Thursday, 13 June 2013

Kadet Dan Fenomenanya. Apakah?


June 12, 2013. 1812hrs LT. UTC -5. Delaware Bay Inner Anchorage. Awaiting berth. Menaip sambil senyum nak tunggu balik rumah.


Kembali aku menaip setelah dua tiga hari ini internet di kapal melingkup. Entah kenapa. Ribut tak ada, taufan tak ada, jadi macam ini. Tempoh hari ada sekejap ribut, namanya Andrea, kira selamatlah kami lepas lari dari tempat bersauh. Begitulah. Ini baru dapat internet kembali.

Kali ini aku nak kongsikan sedikit tentang fenomena-fenomena pelik yang ditonjolkan kadet-kadet di atas kapal.

Setelah aku ditinggalkan oleh As-Syeikh Malim Ketiga Haji Ahmad Tarmizee Al Terengganuni Al Makki, agak dalam sebulan juga aku sunyi tak bercakap bahasa Melayu. Cuma bila dalam pelabuhan, aku ada internet di telefon, dapat jugalah aku hiburkan hati dengan Zello. Ada rakan-rakan radio amatur yang guna Zello. Walaupun secara asasnya menggunakan bahasa Melayu, tetapi ada selingan Q Code dan SOP lain.

Sehinggalah pada suatu hari, naiknya Encik Narvindran. Deck Cadet. Kira aku beruntung jugalah ada kadet Malaysia sebagai peneman, walaupun dia tak berapa faham loghat Perak. Susah juga nak aku terangkan. Marah betul aku dekat Najib Razak sebab tak perkenalkan mata pelajaran Loghat Perak di sekolah-sekolah Malaysia. Hahah.

Kemudian, naik pula Deck Cadet kedua. Amir Syahmi. Putih orangnya. Budak dari sekolah askar. Disiplin? Jangan cakap. Anda boleh bayangkan. Asal dari Port Dickson, kiranya dia ini junior waktu di akademi dulu. Kiranya seronok aku sebab dapat makmum untuk tunaikan solat. Begitulah.

Jadi fenomenanya?

Anda boleh lihat kadet-kadet ini sewaktu mula naik, penuh dengan semangat belajar yang sungguh istiqamah. Menggunakan cogan kata "Aku Belajar Kerana Jihad Di Jalan Allah". Namun, itu cuma untuk seminggu dua. Paling lama pun 15 hari. Kemudian, bila dah kenalpasti tempat mengular, bayang-bayang kadet pun jarang-jarang nampak. Kerja disiapkan selaju mungkin, dan akan menghilang selaju-lajunya juga. Itu bab kerja dan pembelajaran.

Kemudian kita beralih pula dengan aksi mereka bila dah dihanyutkan dek perempuan. Ini lagi haru. Aksi kadet tidur sambil pegang gambar 'gepren', sampai mengigau-ngigau, dah jadi asam garam. Siap aku kejut pergi kerja, yang disebut, "kejap sayang". Nak aku tampar, aku dah bertaubat. Istighfar sahaja jadi peneman. Heh. Yang seorang lagi, tiap-tiap kali di internet, tak habis-habis nak chatting dengan orang nama Fi*na. Bila tak ada depan internet, bukan main gagah dan garang. Bila dengan budak perempuan nan seorang ini, habis lunyai segala taring. Aku cuma mampu nasihatkan, "bila kau balik nanti, bertunanglah".

Satu lagi bab akhir, budak Syahmi ini, siap berdoa bukan main lagi supaya aku tak dapat balik raya. Dia tak nak raya seorang diri. Aku punyalah angin satu badan. Nak je aku campak ke laut, paling tidak aku kurung dalam 'lifeboat'. Dia tak pernah lagi beraya atas kapal, jadi dia nak aku teman dia. Ada ke patut? Aku tak nak beraya atas kapal. Berjamu meggi goreng, siap kek apa bagai. Terasa Aidilfitri terisi dengan kebangangan rakyat negara lain. Tapi yang sangat-sangat aku tunggu, airmata budak ni berderai di pagi raya. Hahahahah. Begitulah sedikit sebanyak.

