Showing posts with label Inovasi. Show all posts
Showing posts with label Inovasi. Show all posts

Tuesday, 11 December 2012

Bil, Kemodenan dan Hari Ini..


Dari cerita tentang orang kahwin pakai baju tentera (konon kacak), kemudian Harimau Malaya tidur di saat akhir sehingga dapat seri, sampailah ke cerita politik yang tak sudah-sudah dengan tipu helahnya, hari ini aku ada terbaca satu berita menarik. Agak ringan bagi aku.

Di Arab Saudi, seorang lelaki mencatat sejarah dalam hidupnya apabila dianugerahi dengan bil telefon yang aku rasa boleh tahan bayarannya. Angka dalam bil itu ialah SR 10 billion, atau RM 8.16 billion. Ditambah pula dengan kenyataan perkhidmatan komunikasi itu, ia mungkin betul kerana kononnya cas panggilan ke luar negara adalah mahal ditambah penggunaan internet. Lelaki Arab itu mahu menghadapkan bil itu ke muka pengadilan.

Tak lama dahulu, kes yang hampir sama, seorang lelaki terkejut apabila bil kad kreditnya berjumlah juta-juta juga setelah selesai membeli sekotak rokok. Namun, pihak bank membetulkan kembali kesilapan itu, termasuk membayar ganti rugi insan tersebut untuk panggilan ke bank dan sebagainya.

Agak-agak, kalau kita kena macam itu, aku rasa mungkin sahaja kita terus rasa pening nanar. Kalau ustaz-ustaz pun, aku rasa mahu juga naik merah mukanya. Anak kahwin lari pun mungkin kita boleh maafkan dan terima 'menantu segera' kita, tapi bila bab wang, manusia mampu menjadi satu makhluk yang sangat menakutkan. Bak kata Encik Rambo, "Killing is easy as breathing". Namun, berita-berita ini cuma ada di zaman sekarang.

Begitulah halnya dunia sekarang. Aku berani jamin, 15-20 tahun dahulu, di zaman bapa aku masih menjadi rebutan ramai gadis, dia mungkin hanya perlu memikirkan beberapa helai bil sahaja di hujung bulan. Bil elektrik, air dan mungkin kalau ada, bil telefon rumah. Namun, cuba kita tenung-tenung peti surat kita pada zaman moden ini. Berapa banyak bil yang sampai? Bil elektrik, air, telefon bimbit sendiri dan isteri, internet, Astro, kad kredit dan segala macam kertas-kertas nipis yang akan membuatkan poket kita nipis di hujung hari. Itu belum masuk Touch N Go yang mana aci kerat jari, waktu bapa aku muda dulu, dia tak pernah terbayang pun bagaimana rupa kad tersebut.

Namun, jika orang bertanya pada aku, "RL, kau rasa kau moden tak dunia sekarang?", aku hanya mampu tersenyum tanpa kata. Satu soalan yang ada dua jawapan yang sangat berbeza. Nak hidup cara ala-ala 15 tahun dahulu, nanti dikata orang sebagai ketinggalan zaman. Nak diikutkan cara zaman sekarang yang ala-ala moden, entah terikut atau tidak dengan kosnya yang mahal.

Kata orang, "go with the flow" atau ikutlah arus. Tapi apa yang aku belajar, untuk kemudikan kapal dengan lebih berkesan dan selamat, lawanlah arus. Fikir-fikirlah.



Selit-selit: Pernah aku buat bil telefon melambung waktu tingkatan dua. Separuh mati aku menahan nyawa dari hilang terbang. Hahah.

Selit-selit: Iye nae sonul japgo nunulkamayo uri saranghaetton-nalto sengkaghepayo, uri nomu saranghaeso apossonnaeyo, soro saranghandan malto mottansondaeyo.



Friday, 12 October 2012

Laman Sosial dan Perasaan Kita..

Sebermula alkisah, tersebutlah suatu tempat bernama Bendang Panjang, dalam Kuala Kangsar jua adanya, tertakluk jua ia di dalam kamus perbendaharaan Perak Darul Ridzuan, ke bawah sedikit letaknya di bumi semenanjung dari Kedah jua adanya. Tatkala hijratun-nabiyyi sallallahu alaihi wa sallam seribu empat ratus tiga puluh tiga, kepada tahun hijrah, pada dua puluh enam haribulan Zulkaedah, kepada hari Jumaat, waktu gelincir matahari, pada zaman kerajaan Najib Razak, maka tersebutlah suatu kenderaan, kereta jenisnya, Proton Wira bangsanya, terjatuh dua tayar kanannya ke dalam longkang kerana tersilap agak jarak longkang dan bahu jalan. Jemaah yang baru selesai Jumaat menjenguk.

Wa ba'adahu adapun kemudian dari itu, telah berkata aku yang insaf akan lemah dirinya, dan singkat pengetahuan ilmunya, "Moh kite angkat ramai-ramai. Jenuh kalau 2-3 orang je." Maka naiklah segala yang kuat-kuat dan gagah-gagah perkasa bak Badang jua lagaknya. Diangkat oranglah kereta itu dan diletak ke tepi. Selesailah satu masalah adanya.

Syahadan, nak dijadikan ceritera, aku pun pulanglah ke mahligai singgahsana aku yang makmur ini. Maka, aku pun mulalah nak melayari internet. Aku pun tekan satu laman. Warna biru. Aku pun berjalan-jalanlah di alam maya ini. Sebentar. Aku tak rasa ini benda yang aku nak taip buat masa ini. Cukup sekadar kita buat pendahuluan dengan sedikit pertanyaan.

Apakah perasaan anda apabila.....

  • anda buka laman sosial dan tengok halaman orang yang anda sangkut hati tahap dulu, kini dan selamanya, sekonyong-konyong anda terlihat dia buat status yang rasa macam perit tekak membacanya sebab mesra dengan orang lain?
  • anda buka laman sosial dan tengok halaman orang yang anda sangkut hati tahap dulu, kini dan selamanya, sekonyong-konyong anda terlihat dia bergambar bukan main rapat dengan manusia lain? Dan dia beria-ia menghalang dari melihat gambar tersebut?
  • anda menekan butang 'home', dan anda lihat kenalan-kenalan anda seperti manusia yang tak tahu beza FB dan Twitter dengan mengemaskini status menggunakan @ dan #?
  • anda melihat ada kenalan anda buat status dengan perkataan konon manja dan gedik?
  • anda melihat kenalan anda begitu gembira tanpa adanya anda?
  • anda buka laman sosial, dan melihat notis-notis dari entah mana-mana kumpulan masuk secara berbondong-bondong sampai nak buka pun seksa?

