Showing posts with label duit. Show all posts
Showing posts with label duit. Show all posts

Thursday, 21 February 2013

Luahan Perasaan yang Bercampur-campur..



Susah aku nak muncul dalam blog sekarang. Begitulah keadaannya. Tak ada banyak cerita juga menjadi salah satu faktor.

Hari ini kapal akan masuk ke pelabuhan setelah beberapa hari menunggu. Cuaca tak menentu. Tempat yang dituju, Nederland, USA (negara pusat segala kufur dan fasad) . Entah apa yang seronok di sana, aku tak tahu. Tempat aku bertolak, Cayo Arcas, Mexico. Dan aku berada di tengah laut rasanya waktu entri ini diterbitkan. Tiada benda-benda 'menarik' yang aku lihat di Mexico. Walaupun kawan aku kata orang sana cantik-cantik.

Masakan tidak, sekarang ini masa dah berubah. Sejak peristiwa sebelum Ramadhan lepas. Mak aku dah pesan dengan sebenar-benar pesan. Jangan tinggal solat. Jangan buat maksiat. Jangan bergaduh dengan orang. Jangan sakitkan hati orang. Jangan makan atau minum benda yang haram. Jangan mengorat anak gadis orang. Jangan dan bermacam jenis jangan lagi. Sebagai seorang anak dan makhluk Tuhan yang sudah menanamkan keazaman dan disiplin yang tinggi, aku berubah. Abang RL takkan kenyit mata pada anak dara orang lagi. Melainkan waktu lepas akad nikah nanti. Bukan lagi kenyit, nak gigit pun boleh.

Habis bab gadis-gadis. Kita beralih sedikit ke dunia politik. Dengar cerita Encik Bijan dan Kak Mah kita kena pakat boikot dek rakyat Pulau Pinang waktu sambutan Tahun Baru Cina. Siap ada boikot dari PSY. Entah betul ke tidak, aku pun tak tahu. Kalau ada di antara kalian yang mempunyai sedikit maklumat, sila kongsi dengan aku. Maklumlah, kadang-kadang cerita sejengkal jadi panjang sedepa. Tapi yang menjadi kehairanan, mengapa ada PSY? Dah tak ada orang lain? Rasanya boleh jemput yang lain. Dah menjadi macam satu kemestian untuk menjemput artis dalam apa-apa acara pun. Duit habis banyak, walaupun dalam kata bahawasanya negara kena berjimat. Bayar artis ada duit, tapi untuk bagi pendidikan, tiba-tiba tiada duit. Payah nak cakap.

Walhal, golongan artis ini tidaklah sebagus mana pun. Tak bawa banyak faedah pun. Nak kata manusia bersatu kerana muzik, tak juga. Nak kata muzik atau lakonan mereka membawa manusia kepada keamanan, memang sah bukan. Yang pasti, golongan artis banyak mendorong kita supaya berlumba-lumba ke neraka. Aku sendiri dah pernah tergelincir jauh, dan aku tahu bagaimana teruk dan jijiknya apabila kita jauh dari Tuhan. Jadi eloklah kalau kita mula tolak artis dari acara-acara rasmi atau keagamaan atau apa-apa acara sekalipun. Biarlah mereka sekadar menghiburkan. Tak melebih-lebih macam sekarang.

Sekarang ini, dalam waktu kapal sedang melabuhkan sauh, aku banyak memancing. Sekadar hobi di masa yang tak berapa lapang. Menghilangkan tekanan yang memuncak akibat ketua pegawai dek atau malim pertama yang memang sangat menjengkelkan. Tak ada pakai batang jorang pun. Tali, mata kail, ladung. Itu sahaja yang aku ada. Tapi 4th Engineer aku ada batang joran siap dengan alat-alat dia yang memang lengkap. Dia memang pakar bab memancing laut atas kapal. Semalam aku dapat ikan dua ekor sekaligus, tapi entah jenis apa. Nak kata ikan keli, memang sah bukan sebab tengah laut. Saiz besar dari keli, tapi kulitnya cerah. Seekor aku lepas balik ke laut, seekor lagi aku potong-potong buat umpan semula. Aku harap dapat ikan yang lagi besar. Boleh buat masak masam manis macam tempoh hari. Dan kalaulah peristiwa sebelum Ramadhan lepas tak berlaku, dah tentu-tentu aku minta dia tolong beritahu apa masakan yang sedap untuk ikan-ikan ini. Tadi pun makan ikan merah masak stim. Eh. Eh.. Kapal dah bergoyang. Aku rasa ada ikan yang makan umpan aku. Abang RL nak kena tengok. Pergi dulu....



Selit-selit: Kapal ini aku rasakan hampir sama sahaja macam penjara. Itu sahaja.


Saturday, 5 January 2013

Jumpa Barang dan Cara Penyelesaiannya..

Entri ini aku buat untuk berkongsi sedikit pengetahuan. Tercetus rasa untuk berkongsi selepas melihat beberapa orang di kalangan kita kurang arif tentangnya. Namun, ia sekadar pengetahuan secara permukaan dan bukan dalaman; harus sahaja kalian merujuk pada asatizah atau guru-guru yang arif tentangnya.

Dalam undang-undang sekular atau sivil, cara penyelesaian masalah dalam kes jumpa barang memang agak rumit kerana tiada garis panduan khusus. Namun, di dalam Islam ada. Aplikasinya di Malaysia, sama sekali tidak berlaku.

Berikut beberapa jenis contoh kes dan cara penyelesaiannya.


Apabila terjumpa wang dalam jumlah yang banyak atau barang berharga dan orang yang menjumpainya menginginkan wang atau barang tersebut, ia hendaklah diumumkan atau diiklankan selama setahun akan wang yang dijumpainya itu. Jika datang orang menuntutnya, hendaklah dipulangkan. Sekiranya lebih dari setahun, dan orang yang menjumpainya menggunakan wang tersebut untuk tujuan perniagaan, maka untung dari modal tersebut itu adalah haknya. Dan sekiranya datang orang menuntut wang tersebut walaupun selepas setahun, ia tetap perlu dipulangkan. Sekiranya telah digunakan, perlu diganti.

Apabila terjumpa wang dalam jumlah yang kecil, tidak perlu diiklankan besar-besaran. Memadai dengan mengumumkan pada orang sekeliling. Dan jika tiada yang menuntut, maka hendaklah dia berkata, "Aku milik akan wang sekian banyaknya ini" disaksikan orang sekeliling. Namun, jika selepas itu ada orang yang menuntutnya kemudian itu, perlulah dipulangkan.

Apabila terjumpa ternakan, contohnya kambing jantan dan betina, dan ingin memilikinya, maka hendaklah dia mengiklannya selama setahun. Jika dalam masa setahun pengiklanan itu, ternakan itu beranak pinak, maka ia masih tetap milik tuan asalnya. Namun, anak-anak ternakan yang lahir selepas setahun tempoh pengiklanan, adalah hak milik orang yang menjumpai ternakan itu. Dan jika tuntutan dibuat oleh tuan asal, tuan asal tersebut hendaklah membayar upah kepada orang yang jumpa untuk kos makanan ternakan, kos penjagaan termasuk upah menjaga selama mana ia di dalam penjagaan.

Apabila terjumpa bayi di dalam negara yang ada komuniti Islam, walaupun bayi yang dijumpai itu memang nampak bukan anak Melayu atau Islam, malah jelas sepet matanya atau hitam warna kulitnya, hendaklah tetap diambil bayi itu secara anak Islam dan diIslamkan. Ketika mengambilnya, hendaklah ada saksi ketika waktu pengambilan, melainkan di situasi bahaya seperti ada binatang buas hendak mencederakan bayi itu. Penjagaannya hendaklah dimaklumkan pada Baitulmal untuk urusan wang belanja anak itu. Perlulah diiklankan tentang jumpa bayi tersebut.


