Friday 15 March 2013

Mati dan Selepasnya. Bagaimana?




Tak lama dulu, aku ada buat satu entri bertajuk Manusia dan Agama, Perlukah?. Dan mungkin disebabkan entri itu agak panjang, maka aku lihat graf orang membacanya tak berapa nak ramai. Dan aku agak pasti tak ramai yang baca sampai habis. Satu lagi faktor yang mungkin mempengaruhi, kerana ia melibatkan agama. Itu adalah satu benda yang tak berapa orang gemar. Dalam zaman yang aku rasa lebih ramai orang hafal nama artis dan jenama baju daripada hafal juzuk 'amma, itu memang tak boleh nak kata apa.

Waktu aku mula-mula terfikir nak membetulkan langkah hidup, aku pernah bertanya, "saya ini bukan muslimkah?" Jawapan yang diberi oleh seorang abang kepada aku, "Muslim atau tidak, jawapannya pada Allah. Bukan manusia yang tentukan.". Begitu nasihatnya dia pada aku. Dan aku bertanya lagi selepas dua-tiga minggu selepas itu apabila melihat dia menangis lepas solat dan kebetulan dia ada sakit yang agak perit, "abang takut mati ke?". Dia jawab, "dik, mati tak jadi masalah. Sekejap sahaja dah padam. Tapi yang menjadi kerisauan, amalan untuk bersedia mati.". Aku diam dan terus tak bertanya lagi.

Maka, aku kaitkan dua jawapan di atas. Kita buat seperti persamaan. Kematian itu pasti, tetapi nasib selepas itu masih belum pasti. Ini bukan macam matematik, yang mana kita boleh buat 'try and error method'. Bertitik tolakkan dari dua jawapan itu, aku rasa kita boleh huraikan yang seterusnya, yakni apa yang patut dilakukan, apa yang patut difikirkan.

Lantas, kalau difikir-fikirkan, tahap mana teruk dan jahilnya kita, atau dalam bahasa mudah, bangangnya kita; Iblis nak sesatkan manusia pun minta izin dengan Allah. Kita ini buat jahat ada minta kebenaran? Jadi patutkah kita masih mempersoalkan? Rasanya tak perlu dihuraikan panjang lebar lagi.

Aku ini memang banyak kekurangan. Nak dibanding dengan adik-adik aku pun, aku rasa aku jauh ketinggalan. Tapi apa nak kata, kebodohan aku selama ini yang buat aku buang masa yang takkan boleh aku patah balik. Sampai hari ini, aku masih payah nak buang lagu Bon Jovi dengan Scorpion dari kepala aku. Siap ada seorang adik dari lain mak lain bapa, nasihatkan aku, belajar-belajarlah untuk dengar nasyid. Aku cuba juga, siap aku minta kadet China tolong muat-turunkan guna telefon dia. Itu pun aku dengar yang jenis rancak sikit. Kata orang kontemporari. Ada juga terselit-selit nasyid yang pernah aku dengar waktu aku sekolah di Slim River dulu. Tiba-tiba meremang walaupun nasyid tahap cintan. Keseluruhannya, memang sedap, cuma bila list lagu masuk lagu You And I, aku tetap terikut juga. Hahah. Begitulah sedikit sebanyak.

Kesimpulannya, kita pernah dengar tentang 5 perkara sebelum 5 perkara. Dan di antara semua itu, ada dipesan tentang hidup sebelum mati. Agak-agak kalau tetap nak cuba juga api neraka itu panas atau tidak, janganlah berubah ke arah kebaikan.




Selit-selit: Kawan dan abang aku dah balik. Bila tengok 'pilot chair' depan pemanas dekat geladak, teringat aku dia akan tidur depan pemanas tu. Memang aku rasa pelik sebab aku tak pernah rindukan orang sampai macam ini lebih-lebih lagi seorang kawan. Entahlah. Human parts, complicated.





Wednesday 6 March 2013

Pelayaran. Abang, teman dan kawan..





Aku bakal kehilangan seorang kawan baik atas kapal ini. Dia dah nak balik. Hampir dua bulan tidur sebilik (aku rasa kapal lain mungkin tak ada macam ni melainkan kadet), sekarang aku kena belajar tidur seorang. Aku akan hilang teman bersembang. Aku akan hilang seorang yang aku anggap sebagai seorang abang, yang banyak mengajar aku tentang macam-macam perkara. Aku akan hilang seorang kawan yang aku rasa tak pernah lekang senyumnya di mata aku. Begitulah. Buruk baik, dikongsi dan diselesaikan bersama. Dan sekarang, dia dah nak balik ke tanah air.

Mula-mula aku naik kapal, bilik tak berapa nak cukup. Bukan tak cukup sebab apa, cuma bila masuk US, terpaksa ada satu bilik kosong untuk orang yang dipanggil sebagai PSA. Kena pula pegawai kadet pun tiba-tiba ramai kali ini. Jadi, akhirnya aku ke kabin doktor, yang mana ada dua katil berasingan, dan Tarmizee diarahkan sebilik dengan aku. Kebetulan juga kabin ini agak besar dibandingkan dengan kabin lain. Aci kerat kuku, kalau dia bukan sama warganegara dengan aku, aku takkan nak sebilik dengan orang lain. Bukan apa, kalau dengan orang lain, nak solat susah, nak tukar baju susah. Kongsi bilik air lagi aku tak nak. Kalau kena dengan gagak tanah besar, aku rasa tak boleh aku nak tidur dengan bau yang susah nak dihuraikan dengan kata-kata. Perkenalan yang ringkas campur mengejutkan aku, kerana dia adalah senior aku ketika aku masih tahun pertama di ALAM. Mulanya kekok juga aku, tapi akhirnya aku rasa seronok. Atas kapal, sangat-sangat sukar ada pegawai yang nak kongsi bilik sebab masing-masing mahukan privasi, tapi kami tak berapa nak kisah. Waktu bilik kemas, memang sangat kemas. Waktu sibuk, aku rasa kalau ada biawak komodo bersalin atas sofa pun kami tak sedar. Personaliti? Aku dengan dia rasanya jauh berbeza. Dia baik orangnya. Begitulah sedikit sebanyak perkenalan kami.