Kawan aku dah angau. Tapi dalam angau dia, ada terselit rasa pedih dan perit. Entahlah. Nak kata pun susah. Makin maju dunia, makin pening nak hadap. Aku masih menanti dokumen aku lengkap. Ada juga aku menunggu dokumen asal aku, tapi agaknya dah ke longkang parit mana agaknya. Tak mengapalah.





Selit-selit: Naik kapal cepat, kumpul duit cepat, cepat turun darat, cepat meminang. Buktikan aku tak cakap kosong dan main-main dalam hidup aku.

Selit-selit: Aku nak buat giveaway sulung, agak-agak ada sesiapa nak jadi penaja?

Thursday, 11 October 2012

Kuala Lumpur, dan Keangkuhannya. Lumpur tetap lumpur.

Aku kembali semula setelah beberapa ketika aku sibuk dengan urusan-urusan yang perlu diselesaikan. Jadi apa yang aku nak kongsikan bersama hari ini ialah beberapa keadaan/pengalaman/situasi yang cukup-cukup menekan perasaan aku ketika aku dalam perjalanan pulang ke negeri tercintaku, Perak. Kalau rasa entri kali ini agak menyinggung mana-mana perasaan pembaca, aku sikit pun tak ambil peduli. Rasa nak baca, baca. Tak nak, kau boleh tengok dekat header apa yang aku tulis.

Tersebutlah kisah di mana aku berada di kawasan selatan tanah air, menuju ke utara semenanjung, menaiki kenderaan awam jualah. Yang dikatakan perkhidmatannya mesra, berhemah jua beriringan senyuman manis bak susu krimer pekat.  Maka, aku pun sampailah ke satu bandar, yang konon dijulang bandar serba hebat dan berbagai-bagai lagi. Perhentian pertama aku, Terminal Bersepadu Selatan atau lebih dikenali dengan TBS. Keadaan di sini memang bagus. Tak ada perayu tiket dan ulat tiket. Dah hampir macam lapangan terbang pun ada. Selesa. Maka, disebabkan aku hendak menuju ke utara, aku perlu tukar ke Puduraya.

Maka, aku pun pergilah ke bahagian tren atau komuter untuk menghala ke stesen Plaza Rakyat. Setelah tiket dibeli, aku pun menjadi keliru di sebelah mana tren yang patut menghala ke Plaza Rakyat. Jadi, aku bertanya pada seorang lelaki berbangsa Cina yang tengah sedap berasmaradana depan orang ramai. Tindakbalas dari beliau? "English please." Aku pun bertanya kembali dengan bahasa penjajah itu. Tapi jawapan yang aku dapat, dia suruh aku ke kaunter pertanyaan yang agak jauh sebab badan aku dah penat. Dengan sedikit perasaan geram, aku melontarkan soalan terakhirku. "Are you Malaysian?" soalku. Jawapan dia, "Yes, I am Malaysian." Maka sahutku dengan bahasa yang dah tak kenal erti kesopanan dan kesusilaan, "Then better you find some other place to live. This is Malaysia. Don't use some other fu*king language with me. Even your people from mainland didn't understand English.". Aku terus ditenangkan oleh seorang abang yang memberitahuku ke mana patut aku menunggu.

Aku tak berniat nak membangkitkan sifat perkauman di sini. Jauh sekali. Tapi aku meluat dengan sikap warganegara Malaysia yang sangat-sangat menjijikkan. Bahasa Inggeris? Aku dah pergi macam-macam negara. China? 'Yes' dan 'no' pun tak faham. Aku dah masuk Dalian. Nak cerita yang konon Bahasa Inggeris dia hebat? Ceh! Kalau orang Melayu sekalipun yang buat begitu, memang aku pandang dengan penuh jijik sebab lebih bangga dengan bahasa asing dari bahasa sendiri. Ingat Kuala Lumpur bagus sangat? Infrastruktur tinggi, tapi nilai moral rendah. Tak payah nak sembanglah cerita Kuala Lumpur hebat. Geli anak tekak aku.

Sampainya aku ke Plaza Rakyat, aku terus menuju ke Puduraya. Di sini terlalu merunsingkan dan merimaskan. Kenapa? Sebab terlalu banyak perayu tiket. Maka, aku pun pergi ke bahagian tiket. Dalam perjalanan naik ke atas, ada seorang perayu tiket bertanya pada aku destinasi. Aku menjawab tidak tahu. Kenapa aku kata tak tahu? Sebab bapa aku duduk di bahagian selatan Perak. Ibu aku duduk di utara Perak. Rumah aku? Berada di tengah-tengah Perak. Dah tentu aku nak tengok tiket mana yang lebih awal dan sesuai. Apa dia kata pada aku? "Susah kalau orang berjalan tak ada destinasi ni bang, agak-agak la kalau nak tipu pun, bukan duit abang tu besar sangat saya nak ambil". Dari escalator yang naik ke atas, aku turun kembali ke bawah mencari dia. Badan aku yang penat membawa haversack mula mengepam adrenalin. Aku jumpa dia depan kaunter polis bantuan. Aku pun memanggil dia dan berkata, "Kau ada masalah dengan aku? Kau tak nampak dekat papan tanda tu dah tulis jangan beli tiket dengan orang macam kau? Aku ada banyak tempat aku boleh pergi. Dah yang kau nak bahasakan aku apa hal? Tak sekolah?". Kemudian seorang polis bantuan datang dan meminta aku meneruskan urusanku sambil dia bercakap dengan budak tak berapa nak dididik oleh ibubapa itu.

Aku ambil bas Shamisha Holiday untuk ke utara Perak pada jam 1900. Aku pergi makan di medan selera dan aku menunggu. Jam 1900, aku turun dan pengurusan bas di sini sekali lagi membuatkan darah aku menyirap. Mereka suruh naik bas yang ada dahulu, kemudian tukar di Duta. Aku dah malas nak kata apa, ikutkan sahaja. Hujan mula menyimbah bumi Kuala Lumpur yang memang sangat-sangat menyampah ini. Kesejukan mula terasa dan aku pun bertukar bas dan menghala ke utara Perak. Akhirnya, aku sampai di tempat aku lebih kurang jam 0100. Lepas ini aku akan cuba seadanya untuk tak jejak di Kuala Lumpur. Ada banyak pilihan lain.