Itulah sedikit sebanyak tentang cara atau undang-undang jumpa barang yang ditulis dalam kitab-kitab tua. Namun, penjelasan yang aku beri, sangat-sangat mudah dan hanya menjadi titik tolak untuk kalian berfikir bagaimana lengkap dan canggihnya perundangan Islam. Harus juga disimpulkan di sini bahawa, pemilikan barang-barang yang dijumpai itu bersifat pemilikan sementara sampai bila-bila. Waima ada orang menuntut setelah 20 tahun sekalipun, tetap perlu dipulangkan dengan hematnya. Begitulah. 

Sekian.


Selit-selit: Dah memang undang-undang Islam canggih. Tapi tetap tak nak guna. Macam mana nak sebut Quran sebagai panduan bila disoal dalam kubur nanti, sedangkan kita guna perlembagaan sekular?

Selit-selit: Hari ini aku sedikit gembira. Itu sahaja.



Tuesday, 11 December 2012

Bil, Kemodenan dan Hari Ini..


Dari cerita tentang orang kahwin pakai baju tentera (konon kacak), kemudian Harimau Malaya tidur di saat akhir sehingga dapat seri, sampailah ke cerita politik yang tak sudah-sudah dengan tipu helahnya, hari ini aku ada terbaca satu berita menarik. Agak ringan bagi aku.

Di Arab Saudi, seorang lelaki mencatat sejarah dalam hidupnya apabila dianugerahi dengan bil telefon yang aku rasa boleh tahan bayarannya. Angka dalam bil itu ialah SR 10 billion, atau RM 8.16 billion. Ditambah pula dengan kenyataan perkhidmatan komunikasi itu, ia mungkin betul kerana kononnya cas panggilan ke luar negara adalah mahal ditambah penggunaan internet. Lelaki Arab itu mahu menghadapkan bil itu ke muka pengadilan.

Tak lama dahulu, kes yang hampir sama, seorang lelaki terkejut apabila bil kad kreditnya berjumlah juta-juta juga setelah selesai membeli sekotak rokok. Namun, pihak bank membetulkan kembali kesilapan itu, termasuk membayar ganti rugi insan tersebut untuk panggilan ke bank dan sebagainya.

Agak-agak, kalau kita kena macam itu, aku rasa mungkin sahaja kita terus rasa pening nanar. Kalau ustaz-ustaz pun, aku rasa mahu juga naik merah mukanya. Anak kahwin lari pun mungkin kita boleh maafkan dan terima 'menantu segera' kita, tapi bila bab wang, manusia mampu menjadi satu makhluk yang sangat menakutkan. Bak kata Encik Rambo, "Killing is easy as breathing". Namun, berita-berita ini cuma ada di zaman sekarang.

Begitulah halnya dunia sekarang. Aku berani jamin, 15-20 tahun dahulu, di zaman bapa aku masih menjadi rebutan ramai gadis, dia mungkin hanya perlu memikirkan beberapa helai bil sahaja di hujung bulan. Bil elektrik, air dan mungkin kalau ada, bil telefon rumah. Namun, cuba kita tenung-tenung peti surat kita pada zaman moden ini. Berapa banyak bil yang sampai? Bil elektrik, air, telefon bimbit sendiri dan isteri, internet, Astro, kad kredit dan segala macam kertas-kertas nipis yang akan membuatkan poket kita nipis di hujung hari. Itu belum masuk Touch N Go yang mana aci kerat jari, waktu bapa aku muda dulu, dia tak pernah terbayang pun bagaimana rupa kad tersebut.

Namun, jika orang bertanya pada aku, "RL, kau rasa kau moden tak dunia sekarang?", aku hanya mampu tersenyum tanpa kata. Satu soalan yang ada dua jawapan yang sangat berbeza. Nak hidup cara ala-ala 15 tahun dahulu, nanti dikata orang sebagai ketinggalan zaman. Nak diikutkan cara zaman sekarang yang ala-ala moden, entah terikut atau tidak dengan kosnya yang mahal.

Kata orang, "go with the flow" atau ikutlah arus. Tapi apa yang aku belajar, untuk kemudikan kapal dengan lebih berkesan dan selamat, lawanlah arus. Fikir-fikirlah.



Selit-selit: Pernah aku buat bil telefon melambung waktu tingkatan dua. Separuh mati aku menahan nyawa dari hilang terbang. Hahah.

Selit-selit: Iye nae sonul japgo nunulkamayo uri saranghaetton-nalto sengkaghepayo, uri nomu saranghaeso apossonnaeyo, soro saranghandan malto mottansondaeyo.



Wednesday, 5 December 2012

Artis, Sekolah Pondok, Akhbar yang Bodoh dan Rezeki..

Maaf tidak mengemaskini blog sehari dua ini. Ada sedikit kesukaran dari segi teknikal dan praktikal. 

Maka, bersempena ramai rakan-rakan blog yang mengimarahkan hari Rabu tanpa kata, aku juga hendak meraikannya dengan banyak kata-kata.

Pada hari Isnin yang lalu, di waktu aku banyak tugasan untuk dilakukan, aku sempat membaca akhbar tabloid Metro. Kebiasaannya aku akan langkau bahagian artis dan dunia hiburan, tetapi pada pagi itu Allah takdirkan aku terselak satu halaman di dalamnya, seraya membuakkan segala naluri dan kesan adrenalin untuk menaip mengenainya.

Apa yang aku baca? Satu hamba Allah yang aku tak tahu namanya, konon-konon tak bersetuju apabila ada seorang artis yang masuk pondok, berhenti kerja. Kemudian isteri kepada artis tersebut minta izin untuk berlakon dan dilarang oleh artis tersebut kerana punca rezeki seperti itu haram. Maka, kata orang yang mengarang dalam akhbar itu, seolah-olah artis itu tidak bertanggungjawab kerana tidak bekerja dan tidak mencari wang untuk anak dan isteri.

Kalau ada di antara kalian mempunyai rakan di akhbar tersebut atau sesiapa yang boleh sampaikan pada penulis tersebut, dengan senang hati, sila sampaikan pada beliau apa yang aku taip.

Ini dari aku pula, penulis itu, pernah masuk pondok atau tidak? Pernah mengaji agama seperti di pondok? Dah mampu nak syarah kitab-kitab? Kalau tak tahu apa, jangan sedap bercakap. Jangan guna logik Yahudi dan Nasrani untuk kehidupan orang Islam. Penulis tersebut, aci kerat jari, kalau aku minta dia senaraikan kitab-kitab tua yang dia dah belajar, aku rasa tak lepas dengan bilangan jari tangan aku.

Pemikiran kita dijajah oleh barat, dijajah oleh Yahudi sejak sekian lama. Mengatakan bahawa, tanpa sijil-sijil, tanpa diploma, tanpa ijazah, maka laluan rezeki akan menjadi amat payah. Apakah rezeki kita datang dari keping-keping kertas itu? Adakah kita sudah hilang kepercayaan kita kepada Tuhan yang memberi rezeki? Berapa ramai yang ada ijazah dan segala kelayakan yang hebat-hebat, masih menganggur dan mengharap kepada duit ibubapa? Tak pernah terfikirkah? Mengapa ada di antara kita yang menjadi begitu bodoh, menaip dan bercakap benda yang seolah-olah mengatakan Tuhan itu akan membiarkan hambanya yang mencari ilmu, lapar dan kebulur? Mengapa ramai di antara kita yang menjadi begitu bangang sebegitu sekali?

