Saturday 5 January 2013

Jumpa Barang dan Cara Penyelesaiannya..

Entri ini aku buat untuk berkongsi sedikit pengetahuan. Tercetus rasa untuk berkongsi selepas melihat beberapa orang di kalangan kita kurang arif tentangnya. Namun, ia sekadar pengetahuan secara permukaan dan bukan dalaman; harus sahaja kalian merujuk pada asatizah atau guru-guru yang arif tentangnya.

Dalam undang-undang sekular atau sivil, cara penyelesaian masalah dalam kes jumpa barang memang agak rumit kerana tiada garis panduan khusus. Namun, di dalam Islam ada. Aplikasinya di Malaysia, sama sekali tidak berlaku.

Berikut beberapa jenis contoh kes dan cara penyelesaiannya.


Apabila terjumpa wang dalam jumlah yang banyak atau barang berharga dan orang yang menjumpainya menginginkan wang atau barang tersebut, ia hendaklah diumumkan atau diiklankan selama setahun akan wang yang dijumpainya itu. Jika datang orang menuntutnya, hendaklah dipulangkan. Sekiranya lebih dari setahun, dan orang yang menjumpainya menggunakan wang tersebut untuk tujuan perniagaan, maka untung dari modal tersebut itu adalah haknya. Dan sekiranya datang orang menuntut wang tersebut walaupun selepas setahun, ia tetap perlu dipulangkan. Sekiranya telah digunakan, perlu diganti.

Apabila terjumpa wang dalam jumlah yang kecil, tidak perlu diiklankan besar-besaran. Memadai dengan mengumumkan pada orang sekeliling. Dan jika tiada yang menuntut, maka hendaklah dia berkata, "Aku milik akan wang sekian banyaknya ini" disaksikan orang sekeliling. Namun, jika selepas itu ada orang yang menuntutnya kemudian itu, perlulah dipulangkan.

Apabila terjumpa ternakan, contohnya kambing jantan dan betina, dan ingin memilikinya, maka hendaklah dia mengiklannya selama setahun. Jika dalam masa setahun pengiklanan itu, ternakan itu beranak pinak, maka ia masih tetap milik tuan asalnya. Namun, anak-anak ternakan yang lahir selepas setahun tempoh pengiklanan, adalah hak milik orang yang menjumpai ternakan itu. Dan jika tuntutan dibuat oleh tuan asal, tuan asal tersebut hendaklah membayar upah kepada orang yang jumpa untuk kos makanan ternakan, kos penjagaan termasuk upah menjaga selama mana ia di dalam penjagaan.

Apabila terjumpa bayi di dalam negara yang ada komuniti Islam, walaupun bayi yang dijumpai itu memang nampak bukan anak Melayu atau Islam, malah jelas sepet matanya atau hitam warna kulitnya, hendaklah tetap diambil bayi itu secara anak Islam dan diIslamkan. Ketika mengambilnya, hendaklah ada saksi ketika waktu pengambilan, melainkan di situasi bahaya seperti ada binatang buas hendak mencederakan bayi itu. Penjagaannya hendaklah dimaklumkan pada Baitulmal untuk urusan wang belanja anak itu. Perlulah diiklankan tentang jumpa bayi tersebut.


Itulah sedikit sebanyak tentang cara atau undang-undang jumpa barang yang ditulis dalam kitab-kitab tua. Namun, penjelasan yang aku beri, sangat-sangat mudah dan hanya menjadi titik tolak untuk kalian berfikir bagaimana lengkap dan canggihnya perundangan Islam. Harus juga disimpulkan di sini bahawa, pemilikan barang-barang yang dijumpai itu bersifat pemilikan sementara sampai bila-bila. Waima ada orang menuntut setelah 20 tahun sekalipun, tetap perlu dipulangkan dengan hematnya. Begitulah. 

Sekian.


Selit-selit: Dah memang undang-undang Islam canggih. Tapi tetap tak nak guna. Macam mana nak sebut Quran sebagai panduan bila disoal dalam kubur nanti, sedangkan kita guna perlembagaan sekular?

Selit-selit: Hari ini aku sedikit gembira. Itu sahaja.



Thursday 3 January 2013

Warna kehidupan dan Coraknya..

