Sunday, 30 September 2012

Murtadnya Seorang Kenalan..

Hari ini ada berita menarik yang aku terima, dan apabila datang berita yang aku rasa agak luar biasa, aku tanya sendiri pada tuan badannya. Ceritanya tentang salah seorang kenalan aku yang 'mengisytiharkan' dia keluar dari agama Islam (murtad). Tersentak juga aku. Aku telefon dia bertanyakan hal sebenar dan apa yang berlaku, dia dengan separuh marah membenarkan berita tersebut. Rasa tersekat sekejap bila dia kata berita itu benar. Kemudian, dia ingat aku juga akan memaki hamun dia macam orang lain buat, tapi dia tengok aku memberi reaksi sebaliknya.

Dia pula yang tersentak bila aku cuma diam dan bertanya khabar dan terus bertanya kerja di mana, apa ceritanya sekarang dan berbagai-bagai lagi. Sikit pun aku tak bangkitkan tentang 'kemurtadannya', sampailah dia sendiri bertanya kenapa aku tak cakap apa-apa tentang tindakannya yang kurang bijak itu. Aku jawab dengan penuh sindiran. "Kalau kau nak keluar Islam, keluarlah. Nak ajak kau bertaubat, aku rasa kau takkan nak bertaubat. Cuma satu, kau tak percaya ada Allah. Itu sebab kau nak keluar Islam. Kau fikirlah sendiri nanti. Di Malaysia, tak ada siapa boleh bunuh kau atas alasan Islam. Baguslah. Kiranya kau ada masa untuk berfikir dan taubat. Nyawa kita sendiri kita tak nampak, tak rasa, tak hidu atau kita boleh kesan. Tapi kita percaya nyawa itu ada. Janganlah sampai kita tak berjumpa di syurga nanti." Dia terus diam, dan aku pun terus letak 

Aku dah muak dengan orang mengaku murtad. Rasa nak keluar, keluarlah beramai-ramai. Tempahlah tiket ke neraka yang akan menjanjikan pergi tak balik-balik. Kalau ini negara Islam, aku tak rasa ada yang berani nak mengaku murtad. Kalau rasa tak sayang leher, mungkinlah. Didikan agama tak ada. Harap cikgu di sekolah beritahu. Akibatnya, jadi begini. Rimas nak pakai tudung, rimas nak tutup-tutup, susah nak tidur dengan pasangan, terus mengaku bukan Islam. Kalaulah nak jadi jahat sekalipun, jadilah jahat. Teruskanlah kejahatan anda sepuas-puasnya. Dan biarlah menjadi fasik dalam amalan. Jangan jadi fasik dengan akidah atau nifak. Dengan izin Allah, jika redha Dia, akan ke syurga juga akhirnya. Tapi beringat-ingatlah samada anda cukup samseng untuk 'tunjuk samseng' dengan pencipta anda sendiri.

Payah nak cakap. Bila kita jadi fasik akidah (tak percaya Tuhan, hari kiamat, malaikat dan lain-lain), memang tiada tempat untuk kita di syurga. Nauzubillah. Kalau tak solat, tak puasa, dan sebagainya tetapi tahu dan mengaku bahawa perbuatan itu wajib dibuat, tetapi ingkar, ia jatuh kepada status muslim a'si (orang Islam yang derhaka). Sekalipun banyak dosa kita, tetapi masih berpegang dengan Allah dan Muhammad, dengan izin Tuhan akan ke syurga juga kita. Bab akidah, syurga neraka, apa semua ini panjang huraiannya, tetapi cukuplah kita berpegang begini.

Aku sebenarnya dalam keadaan sedih. Aku rasa sedih campur marah dan bermacam-macam. Aku sendiri pernah melampaui batas diri aku sendiri, tetapi kalau sampai tahap begini, aku rasa terlalu melampau. Entahlah. Aku harap bertukar sistem negara. Umat Islam dalam Malaysia ini dah terlalu ramai yang makin kurang akal.




Selit-selit: Aku rasa cukup-cukuplah takat ini sahaja. Bila hukum Islam tak tertegak, maka samalah seperti manusia itu dicabut akalnya. Menjadi gila dan huru-hara.

Friday, 28 September 2012

Arah dan Jam. Pencariannya.


Entri lepas, aku kongsikan bagaimana caranya guna tachymeter. Boleh tengok guna link ini kalau nak tengok. Tacymeter. Akan tetapi, tak semua jam tangan analog ada tachymeter. Jam digital? Belilah mahal macam mana sekalipun, fungsinya terlalu terhad, melainkan yang dah tambah macam-macam butang dan segala benda, sampai nak pakai pun tak tergamak.

Kali ini aku kongsikan pula cara nak mencari arah Utara sebenar (True North) menggunakan jam. Sebelum itu, aku haruslah memberitahu pada kalian, bahawasanya, kompas magnet yang kalian ada itu, menunjukkan Utara Magnet. Bukan Utara yang sebenar. Perbezaannya berubah-ubah mengikut tempat. Malah ia kadang-kadang mempunyai beza yang banyak pada sesetengah tempat. Ditambah pula dengan keadaan magnet sekeliling (alat-alat logam, kereta, dan lain-lain). Cara yang paling mudah untuk cari Utara sebenar (True North), guna kompas gyro (gyro compass).

Utara selepas ini merujuk kepada Utara sebenar (True North).

Malas aku nak cerita prinsip asas kaedah ini. Rasa was-was, boleh cuba bila ada matahari.

Maka, dengan jam analog juga kita boleh mencari arah utara. Caranya mudah. Untuk Malaysia, yang terletak di Hemisfera Utara, letak jam pada permukaan rata, kemudian halakan jarum pendek (jarum jam) ke arah matahari. Kemudian, pembahagian antara jarum pendek dan pukul 12 adalah garisan utara-selatan. Sila lihat gambar yang aku lukis walaupun tak berapa nak lawa.





Jika anda di Hemisfera Selatan, jam 12 itu yang dihalakan ke arah matahari dan garisan Utara-Selatan itu berada di antara jarum pendek dan jam 12. Arahnya berlawanan. Boleh bayangkan garisan itu? Senang sahaja. Tetapi hendaklah jam anda waktunya tepat.

Begitulah adanya. Tak susah mana. Jam ada banyak kegunaan. Mana nak tahu kalau sesak sangat nak mencari arah. Memang orang kata boleh tengok bayang matahari apa semua, cuma memakan masa.