Ada banyak lagi fenomena-fenomena pelik yang terjadi. Terpaksa aku simpan dari khalayak ramai atas dasar keselamatan dan ketenteraman umum. 

Akhirul kalam, Abang Romeo nak pergi mandi. Nak sabun badan, nak cukur misai, nak bagi nampak segak sikit. Lepas tu nak sikat rambut. Nak tangkap gambar. Nak kahwin. Hahahah.






Selit-selit: Istikharah. Adalah satu jalan terbaik untuk mencari jalan ke hadapan bila kita keliru. Kalau dalam standing order Captain kita akan jumpa ayat begini, "If in any doubt, call me, at any time, as I'm always available". Kira untuk istikharah, bolehlah kita simpulkan begini, "Whether you have doubt or not, do call Allah at any time, any day, as you like. Allah is always available, and He is the best option".





Wednesday, 5 June 2013

Quran Itu Tidak Berubah? Persoalannya?


4 June 2013. 2209 LT. UTC -6. Delaware Outer Anchorage, in proximity of 'D' buoy. Menaip sambil minum teh halia yang dibancuh kadet. 


Rajin pula aku menaip. Heh. Bukan apa, sebab waktu malam boleh tidur nyenyak. Orang asyik fikir nak kahwin memang macam ini. Hahah. Apapun, hari ini kita buka satu topik baru, yakni adakah betul Al Quran itu tidak berubah dari awal turunnya sehingga sekarang?

Jawapan yang pasti ialah; Quran tidak pernah berubah dan takkan berubah. 

Jadi dari mana datangnya persoalan ini? Ini datangnya dari beberapa orang yang sedikit mengalami kekeliruan apabila melihat Quran dari jenis tulisan lain. Apa maksud tulisan lain?

Sebelum itu, aku terangkan sedikit. Quran yang dibaca di Malaysia dan majoriti di dunia ini adalah jenis bacaan Hafs. Quran ada beberapa cara pembacaan, yang mana pernah aku terangkan dahulu dalam topik Qiraat. Jadi, perbezaannya adalah dari segi pembacaan, yang mana melibatkan hukum tajwid yang lebih mendalam.

Jadi, bila hukum tajwid ada sedikit berbeza, maka cara tulisannya juga akan berbeza. Ada beberapa huruf akan nampak berbeza. Contoh paling mudah ialah, Quran dari kaedah Warsh dari Nafa'i. Kalian bijak menggunakan internet. Maka, bukalah surah Al Mulk, dan lihat ayat 15 dan 16. Bandingkan pula dengan cara pembacaan dari Hafs atau jenis Quran yang biasa kita guna.

Namun begitu, suka untuk aku beritahu bahawa maknanya tidak pernah terjejas. Tidak pernah dan tak akan pernah berubah sampai ke akhir masa. Begitulah adanya.

Kitab ini diturunkan oleh Tuhan yang Aziz dan Hakim. Dia itu Maha Kuasa atas tiap-tiap perkara dan tidak ada satu perkara pun terlepas dari urus tadbirnya. Begitulah sedikit sebanyak penerangan dari aku yang serba cetek ilmu pengetahuan. Sekadar satu perkongsian.

Untuk hadis-hadis, penerangan mendalam dan hujah-hujah yang menyokong karangan aku, bolehlah kalian cari sendiri. Aku cukup pasti kalian hebat di papan kekunci.

Yang baik itu datang dari Allah, dan yang buruk itu datang dari kelemahan aku sendiri, di bawah kuasaNya juga.


Selit-selit: Quran itu lengkap. Ibarat 'manual' untuk kita sebagai makhlukNya. Cuma kita sahaja yang tak berapa nak reti bahasa mengikut suruhan Tuhan.

Selit-selit: Bila baru aku boleh kahwin ni??????