Allah kata apa pada hamba-hambanya? Kahwin dan Dia akan beri rezeki. Muhammad suka umatnya ramai. Adakah Muhammad akan biar sahaja umatnya yang ramai anak-anak lapar dan dahaga?

Kita dimomokkan ketika kecil dengan UPSR, PMR dan SPM. Apabila tamat SPM, kita dijuih-juih dengan ideologi mengatakan dengan berbekalkan SPM, payah hendak bergaji besar. Maka, berbondong-bondong menghantar anak untuk diploma dan ijazah; demi mengharapkan gaji RM3000 ke atas. Sedangkan, hutang pelajaran untuk mendapatkan gaji sedemikian rupa dah nampak sangat tak berbaloi. Tak pernah fikirkah kita? Adik aku, dengan SPM 11A, pergi ke pondok. Tak ada kisah dengan diploma atau sijil. Kalau kita yakin dengan Allah, maka apa yang kita nak takutkan dan risaukan dengan dunia?

Entri lepas aku ada cakap, dalam kitab tertulis sebegini. Tanam padi dapat lalang, tanam lalang tak dapat padi. Tak nampak lagikah kita? Lagi nak aku terangkan?

Fikir-fikirlah. Jangan kita taip benda-benda yang bukan-bukan tanpa kita tahu hal sebenar. Cukup-cukuplah menjadi seorang manusia yang tak ada ilmu. Dari mengata orang sebegitu, pergilah menuntut ilmu bersama-samanya.


Selit-selit: Aku tertanya-tanya mengapa kita masih tak nampak Islam itu apa.

Selit-selit: Aku percaya, masih ramai ibubapa yang berpaksikan ideologi orang kafir harbi.


Thursday, 29 November 2012

Lokasi Percutian Dan Perkongsiannya..

Aku dah mula mengorak langkah yang aku rasa hampir ke hujung untuk memulakan alam pekerjaan. Macam itulah. Tak sabar jadinya. Ok, itu kira cerita lain. Aku nak kongsikan hari ini ialah perbandingan masa silam dan moden yang aku rasa sangat-sangat berbeza.

Ceritanya ialah tentang pilihan kita untuk merehatkan diri.

Kalau dulu, bila kita nak berehat dari kepenatan bekerja,  dah tentu kita mencari tempat berkelah atau piknik untuk meluangkan masa bersama dengan keluarga atau orang tersayang. Tapi, bila aku dengar seorang kawan menyuarakan tempat untuk dia merehatkan diri, aku jadi sedikit terkejut.

Mengapa?

Kerana dia memilih hospital swasta untuk dia 'escape' dari kesibukan dunia yang sangat meletihkan. Dia tak sakit sikit pun. Elok sihat.  Tapi dia kata, berehat dalam hospital jauh lebih seronok sebab boleh dapat elaun hospital daripada syarikat insuran. Maka, aku dengan segera memikirkan punca pilihannya yang terlalu menarik itu. Sebab paling mudah ialah duit. Entah kenapa manusia terlalu senang dikaburkan dengan duit sehingga kepala otaknya memikirkan tempat percutian sebegitu rupa. Pening aku.

Bukanlah aku nak mengatakan ia satu benda tak elok.  Tapi aku rasa, dari membuang masa jasi orang sakit, kenapa tidak pergi mengaji di sekolah pondok? Paling tidak, ada ilmu yang berguna untuk kehidupan seharian. Mungkin tak nampak menarik, tapi agak kita ini berapa lama sangat nak menjamah duit? Pandai nak menggatal nak kahwin apa semua, tapi kitab bab nikah kahwin, bab haid isteri pun tak pernah belajar. Kemudian nak nyatakan bahawa dialah suami yang bagus dan sebagainya.

Bukanlah niat aku nak berleter, tapi nak lepas geram sikit. Berapa banyak kes penceraian berlaku, anak jadi bohsia atau mat rempit, hanya kerana ibubapa tak reti hukum agama. Ingat sekadar dapat sijil kursus kahwin dah boleh nak ambil anak gadis orang atau nak jadi mak orang?

Fikir-fikirlah dengan apa yang aku cakap. Agak-agak kalau baca Quran pun tak berapa betul sebut, rancanglah kembali sebaiknya tempat untuk bercuti.




Selit-selit: Atas dunia ini macam kerja. Dalam kubur nanti macam hotel. Amalan kitalah menentukan dapat jenis hotel lima bintang atau dapat macam hotel sarang jalang.


Saturday, 24 November 2012

Hati Yang Terkilan dan Sembangnya..


Sebermula hikayat, tersebutlah suatu tempat bernama Taiping, dalam Larut Matang diamnya, tertakluk jua ia di dalam kamus perbendaharaan Negeri Perak Darul Ridzuan, ke utara sedikit letaknya, kecil pekannya itu datang sekarang. Tatkala hijratun nabiyyi seribu empat ratus tiga puluh empat, kepada tahun hijrah, pada tujuh haribulan Muharram, kepada hari Rabu, waktu Dhuha, pada ketika syamsu, pada zaman kerajaan Najib Razak Qaddasalahu Sirrahum Wal Al Sekorpin Al Tantuyia Wa Ghairahu Bum Si For Munggullia Ghafarullahulah Syah, maka tersebutlah satu bahtera, tiada bernama ia hanya bernombor pendaftaran, tersadai ia bersama nakhodanya, Tun Seri Bijaya Wangsa Maju Orang Kaya Haji Effendi, di tepi kawasan berhampiran pantai kerana rosak enjin.

Adapun, dipanggillah nakhoda itu secara istimewa, hanya untuk menghantar pulang bahtera itu tanpa armada ke Lumut untuk diperbaiki. Maka, setelah diperiksa, terpaksalah berada di sana. Nak jadi kisah, terlupa bawa kad bank yang tauke bagi. Eloklah sangat. Maka menggagaulah meminta pertolongan segala sahabat-sahabat yang handai lagi akram. Tak adalah yang nak membantu melainkan seorang. Tak mengapalah. Esok-esok bila yang lain-lain itu susah, aku pula buat tak tahu. Apapun, masalah dah selesai. Itu aku lega.

Tapi itu sekadar intro. Menyakitkan hati aku ialah harga makanan di sana. Pekan Taiping sahaja. Bukan Bandaraya Ipoh. Sepinggan kuey teow goreng RM5.00? Dah gila? Aci kerat tangan, kalau aku bawa makan di kedai mamak berdekatan dengan Medan Kidd, Ipoh, harganya cuma RM3.00. Memang jauh beza. Teh tarik harga RM2.00? Aku rasa marah sangat-sangat. Terkilan, terguris, pedih dan kecewa, semuanya bercampur-campur menjadi satu. Apa sangat yang ada di Taiping? Setakat ada tempat binatang dengan tempat orang yang dah nak jadi binatang, tak payahlah nak cas mahal sangat. Patutlah payah nak maju.

Kalau ada orang Taiping yang membaca, cuba-cubalah anda masuk ke kedai berdekatan dengan stesen bas Taiping, berhadapan dengan CIMB dan Hotel Legend Inn. Harganya tak masuk akal langsung. Aku terus angkat kaki bila aku tengok mahal sangat. Biarlah aku berjalan jauh sikit mencari kedai lain. Kalau ya pun nak jadi Melayu paling kaya, itu bukan jalannya. Beria gantung bendera kerajaan di luar kedai, tapi mahal gila.