Nanti bila-bila aku ada tergerak nak cerita guna cara ini pada waktu malam (kena cari kedudukan matahari waktu malam guna bulan), aku cerita. Sebab jenuh nak terangkan guna Bahasa Melayu. Itu sebab aku sokong PPSMI di sekolah.




Selit-selit: Cari arah utara, selatan, timur, barat, semuanya senang. Tapi benda yang susah nak dicari, walau hebat macam mana pun ilmu navigasi ialah mencari orang yang boleh kita sandarkan diri untuk dunia dan akhirat.


Thursday, 27 September 2012

Nur Athalia Alma. Kelahiran Baru.

Aku tak menaip semalam. Sepatutnya aku sambung bab cari arah guna jam, tapi disebabkan video tak siap lagi disebabkan oleh kamera telefon bimbit yang tak berfungsi dengan baik, aku simpan dulu entri tersebut. Nanti aku kemaskini.


Apapun, yang aku nak beritahu ialah kedatangan seorang ahli baru dalam keluarga besar aku. Nur Athalia Alma Binti Muhammad Luqman. Anak saudara aku yang pertama, dan juga sekaligus menaikkan pangkat aku sebagai seorang pakcik. Hahah. Pakcik. Rasa macam kasanova sangat bunyinya bila ada 'pakcik' depan nama aku.



Jadi, selamat datang ke dunia baru. Dunia serba millennium. Dunia serba canggih. Dunia yang hampir segalanya tersedia di depan mata. Moga menjadi seorang wanita yang solehah. Menjadi anak yang taat. Menjadi umat Muhammad yang utuh iman dan taqwa.

Tak ada apa lagi aku nak cakap. Tahniah buat Marina Muhammad.



Selit-selit: Teringin nak ada anak.......... Amacam?

Tuesday, 25 September 2012

Tachymeter pada Jam dan Penggunaannya..

Aku kebelakangan ini agak tak menaip hari-hari. Banyak benda yang aku kena laksanakan dan kerjakan. Tapi ada juga masa yang aku curi-curi untuk lawat blog-blog yang aku rasakan banyak berkongsi pendapat dan cerita. Tak semua blog aku pergi. Aku tengok juga pada jenis isu atau perkara yang dikongsi.

Kali ini aku nak kongsi sedikit ilmu yang aku dapati ramai di antara kita tak tahu. Tachymeter. Boleh kita lihat pada sesetengah jam tangan analog (jam yang pakai jarum). Aku tak berapa minat jam digital sebab fungsinya terlalu terhad. Ramai yang aku tengok pakai jam ada tachymeter tapi tak tahu cara guna. Jadi, fungsi tachymeter ini ialah untuk pengukuran kelajuan dan lain-lain. Cara penggunaannya senang walaupun kelihatan seperti rumit. 

Jadi mari kita mulakan dengan asasnya dahulu. Tapi, tolong baca sampai habis. Formula memang nampak rumit, tapi aku kena beritahu juga.

Lihat skala luar, bukan dalam
Pertama, ia adalah jenis skala yang ada di sekeliling jam tangan. analog. Boleh tengok gambar ilustrasi yang aku sertakan sekali. Jadi formula asasnya ialah formula yang kita belajar di sekolah dulu. Jarak = Masa darab kelajuan. Maka, dalam penggunaan tachymeter, kita nak mendapatkan kelajuan. Jadi, kita pusing formula itu menjadi Kelajuan = Jarak bahagi masa. Rasa macam susah? Tak payah susah. Ini memang perlu aku ceritakan. Sekadar formula. Tak payah buat pengiraan pun bila dah tahu guna tachymeter.

Kedua, kalau dilihat atas skala tachymeter, jam 12 menunjukkan 60, jam 3 menunjukkan 240, jam 6 menunjukkan 120, dan jam 9 menunjukkan angka 80. Angka-angka lain juga ada. Tengok sendiri. Cara penggunaannya? Senang. Kalau tak faham juga, aku ada sediakan video.

Andaikan anda sedang memandu untuk jarak 1 kilometer. Kemudian, anda lihat berapa saat yang anda ambil untuk jarak 1 kilometer itu. Sebagai contoh, anda mengambil masa 30 saat untuk 1 kilometer, jadi, kelajuan anda ialah 120km/j. Atas tachymeter, jam 6 (30 saat) menunjukkan angka 120. Maka itulah kelajuan anda. Tapi perlu diingat, bahawasanya ia hanya menunjukkan kelajuan purata.

video

Maka, sekarang kalian dah tahu cara penggunaan tachymeter. Tidaklah anda kelihatan bodoh menggunakan jam yang ada skala tachymeter tapi tak tahu menggunakannya. Tachymeter ini juga boleh mengira kuantiti masa yang diperlukan untuk mengisi minyak dan lain-lain. Macam aku, banyak kegunaannya dalam membantu kerja. Cuma kita perlu pandai menggunakan formula yang ada. Jam tangan banyak kegunaannya, terutama jam analog. Antara lain ialah mencari arah tanpa guna kompas. Nanti aku cerita lagi.





Selit-selit: Video aku berkualiti rendah, jadi kena rujuk pada jam anda sendiri, atau boleh cari gambar di internet.

Selit-selit: Ada satu lagi jam yang aku simpan. Dah lama mati. Tapi dia pernah jaga aku dalam tempoh masa yang agak lama. Kemudian ada orang tolong simpankan, dan akhirnya ada kembali di tangan aku. Aku akan baiki balik jam itu selepas aku dapat baiki balik kerosakan hidup aku, dan aku akan kembalikan pada dia.

Sunday, 23 September 2012

Naiktaraf, Segmen dan Pertandingan, Follower ke-100


Maka semalam pun aku tak menaip apa-apa. Semalam ada hal. Maaf. Hari ini aku kembali menaip. Tak ada isu apa-apa. Cuma sedikit pemberitahuan.


