalau 2-3 orang je." Maka naiklah segala yang kuat-kuat dan gagah-gagah perkasa bak Badang jua lagaknya. Diangkat oranglah kereta itu dan diletak ke tepi. Selesailah satu masalah adanya.

Syahadan, nak dijadikan ceritera, aku pun pulanglah ke mahligai singgahsana aku yang makmur ini. Maka, aku pun mulalah nak melayari internet. Aku pun tekan satu laman. Warna biru. Aku pun berjalan-jalanlah di alam maya ini. Sebentar. Aku tak rasa ini benda yang aku nak taip buat masa ini. Cukup sekadar kita buat pendahuluan dengan sedikit pertanyaan.

Apakah perasaan anda apabila.....

  • anda buka laman sosial dan tengok halaman orang yang anda sangkut hati tahap dulu, kini dan selamanya, sekonyong-konyong anda terlihat dia buat status yang rasa macam perit tekak membacanya sebab mesra dengan orang lain?
  • anda buka laman sosial dan tengok halaman orang yang anda sangkut hati tahap dulu, kini dan selamanya, sekonyong-konyong anda terlihat dia bergambar bukan main rapat dengan manusia lain? Dan dia beria-ia menghalang dari melihat gambar tersebut?
  • anda menekan butang 'home', dan anda lihat kenalan-kenalan anda seperti manusia yang tak tahu beza FB dan Twitter dengan mengemaskini status menggunakan @ dan #?
  • anda melihat ada kenalan anda buat status dengan perkataan konon manja dan gedik?
  • anda melihat kenalan anda begitu gembira tanpa adanya anda?
  • anda buka laman sosial, dan melihat notis-notis dari entah mana-mana kumpulan masuk secara berbondong-bondong sampai nak buka pun seksa?

Kawan aku dah angau. Tapi dalam angau dia, ada terselit rasa pedih dan perit. Entahlah. Nak kata pun susah. Makin maju dunia, makin pening nak hadap. Aku masih menanti dokumen aku lengkap. Ada juga aku menunggu dokumen asal aku, tapi agaknya dah ke longkang parit mana agaknya. Tak mengapalah.





Selit-selit: Naik kapal cepat, kumpul duit cepat, cepat turun darat, cepat meminang. Buktikan aku tak cakap kosong dan main-main dalam hidup aku.

Selit-selit: Aku nak buat giveaway sulung, agak-agak ada sesiapa nak jadi penaja?

Friday, 28 September 2012

Arah dan Jam. Pencariannya.


Entri lepas, aku kongsikan bagaimana caranya guna tachymeter. Boleh tengok guna link ini kalau nak tengok. Tacymeter. Akan tetapi, tak semua jam tangan analog ada tachymeter. Jam digital? Belilah mahal macam mana sekalipun, fungsinya terlalu terhad, melainkan yang dah tambah macam-macam butang dan segala benda, sampai nak pakai pun tak tergamak.

Kali ini aku kongsikan pula cara nak mencari arah Utara sebenar (True North) menggunakan jam. Sebelum itu, aku haruslah memberitahu pada kalian, bahawasanya, kompas magnet yang kalian ada itu, menunjukkan Utara Magnet. Bukan Utara yang sebenar. Perbezaannya berubah-ubah mengikut tempat. Malah ia kadang-kadang mempunyai beza yang banyak pada sesetengah tempat. Ditambah pula dengan keadaan magnet sekeliling (alat-alat logam, kereta, dan lain-lain). Cara yang paling mudah untuk cari Utara sebenar (True North), guna kompas gyro (gyro compass).

Utara selepas ini merujuk kepada Utara sebenar (True North).

Malas aku nak cerita prinsip asas kaedah ini. Rasa was-was, boleh cuba bila ada matahari.

Maka, dengan jam analog juga kita boleh mencari arah utara. Caranya mudah. Untuk Malaysia, yang terletak di Hemisfera Utara, letak jam pada permukaan rata, kemudian halakan jarum pendek (jarum jam) ke arah matahari. Kemudian, pembahagian antara jarum pendek dan pukul 12 adalah garisan utara-selatan. Sila lihat gambar yang aku lukis walaupun tak berapa nak lawa.





Jika anda di Hemisfera Selatan, jam 12 itu yang dihalakan ke arah matahari dan garisan Utara-Selatan itu berada di antara jarum pendek dan jam 12. Arahnya berlawanan. Boleh bayangkan garisan itu? Senang sahaja. Tetapi hendaklah jam anda waktunya tepat.