Itu satu hal. Satu hal lagi, aku dah nak bekerja dah. Aku tak tahu berapa banyak sangat entri aku boleh buat sebelum aku bekerja. Entah macam mana agaknya bersawang nanti. Sedih aku. Lepas satu-satu benda aku masuk dan kemudian menghilang. Dulu, aku aktif dengan radio amatur. Lepas belayar, aku terus senyap. Cuma sekali sekala aku ada. Itu pun sebab ramai yang lupa siapa aku. Lepas ini, aku rasa follower pun akan lupa siapa aku. Entahlah. Sentap kejap (hati bukan main sensitif sekarang).

Bab lain, aku dah mula tengok ramai Muslim yang dah mula jejak kaki semula dalam restoran-restoran makanan segera yang kononnya nak diboikot. Heh. Beria-ialah bersumpah apa semua tak nak jejak, tak nak makan dan macam-macam lagi, tapi cuma untuk sehari dua. Yang dari dulu tak sedar-sedar pun lagi ramai. Entah apa nak jadi. Sekadar bahan lelucon orang kafir harbi. Semua pakat gelak.

Fikir-fikirlah. Melayu dan Islam nampak sinonim, tapi sebenarnya dua benda yang sangat berbeza. Macam hitam dan putih. Tersangat jauh. Agak-agak mana yang kita nak ikut?




Selit-selit: Lebih baik tak pandai bergaya, daripada berhabis harta.

Selit-selit: Ramai orang bertanya bila nak kahwin. Aku memang nak. Tapi ada satu masalah. Macam mana nak kahwin empat tanpa yang lain-lain saling bergaduh? Hahah.



Monday, 12 November 2012

Dadah, Syabu, dan Perkongsiannya..

Dah macam-macam aku tengok entri follower aku. Dari cerita bab resepi asparagus, sampailah ke bab cikgu dan PBS, angkut sekali dengan cerita bab cicak, luahan hati dan sebagainya. Macam-macam. Cuma ramai yang aku tengok blog dah berubah-ubah rupa. Ada yang dah macam laman berita, ada yang dah tukar nama, macam-macam. Aku ikutkan sahaja. Apapun, semuanya menarik. 

Kali ini aku nak kongsikan sedikit tentang sejenis dadah yang dah banyak budak-budak sedut sekarang ini. Methamphetamine. Ada juga memanggil 'syabu'. Lebih dikenali di kalangan budak-budak sebangsa aku sebagai 'batu' atau 'ice'. Mungkin juga ada nama-nama komersial lain. Bentuk fizikalnya? Macam garam, tapi  halus-halus. Macam kaca mentol kena tumbuk halus-halus pun ada. 

Kita mulakan dengan harganya dahulu. Kalau peniaga-peniaga kecil-kecilan, mereka biasanya membeli dengan kuantiti yang agak kecil. 1g atau 1 gram di kawasan Ipoh harganya sekitar RM250. Daripada 1 gram ini, ia akan dipaket-paketkan kecil-kecil untuk tujuan perniagaan. 1 gram itu boleh menghasilkan kira-kira 15-20 paket kecil yang berharga RM50. Itu kira harga mengikut piawaian. Untungnya? Anda sendiri boleh kira. Lumayan bukan? Memang mahal. Benda ini juga tak boleh kena air, waima embun sekalipun. Kalau tak, nanti dia melekat-lekat. Macam itulah.

Sasaran dadah jenis ini tak kira orang. Budak sekolah pun ada ambil. Kata pengambil dadah jenis ini, kebiasaannya pelajar-pelajar kolej suka mengambilnya kerana ia akan membuatkan badan tak memerlukan tidur. Selera makan hilang. Boleh tumpu satu buku kira sampai khatam. Paling muda yang aku pernah campur, tingkatan satu. Hebat bukan? Tapi, kata mereka, dadah jenis ini tak gian atau ketagih. Itu kata mereka. Sejauh mana kebenaran untuk bab kehebatan dadah ini, aku tak tahu nak kata. Susah nak cakap.

Cara nak menghisap dadah jenis ini? Tak susah mana. Perlu sedikit kreativiti. Ia menggunakan alat buatan sendiri yang dipanggil dapur. Ada satu bahagian yang selalunya dibuat dari kaca, ini bahagian untuk letak ais tersebut dan dibakar, kemudian terus ke air, dan di bahagian satu lagi, ada tiub untuk sedut asapnya.

Mengenal pasti mereka ini? Agak susah. Tapi boleh periksa barang-barang mereka. Lihat-lihat kalau-kalau ada jenis penyedut minuman Vitagen atau straw yang dipotong serong. Boleh jadi juga batang kapas telinga yang dipotong serong. Gunanya? Untuk ceduk ais tersebut dari paket kecil itu. Lihat juga jenis pemetik api. Kebiasaannya menggunakan pemetik api boleh laras macam jenama Alladdin dan sebagainya, supaya apinya boleh dikawal untuk jadi betul-betul kecil. Dapur, mungkin boleh cari.

Apapun, aku ceritakan semua ini dari pengalaman aku. Sedih aku tengok anak bangsa aku macam dah tak tahu hala tuju hidup. Aku kongsikan ini, supaya kalau ada di kalangan pembaca ini yang mungkin ada anak-anak, atau kawan-kawan, yang dah lain macam, tolong dan tolong dan tolong pantau mereka ini. Aku jadi luluh hati tengok kawan-kawan ada yang terjebak benda-benda macam ini. Zaman sekarang dah tak kira lelaki atau perempuan. Main redah semua benda. Bangang yang bukan-bukan.



Selit-selit: Rasa pelik bila lihat budak-budak perempuan sekarang bukan main bangga sebut nak pergi kelab atau 'club' dengan kawan-kawan. Bukit Bintanglah, Changkatlah, nak minumlah, weed apa bagai. Kalau ya pun jahat, tak payahlah nak bangga dengan kejahatan. Nampak sangat bangangnya.

Selit-selit: Myvi warna biru cantik atau tidak?

Thursday, 11 October 2012

Kuala Lumpur, dan Keangkuhannya. Lumpur tetap lumpur.

Aku kembali semula setelah beberapa ketika aku sibuk dengan urusan-urusan yang perlu diselesaikan. Jadi apa yang aku nak kongsikan bersama hari ini ialah beberapa keadaan/pengalaman/situasi yang cukup-cukup menekan perasaan aku ketika aku dalam perjalanan pulang ke negeri tercintaku, Perak. Kalau rasa entri kali ini agak menyinggung mana-mana perasaan pembaca, aku sikit pun tak ambil peduli. Rasa nak baca, baca. Tak nak, kau boleh tengok dekat header apa yang aku tulis.

Tersebutlah kisah di mana aku berada di kawasan selatan tanah air, menuju ke utara semenanjung, menaiki kenderaan awam jualah. Yang dikatakan perkhidmatannya mesra, berhemah jua beriringan senyuman manis bak susu krimer pekat.  Maka, aku pun sampailah ke satu bandar, yang konon dijulang bandar serba hebat dan berbagai-bagai lagi. Perhentian pertama aku, Terminal Bersepadu Selatan atau lebih dikenali dengan TBS. Keadaan di sini memang bagus. Tak ada perayu tiket dan ulat tiket. Dah hampir macam lapangan terbang pun ada. Selesa. Maka, disebabkan aku hendak menuju ke utara, aku perlu tukar ke Puduraya.