Aku tak tahu nak kata apa. Sekalipun kita ini tak ada rupa, tak ada harta, banyak dosa, tapi biarlah kita ini berbudi bahasa dengan orang lain. Kesabaran Tuhan tak diketahui tingginya. Tetapi tahap kesabaran manusia terlalu rendah. Aku bukan nabi dan rasul. Duduk di tengah kotaraya sekalipun, tetapi tahap moral macam kerbau balar, tak payah sembanglah. Orang pekan dan kampung tak takut sedikit pun dengan rambut orang bandar yang berwarna karat dan terpacak itu. Ukirlah tatu sampai jari kelingking pun, orang pekan dan kampung tak gentar. Cakaplah bahasa Inggeris berterabur mengalahkan orang putih sendiri pun, kau tetap kena ambil subjek Bahasa Melayu dalam SPM. Tak payahlah nak berlagak dengan Kuala Lumpur. Tak ada apa sangat nak dibanggakan. Namanya tetap lumpur.


Selit-selit: Teringat lagu Senyumlah Kuala Lumpur nyanyian Alleycats. Itu lagu cinta, memanglah semuanya jadi manis dan cantik.

Selit-selit: Khaldun pernah berkata; semakin maju pembangunan, semakin runtuh nilai moral rakyat.

Tuesday, 25 September 2012

Tachymeter pada Jam dan Penggunaannya..

Aku kebelakangan ini agak tak menaip hari-hari. Banyak benda yang aku kena laksanakan dan kerjakan. Tapi ada juga masa yang aku curi-curi untuk lawat blog-blog yang aku rasakan banyak berkongsi pendapat dan cerita. Tak semua blog aku pergi. Aku tengok juga pada jenis isu atau perkara yang dikongsi.

Kali ini aku nak kongsi sedikit ilmu yang aku dapati ramai di antara kita tak tahu. Tachymeter. Boleh kita lihat pada sesetengah jam tangan analog (jam yang pakai jarum). Aku tak berapa minat jam digital sebab fungsinya terlalu terhad. Ramai yang aku tengok pakai jam ada tachymeter tapi tak tahu cara guna. Jadi, fungsi tachymeter ini ialah untuk pengukuran kelajuan dan lain-lain. Cara penggunaannya senang walaupun kelihatan seperti rumit. 

Jadi mari kita mulakan dengan asasnya dahulu. Tapi, tolong baca sampai habis. Formula memang nampak rumit, tapi aku kena beritahu juga.

Lihat skala luar, bukan dalam
Pertama, ia adalah jenis skala yang ada di sekeliling jam tangan. analog. Boleh tengok gambar ilustrasi yang aku sertakan sekali. Jadi formula asasnya ialah formula yang kita belajar di sekolah dulu. Jarak = Masa darab kelajuan. Maka, dalam penggunaan tachymeter, kita nak mendapatkan kelajuan. Jadi, kita pusing formula itu menjadi Kelajuan = Jarak bahagi masa. Rasa macam susah? Tak payah susah. Ini memang perlu aku ceritakan. Sekadar formula. Tak payah buat pengiraan pun bila dah tahu guna tachymeter.

Kedua, kalau dilihat atas skala tachymeter, jam 12 menunjukkan 60, jam 3 menunjukkan 240, jam 6 menunjukkan 120, dan jam 9 menunjukkan angka 80. Angka-angka lain juga ada. Tengok sendiri. Cara penggunaannya? Senang. Kalau tak faham juga, aku ada sediakan video.

Andaikan anda sedang memandu untuk jarak 1 kilometer. Kemudian, anda lihat berapa saat yang anda ambil untuk jarak 1 kilometer itu. Sebagai contoh, anda mengambil masa 30 saat untuk 1 kilometer, jadi, kelajuan anda ialah 120km/j. Atas tachymeter, jam 6 (30 saat) menunjukkan angka 120. Maka itulah kelajuan anda. Tapi perlu diingat, bahawasanya ia hanya menunjukkan kelajuan purata.


Maka, sekarang kalian dah tahu cara penggunaan tachymeter. Tidaklah anda kelihatan bodoh menggunakan jam yang ada skala tachymeter tapi tak tahu menggunakannya. Tachymeter ini juga boleh mengira kuantiti masa yang diperlukan untuk mengisi minyak dan lain-lain. Macam aku, banyak kegunaannya dalam membantu kerja. Cuma kita perlu pandai menggunakan formula yang ada. Jam tangan banyak kegunaannya, terutama jam analog. Antara lain ialah mencari arah tanpa guna kompas. Nanti aku cerita lagi.





Selit-selit: Video aku berkualiti rendah, jadi kena rujuk pada jam anda sendiri, atau boleh cari gambar di internet.

Selit-selit: Ada satu lagi jam yang aku simpan. Dah lama mati. Tapi dia pernah jaga aku dalam tempoh masa yang agak lama. Kemudian ada orang tolong simpankan, dan akhirnya ada kembali di tangan aku. Aku akan baiki balik jam itu selepas aku dapat baiki balik kerosakan hidup aku, dan aku akan kembalikan pada dia.

Sunday, 23 September 2012

Naiktaraf, Segmen dan Pertandingan, Follower ke-100


Maka semalam pun aku tak menaip apa-apa. Semalam ada hal. Maaf. Hari ini aku kembali menaip. Tak ada isu apa-apa. Cuma sedikit pemberitahuan.


Aku baru sahaja menaiktaraf blog aku, letak benda untuk lihat senarai blog (blog list), sebelum itu pun aku ada letak shoutbox. Semuanya guna yang biasa. Tak ada kod HTML pelik-pelik. Dah jenuh aku belajar, fikir dan teliti, tapi aku rasa macam yang boleh kelip-kelip apa semua itu sekadar memberatkan blog untuk dibuka. Syahadan, jika aku buat juga, maka bertambah menyampahlah orang nak buka blog. Jadi, keputusan aku, cuma guna yang ringkas, yang dah memang disediakan oleh Google/Blogger. Sebenarnya, kalau tak guna blog list ini pun tak apa. Dekat dashboard pun boleh tengok entri terbaru untuk blog yang aku follow. Dan aku bukan jenis follow tapi lepas itu aku biarkan sahaja. Itu sebab kalau blog jenis tak berapa nak ada entri berfaedah, aku tak follow. Tapi, rasanya lebih baik kalau aku kongsi dengan orang lain juga. Begitulah adanya.