Aku baru sahaja menaiktaraf blog aku, letak benda untuk lihat senarai blog (blog list), sebelum itu pun aku ada letak shoutbox. Semuanya guna yang biasa. Tak ada kod HTML pelik-pelik. Dah jenuh aku belajar, fikir dan teliti, tapi aku rasa macam yang boleh kelip-kelip apa semua itu sekadar memberatkan blog untuk dibuka. Syahadan, jika aku buat juga, maka bertambah menyampahlah orang nak buka blog. Jadi, keputusan aku, cuma guna yang ringkas, yang dah memang disediakan oleh Google/Blogger. Sebenarnya, kalau tak guna blog list ini pun tak apa. Dekat dashboard pun boleh tengok entri terbaru untuk blog yang aku follow. Dan aku bukan jenis follow tapi lepas itu aku biarkan sahaja. Itu sebab kalau blog jenis tak berapa nak ada entri berfaedah, aku tak follow. Tapi, rasanya lebih baik kalau aku kongsi dengan orang lain juga. Begitulah adanya.

Pada follower ke-100, aku cuba jejak dia balik, Una Pedora, tapi kehebatan beliau menyebabkan aku gagal menjejakinya semula. Jika ada sesiapa kenal, sila minta beliau munculkan diri. Sebabnya? Kalau kalian ada baca entri sebelum ini, kalian tahu kenapa aku minta dia muncul.

Kemudian, aku nak beritahu, aku banyak tengok orang buat segmen apa segala, dan ada blogger yang mencadangkan aku untuk buat segmen juga. Untuk pengetahuan kalian, sampai hari ini aku tak tahu langsung segmen itu apa. Ada pula yang buat pertandingan (contest). Lagi aku tak tahu apa benda. Sebabnya? Aku pelik tengok pertandingan, tapi tak ada pula benda yang kena dibuat melainkan kena copy banner, tag blog kawan-kawan dan follow link-link yang diberi. Adalah satu kemusykilan pada aku. Kalau disuruh buat artikel atas tajuk tertentu, ada jugalah aku rasa berminat. Jadi, jika ada orang rasa nak mendidik aku tentang apa itu segmen dan pertandingan dalam blog, sila beritahu.

Itu sahaja beberapa perkara yang aku nak beritahu. Maaf terpaksa menggunakan beberapa istilah Bahasa Inggeris. Kalau tidak, ramai orang jadi keliru. Terima kasih.  ^_^

Friday, 21 September 2012

Khutbah dan Kelainannya..

Hari ini ada kelainan sedikit dalam khutbah Jumaat yang aku pergi. Pertama, ada solat hajat. Kedua, isi khutbah hari ini sangat-sangat menarik.

Bab solat hajat, rasanya semua orang tahu apa yang kita hajatkan. Jadi tak ada nak bercerita banyak tentang itu. Tapi yang menarik ialah isi khutbah di masjid tempat aku. Tak tahulah aku samada ia sama juga seperti di masjid-masjid tempat lain, tapi aku rasa berbahagia nak kongsi bersama dengan kalian.

Secara umumnya, ia menyentuh tentang filem yang menghina Nabi Muhammad. Itu aku rasa tempat lain pun sama juga. Cuma kali ini penyampaian dan pendekatannya agak berbeza. Khatib yang beri khutbah hari ini menyentuh beberapa benda yang sedar tak sedar, terjadi di kalangan masyarakat. Khatib yang ini pernah juga ditegur sebab lancang dan kadang tak ikut teks, tapi kali ini dia naik lagi. Seronok.

Pertama, soal kekurang-ajaran oleh orang lain yang menghina Islam itu adalah sesuatu perkara yang memang dijangkakan. Dari dulu, sampai sekarang, ada sahaja yang tak puas hati dengan Islam. Itu biasalah. Tapi di mana agak-agaknya sensitiviti kita apabila orang Islam sendiri menghina agama dalam perspektif berbeza? Kita marahkan yahudi sebab hina agama, tapi dah sah-sah itu kafir harbi (orang bukan Islam yang menentang Islam). Tapi macam mana dengan pemimpin yang mengaku Islam yang menjatuhkan maruah Islam secara terang-terangan? Patut atau tidak orang begini kita heret dan hukum dahulu? Dah kalau terasnya hampas, luarannya apatah lagi. Tak begitu?

Kedua, kalau kita renung-renung, bidang perfileman Malaysia, seperti kata khatib tadi, sangat sedikit yang menyentuh asas agama Islam. Kalau ada pun, menunjukkan hidup beragama itu adalah sesuatu yang kolot, tak moden dan serba serbi kekurangan. Aku kagum juga dengan khatib tadi. Dia kata, muncul tak lama dahulu, artis Malaysia berbangsa Melayu, beragama Islam yang menghina isteri Rasulullah. Tapi ada tak orang kita terus boikot dia? Ada atau tidak ramai-ramai umat Islam di Malaysia yang nak saman dia atau nak hukum dia? Dia minta maaf, dengan kononnnya tak berniat menghina, terus lepas begitu sahaja. Kemudian kembali beraksi di televisyen tanpa segan silu. Rasanya kalian tahu siapa.

Ketiga, orang kafir harbi ini memang sentiasa menguji kepekaan umat Islam. Yang perlu kita buat, ialah mengukuhkan keadaan orang Islam itu sendiri. Tolak tepi soal parti atau beza bangsa. Kita bersatu dan kukuhkan dahulu kedudukan orang Islam. Kemudian, bukan lagi dapat pijak yahudi, nak buat macam Nazi Jerman dahulu pun sekali libas sahaja. Ini tidak. Berpuak-puak. Tampal pelekat dekat kereta, pertubuhan Islam, tapi yang dihempuk, yang disidai, yang dipijak, tetap orang yang sama bangsa dan agama dengannya. Maka, fikir-fikirkan.

Kesimpulannya, tak payah nak ajak boikot Youtube, Google apa semua. Android yang ada itu pun, tengoklah siapa yang bangunkan. Sedar dulu di mana kedudukan kita, dan apa kelemahan yang perlu kita baiki. Ikut dahulu perintah Allah, kemudian barulah mampu kita jadi yang terkuat. Semua 'guidelines' dah ada. Antara kita nak ikut atau tidak....




Selit-selit: Kadang-kadang kita ini macam bola. Tendang ke sana, kita ke sana. Tendang ke sini, kita ke sini.


Thursday, 20 September 2012

Akhbar dan Logiknya..


Hari ini aku buat banyak aktiviti. Dari pagi, sampailah aku dapat rehat sekejap pada tengahari dan petang. Pagi tadi aku sambung balik pengajian kitab Muniatul Musalli (Cita-cita orang yang solat) karangan Syeikh Daud Ibnu Abdullah Al-Fatani. Kitab ini, kalau tak ada guru, susah juga nak faham. Walaupun tulisan jawi, tapi jawinya, boleh tahan susah. Risau salah faham makna dan isi. Lagipun, aku bukan duduk pondok, jadi aku cuma dapat ikuti dengan jadual yang agak jauh jaraknya. Lambat nak habis. Moga kalian dapat doakan aku supaya habis banyak kitab.