Maka, aku pun pergilah ke bahagian tren atau komuter untuk menghala ke stesen Plaza Rakyat. Setelah tiket dibeli, aku pun menjadi keliru di sebelah mana tren yang patut menghala ke Plaza Rakyat. Jadi, aku bertanya pada seorang lelaki berbangsa Cina yang tengah sedap berasmaradana depan orang ramai. Tindakbalas dari beliau? "English please." Aku pun bertanya kembali dengan bahasa penjajah itu. Tapi jawapan yang aku dapat, dia suruh aku ke kaunter pertanyaan yang agak jauh sebab badan aku dah penat. Dengan sedikit perasaan geram, aku melontarkan soalan terakhirku. "Are you Malaysian?" soalku. Jawapan dia, "Yes, I am Malaysian." Maka sahutku dengan bahasa yang dah tak kenal erti kesopanan dan kesusilaan, "Then better you find some other place to live. This is Malaysia. Don't use some other fu*king language with me. Even your people from mainland didn't understand English.". Aku terus ditenangkan oleh seorang abang yang memberitahuku ke mana patut aku menunggu.

Aku tak berniat nak membangkitkan sifat perkauman di sini. Jauh sekali. Tapi aku meluat dengan sikap warganegara Malaysia yang sangat-sangat menjijikkan. Bahasa Inggeris? Aku dah pergi macam-macam negara. China? 'Yes' dan 'no' pun tak faham. Aku dah masuk Dalian. Nak cerita yang konon Bahasa Inggeris dia hebat? Ceh! Kalau orang Melayu sekalipun yang buat begitu, memang aku pandang dengan penuh jijik sebab lebih bangga dengan bahasa asing dari bahasa sendiri. Ingat Kuala Lumpur bagus sangat? Infrastruktur tinggi, tapi nilai moral rendah. Tak payah nak sembanglah cerita Kuala Lumpur hebat. Geli anak tekak aku.

Sampainya aku ke Plaza Rakyat, aku terus menuju ke Puduraya. Di sini terlalu merunsingkan dan merimaskan. Kenapa? Sebab terlalu banyak perayu tiket. Maka, aku pun pergi ke bahagian tiket. Dalam perjalanan naik ke atas, ada seorang perayu tiket bertanya pada aku destinasi. Aku menjawab tidak tahu. Kenapa aku kata tak tahu? Sebab bapa aku duduk di bahagian selatan Perak. Ibu aku duduk di utara Perak. Rumah aku? Berada di tengah-tengah Perak. Dah tentu aku nak tengok tiket mana yang lebih awal dan sesuai. Apa dia kata pada aku? "Susah kalau orang berjalan tak ada destinasi ni bang, agak-agak la kalau nak tipu pun, bukan duit abang tu besar sangat saya nak ambil". Dari escalator yang naik ke atas, aku turun kembali ke bawah mencari dia. Badan aku yang penat membawa haversack mula mengepam adrenalin. Aku jumpa dia depan kaunter polis bantuan. Aku pun memanggil dia dan berkata, "Kau ada masalah dengan aku? Kau tak nampak dekat papan tanda tu dah tulis jangan beli tiket dengan orang macam kau? Aku ada banyak tempat aku boleh pergi. Dah yang kau nak bahasakan aku apa hal? Tak sekolah?". Kemudian seorang polis bantuan datang dan meminta aku meneruskan urusanku sambil dia bercakap dengan budak tak berapa nak dididik oleh ibubapa itu.

Aku ambil bas Shamisha Holiday untuk ke utara Perak pada jam 1900. Aku pergi makan di medan selera dan aku menunggu. Jam 1900, aku turun dan pengurusan bas di sini sekali lagi membuatkan darah aku menyirap. Mereka suruh naik bas yang ada dahulu, kemudian tukar di Duta. Aku dah malas nak kata apa, ikutkan sahaja. Hujan mula menyimbah bumi Kuala Lumpur yang memang sangat-sangat menyampah ini. Kesejukan mula terasa dan aku pun bertukar bas dan menghala ke utara Perak. Akhirnya, aku sampai di tempat aku lebih kurang jam 0100. Lepas ini aku akan cuba seadanya untuk tak jejak di Kuala Lumpur. Ada banyak pilihan lain.

Aku tak tahu nak kata apa. Sekalipun kita ini tak ada rupa, tak ada harta, banyak dosa, tapi biarlah kita ini berbudi bahasa dengan orang lain. Kesabaran Tuhan tak diketahui tingginya. Tetapi tahap kesabaran manusia terlalu rendah. Aku bukan nabi dan rasul. Duduk di tengah kotaraya sekalipun, tetapi tahap moral macam kerbau balar, tak payah sembanglah. Orang pekan dan kampung tak takut sedikit pun dengan rambut orang bandar yang berwarna karat dan terpacak itu. Ukirlah tatu sampai jari kelingking pun, orang pekan dan kampung tak gentar. Cakaplah bahasa Inggeris berterabur mengalahkan orang putih sendiri pun, kau tetap kena ambil subjek Bahasa Melayu dalam SPM. Tak payahlah nak berlagak dengan Kuala Lumpur. Tak ada apa sangat nak dibanggakan. Namanya tetap lumpur.


Selit-selit: Teringat lagu Senyumlah Kuala Lumpur nyanyian Alleycats. Itu lagu cinta, memanglah semuanya jadi manis dan cantik.

Selit-selit: Khaldun pernah berkata; semakin maju pembangunan, semakin runtuh nilai moral rakyat.

Wednesday, 19 September 2012

Rabu Tanpa Kata? Boikot? Penyudahnya?


Bila datang sahaja hari Rabu, maka berbondong-bondonglah blogger mengikuti rancangan 'Wordless Wednesday'. Maksudnya, tidak ada apa-apa yang ditaip atau dikarang, melainkan tempek gambar atau gambar-gambar sahaja untuk menceritakan apa-apa. Entah mana punya makhluk atas planet Bumi ini yang mulakan benda macam ini. Letak gambar, kalau ada sikit maklumat tentang gambar itu, tak mengapalah. Cuba kalau yang betul-betul 'wordless'? Elok pula ada gambar tangan budak yang hitam dan kurus kering atas tapak tangan seorang yang sihat, apa yang mungkin kita bayangkan? Apa yang mungkin kita ulas dari gambar tersebut? Bagi yang normal, mungkin sahaja akan kata, ini mesti gambar tangan budak miskin dekat negara Afrika entah mana-mana. Kasihannya tengok gambar macam itu. Tapi, macam mana pula kalau mentaliti jenis macam orang yang suka cari hantu dan sebagainya? Contohnya macam Encik Pakcik Seekers yang suka mencari hantu. Dah tentu dia menyangka bahawa manusia telah bersalaman dengan makhlus halus bernama Jenglot. Sekonyong-konyong orang begini 'update' entrinya bertajuk, "Manusia Berkomunikasi dengan Jenglot". Tak haru biru dunia jadinya?

Cukup takat itu. Nanti cakap lebih-lebih, marah pula blogger lain pada aku. Yang pernah minta nak jadi isteri bongsu pun tak pasal-pasal minta cerai nanti.



Aku masih lagi dalam suasana melihat orang bercakap tentang boikot dan lain-lain. Siap minta senarai barang-barang keluaran USA. Aku juga ringan mulut tadi bertanya pada seorang makcik yang agak aktif di internet. Kebetulan dia memang berkobar-kobar ajak orang boikot bersempena tercetusnya filem bajet murah yang menaikkan kemarahan umat Islam yang tidak murah harganya. Jadi, aku tanya, apa tujuan dia nak boikot sebenarnya? Aku boleh agak sangat tahap piawaian akal perempuan dalam memberi jawapan, tapi aku tetap nak dengar. Dia dengan senang hati menjawab, ini adalah untuk melumpuhkan ekonomi USA dan mengajar mereka kerana bersekongkol dengan Yahudi. Aku nak tergelak pun ada. Melainkan yang memboikot makan KFC atau McD pagi petang siang malam sebelum ini, kalau tiba-tiba berhenti makan pun, ianya tidak akan memberi kesan. 