Pada follower ke-100, aku cuba jejak dia balik, Una Pedora, tapi kehebatan beliau menyebabkan aku gagal menjejakinya semula. Jika ada sesiapa kenal, sila minta beliau munculkan diri. Sebabnya? Kalau kalian ada baca entri sebelum ini, kalian tahu kenapa aku minta dia muncul.

Kemudian, aku nak beritahu, aku banyak tengok orang buat segmen apa segala, dan ada blogger yang mencadangkan aku untuk buat segmen juga. Untuk pengetahuan kalian, sampai hari ini aku tak tahu langsung segmen itu apa. Ada pula yang buat pertandingan (contest). Lagi aku tak tahu apa benda. Sebabnya? Aku pelik tengok pertandingan, tapi tak ada pula benda yang kena dibuat melainkan kena copy banner, tag blog kawan-kawan dan follow link-link yang diberi. Adalah satu kemusykilan pada aku. Kalau disuruh buat artikel atas tajuk tertentu, ada jugalah aku rasa berminat. Jadi, jika ada orang rasa nak mendidik aku tentang apa itu segmen dan pertandingan dalam blog, sila beritahu.

Itu sahaja beberapa perkara yang aku nak beritahu. Maaf terpaksa menggunakan beberapa istilah Bahasa Inggeris. Kalau tidak, ramai orang jadi keliru. Terima kasih.  ^_^

Friday, 21 September 2012

Khutbah dan Kelainannya..

Hari ini ada kelainan sedikit dalam khutbah Jumaat yang aku pergi. Pertama, ada solat hajat. Kedua, isi khutbah hari ini sangat-sangat menarik.

Bab solat hajat, rasanya semua orang tahu apa yang kita hajatkan. Jadi tak ada nak bercerita banyak tentang itu. Tapi yang menarik ialah isi khutbah di masjid tempat aku. Tak tahulah aku samada ia sama juga seperti di masjid-masjid tempat lain, tapi aku rasa berbahagia nak kongsi bersama dengan kalian.

Secara umumnya, ia menyentuh tentang filem yang menghina Nabi Muhammad. Itu aku rasa tempat lain pun sama juga. Cuma kali ini penyampaian dan pendekatannya agak berbeza. Khatib yang beri khutbah hari ini menyentuh beberapa benda yang sedar tak sedar, terjadi di kalangan masyarakat. Khatib yang ini pernah juga ditegur sebab lancang dan kadang tak ikut teks, tapi kali ini dia naik lagi. Seronok.

Pertama, soal kekurang-ajaran oleh orang lain yang menghina Islam itu adalah sesuatu perkara yang memang dijangkakan. Dari dulu, sampai sekarang, ada sahaja yang tak puas hati dengan Islam. Itu biasalah. Tapi di mana agak-agaknya sensitiviti kita apabila orang Islam sendiri menghina agama dalam perspektif berbeza? Kita marahkan yahudi sebab hina agama, tapi dah sah-sah itu kafir harbi (orang bukan Islam yang menentang Islam). Tapi macam mana dengan pemimpin yang mengaku Islam yang menjatuhkan maruah Islam secara terang-terangan? Patut atau tidak orang begini kita heret dan hukum dahulu? Dah kalau terasnya hampas, luarannya apatah lagi. Tak begitu?

Kedua, kalau kita renung-renung, bidang perfileman Malaysia, seperti kata khatib tadi, sangat sedikit yang menyentuh asas agama Islam. Kalau ada pun, menunjukkan hidup beragama itu adalah sesuatu yang kolot, tak moden dan serba serbi kekurangan. Aku kagum juga dengan khatib tadi. Dia kata, muncul tak lama dahulu, artis Malaysia berbangsa Melayu, beragama Islam yang menghina isteri Rasulullah. Tapi ada tak orang kita terus boikot dia? Ada atau tidak ramai-ramai umat Islam di Malaysia yang nak saman dia atau nak hukum dia? Dia minta maaf, dengan kononnnya tak berniat menghina, terus lepas begitu sahaja. Kemudian kembali beraksi di televisyen tanpa segan silu. Rasanya kalian tahu siapa.

Ketiga, orang kafir harbi ini memang sentiasa menguji kepekaan umat Islam. Yang perlu kita buat, ialah mengukuhkan keadaan orang Islam itu sendiri. Tolak tepi soal parti atau beza bangsa. Kita bersatu dan kukuhkan dahulu kedudukan orang Islam. Kemudian, bukan lagi dapat pijak yahudi, nak buat macam Nazi Jerman dahulu pun sekali libas sahaja. Ini tidak. Berpuak-puak. Tampal pelekat dekat kereta, pertubuhan Islam, tapi yang dihempuk, yang disidai, yang dipijak, tetap orang yang sama bangsa dan agama dengannya. Maka, fikir-fikirkan.

Kesimpulannya, tak payah nak ajak boikot Youtube, Google apa semua. Android yang ada itu pun, tengoklah siapa yang bangunkan. Sedar dulu di mana kedudukan kita, dan apa kelemahan yang perlu kita baiki. Ikut dahulu perintah Allah, kemudian barulah mampu kita jadi yang terkuat. Semua 'guidelines' dah ada. Antara kita nak ikut atau tidak....




Selit-selit: Kadang-kadang kita ini macam bola. Tendang ke sana, kita ke sana. Tendang ke sini, kita ke sini.


Wednesday, 12 September 2012

Di Antara Ahli Pengembaraan dan Ahli Pertapaan..

Kata orang-orang tua, "jauh perjalanan, luas pengalaman". Sehingga hari ini, kata-kata itu masih kedengaran dan masih menjadi pegangan kebanyakan orang - termasuklah jenis yang balik pergi ke Indonesia semata-mata untuk menghayun kayu golf. Ramai yang masih percaya bahawa semakin jauh seseorang itu berjalan, semakin banyak dia sampai ke tempat orang, maka semakin banyaklah perkara dan pengalaman baru yang dipelajarinya. 