Setakat itu bab mengaji. Pada sebelah tengahari, aku baca surat khabar. Apa yang menarik? Ada dua perkara.

Pertama.
Ada laporan dalam akhbar Metro, mengenai seorang pemandu lori yang membawa muatan sawit terbabas selepas tayar hadapan sebelah kiri lorinya meletup. Mangsa sempat berpaut pada stereng dan terselamat dari kemalangan itu. Mangsa berumur 30 tahun. Muatan lorinya kira-kira 10 tan. Jadi apa yang menarik? Berita itu menjadi bahan ketawa aku apabila aku baca laporan berita itu mengatakan mangsa mempunyai pengalaman memandu lori kira-kira 20 tahun. Tak rasa pelik? Ini bermaksud, ketika mangsa berusia kira-kira 10 tahun, beliau telah pandai memandu lori. Wah! Nak ambil lesen kenderaan berat, kena ada lesen D, dan berumur 21 tahun. Jadi berita Metro ini boleh pakai atau tidak? Kalian fikir-fikir sendiri.

Kedua.
Terbaca banyak dan berbondong-bondong orang dan organisasi membuat laporan polis mengenai Pengerusi DAP Perak yang kononnya tak sensitif dengan agama Islam. Kalian baca atau tidak apa yang ditulis oleh beliau? Langsung diputar belit dengan dahsyat oleh media. Dah beliau minta maaf, pun orang tak puas hati. Siap kata terlambat apa semua. Sudahlah. Dah memang dia bukan Islam. Habis-habis sangat kita kritik secara adanya sahaja. Umat Islam di negara lain sibuk halau Kerajaan Amerika Syarikat dari negara mereka, sampai bakar kedutaan, kita sibuk berperang dengan parti politik, yang mana orang kita juga. Kalau NGO-NGO yang buat laporan polis itu ada hasrat nak pakat-pakat halau Kedutaan Amerika Syarikat, ada jugalah nampak usahanya. Tapi agak-agak apa mereka buat? Sepanduk di negara luar bertulis "Pergi jahanam USA", tapi di Malaysia, "DAP anti Islam". Rasa-rasa nampak lucu atau tidak?






Selit-selit: Ini pendapat bebas aku. Dah kalau ada di kalangan kalian memang menyokong kerajaan dengan sepenuh hati, ikut suka pada anda.

Selit-selit: Ada orang 'Tanpa Nama' tulis di shoutbox aku, "blog paling angkuh". Ya, memang angkuh, sombong, riak dan takbur serta segala sifat buruk-buruk lagi. Dah aku tulis dekat header aku; tak suka, ada butang tutup untuk ditekan. Pakai akal sikit.



Wednesday, 19 September 2012

Rabu Tanpa Kata? Boikot? Penyudahnya?


Bila datang sahaja hari Rabu, maka berbondong-bondonglah blogger mengikuti rancangan 'Wordless Wednesday'. Maksudnya, tidak ada apa-apa yang ditaip atau dikarang, melainkan tempek gambar atau gambar-gambar sahaja untuk menceritakan apa-apa. Entah mana punya makhluk atas planet Bumi ini yang mulakan benda macam ini. Letak gambar, kalau ada sikit maklumat tentang gambar itu, tak mengapalah. Cuba kalau yang betul-betul 'wordless'? Elok pula ada gambar tangan budak yang hitam dan kurus kering atas tapak tangan seorang yang sihat, apa yang mungkin kita bayangkan? Apa yang mungkin kita ulas dari gambar tersebut? Bagi yang normal, mungkin sahaja akan kata, ini mesti gambar tangan budak miskin dekat negara Afrika entah mana-mana. Kasihannya tengok gambar macam itu. Tapi, macam mana pula kalau mentaliti jenis macam orang yang suka cari hantu dan sebagainya? Contohnya macam Encik Pakcik Seekers yang suka mencari hantu. Dah tentu dia menyangka bahawa manusia telah bersalaman dengan makhlus halus bernama Jenglot. Sekonyong-konyong orang begini 'update' entrinya bertajuk, "Manusia Berkomunikasi dengan Jenglot". Tak haru biru dunia jadinya?

Cukup takat itu. Nanti cakap lebih-lebih, marah pula blogger lain pada aku. Yang pernah minta nak jadi isteri bongsu pun tak pasal-pasal minta cerai nanti.



Aku masih lagi dalam suasana melihat orang bercakap tentang boikot dan lain-lain. Siap minta senarai barang-barang keluaran USA. Aku juga ringan mulut tadi bertanya pada seorang makcik yang agak aktif di internet. Kebetulan dia memang berkobar-kobar ajak orang boikot bersempena tercetusnya filem bajet murah yang menaikkan kemarahan umat Islam yang tidak murah harganya. Jadi, aku tanya, apa tujuan dia nak boikot sebenarnya? Aku boleh agak sangat tahap piawaian akal perempuan dalam memberi jawapan, tapi aku tetap nak dengar. Dia dengan senang hati menjawab, ini adalah untuk melumpuhkan ekonomi USA dan mengajar mereka kerana bersekongkol dengan Yahudi. Aku nak tergelak pun ada. Melainkan yang memboikot makan KFC atau McD pagi petang siang malam sebelum ini, kalau tiba-tiba berhenti makan pun, ianya tidak akan memberi kesan. 

Aku tanya dia lagi, bagaimana pula dengan komputer yang dia dan rakan-rakannya guna untuk bergosip dan menyeru pemboikotan itu? Bukankah rata-ratanya produk dari USA? Aku sambung lagi, bila pula dia nak berhenti kerja dari syarikat yang berpangkalan di USA? Langsung mereka tersipu-sipu macam siput sedut.

Bagi aku, sebagai lelaki Islam dan Melayu yang kacak, yang penting bukanlah untuk melumpuhkan ekonomi USA tetapi melatih diri mengutamakan barang-barang buatan tempatan. Kukuhkan ekonomi negara sendiri dahulu sebelum terfikir nak melumpuhkan ekonomi negara lain. Barulah realistik!