Lama sangat dah aku tak kemaskini blog. Bukan apa, kebelakangan ini ruang masa aku agak sempit dan semput. Begitulah keadaannya sedikit sebanyak. Pada yang selalu menyinggah, maaf aku ucapkan.

Pagi tadi kita dikejutkan dengan pemergian pahlawan negara, Kanang Anak Langkau. Dulu waktu sekolah, novel dia menjadi salah satu novel yang aku minat. Sebabnya? Waktu aku baca novel dia, umur aku sekadar darjah 6. Kira dialah Rambo versi Malaysia bagi diri aku selain dari Leftenan Adnan. Duduk dalam hospital lebih setahun, tapi masih kuat dan mampu berdiri ketika tuanya. Banyak kali aku ulang baca novel tentang dia. Ayat yang paling aku ingat dan aku rasa mendalam, komen beliau apabila diberi anugerah SP dan PGB. Katanya, pujian dan pingat seperti minyak wangi; baik untuk dicium tapi tak boleh diminum. Hidup dia selepas tentera seperti agak menemui kesempitan sehingga menumpang di tanah mertua. Sedih. Tetapi, aku bangga dan sangat-sangat menghargai jasanya.

Setakat itu yang mampu aku luah tentang pahlawan negara kita.

Kita masuk topik lain pula.

Pagi tadi juga, ketika aku sedang bersarapan seorangan, aku asyik melihat orang di sekeliling aku. Tak ada apa-apa. Cuma manusia yang berlainan bangsa dan agama serta corak moral. Mula-mula nampak macam biasa, tetapi bila duduk seorang diri, kena pula dengan kopi beriringan rokok, nikotin-nikotin dalam rokok aku mula mengecas neuron-neuron otak aku untuk berfikir dengan lebih cergas dan kreatif. Aku terfikir tentang satu persoalan yang pernah seseorang lontarkan pada aku.

Soalannya, kalaulah diizinkan oleh Tuhan untuk masuk syurga, dapatkah kita minta untuk tengok dunia dan jelajahi dunia seperti yang kita inginkan di dunia?

Aku tak arif tentang ilmu ketauhidan. Aku tak tahu nak jawab apa. Cuma soalan itu buat aku berfikir dengan ligat. Di syurga, tiada lagi sifat-sifat cacat cela. Tiada lagi keburukan. Tiada lagi keinginan yang hina. Kalau kita minta jelajah dunia sekalipun, aku tak rasa akan ada lagi wajah George W Bush di dunia itu. Aku tak rasa kita akan menjelajah dengan diselitkan kepayahan dan kesulitan. Takkan ada lagi 'cuci-cuci mata' melihat anak-anak gadis berpeleseran dengan baju tak cukup sifat. Mungkin takkan ada.

Warna-warna yang ada ini, sebenarnya campuran dari warna-warna lain. Biru campur kuning jadi hijau dan begitulah seterusnya. Samalah seperti kehidupan, warna 'blonde' rambut makcik umur 70 tahun itu memang buruk, tetapi kadangkala ia menjadi faktor kita mengukir senyuman. Baju sendat yang dipakai oleh gadis yang memang sah-sah obesiti, sehingga nampak lemak tepu di pinggang itu memang membuatkan nafsu terhenti, tetapi itulah yang akan menjadi bahan perbualan kita untuk menceriakan suasana. Memang itulah hukumnya. Keajaiban warna-warni kehidupan.

Maka, fikir-fikirlah bagaimana kita calit warna dalam kehidupan kita. Samada ceria, cerah, gelap dan menakutkan atau campuran kedua-duanya. Kita tentukan.




Selit-selit: Aku jadi tak faham kenapa ramai sangat Melayu beragama Islam bangang sangat pergi sambut tahun baru di kelab-kelab malam. Nak kata mak bapa tak ajar, mungkin juga. Ditegur nanti, marah. Tapi otak serupa kambing.

Selit-selit: Kalau nak tunggu orang yang betul-betul baik untuk menegur, maka, makin berkuranglah orang yang menasihatkan. Memang aku juga pernah melampaui batas diri aku sendiri, tapi fikirlah. Akhirat tu lama chor oi.... Bukan sehari dua!