Tetapi, itu dulu. Manusia pada masa dahulu umumnya terperangkap dalam lingkungan hidup yang cukup sempit. Perhubungan amatlah sukar, malah adakalanya mustahil. Kalau nak ke mana-mana, terpaksa meredah hutan belantara. Terpaksa berhadapan dengan harimau, gajah, khinzir hutan, ular dan segala serba serbi hidupan liar. Itu belum ambil kira segala hantu, puaka dan penunggu. Biasanya, laluan dan penghubung yang menjadi keutamaan ialah sungai yang jarang tak sejuk dan jarang pula tak jernih. Selain daripada itu, mungkinlah ada alternatif lain untuk komunikasi seperti menggunakan hantu belaan seperti hantu raya atau langsuir. Dalam keadaan begitu, yang mana tempat paling jauh 'yang hamba pernah kunjungi ialah kebun hamba di hujung desa', seseorang yang berpeluang berjalan ke tempat orang lain yang jauh tentulah dihormati dan disegani. Tak perlulah dia pergi jauh-jauh. Kalau tinggal di Kuala Kangsar, dapat pula mengembara ke Ipoh, itu pun dah kira memadai. Dah cukup untuk meruntun kekaguman jiran tetangga dan orang kampungnya. Dah cukup untuk buat modal bersembang dan bercerita sehingga orang yang mendengarnya ternganga-nganga. 

Sikap memandang tinggi pada orang yang 'jauh berjalan' ini merupakan sebahagian dari sebab kenapa pada zaman dahulu manusia suka mengembara. Tapi lazimnya, yang mendapat peluang sebegitu rupa hanyalah lelaki. Orang perempuan sekadar mengembara di ceruk dapur atau di sekitar sungai tempat dia mandi dan membasuh. Pandangan tinggi terhadap orang yang banyak pengalaman kerana jauh perjalanan itu telah menyaksikan kesediaan para ibu bapa kita dahulu bermenantukan pedagang dari Tanah Arab dan benua kecil India. Di mata orang Melayu ketika itu, pedagang-pedagang itu adalah orang-orang hebat, yang banyak ilmunya dan kelebihannya. Kena pula yang datang dari sebelah Tanah Arab, tempat yang melayakkan mereka mengaku sebagai keturunan Nabi walaupun sebenarnya mereka mungkin berketurunan hamba abdi.

Walaubagaimanapun, segala-galanya telah berubah sekarang. Kehidupan manusia itu dilingkungi oleh segala yang berbeza dari dahulu. Sangat berbeza. Hutan belantara telah menjadi hutan batu, rimba jerun dan segala air terjun telah digantikan dengan bukit yang gondol. Sungai-sungai tidak lagi boleh dijadikan tempat menaiki rakit kerana takut terlanggar sampah atau tong sisa toksid. Perhubungan? Tak jadi masalah. Ia bukan lagi isu pada zaman ini. Ia telah menjadi sebahagian dari rutin. Cerita jiran sebelah pergi ke London tak ada bezanya dengan cerita jiran yang lain telah lari berkahwin dengan perempuan Kemboja. Tak ada yang pelik. Tak ada yang menarik.


Kecanggihan hidup juga menyebabkan manusia tidak lagi perlu berjalan untuk mendapatkan sesuatu, termasuk ilmu. Malah dia tak perlu bergerak ke mana-mana kerana semuanya boleh dilakukan hatta sambil berbaring. Hanya perlu menggerakkan jari. Malah, kalau kena gaya, jika tak mahu menggerakkan otaknya sekalipun tidak mengapa. Tiada apa yang payah sekarang. Anda tidak perlu belayar atau terbang ke Paris untuk berkawan dengan dua tiga orang Perancis. Anda boleh menemui mereka di atas meja, di dalam skrin, sama ada di bilik, di rumah mahupun di dalam tandas asal sahaja ada akses internet. Untuk melihat, mengenal dan memahami gaya hidup koboi di Texas atau budaya hidup pelacur di Argentina, untuk menikmati keindahan Kashmir dan Alps, malah untuk apa sahaja, anda tak perlu bergerak walau setapak pun. 

Jadi, dengan segala perubahan cara hidup itu, berhati-hatilah bila anda menilai seseorang. Jangan fikir orang yang tidak keluar rumah, yang tidak pernah merantau dan berkelana itu sempit pengetahuannya. Dia barangkali jauh lebih hebat daripada anda. Dia mungkin kaya dengan ilmu.

TETAPI, janganlah pula anda kagum padanya berlebih-lebihan. Ingat satu, walaupun dia mungkin banyak ilmu, namun hampir pasti dia juga tidak mempunyai sebarang pengalaman selain dari kebijaksanaan dan kepandaian bermain jari di atas papan kekunci dan tetikus.

Apa nak buat kerana sesungguhnya itulah resam kehidupan sekarang. Resam yang bakal melahirkan lebih ramai ahli pertapaan daripada ahli pengembaraan.






Selit-selit: Faham atau tidak aku perli? Kadang-kadang memang tak baik takbur. Tapi adakalanya geram juga di hati aku. Boleh kutuk pelaut, katanya bahawa pelaut ini apapun tak ada. Ceh!

Haramjadah dan Melayu..

Pagi ini aku bersarapan ringkas sahaja. Ada banyak kerja di pagi hari. Nak dijadikan cerita, sekaligus menjadi topik aku dalam entri kali ini, muncullah salah seorang yang bakal bersarapan semeja dengan aku. Maka mukanya penuh dalam keadaan suram dan muram. Maka, tersembullah ayat keramat di pagi hari yang bahagia, "Haram jadah punya ******, dia ingat pangkat dia tinggi, boleh ikut suka hati maki aku?". Aku terdiam, tapi tak pula aku jadi marah sama. Aku tersenyum sendiri. Aku secara tidak langsung menjadi tempat dia meluahkan perasaan yang terbuku. Aku layankan sahaja.

Tapi bukan orang itu yang hendak dijadikan topik. Dia cuma pencetus. Sekadar pencetus cerita. Orang Melayu selalu sangat kita dengar memaki hamun orang dengan perkataan 'haramjadah'. Tapi tahu atau tidak kita mana datangnya perkataan 'haramjadah' itu? Sedap main sebut sahaja.