Begitulah adanya. Tak susah mana. Jam ada banyak kegunaan. Mana nak tahu kalau sesak sangat nak mencari arah. Memang orang kata boleh tengok bayang matahari apa semua, cuma memakan masa.

Nanti bila-bila aku ada tergerak nak cerita guna cara ini pada waktu malam (kena cari kedudukan matahari waktu malam guna bulan), aku cerita. Sebab jenuh nak terangkan guna Bahasa Melayu. Itu sebab aku sokong PPSMI di sekolah.




Selit-selit: Cari arah utara, selatan, timur, barat, semuanya senang. Tapi benda yang susah nak dicari, walau hebat macam mana pun ilmu navigasi ialah mencari orang yang boleh kita sandarkan diri untuk dunia dan akhirat.


Tuesday, 25 September 2012

Tachymeter pada Jam dan Penggunaannya..

Aku kebelakangan ini agak tak menaip hari-hari. Banyak benda yang aku kena laksanakan dan kerjakan. Tapi ada juga masa yang aku curi-curi untuk lawat blog-blog yang aku rasakan banyak berkongsi pendapat dan cerita. Tak semua blog aku pergi. Aku tengok juga pada jenis isu atau perkara yang dikongsi.

Kali ini aku nak kongsi sedikit ilmu yang aku dapati ramai di antara kita tak tahu. Tachymeter. Boleh kita lihat pada sesetengah jam tangan analog (jam yang pakai jarum). Aku tak berapa minat jam digital sebab fungsinya terlalu terhad. Ramai yang aku tengok pakai jam ada tachymeter tapi tak tahu cara guna. Jadi, fungsi tachymeter ini ialah untuk pengukuran kelajuan dan lain-lain. Cara penggunaannya senang walaupun kelihatan seperti rumit. 

Jadi mari kita mulakan dengan asasnya dahulu. Tapi, tolong baca sampai habis. Formula memang nampak rumit, tapi aku kena beritahu juga.

Lihat skala luar, bukan dalam
Pertama, ia adalah jenis skala yang ada di sekeliling jam tangan. analog. Boleh tengok gambar ilustrasi yang aku sertakan sekali. Jadi formula asasnya ialah formula yang kita belajar di sekolah dulu. Jarak = Masa darab kelajuan. Maka, dalam penggunaan tachymeter, kita nak mendapatkan kelajuan. Jadi, kita pusing formula itu menjadi Kelajuan = Jarak bahagi masa. Rasa macam susah? Tak payah susah. Ini memang perlu aku ceritakan. Sekadar formula. Tak payah buat pengiraan pun bila dah tahu guna tachymeter.

Kedua, kalau dilihat atas skala tachymeter, jam 12 menunjukkan 60, jam 3 menunjukkan 240, jam 6 menunjukkan 120, dan jam 9 menunjukkan angka 80. Angka-angka lain juga ada. Tengok sendiri. Cara penggunaannya? Senang. Kalau tak faham juga, aku ada sediakan video.

Andaikan anda sedang memandu untuk jarak 1 kilometer. Kemudian, anda lihat berapa saat yang anda ambil untuk jarak 1 kilometer itu. Sebagai contoh, anda mengambil masa 30 saat untuk 1 kilometer, jadi, kelajuan anda ialah 120km/j. Atas tachymeter, jam 6 (30 saat) menunjukkan angka 120. Maka itulah kelajuan anda. Tapi perlu diingat, bahawasanya ia hanya menunjukkan kelajuan purata.


Maka, sekarang kalian dah tahu cara penggunaan tachymeter. Tidaklah anda kelihatan bodoh menggunakan jam yang ada skala tachymeter tapi tak tahu menggunakannya. Tachymeter ini juga boleh mengira kuantiti masa yang diperlukan untuk mengisi minyak dan lain-lain. Macam aku, banyak kegunaannya dalam membantu kerja. Cuma kita perlu pandai menggunakan formula yang ada. Jam tangan banyak kegunaannya, terutama jam analog. Antara lain ialah mencari arah tanpa guna kompas. Nanti aku cerita lagi.





Selit-selit: Video aku berkualiti rendah, jadi kena rujuk pada jam anda sendiri, atau boleh cari gambar di internet.

Selit-selit: Ada satu lagi jam yang aku simpan. Dah lama mati. Tapi dia pernah jaga aku dalam tempoh masa yang agak lama. Kemudian ada orang tolong simpankan, dan akhirnya ada kembali di tangan aku. Aku akan baiki balik jam itu selepas aku dapat baiki balik kerosakan hidup aku, dan aku akan kembalikan pada dia.