Selit-selit: Bila nak buat sesuatu, gunalah akal yang ada di kepala. Bukan di kepala lutut.


Tuesday, 18 September 2012

Filem, Boikot, USA dan Islam. Betul Mampukah?

Sekarang ini ramai orang bercakap tentang filem yang menghina Nabi Muhammad SAW. Maka, ramailah muslim-muslim yang bercakap tentangnya. Di laman-laman sosial, ramailah yang kongsi segala gambar dan poster dengan rakan-rakan. Yang tak pernah tengok filem itu juga turut membantah. Bila dunia yang ramai orang Islam mula naik darah, maka di Malaysia juga turut naik darah sama. Apabila jumlah tatapan video itu di YouTube naik, maka angin juga turut naik.  Bila angin dah naik, darah pun pasti akan naik juga. Itulah pertautan-pertautan yang berlaku sejak lama dahulu. Dan pertautan itu akan terus berlaku kini dan pada masa akan datang. Dan tanpa kita sedar, apabila kenaikan darah itu tak dapat kita kawal, maka ia memungkinkan kita dihantar ke satu antara tiga tempat; lokap polis, hospital atau kubur. Tiada sesiapapun juga, terutama kita yang marhain ini boleh menafikan pertautan sebegitu. Malah, ramai di antara kita tidak dapat mengelak menjadi sebahagian daripadanya. Kita berkait dengan pertautan tersebut. Kita akan naik angin bila ada isu agama atau paling tidak bila harga barang naik. Lebih kurang sahaja.

Tetapi kalau kita singkap semula lembaran sejarah, apa yang kita dapati kemudiannya ialah kesan pertautan itu tidaklah sampai ke mana. Dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini sahaja, sudah banyak kali isu agama Islam dimainkan dan macam biasa, hukum pertautan itu menyebabkan permainan isu agama ini juga turut naik sama rancak. Apabila ada sahaja rejim ganas memijak Gaza, kita pun segera mendengar seruan daripada keamukan ini supaya memboikot produk-produk Amerika Syarikat yang merupakan bapa angkat, abang kandung, kakak sesusu dan sahabat terkarib bangsa Yahudi itu.

Dan ia bukanlah kali pertama kita berbuat demikian. Setiap kali 'mangkuk-mangkuk hayun' itu menyinggung perasaan umat Islam, antara langkah yang sering kita ambil ialah memboikot barangan mereka. Sesiapapun memang sepatutnya mengalu-alukan langkah itu. Dengan bilangan yang kita ada, kira-kira 1.5 billion orang dan kadar peningkatan kira-kira 2.9 peratus setahun, apapun USA dan konco-konconya akan longgar lutut juga, jika kita semua melakukan pemboikotan itu secara bersepadu. Dan kalau kita melakukannya secara berterusan, lambat-laun pasti mereka menyembah tanah.

Tetapi, persoalannya, mampukah kita? Minta maaflah kalau kenyataan yang berikut ini macam nak memperlekehkan suku-sakat sendiri. Namun realiti adalah realiti. Suka atau tidak, kita harus mengakui bahawa jangan kata nak melakukan boikot itu secara berterusan, malah nak melakukannya secara sekerat pun kita tak mampu.

Sekerat-sekerat?

Yaaaaa.. Memang itulah yang kita lakukan selama ini. Setiap kali kita bercakap tentang memboikot USA, apa yang kita lakukan ialah mengamalkan budaya 'buang satu ambil lima' atau 'tolak satu, angkat lima puluh'. Maksudnya, yang kita boikot cuma satu benda atau satu perkara, yang kita terus gunakan dengan sepenuh hati dan jiwa raga pula masih lima atau lebih banyak daripada itu. Semasa sebahagian daripada kita mengelak untuk menggunakan ubat gigi keluaran syarikat yang berpangkalan di USA, kita masih membiarkan program-program dari negara Uncle Sam itu menguasai stesyen-stesyen penyiaran kita, televisyen terutamanya. Semasa ada di kalangan kita menjauhi makanan segera (fast food) yang juga made in America, media-media kita masih berlumba-lumba menggunakan berita yang sumbernya dari sana.

Bukan hanya itu, sikap pendirian dan pandangan kita terhadap apa yang datang dari USA juga secara umumnya tidak berubah sedikit pun. Bibir Angelina Jolie masih terus menjadi kegilaan berbanding bibir Aminah Jali dari Sik, fesyen hip-hop yang macam orang dulu-dulu pakai semasa mencari lembu hilang di tengah hujan terus dimegah-megahkan berbanding teluk belanga dan baju kurung Kedah. Bab nyanyi-nyanyi janganlah cerita lagi. Ada orang kita yang semput nafasnya kalau tak mendendangkan lagu dari negara sana sehari lima enam tujuh kali. Sukan? Lagi tak payah buang masa nak menaip. Kalian boleh cerita sendiri.

Tapi politik lain pula ceritanya. Muncullah beberapa pemimpin yang kononnya prihatin dan sebagainya. Juga kononnya nak memboikot segala. Macam bikin filem jugalah aku tengok. Itu baru sebahagian. Sesungguhnya terlalu banyak lagi tindak tanduk kita yang mencerminkan betapa tidak upayanya kita mengasingkan diri dari pengaruh negara itu. Pengaruh itu malah sudah meresap jauh ke urat saraf sehingga ada di kalangan kita yang mimpi dan ngigaunya sentiasa berbau Amerika.

Dengan pengaruh yang begitu, bagaimanakah kita boleh mengharapkan usaha memboikot barangan USA dapat mencapai kejayaan dalam erti kata sebenar? Malah, jangan hairan kalau ada orang yang ketawa besar melihat kita bertempik-tempik tentang usaha boikot dan segala macam lagi. Jangan terkejut dan marah kalau mereka berkata, semua seruan itu sekadar retorik semata-mata.

Untuk mengelakkan dari ditertawa dan diperkecil-kecilkan, perubahan sikap kita merupakan sesuatu yang sangat perlu. Selepas ini, kalau nak buat apa-apa, jangan nak separuh-separuh dan sekerat-sekerat. Buat betul-betul. Kalau nak boikot, boikotlah secara menyeluruh. Biar kita pakat demam sebab tak tengok filem-filem Hollywood, biar kita pakat nanar dan lumpuh sebab tak dengar lagu-lagu dari USA. Tak mengapa, yang penting kita capai matlamat pemboikotan kita.