Kam sami' tuhum  min jaddi wa abi, sayugia asal perkataan itu adapun dari Tanah Arab. Datuk aku dahulu ada diam beberapa lama di sana, jadi dia pun membawa cerita dari sana. Salah satunya asal perkataan 'haramjadah' itu. Tersebut kisah, di sana lebih kurang di sini juga. Ada stesen bas dan teksi. Jadi di stesen ini, apabila ada bakal penumpang, soalan yang akan dikeluarkan oleh konduktor bas atau teksi ialah, "Aina tazhab ya syeikh? Haram? Jeddah?". Maksudnya, tuan, pergi mana? Tanah Haram? Jeddah?. Adapun kedua-dua tempat ini agak jauh dari satu sama lain, dan kiranya destinasi yang sangat popular. Sama kiranya kalau kita pergi ke stesen bas Medan Kidd di Ipoh (sekarang cuma tinggal bas domestik, bas ekspres di Medan Gopeng), kita akan lihat ragam konduktor bas dan teksi. Akan kedengaranlah laungan "Jusco, Jusco, Rainbow, Rainbow, Hospital, Hospital!". Begitu jugalah adanya keadaan di Tanah Arab sana.

Nampak kehebatan orang Melayu? Dapat sahaja benda pelik-pelik, terus dibuatnya bahasa kesat. Kalau bab inovasi dan daya kreatif, orang Melayu layak dapat pujian. Sama juga perkataan 'keparat', yang asalnya dari perkataan kafarat yang bermaksud denda atau tebusan. Hebat bukan? Diadaptasi sesedap rasa. Hahaha.

Namun begitu, mungkin ada di kalangan pembaca yang rasa ragu-ragu dengan entri aku. Terpulang. Boleh selidik sendiri. Aku bukan pakar bahasa, tetapi aku ada asas sedikit dalam bahasa Arab. Elok pula datuk aku banyak bercerita bagaimana 'dahsyatnya' orang Melayu, yakni bangsa aku. Cerita tentang orang Melayu sangat banyak. Kini, perkataan itu telah pun difahami oleh hampir seluruh rakyat Malaysia. Elok pula waktu Bersih tempoh hari, peserta dan polis saling memaki hamun dengan perkataan 'haramjadah' juga. Makin erat hubungan rakyat jadinya. Hahah.


Apapun, kini ia dah jadi perkataan Malaysia. Memang menjadi sangatlah kempen 1 Malaysia itu. Hahaha. Nanti aku cerita benda lain pula.




Selit-selit: Masyarakat di Malaysia sangat kreatif dan inovatif.

Friday, 6 July 2012

Wicca, Simbolnya dan Muslim?

Aku sedikit terkejut, apabila Encik Pakcik Seekers yang konon boleh cari hantu itu didapati positif dadah. Rasa nak ketawa pun ada bila dia cuba senyum-senyum dalam pakaian lokap polis. Dari satu hal, ke satu hal. Dulu kena bidas sampai terdiam dengan Dr. Fadzilah Kamsah dalam rancangan realiti, kemudian nak saman orang, sekarang dah ke lokap. Susah nak cerita. Itu sebab aku selalu tekankan, kita ini perlu tahu hukum agama walaupun tak dalam. Membuka aib orang, walaupun benda itu betul, adalah sesuatu yang tak patut dilakukan. Akan dibuka semula aibnya oleh Tuhan. Ok, cukup setakat itu. Aku bukan peminat dia pun. Dan dia ini bukan topik yang aku nak kongsi.



Adapun, topik yang aku nak kongsi ini ialah berkenaan dengan Wicca yang senang kita fahamkan sebagai satu agama yang polytheistic atau yang seumpama dengannya, menggunakan sihir untuk kehidupan seharian.  Cuma rupanya tidaklah macam bomoh Melayu. Reti jugalah mereka berfesyen. Nak cerita panjang lebar mengenai istilah ini, aku rasa kalian handal mencari maklumat. Mengapa aku nak kongsi benda nan satu ini? Kerana aku rasa terkejut apabila ditanya oleh rakanku yang berada di luar negara. Ini adalah dialog antara aku dan dia petang tadi.

Nolt: I'm wondering if in Islam, you will accept Wicca?
Aku: Wicca? Don't think so. Why? Never see any in my country yet. Except for some traditional shaman.
Nolt: Hmm.. I saw a symbol. Pentagram, but inside it having your "Bismillah" words.
Aku: Oo.. I've seen them before. Why? Anything wrong?
Nolt: Just to let you know, that pentagram, is one of the symbols for Wiccan.
Aku: I'll ring you back later. Have to check this out.

Itu perbualan aku dengan rakan aku. Maaf guna bahasa Inggeris, nak suruh dia cakap Melayu, perkataan 'makan' dia tahulah. Lagipun tak guna bahasa rojak macam sesetengah kita. Ok, balik pada topik. Aku tengok simbol yang dikatakan itu. Ya, salah satu simbol yang digunakan oleh Wicca. Apa itu Wicca?



Aku rasa kebanyakan kalian pernah tengok cerita Harry Potter. Wicca ini lebih kurang begitulah. Satu jenis agama baru yang menggunakan sihir dan magik untuk kehidupan. Yang tidak bertuhankan Allah secara pastinya. Nak kata macam Black Metal, tak juga sebab mereka ini tak ada musik keras. Aku tahu benda Wicca ini ketika belayar juga. Maklumat lebih lanjut, boleh cari sendiri. Dan agama ini aku rasa belum sampai di Malaysia secara meluas, tapi bila aku tengok simbol bintang bucu lima yang ada basmalah, rasa terkejut juga. Dengan aku sekali terlepas pandang. 

Maka, aku nasihatkan, beringat-ingat dengan apa yang kita ada di sekeliling. Kena dengan remaja macam aku, kadang-kadang main ikut sedap beli pelekat, tampal dekat motosikal, kereta, bilik, mana-manalah. Bukanlah benda ini boleh terus merosakkan akidah. Cuma, macam kita tak muliakan basmalah itu dengan sebaiknya. Lebih kurang macam kita ukir basmalah atas palang salib. Apa rasa?

Begitu sedikit sebanyak. Silalah ingat-ingatkan dan kongsikan dengan kawan-kawan, saudara-saudara, agar jauhkan benda-benda pelik-pelik macam ini. Payah nak cerita nanti.


Selit-selit: Macam aku cakap, bila hidup tak tahu hukum agama, tak ada pengetahuan, malas, macam-macam benda pelik-pelik boleh jadi.

Selit-selit: Kalau rasa tak selesa dengan entri aku, boleh cakap terang-terang. Senang cerita.