Aku tanya dia lagi, bagaimana pula dengan komputer yang dia dan rakan-rakannya guna untuk bergosip dan menyeru pemboikotan itu? Bukankah rata-ratanya produk dari USA? Aku sambung lagi, bila pula dia nak berhenti kerja dari syarikat yang berpangkalan di USA? Langsung mereka tersipu-sipu macam siput sedut.

Bagi aku, sebagai lelaki Islam dan Melayu yang kacak, yang penting bukanlah untuk melumpuhkan ekonomi USA tetapi melatih diri mengutamakan barang-barang buatan tempatan. Kukuhkan ekonomi negara sendiri dahulu sebelum terfikir nak melumpuhkan ekonomi negara lain. Barulah realistik!





Selit-selit: Bila nak buat sesuatu, gunalah akal yang ada di kepala. Bukan di kepala lutut.


Friday, 14 September 2012

Berita dan Ketulusannya..

Aku jarang-jarang juga baca surat khabar kebelakangan ini. Alasan aku mudah, sebab berita yang disampaikan dari muka hadapan, sampailah ke muka yang berbelas-belas, semuanya politik. Banyak sangat unsur tahyul. Dah macam baca majalah mistik aku rasa.

Pada pagi ini, naiklah seorang rakan, membawa senaskhah surat khabar. Aku yang tengah bosan, mula menyelak satu persatu. Maka, dapatlah aku lihat percakapan seorang menteri berkata begini maksudnya, "Adakah tidak cukup lagi 22 tahun? Kelantan pasti sudah maju jika bersama BN". Mata aku terhenti di situ. Ayat keramat yang sungguh dahsyat. Ditambah pula katanya, tak nak lihat pelajar di Kelantan sakit perut minum air kotor. Pelik juga aku. Adik aku bersekolah di Kok Lanas, Kelantan, tak pernah pula telefon kata sakit perut. Tak pernah pula dia terlantar di hospital kerana minum air. Entahlah. Makin pelik aku. Kerana nak kempen punya hal, sampai bimbang sakit perut pun jadi modal. Tersenyum lebar aku baca berita yang penuh kehairanan, keajaiban dan ketahyulan yang terlampau itu.

Bukanlah aku nak kata pembangkang itu 100% betul. Ada juga usaha kerajaan yang sangat aku sokong. Contohnya, bekas PM dulu buat PPSMI, ajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris. Aku sokong. Bila pembangkang kata, tak daulatkan Bahasa Melayu, aku tak berapa setuju. Sebabnya mudah, bila ditanya pada guru-guru sains, rata-rata yang aku jumpa, sokong PPSMI. Ini sebab, bila masuk ke peringkat yang lagi tinggi, Bahasa Inggeris diguna pakai. Tak payahlah sesiapa nak beritahu aku, ada yang Bahasa Melayu. Berapa kerat sangat buku matematik dan sains dalam Bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi? Dan adalah lebih mudah guna Bahasa Inggeris. Contohnya, dalam topik transformer. Transformer Injak Naik, dalam Bahasa Inggeris ialah Step Up Transformer. Senang nak ingat. Injak itu apa? Injak itu datang dari Bahasa Indonesia. Contoh lain, Hull Material, dalam Bahasa Melayu jadi Unsur Binaan Lambung. Tak pelik?



Cukup setakat itu. PPSMI bukan topik utama. Yang aku nak utarakan ialah manusia sanggup menggunakan apa sahaja untuk kepentingan diri. Surat khabar, berita di televisyen, gunanya untuk memberitahu kita berita tanpa menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik. Sampai nak baca surat khabar pun jadi sengsara. Duit dah keluar, tapi berita macam hampas. Bab artis boleh tolak tepi. Hampir tak ada manfaat pun. Yang paling sedap, berita tentang budak lelaki umur 14 tahun yang terlalu bermoral akhlaknya yang bersumbang mahram dengan kakaknya yang berumur 15 tahun sampai keluar anak, boleh pula ada ayat tambahan di hujungnya, "suspek telah diikat jamin oleh bapanya yang juga BEKAS AHLI PARTI PEMBANGKANG". Memang dahsyat. Padahal bekas ahli itu, dah jadi orang kuat di sebelah sana. Tapi tak cakap macam itu. Kena juga ada perkataan 'parti pembangkang'. Penulis berita pun dah macam longkang.

Walaubagaimanapun, kalau kita tak percaya langsung dengan akhbar dan berita pun tak boleh juga. Nanti tercangak-cangak kita bila orang bertanya apa dah jadi dengan dunia. Ada benda kita boleh ambil, tapi tak semua. Tak boleh percaya bulat-bulat. Tapi iringilah pembacaan anda dengan akal fikiran yang waras. Ada beberapa perkara yang kita perlu imbang-imbangkan.



Selit-selit: Tapi ada satu benda yang ramai orang percaya dalam akhbar - nombor ekor.  ^_^

Thursday, 13 September 2012

Perempuan dan Usia..

Puas dah aku bercerita, memperli dan seaneka benda lagi. Hari ini aku 'off', ada pengganti, jadi ada masa nak melayari internet dengan cerita baru. Asyik melayari bahtera di atas air kadang-kadang sakit hati juga.



Dalam sedar tak sedar, bulan-bulan kebelakangan ini aku memang lebih banyak menggunakan kenderaan awam daripada menggunakan kenderaan peribadi. Bukan tak ada motor, tak ada kereta, tapi entahlah. Tak kiralah LRT, bas, atau apa sahaja, asalkan yang jenis boleh naik ramai-ramai. "Saja nak menggatal la tu. Cari pasal nak berhimpit dengan awek...." begitu komen dari blogger AAA Jr. kepada aku di suatu hari, suatu masa, ketika aku mula-mula terjebak dengan penagihan menaiki kenderaan awam. Pada ketika itu aku dah agak lama kembali membujang, dan agak lama aku perapkan diri aku untuk meluruskan akal fikiran. Jadi, pada ketika aku lawat-lawat blog dia, dia pun mengomel. Aku boleh agak panjang juga muncungnya ketika itu. Tapi macam biasalah, dia itu, muncung tak muncung pun dia tetap comel. Dalam Malaya ini mana ada lagi blogger yang comel macam dia.

Aku benarkan sahaja dia berbunyi selepas itu. Dah fitrah orang perempuan begitu, jadi kita sebagai lelaki tak boleh ambil hati. Kita kena ingat bahawa seorang perempuan tanpa mulut, sama sahaja seperti donat tanpa lubang. Macam yang aku jangka, lama-kelamaan dia boleh menerima kenyataan bahawa lelaki yang diminatinya dalam diam ini memang dah jatuh hati sangat dengan kenderaan awam. Eleh, perempuan... Campur tolak ibarat belakang parang juga. Kalau rajin diasah, lama-lama tentu tajam. Apa lagi kalau diasah dengan lidah. Hahah.


Apa yang menyebabkan aku suka pada kenderaan awam?

Nak kata kalau harga minyak naik melambung bila kena dengan pemerintahan kerajaan yang 'penyayang' sekarang, rasa-rasanya taklah sangat. Memang beban, tapi masih boleh aku kayuh lagi. Kalau nak dikira harga minyak itu, masih jauh lebih murah daripada harga secawan kopi di kafe, bistro atau hotel-hotel lima enam bintang. Faktor untuk menyelamatkan alam sekitar dari pencemaran juga boleh jadi, tapi tak berapa tepat. Barangkali salah satu sebabnya ialah bila naik kenderaan awam, kita ada peluang untuk buat macam-macam benda. Boleh membaca, boleh main SMS, boleh main tablet, malah boleh melamun sepuas hati. Kalau memandu mana boleh buat begitu. Kalau buat juga, maka hari-harilah kena tidur atas pembahagi jalan. Satu sebab lain yang aku rasa tak kurang pentingnya ialah kenderaan awam menyediakan peluang pada kita untuk melihat macam-macam jenis orang. Nak tengok cara mana, dengan penjuru mata, dengan ekor mata, kepala mata, badan mata, lantaklah.