Kalau tak mampu dan kalau tak boleh, lebih baik kita duduk diam-diam membiarkan kepala dipijak dan telinga dijentik.





Selit-selit: Kalau tak faham juga maksud aku merungut macam ini, tak tahulah aku.

Selit-selit: Ikut mazhab lain, hukum pegang catur (chess) itu macam sentuh darah babi. Apakata kalau kita buat, kalau pegang makanan segera (fast food) dari negara sana, kita anggap macam makan makanan haram juga?

Perempuan Berkata: Lelaki Melayu Tiada Masa Depan

Wahai Tuhanku, curahkanlah selalu selawat serta salam kepada kekasihmu Muhammad yang sebaik-baik makhluk keseluruhannya. Sesungguhnya nafsu amarah yang bertapak di hatiku masih belum mahu menerima nasihat. Kerana jahilnya dari peranan peringatan yang dibawa oleh uban dan hari tua. Moga peringatan itu dapat menyedarkan aku, kerana jika nafsu aku berkuasa, maka sudah pasti ia akan membutakan mata dan menulikan telinga. Ku mohon pada Tuhanku, agar dapat aku mengawal nafsuku walaupun ia telah berlegar di ruang ketaatan.





Hari ini, aku jadi sedikit tersentak apabila ada satu blog, entrinya menceritakan tentang seorang budak perempuan Melayu yang sedang meningkat remaja memperlecehkan lelaki Melayu dengan mengatakan lelaki Melayu tidak ada masa depan. Terus dada aku rasa macam dihimpit. Nak kata senak pun ada. Hebat sungguh kata-kata budak perempuan tersebut. Aku terus rasa ingin bersemuka dengan beliau kerana mulut lancangnya berkata begitu. Dia memberitahu bahawasanya bapanya seorang lelaki berbangsa asing. Aku rasa tak peduli. Aku sanggup berjumpa dengan seisi keluarganya. Nak aku tuding satu-satu muka yang berkata begitu. Boleh kata lelaki Melayu tak ada masa depan. Dia ingat dia berkawan dengan lelaki bukan Melayu itu kira habis hebatlah?

Bukanlah aku nak menaikkan semangat perkauman. Tetapi jenis betina nan seekor itulah yang menyebabkan sifat perkauman yang dicampur dengan sifat marah aku naik ke kepala. Nak sahaja aku suruh dia letak muka-muka kawan-kawan bukan Melayu yang dia ada di depan aku. Nak aku tengok berjaya tahap mana sangat. Ceh!










Biar aku nak beritahu dengan sukarela sikit, sayugia yang konon hebat itu tak ada apa-apa. Betina jenis macam ini masih belum kenal erti hidup. Makan minum pun ibubapa yang tanggung lagi. Aku memang pasti. Dan aku juga hampir pasti yang ilmu agamanya taklah tinggi mana. Tahap kalau suruh baca kitab-kitab tua atau kitab kuning, memang haram tak tahu baca. Akademik? SPM? Diploma? Aku boleh agak muka macam itu tak pergi jauh mana. Kalau setakat 'masa depan' yang dia gembar-gemburkan itu hanyalah berupa kehebatan mengangkut dia ke kelab malam atau segala disko, tak payahlah. Hentikanlah. Nak muntah aku.

Dan aku juga hampir pasti, tak berapa kerat lelaki Melayu yang mempunyai masa depan yang cerah, berkehendakkan dia. Dah perangai dan mulut macam longkang tak siap, siapa yang nak? Kalau bagi percuma pada aku pun memang aku buat hamba abdi sahaja. Jadi aku buat hipotesis sendiri mengatakan beliau masih belum jumpa lelaki Melayu berjaya sebab dia memang buta. Itu sahaja. Kadang-kadang bila kita ini kurang ilmu, memang kita akan menampakkan kebodohan yang amat ketara.

Setakat itu sahaja.

Aku nak mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih serta sekalung penghargaan diiringi ingatan yang tulus buat blogger Pari Pari Putih kerana memperkenalkan blog aku ini di entrinya yang ke-600. Beliau ini boleh aku katakan veteran, tapi kadang-kadang coretannya macam orang muda. Follower beliau dah sah-sah berganda-ganda dari aku, sedangkan aku adalah beberapa kerat follower sahaja. Apapun, terima kasih. Buat follower yang memang aktif dan tak berapa aktif serta yang tidur memanjang, pada kalian juga aku ucapkan terima kasih. Nanti aku naiktaraf sikit blog ini. Kena buat shout box nampak gayanya. Itu sahaja. Terima kasih.











Selit-selit: Aku memohon ampun kepada Allah, dari dosa perkataan yang tidak aku iringkan bersama amalan, kerana hal itu sama sahaja dengan mencari keturunan dengan cara berkahwin dengan orang yang mandul. Sesungguhnya dosaku amat berat, kerana menyuruh orang berbuat kebaikan sedang aku tidak mengerjakannya dan aku menyuruh orang istiqamah sedang aku sendiri belum tetap pendirian. Moga diampunkan aku sebelum aku dijemput kematian.




Monday, 17 September 2012

Apakah Perasaan Anda Kalau Dalam Ramai-ramai....

Dua hari sudah aku berdiam diri. Jari-jari aku mula naik lemau bila tak ada senaman. Jadi, aku menaip lagi buat kesekian kali. Kali ini aku nak kongsi tentang "Apakah perasaan anda kalau dalam ramai-ramai....."


Apakah perasaan anda kalau dalam ramai-ramai...