Sejarah, Encik Hitler dan Kisahnya?

Cukup pada bab politik, entri kutuk kerajaan, terus banyak hit, tapi tak berani komen dari orang yang sokong kerajaan. Ramai yang dari pihak penyokong kerajaan yang mengintai. Tapi tak berani nak komen sebab agaknya tak ada idea nak bidas. Lantaklah. Itu hak aku nak sokong siapa. Buat benda merepek dah bertahun-tahun, lagi nak tanya banyak.




Maka, tadi aku pandu kereta, beli nasi (sebab tinggal aku dan mak aku sahaja, malas nak masak, kena pula tak berapa sihat), sambil dengar lagu Ella, Layar Impian. Rasa macam layan bila aku dengar lagu yang nan satu itu. Maksud bagus, siap kena lagi dengan situasi sekarang. Siapa yang faham, fahamlah. Ok, cukup takat itu. ^_^

Pada dalam bawa kereta tadi, terfikir juga aku, apa yang nak ditaip dalam blog, langsung terlintas dalam kepala aku tentang Hitler. Siapa yang tak pernah dengar nama Adolf Hitler? Pemimpin Nazi Jerman yang dikhabarkan cukup kejam, membunuh dan segala macam jenis jenayah yang ada atas muka bumi ini. Jadi ini yang aku nak kongsikan bersama. Tapi tak payahlah nak banding dengan budak-budak konon Nazi Punk apa semua, itu sampah masyarakat kebanyakannya.

Seluruh dunia dicanangkan dengan kekejaman Jerman waktu perang, lebih-lebih lagi Encik Hitler yang bermisai kontot. Tapi, pernah atau tidak kita cuba lihat betul-betul sejarahnya. Kita cuma dengar dari sebelah pihak, termasuklah aku. Maklumat tentang dia pun aku tak banyak, sebab buku tentang dia punyalah banyak cerita dia ini kejam. Namun, aku dapat seludup satu buku tentang dia, dan bagaimana pemerintahannya. Tajuk buku, aku rasa tak elok diberitahu di sini. Kalau nak tahu, aku boleh hantar ikut e-mail. Buku ini aku dapat waktu belayar kapal pertama dulu. Masih ada dalam rak buku di rumah aku.

Kalau buka internet, ada juga maklumat tentang dia, tapi aku tak berapa minat ambil maklumat dari internet sebab kebanyakannya tak boleh pakai dan ada di antaranya yang dah bercampur-campur sebab ramai orang main 'copy-paste'. Jadi, mula-mula sekali, kita lihat siapa Adolf Hitler atau juga dikenali sebagai Encik Hitler. 

Mula-mula sekali, kita diberitahu oleh dunia bahawa Hitler itu diktator yang amatlah kejam. Pernah atau tidak kita terfikir kebenarannya? Yang beritahu maklumat ini hanyalah orang Yahudi, yang mana sah-sah musuh Nazi nombor satu. Suka untuk aku beritahu bahawa Encik Hitler ini adalah orang yang selalu mengambil pendapat dari ulama Islam. Mengapa ulama? Tak pelik? Dan kenapa ulama boleh cantik punya masuk dengan kepala Hitler? Nak kata ulama itu membodek Encik Hitler? Ulama rata-ratanya bukan begitu. Takkan semua ulama dalam Jerman ini jenis jual agama, kan? Kalau kita lihat pula sekarang, pemimpin yang zalim, ulama memang tak nak dekat punya. Siap lawan terang-terang. Muzakarah politik untuk agama dalam Malaysia pun tak berjaya. Jadi, kenapa ulama boleh 'ngam' dengan Hitler?

Itu satu benda. Kita lihat dari segi sejarah keagamaannya. Tak dapat dipastikan secara jelas. Dalam buku yang aku ada, ada di antara ucapan dan penulisannya menyebut "Tuhan alam semesta" dan lain-lain seperti mana yang selalu kita dengar dalam Quran dan kitab-kitab. Tapi tidaklah aku hendak kata dia itu muslim. Dia agungkan agama Islam itu, sebagai satu agama yang relevan, sehingga dibentuk satu divisyen tentera Islam Jerman. Mengapa divisyen agama lain tak dibentuk. Itu salah satu hal yang patut kita fikir-fikirkan.

Tambah lagi, baru-baru ini aku tonton cerita My Way yang boleh kata baru keluar. Cerita yang difilemkan semula atas kisah benar yang berlaku pada zaman perang dunia. Kalau kita tonton cerita ini, kita boleh lihat, hero dalam filem ini diserap dari satu pasukan tentera Jepun, sehinggalah mereka diserap ke Soviet Union sebagai tentera paksa, sehinggalah berakhir sebagai tentera Jerman. Pada waktu mereka dalam pasukan tentera Jepun, hidup sangat-sangat susah dan perit, begitu juga dengan ketika mereka diserap masuk ke Soviet Union. Hidup sangat-sangat tertekan dan dilayan lebih teruk dari binatang. Dikerah siang malam tanpa kira rehat. Tapi bagaimana dengan hidup mereka ketika diserap jadi tentera Jerman? Diberi makan pakai yang cukup, malah tempat tidur yang selesa. Diberi kerja, tetapi ada waktu rehat sama seperti tentera Jerman yang lain. Malah, tidak pula diseksa macam ketika mereka dalam Jepun dan Soviet Union. Siap ada masa untuk beriadah. Cuma bila dipaksa perang itu, adatlah sebagai tentera paksa. Tapi taklah kejam, sebab mereka dijanjikan dengan kerakyatan sepenuhnya seperti Jerman yang lain selepas perang.

Jadi, betulkah Encik Hitler yang kita kenal itu kejam tak bertempat? Kalau setakat bunuh orang dalam perang, Khalid Al-Walid pun kita nak label sebagai orang yang kejam? Atau adakah kerana takut dengan Islam, Yahudi bertindak memburuk-burukkan Encik Hitler sampai kita sendiri kata dia ini memang orang yang sangat kejam? Fikir-fikirkan.

Tidaklah aku nak kata aku ini pakar sejarah. Ada banyak lagi tentang Encik Hitler yang kita tak tahu. Ini sekadar apa yang tulis setelah aku fikir dan aku baca bukunya, teliti kisah-kisah benar yang berlaku dan sebagainya. Jadi kalau ada rasa apa yang aku taip ini silap dan salah, beritahu dan kongsikan dengan aku. Moga kita boleh kongsi-kongsi.