Dalam banyak-banyak yang boleh ditengok itu, mata aku jarang berminat dengan awek-awek atau gadis-gadis muda. Malas nak menyakitkan hati sendiri. Aku tahu, kalau aku tengok pun bukan mereka nak layan. Tak berapa kerat perempuan yang sudi jeling pada jantan jenis naik kenderaan awam, walaupun mereka tak tahu hakikat sebenar. Jadi, apa yang aku paling suka tengok?

Ya, siapa lagi kalau bukan kakak-kakak dan makcik-makcik yang dah dekat nak 'expired' itu. Kenapa mereka? Sebab aku rasa pada hampir setiap seorang daripada mereka ada nilai cerita yang menarik dan tersendiri.

Selalu aku perhatikan kakak-kakak dan makcik-makcik itu jarang bermuka manis. Malah ada muka-muka yang sama aku tengok kekal masam berhari-hari. Bentuk masamnya mungkin berbeza, tapi dasarnya, muka tak sudah. Aku tak naklah tuduh melulu, tapi aku dapat agak dalam ramai-ramai para kakak dan makcik itu tentu ada yang masam mengenang untung nasib sendiri. Tentu ada yang terfikir, "kalaulah aku masih muda...".

Ya, kalau waktu muda-muda dahulu, di waktu badan masih betul lekuk dan lekaknya, aku jamin sebahagian besar mereka itu tak perlu bersusah payah naik bas atau LRT. Ke sana ke mari tentu dihantar dan dijemput oleh lelaki tersayang. Tak dapat dihantar dengan kereta atau motor, akan dihantar juga dengan teksi, bas atau berjalan kaki. Yang pasti, hantar tetap hantar. Masa membunuh semua itu. Masa menyebabkan segala kemanisan dan kesenangan juga keriangan yang pernah dinikmati mereka tinggal kenangan. Masa menyebabkan mereka terpaksa mengiring diri sendiri ke mana sahaja sedangkan juru iring yang dahulunya mengekori pagi petang, kini hanya bersedia menjadi teman kalau diajak ke bank untuk menjual saham atau mengeluarkan duit simpanan. Itu pun biasanya bukanlah perkhidmatan yang diberikan secara percuma.

Kasihan aku memikirkan nasib mereka. Dalam aku kutuk-kutuk perempuan pun, aku masih ada hati perut. Kasihan juga aku melihat awek-awek sekarang yang tenggelam dalam kegembiraan diiring dan ditemani oleh si dia kesayangan mereka. Aku tahu, lambat atau cepat, giliran mereka pula akan tiba. Giliran untuk ke mana-mana sebatang kara.

Kalau pun ada gadis yang terselamat daripada kemungkinan yang dahsyat itu, bilangan mereka terlalu sedikit dan mendahului senarai mereka, tentulah sesiapa yang dapat berlakikan jantan Malaya nan seorang ini. Hahahah..






Selit-selit: Nak harap lelaki bungkus mata, takkan dapat. Itu sebab Tuhan suruh perempuan bungkus badan.


Thursday, 31 May 2012

Negaraku dan Hidupku..

Beberapa hari lepas, aku pergi menjejakkan kaki ke satu ceramah politik. Sebelum itu, aku ada juga pergi ke satu ceramah politik yang dianjurkan parti lain. Aku tak pegang atau kibar mana-mana bendera, jadi aku pun dengan suka hatinya masuk ke ceramah mereka. Kenapa aku pergi? Dah teringin sangat nak bergiat dalam bidang politik? Tidak. Jawapannya sama sekali tidak. 

Jadi, mengapa aku pergi? Aku pergi kerana aku lihat hidup sekarang terlalu banyak berubah. Aku pergi kepada dua-dua belah pihak untuk aku timbang tara sendiri. Aku ceritakan benda ini sedikit lewat kerana aku berfikir dalam-dalam dengan apa yang aku lihat dan dengar. Lagipun, agama itu sendiri ada politik. Cuma tidaklah disebut dalam bahasa Arab sebagai politik, tetapi siasah. Lebih kuranglah. Bahasa di mana-mana pun ada bezanya sedikit. Sesetengah orang mungkin berpendapat politik dan agama jangan dicampur. Itu bagi orang yang kurang mengaji. Kalau tak, Muhammad tak payah nak sibuk-sibuk berfikir macam mana nak buat perlembagaan Madinah. 

Ok, setakat itu sahaja. Di sebelah mana aku berpihak, walaupun aku terlalu muda dalam perkara sebegini, eloklah aku diamkan. Undi itu rahsia. Antara ketua-ketua kawasan pun ada di kalangan keluarga luar aku juga, dan mereka juga mengatakan bahawa undi itu rahsia walaupun sibuk canang "Undilah parti saya". Dan sesungguhnya aku berdoa agar Malaysia ini berubah. Berubah dari bermacam aspek. Agar boleh aku beli barang dapur untuk emak aku tanpa mengeluh "baru 2 tahun dah naik macam ini". Bagi yang ibubapa kaya raya, hartawan, budiman dan jutawan, mungkin sikit pun tak peduli. Apa-apalah. Sama-sama kita berdoa agar Malaysia menjadi negara yang lebih maju, lebih aman dan lebih makmur.


Selit-selit:

Ya Allah, segala kebesaran dan pujian hanya milikMu,
Yang Maha Berkuasa dan Maha Tinggi,
Kami memohon dari kebesaran dan kekuatanMu,
Berikanlah kemenangan dan kelapangan bagi orang yang berjuang ikhlas di jalanMu,
Semoga Engkau senantiasa bersama mereka, 
Berilah kekuatan kepada mereka,
Ya Allah, satukan hati mereka, pandangan dan pemikiran mereka,
Sekiranya mereka itu bersenjata, Engkau tepatkanlah bidikan mereka,
Gabungkan kekuatan dan hujah-hujah mereka,
Engkau tetapkanlah hati dan pendirian mereka.

Ya Allah, tuhan yang mendirikan langit dan yang menghamparkan bumi,
Kuasailah musuh-musuh mereka,
Pecah-belahkan kesatuan yang memusuhi Islam,
Lemahkan musuh-musuh Islam,
Campakkan ketakutan yang dahsyat dan berterusan di dalam hati mereka,
Sedang nasib kami berada di dalam genggamanMu, kami serahkan segala urusan di tanganMu,

Ya Allah, Tuhan yang mentadbir awan dan hujan,
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui keadaan kami dan apa yang terjadi, tanpa sesuatu pun terlepas dari pengetahuanMu,
Hanya kepadaMu kami mengadu kesengsaraan kami,
Hanya kepadaMu kami mengadu kesedihan kami,
Hanya kepadaMu wahai tuhan, kami mengadu ketidakadilan dan kezaliman orang-orang yang menindas,
Kami mengadu kekejaman orang-orang yang jahil,
Kami mengadu akan penindasan dan penipuan dari ajen laknatullah,

Ya Allah, tuhan yang menjadikan kami dari satu jiwa,
Sesungguhnya zaman gelap penipuan dan kezaliman telah berpanjangan,
Kebencian dan dendam kesumat golongan orang yang tidak beriman padaMu sangat mendalam,
Dan begitu juga dengan pembelot agamaMu, ya Allah.