  • dalam ramai-ramai orang, anda yang diperhatikan apabila ada bau-bauan atau bunyi-bunyian yang tidak menyenangkan?
  • dalam ramai-ramai anak, semuanya berjaya kecuali nan seorang yang paling kita sayang?
  • dalam ramai-ramai penonton yang menyaksikan konsert anda, tak ada seorang pun yang tepuk tangan walaupun anda dah menyanyi 18 lagu?
  • dalam ramai-ramai yang buat pemeriksaan kesihatan di pejabat, anda seorang yang disahkan menghidap pelbagai penyakit?
  • dalam ramai-ramai orang di majlis, anda seorang yang berbahasa Inggeris walaupun tunggang-langgang bahasanya?
  • dalam ramai-ramai kawan, semuanya dah berkahwin, sedangkan anda seorang yang makin hari makin tak laku?
  • dalam ramai-ramai orang yang beratur di mesin ATM nak ambil duit, sampai giliran anda, 'out of service' pula sedangkan anda memang tak ada walau sesen pun ketika itu?
  • dalam ramai-ramai orang mengambil pil kurus, anda seorang yang makin gemuk berganda-ganda?
  • dalam ramai-ramai kawan yang memancing, mereka semua dapat ikan, sedangkan anda tak dapat walau seekor pun dari pagi sampai malam walaupun anda adalah seorang pemancing profesional?
  • dalam ramai-ramai pesakit di hospital, doktor dan pelawat memberikan perhatian yang lebih pada anda?
  • dalam ramai-ramai teman wanita anda, yang bawah umur mengaku perutnya berisi kerana anda?
  • dalam ramai-ramai blogger, anda seorang yang dilucutkan keahlian glitterati secara tiba-tiba?
  • dalam ramai-ramai cikgu, anda juga yang ditanya oleh anak murid sama ada dah kahwin atau belum?


Mungkin ada di antara kita, pernah mengalami peristiwa seperti di atas. Dan reaksi kita tentulah berlainan. Ada yang reaksinya positif, ada yang negatif dan ada yang tak ambil tahu langsung. Apapun, itulah yang aku nak kongsikan. Samada kalian nak jawab atau tidak, terpulang.




Selit-selit: Hidup ini ibarat meniti mata pedang yang tajam di atas gunung yang curam. Silap meniti, parah di kaki. Silap mengimbang, jatuh dan mati.




Friday, 14 September 2012

Berita dan Ketulusannya..

Aku jarang-jarang juga baca surat khabar kebelakangan ini. Alasan aku mudah, sebab berita yang disampaikan dari muka hadapan, sampailah ke muka yang berbelas-belas, semuanya politik. Banyak sangat unsur tahyul. Dah macam baca majalah mistik aku rasa.

Pada pagi ini, naiklah seorang rakan, membawa senaskhah surat khabar. Aku yang tengah bosan, mula menyelak satu persatu. Maka, dapatlah aku lihat percakapan seorang menteri berkata begini maksudnya, "Adakah tidak cukup lagi 22 tahun? Kelantan pasti sudah maju jika bersama BN". Mata aku terhenti di situ. Ayat keramat yang sungguh dahsyat. Ditambah pula katanya, tak nak lihat pelajar di Kelantan sakit perut minum air kotor. Pelik juga aku. Adik aku bersekolah di Kok Lanas, Kelantan, tak pernah pula telefon kata sakit perut. Tak pernah pula dia terlantar di hospital kerana minum air. Entahlah. Makin pelik aku. Kerana nak kempen punya hal, sampai bimbang sakit perut pun jadi modal. Tersenyum lebar aku baca berita yang penuh kehairanan, keajaiban dan ketahyulan yang terlampau itu.

Bukanlah aku nak kata pembangkang itu 100% betul. Ada juga usaha kerajaan yang sangat aku sokong. Contohnya, bekas PM dulu buat PPSMI, ajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris. Aku sokong. Bila pembangkang kata, tak daulatkan Bahasa Melayu, aku tak berapa setuju. Sebabnya mudah, bila ditanya pada guru-guru sains, rata-rata yang aku jumpa, sokong PPSMI. Ini sebab, bila masuk ke peringkat yang lagi tinggi, Bahasa Inggeris diguna pakai. Tak payahlah sesiapa nak beritahu aku, ada yang Bahasa Melayu. Berapa kerat sangat buku matematik dan sains dalam Bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi? Dan adalah lebih mudah guna Bahasa Inggeris. Contohnya, dalam topik transformer. Transformer Injak Naik, dalam Bahasa Inggeris ialah Step Up Transformer. Senang nak ingat. Injak itu apa? Injak itu datang dari Bahasa Indonesia. Contoh lain, Hull Material, dalam Bahasa Melayu jadi Unsur Binaan Lambung. Tak pelik?



Cukup setakat itu. PPSMI bukan topik utama. Yang aku nak utarakan ialah manusia sanggup menggunakan apa sahaja untuk kepentingan diri. Surat khabar, berita di televisyen, gunanya untuk memberitahu kita berita tanpa menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik. Sampai nak baca surat khabar pun jadi sengsara. Duit dah keluar, tapi berita macam hampas. Bab artis boleh tolak tepi. Hampir tak ada manfaat pun. Yang paling sedap, berita tentang budak lelaki umur 14 tahun yang terlalu bermoral akhlaknya yang bersumbang mahram dengan kakaknya yang berumur 15 tahun sampai keluar anak, boleh pula ada ayat tambahan di hujungnya, "suspek telah diikat jamin oleh bapanya yang juga BEKAS AHLI PARTI PEMBANGKANG". Memang dahsyat. Padahal bekas ahli itu, dah jadi orang kuat di sebelah sana. Tapi tak cakap macam itu. Kena juga ada perkataan 'parti pembangkang'. Penulis berita pun dah macam longkang.

Walaubagaimanapun, kalau kita tak percaya langsung dengan akhbar dan berita pun tak boleh juga. Nanti tercangak-cangak kita bila orang bertanya apa dah jadi dengan dunia. Ada benda kita boleh ambil, tapi tak semua. Tak boleh percaya bulat-bulat. Tapi iringilah pembacaan anda dengan akal fikiran yang waras. Ada beberapa perkara yang kita perlu imbang-imbangkan.



Selit-selit: Tapi ada satu benda yang ramai orang percaya dalam akhbar - nombor ekor.  ^_^

Thursday, 13 September 2012

Perempuan dan Usia..

Puas dah aku bercerita, memperli dan seaneka benda lagi. Hari ini aku 'off', ada pengganti, jadi ada masa nak melayari internet dengan cerita baru. Asyik melayari bahtera di atas air kadang-kadang sakit hati juga.



Dalam sedar tak sedar, bulan-bulan kebelakangan ini aku memang lebih banyak menggunakan kenderaan awam daripada menggunakan kenderaan peribadi. Bukan tak ada motor, tak ada kereta, tapi entahlah. Tak kiralah LRT, bas, atau apa sahaja, asalkan yang jenis boleh naik ramai-ramai. "Saja nak menggatal la tu. Cari pasal nak berhimpit dengan awek...." begitu komen dari blogger AAA Jr. kepada aku di suatu hari, suatu masa, ketika aku mula-mula terjebak dengan penagihan menaiki kenderaan awam. Pada ketika itu aku dah agak lama kembali membujang, dan agak lama aku perapkan diri aku untuk meluruskan akal fikiran. Jadi, pada ketika aku lawat-lawat blog dia, dia pun mengomel. Aku boleh agak panjang juga muncungnya ketika itu. Tapi macam biasalah, dia itu, muncung tak muncung pun dia tetap comel. Dalam Malaya ini mana ada lagi blogger yang comel macam dia.