Selit-selit: Sejarah ini kadang-kadang tak berapa nak logik. Contohnya konon adanya zaman Paleolitik, segala yang litik-litik lagi. Tapi tak terfikirkah kita, Nabi Nuh dah pandai buat kapal? Nak buat kapal bukan benda senang. Siap buat tengah padang lagi. Siapa jadi naval arkitek? Kalau Allah bagi cara ajaib begitu sahaja, mesti ramai yang dah beriman. Maksudnya buat kapal itu satu perkara biasa pada umat ketika itu. Kan? Boleh pula Nuh itu pandai bezakan jantan dan betina bagi tiap-tiap jenis binatang, dah macam veterinar. Pandai pula Nuh nak kira 'ship stability' kapal itu. Kalau zaman sekarang, tahap Chief Officer baru cekap nak kira kestabilan kapal. Betul wujudkah zaman segala litik-litik ini? Atau ada yang tak berapa kena dengan sejarah?

Selit-selit: Rasa segan dengan Kak Na (coklat blog) sebab sebut nama aku tengok cerita perempuan bintang. Segan sangat. Muka aku yang sikit punya penuh sifat kelelakian yang tegas dan keras, sekali tengok cerita macam itu. Hahah.

Sunday, 18 March 2012

Dunia, Inovasi, Islam dan Manusia..

Aku panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Pencipta aku kerana masih memberikan aku peluang untuk terus berdiri dan berjalan dengan sempurna di atas muka bumi ini. Ini mungkin entri terakhir dari aku sebelum aku ke kampus untuk menjalani latihan konvokesyen. Selepas selesai, barulah aku akan kembali balik ke dunia siber yang serba menyerabutkan ini.


Hari ini aku sedikit terkejut dengan satu perkara baru dalam hidup aku. Jam tangan berlandaskan Islam. Itulah intro yang ditempelkan ke atas muka aku apabila aku menjadi sedikit bodoh-bodoh alang apabila melihat sesuatu yang di luar sistem pemahaman aku sebagai manusia normal yang lahir pada tahun 1990. Sejak aku lahir, aku hanya belajar dan memahami bahawasanya jam itu jarum-jarumnya bergerak dari arah kiri ke kanan atau lebih senang disebut oleh bayi berusia lapan bulan sebagai 'clockwise'. Sekarang ini, istilah itu harus sahaja diteliti semula. 'Clockwise' sudah sama sahaja dengan 'anticlockwise'. Jam 'berlandaskan Islam' itu, jarum-jarumnya bergerak dari kanan ke kiri; melawan arah jam biasa yang kita gunakan. Katanya mengikut cara pergerakan kita tawaf di sekeliling Kaabah. Jadi dikatakan bahawasanya mereka mahu mengubahsuai sedikit ciptaan jam yang normal kerana tidak mahu mengikut cara orang bukan Islam. Aku tak bermaksud untuk menyentuh soal agama, tetapi sekadar untuk memberitahu secara telus dan jujur. Aku tak nafikan, Rasulullah sukakan cara pergerakan itu, malah kalau kacau teh tarik pun elok kalau menggunakan pergerakan sedemikian rupa. Tetapi tidaklah menjadi salah sekiranya kita buat dengan cara lain. Itu terpulang pada individu.




Apa yang terlintas di pemikiran aku melihatkan perkara itu? Mungkin ada yang tahu kewujudan jam ini lebih awal dari aku. Tak kisahlah. Apabila aku lihat jam itu, lantas beberapa perkara terus melintas dengan laju di pemikiran aku. Bagaimanalah hendak mengajar kanak-kanak di sekolah rendah atau tadika melihat jam selepas ini? Tidakkah mereka akan terpinga-pinga melihat guru-guru kesayangan mereka menunjukkan jam yang 'clockwise' di sekolah, tetapi di rumah jam yang ada tergantung di dinding bergerak secara 'anticlockwise'? Tidakkah pula mereka akan berpakat mengatakan bahawasanya guru-guru mereka tidak mengikut peredaran dunia? Apakah mereka akan berakhir dengan tidak tahu membaca jam sampai tua? Hahaha. Mungkin. Mungkin juga selepas ini kementerian pendidikan akan pening kepala kerana hanya mampu mengajar murid-murid menggunakan jam digital sahaja. Mungkin juga akan ada inovasi baru bahawasanya jam digital akan berubah dengan menggunakan angka-angka arab dan mengelirukan kanak-kanak apabila melihat titik itu bermaksud kosong. Inovasi-inovasi yang dahsyat impaknya kerana berlandaskan Islam. 


Kalaulah ada bakal-bakal guru yang membaca entri aku ini, pastinya akan berfikir sama. Malah mungkin jauh lebih merepek dari apa yang aku fikirkan. Jika ada, kongsikan entri ini bersama kawan-kawan yang sealiran. Letaklah di laman sosial lain. Biarkan mereka baca dan fikir sama-sama. Tak mengapa. Fikirlah sehingga menjadi bukan-bukan dan bergelak ketawalah seorang diri. Kadangkala seronok berbuat begitu. Aku tidaklah pula mengajak kalian menjadi gila tetapi pemikiran mustahil itulah yang banyak membuahkan pelbagai idea yang manusia lain tak terfikir. 




Kerana itu juga, aku memberhentikan motosikal aku hari ini dan menenangkan jiwa aku di tepi jalan. Nampak gambar yang ada di atas? Aku sayang orang yang beri baju itu pada aku. Sambung balik. Aku berehat kerana terlalu banyak berimaginasi sehingga aku gelak-gelak dan keadaan aku menunggang menjadi sedikit merbahaya. Tak mengapa. Itulah sedikit yang hendak aku kongsikan. Mungkin selepas ini akan ada bermacam-macam benda yang pelik, hairan dan ajaib lagi ganjil akan diinovasikan atau dicipta. Akan ada segelintir manusia yang akan muncul membawa pembaharuan yang kecil tetapi memberikan impak yang tidak sedikit.


Aku yakin, bahawasanya dunia ini sentiasa sahaja bergerak dan segala yang berubah-ubah akan tetap berubah. Segala yang tetap di tempatnya, akan tetap teguh di tempatnya walau apapun yang melanda. Itulah dunia dari kaca mata aku yang tidak berkaca. Moga dunia dan segala isinya harmoni..