Orangnya agak kecil, tapi pemikirannya memang matang sungguh. Boleh aku katakan comel. Hahah. Jenis sejuk orangnya. Kalau habis marah sekalipun, mungkin dia akan menyumpah ketika dia balik ke bilik sahaja. Itu adatlah. Bila dah kena dengan gagak tanah besar, memang mulut terasa terlalu ringan untuk menyumpah. Aku sendiri pun, dalam mencuba menggantikan carutan dengan perkataan istighfar, kadang-kadang terlanjur juga. Lain dari itu, aku boleh simpulkan dia sebagai seorang abang dan pegawai yang memang aku hormat. Sepanjang hidup aku, sewaktu keegoan aku cukup tinggi, aku rasa hampir tak pernah pun aku hormat seseorang sebagai abang. Pertama, kerana aku tak pernah ada abang. Kedua, aku tak pernah jadi adik. Kepada Tarmizee, mungkin sepanjang perkenalan dengan aku, ada kekasaran aku kerana aku tak pandai jadi adik, jadi maafkanlah aku.

Aku rasa macam tak berapa nak seronok bila hari makin dekat untuk dia balik. Kapal masih tersangkut di luar pelabuhan, tunggu arahan nak masuk. Barang-barang dia dah siap kemas pun. Aku rasa berat hati sangat. Entahlah. Nanti dah takkan ada adegan melihat pegawai tidur di depan pemanas atas geladak waktu kapal masih membongkar sauh. Nanti dah takkan ada adegan melihat orang taip sms di telefon bimbit walaupun tak ada pancaran atau 'line'. Nanti dah takkan ada adegan melihat orang tak tidur-tidur sebab bergayut dengan bakal bini.

Kalau diizin Tuhan, lepas sikit dari tengah tahun nanti, aku dah boleh mohon balik. Kalau kena pada masa, aku dapat sambut raya. Aku tak nak sambut raya atas laut macam dulu. Kalau kena pada masa, aku nak datang ke Terengganu. Aku akan cari dia. Aku nak beraya dengan dia. Itupun kalau ada jodoh. Dan dalam pada masa yang sama, aku nak juga tengok mana rupa Cik Anim yang selalu buat 3rd Mate aku nan seorang ini asyik gila bayang. Hahah.

Aku harap perkenalan ini takkan terhenti di sini sahaja. Moga Allah izinkan sampai ke syurgaNya.





Selit-selit: Bertemu di tanah asing, akhirnya berpisah jua di tempat yang asing. 

Selit-selit: Kepada pengomen tegar yang selalu meletakkan 'kategori "hina atau tidak" ' pada entri aku, yang mana selalu menggunakan anonymous, sila jangan beri komen apa-apa. Anda sangat-sangat tidak dialu-alukan. Kehadiran anda sebenarnya sangat-sangat membuat orang rasa terganggu. Terima kasih.



Saturday 2 March 2013

Ya Allah, Selamatkanlah Malaysia..


Aku ambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah di atas pemergian dua anggota 69 PDRM. Jasa mempertahankan negara, tiada harganya. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Aku berharap kita dapat bersama-sama berdoa untuk kesejahteraan anggota-anggota keselamatan negara Malaysia.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, Engkau tetapkanlah keamanan ke atas negara Malaysia.
Engkau tetapkanlah agar pertelingkahan ini dapat diselesaikan dengan aman.
Namun ya Allah,
Sekiranya telah Engkau tetapkan pertumpahan darah sebagai titiknya,
Engkau tepatkanlah bidikan senjata-senjata anggota keselamatan Malaysia.
Engkau berikanlah ketenangan di hati mereka yang berada di tengah kekacauan.
Engkau limpahkanlah rahmatMu agar tetap keimanan dan ketaqwaan mereka kepadaMu.

Ya Allah,
Engkau campakkanlah ketakutan ke dalam hati-hati musuh kami.
Engkau kacau-bilaukanlah persatuan mereka.
Engkau lumpuhkanlah senjata-senjata mereka.
Hancurkanlah mereka bagai debu-debu pasir.

Sesungguhnya hanya Engkau tempat kami berlindung.
Engkaulah yang berkuasa meninggikan darjat dan Engkau jualah yang berhak menjatuhkannya.
Menangkanlah negara Malaysia.
Menangkanlah kami.

Amin Ya Rabb.



Selit-selit: Di tengah kekecohan ini, aku dapat berita juga bahawa bekas perdana menteri dapat Master Foreign Going yang mana membawa gelaran Captain. Terkejut juga aku kerana aku difahamkan bukan anugerah kehormat. Lantas, bertanya salah seorang rakan kepada aku, "agak-agak kalau aku suruh dia baca draught, dia tahu tak?" Aku tak tahu nak jawab apa.