Ya Allah, kirimkan bantuan dariMu untuk kami tegakkan keadilan dan kebenaran,
Agar dapat kami hancurkan musuh-musuh kami,
Tumpaskan segala unsur ketidakadilan dan penindasan,
Arahkan kekuatanMu untuk menghancurkan kubu-kubu musuh kami,
Kubu kekuatan yang menjadi pusat segala fasad dan kekufuran,
Engkau lebih mengetahui keadaan mereka yang menyebar luaskan fasad di muka bumiMu,
Sedang mereka pernah membunuh makhlukMu, pernah memijak muka hamba-hambaMu,
Sedang mereka pernah menghina agamaMu,
Dan sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu, maka hancurkan mereka.

Ya Allah, kirimkan ke atas mereka angin ribut kaum 'Ad,
Kirimkan ke atas mereka pekikan malaikat kepada kaum Thamud,
Kirimkan ke atas mereka ombak badai kaum Nuh,
Kirimkan ke atas mereka balasanMu yang datang dari langit dan yang keluar dari bumi.

Jadikanlah musuh-musuh kami berada di dalam genggaman kami,
Getarkan hati mereka berterusan bagai angin taufan,
Bebaskan orang-orang kami yang dipasung dan dikurung,
Kuatkan keimanan mereka, berikan hidayahMu pada orang yang tidak menentangMu,
Jadikan rancangan musuh kami sebagai rencana yang menjahanamkan mereka sendiri,

KepadaMu kami memohon, dan kami yakin dengan janji-janjiMu,
Kami yakin akan penerimaanMu dari doa-doa kami,
Dan kataMu semuanya benar sentiasa.




Selit-selit lagi: Jangan salah faham. Anda semua tahu menilai, dan aku percaya pembaca-pembaca blog aku bijak-bijak belaka.



Wednesday, 18 April 2012

Tekong dan Pegawai. Perbezaannya...

Aku tengah nak mula kerja.
*Tribute untuk Angah sebab suka sangat
dengan kamera telefon aku.*
Aku bersyukur kepada pencipta aku kerana masih memberikan aku peluang untuk terus bernafas dan diberi kesihatan yang cukup bagus. Dalam entri aku sebelum ini, dapatlah kiranya kalian mengetahui bahawasanya aku sudah tamat belajar dan aku adalah salah seorang pegawai navigasi untuk kapal 500grt (gross tonnage) ke atas. Unlimited voyage. Tapi itu cerita lain. Itu kalau dah ada kapal, dan mula bekerja. Sekarang ini, aku buat kerja sambilan. Buat sambilan jadi tekong bot kargo. Kecil sahaja. Panjangnya cuma 21.03 meter. Gross tonnage atau tanan kasar bot ini cuma 114.11. Kapal yang aku pernah naik dulu, panjangnya 332.9 meter. Jauh beza. Dan di atas jauhnya perbezaan itu jugalah banyak pengalaman berbeza yang aku dapat.


Inilah kerja aku.
Baru dua hari aku mula jadi tekong. Bot dari Lumut ke Pangkor. Bawa macam-macam barang. Hari pertama aku, semalam, memang melilau aku cari haluan sebab kompas apa pun memang tiada. Ada stereng, telegram dengan radio sahaja. Semalam aku cuba bawa bot berlabuh (alongside), dua tiga kali gagal. Hari ini bertambah baik. Semuanya aku  lakukan tanpa ada kegagalan. Cuma lambat. Aku masih terlalu mentah. Aku dipantau oleh Abang Din, senior tekong bot tahap dahsyat punya. Abang Din memang baik. Sudi ajar aku. Pagi tadi, bawa lori aiskrim, beras, buah-buahan, macam-macamlah. Upah yang aku dapat, kira lumayan untuk kerja sambilan macam ini. Nampak macam senang, kalau bercakap kosonglah. Ini baru bawa barang, dah aku rasa cuak, inikan nak bawa orang. Dan aku faham tanggungjawabnya berat.

Apapun, aku rasa seronok. Badan sedikit letih sebab jangan harap nak jumpa butang 'autopilot' atas bot macam ini. Semua manual. Dari pagi, sampai petang. Petang tadi pula hujan lebat. Lagi rasa seronok sampai rasa nak menyumpah. Habis kuyup aku. Lepas simpan bot, aku tengok bilik sewa. Nampak macam ok. Tapi nak cuba tempat yang lagi murah. Senang sikit tak payah tidur dalam bot. Lepas itu, aku terus membelah tirai hujan yang dahsyat.

Ini sedikit video yang dapat. Aku kena elak sampan. Maaf.

Dalam aku berhenti dalam hujan itu, singgah ke satu kedai. Entah kenapa badan aku menggigil sejuk. Jarang sangat berlaku. Jadi, aku minta teh ais dan nasi putih. Jadi, tengah sejuk-sejuk macam itu, yang tukang ambil nasi itu, seorang gadis dalam lingkungan umur 18-20 tahun. Boleh tahan juga mukanya. Kira bonuslah dalam sejuk menggigil macam itu. Jelingan mata dia pada aku? Memang tajam. Jeling sambil kuyu-kuyu mata dalam perlakuan menyenduk nasi untuk aku. Ish, memang pada mula-mula aku rasa sedikit suam. Tetapi, apabila dia mula mengangkat tinggi sedikit tangannya untuk menyenduk nasi lebih dalam, ternampaklah dari celah lengan pendek bajunya itu, bulu ketiaknya yang aku rasa hampir sama panjang dengan aku punya rambut. Selera aku terus terbantut. Semuanya jadi kaku. Segala yang ada di sekeliling aku seolah terhenti dengan apa yang aku lihat. Entahlah. Aku tak tahu nak sambung cerita apa lagi. Esok cuti untuk harijadi Sultan Perak. Aku cuti juga. Aku nak rehat. Badan aku penat. Berjumpa lagi kita, di daratan, lautan mahupun di ruang siber. Cario. 73.
Inilah sedikit tentang bot aku.

Wednesday, 7 March 2012

Penapis Air BioAura NanoTech..

Hari ini aku boleh dikatakan tak berapa nak upaya. Apapun, aku ada benda nak diiklan sikit pada sesiapa yang baca bahagian ini.

Aku nak jual Penapis Air BioAura berteknologi Nano atau lebih senang disebut sebagai 'BioAura NanoTech Water Filter'. Harga asal, RM2080. Aku ada 3 unit lagi dan semuanya baru dan ada warranty. Jadi, untuk 3 unit ini, aku buat stock clearance terus dengan harga RM800 seunit. Itupun aku boleh runding harga lagi. Kalau ada yang boleh dapatkan pembeli, ada komisen sikit. Begitu sedikit sebanyak. Di bawah ini gambar bendanya.



Tentang penghantaran, untuk yang berada di kawasan Ipoh-Kuala Kangsar-Taiping, aku sanggup hantarkan dan buat pemasangan percuma. Untuk yang diluar kawasan, segala kos penghantaran ditanggung beres. Sebenarnya, pemasangannya cukup mudah.

Kebaikan penapis air ini, aku sendiri dah pakai lebih kurang 2 tahun. Airnya beralkali tapi tidaklah sama macam air zam-zam. Air yang ada tak perlu dimasak dan ianya dah diuji lebih baik dari air mineral biasa. Kalau rasa ragu-ragu, boleh cuba selidik sendiri di mana-mana laman lain. Kalau rasa nak buat mak atau makcik atau sesiapa yang korang sayang gembira dan ceria, cuba tunjuk benda ini. Siap ada 6 penapis berasingan untuk pastikan air yang nak diminum bersih. Kalau berminat, boleh terus tinggalkan komen di bawah. Dah tahap diskaun maut, jadi rugi rasanya kalau lepaskan sedangkan rumah masih tiada penapis air.