Aku benarkan sahaja dia berbunyi selepas itu. Dah fitrah orang perempuan begitu, jadi kita sebagai lelaki tak boleh ambil hati. Kita kena ingat bahawa seorang perempuan tanpa mulut, sama sahaja seperti donat tanpa lubang. Macam yang aku jangka, lama-kelamaan dia boleh menerima kenyataan bahawa lelaki yang diminatinya dalam diam ini memang dah jatuh hati sangat dengan kenderaan awam. Eleh, perempuan... Campur tolak ibarat belakang parang juga. Kalau rajin diasah, lama-lama tentu tajam. Apa lagi kalau diasah dengan lidah. Hahah.


Apa yang menyebabkan aku suka pada kenderaan awam?

Nak kata kalau harga minyak naik melambung bila kena dengan pemerintahan kerajaan yang 'penyayang' sekarang, rasa-rasanya taklah sangat. Memang beban, tapi masih boleh aku kayuh lagi. Kalau nak dikira harga minyak itu, masih jauh lebih murah daripada harga secawan kopi di kafe, bistro atau hotel-hotel lima enam bintang. Faktor untuk menyelamatkan alam sekitar dari pencemaran juga boleh jadi, tapi tak berapa tepat. Barangkali salah satu sebabnya ialah bila naik kenderaan awam, kita ada peluang untuk buat macam-macam benda. Boleh membaca, boleh main SMS, boleh main tablet, malah boleh melamun sepuas hati. Kalau memandu mana boleh buat begitu. Kalau buat juga, maka hari-harilah kena tidur atas pembahagi jalan. Satu sebab lain yang aku rasa tak kurang pentingnya ialah kenderaan awam menyediakan peluang pada kita untuk melihat macam-macam jenis orang. Nak tengok cara mana, dengan penjuru mata, dengan ekor mata, kepala mata, badan mata, lantaklah.

Dalam banyak-banyak yang boleh ditengok itu, mata aku jarang berminat dengan awek-awek atau gadis-gadis muda. Malas nak menyakitkan hati sendiri. Aku tahu, kalau aku tengok pun bukan mereka nak layan. Tak berapa kerat perempuan yang sudi jeling pada jantan jenis naik kenderaan awam, walaupun mereka tak tahu hakikat sebenar. Jadi, apa yang aku paling suka tengok?

Ya, siapa lagi kalau bukan kakak-kakak dan makcik-makcik yang dah dekat nak 'expired' itu. Kenapa mereka? Sebab aku rasa pada hampir setiap seorang daripada mereka ada nilai cerita yang menarik dan tersendiri.

Selalu aku perhatikan kakak-kakak dan makcik-makcik itu jarang bermuka manis. Malah ada muka-muka yang sama aku tengok kekal masam berhari-hari. Bentuk masamnya mungkin berbeza, tapi dasarnya, muka tak sudah. Aku tak naklah tuduh melulu, tapi aku dapat agak dalam ramai-ramai para kakak dan makcik itu tentu ada yang masam mengenang untung nasib sendiri. Tentu ada yang terfikir, "kalaulah aku masih muda...".

Ya, kalau waktu muda-muda dahulu, di waktu badan masih betul lekuk dan lekaknya, aku jamin sebahagian besar mereka itu tak perlu bersusah payah naik bas atau LRT. Ke sana ke mari tentu dihantar dan dijemput oleh lelaki tersayang. Tak dapat dihantar dengan kereta atau motor, akan dihantar juga dengan teksi, bas atau berjalan kaki. Yang pasti, hantar tetap hantar. Masa membunuh semua itu. Masa menyebabkan segala kemanisan dan kesenangan juga keriangan yang pernah dinikmati mereka tinggal kenangan. Masa menyebabkan mereka terpaksa mengiring diri sendiri ke mana sahaja sedangkan juru iring yang dahulunya mengekori pagi petang, kini hanya bersedia menjadi teman kalau diajak ke bank untuk menjual saham atau mengeluarkan duit simpanan. Itu pun biasanya bukanlah perkhidmatan yang diberikan secara percuma.

Kasihan aku memikirkan nasib mereka. Dalam aku kutuk-kutuk perempuan pun, aku masih ada hati perut. Kasihan juga aku melihat awek-awek sekarang yang tenggelam dalam kegembiraan diiring dan ditemani oleh si dia kesayangan mereka. Aku tahu, lambat atau cepat, giliran mereka pula akan tiba. Giliran untuk ke mana-mana sebatang kara.

Kalau pun ada gadis yang terselamat daripada kemungkinan yang dahsyat itu, bilangan mereka terlalu sedikit dan mendahului senarai mereka, tentulah sesiapa yang dapat berlakikan jantan Malaya nan seorang ini. Hahahah..






Selit-selit: Nak harap lelaki bungkus mata, takkan dapat. Itu sebab Tuhan suruh perempuan bungkus badan.


Wednesday, 12 September 2012

Di Antara Ahli Pengembaraan dan Ahli Pertapaan..

Kata orang-orang tua, "jauh perjalanan, luas pengalaman". Sehingga hari ini, kata-kata itu masih kedengaran dan masih menjadi pegangan kebanyakan orang - termasuklah jenis yang balik pergi ke Indonesia semata-mata untuk menghayun kayu golf. Ramai yang masih percaya bahawa semakin jauh seseorang itu berjalan, semakin banyak dia sampai ke tempat orang, maka semakin banyaklah perkara dan pengalaman baru yang dipelajarinya. 

Tetapi, itu dulu. Manusia pada masa dahulu umumnya terperangkap dalam lingkungan hidup yang cukup sempit. Perhubungan amatlah sukar, malah adakalanya mustahil. Kalau nak ke mana-mana, terpaksa meredah hutan belantara. Terpaksa berhadapan dengan harimau, gajah, khinzir hutan, ular dan segala serba serbi hidupan liar. Itu belum ambil kira segala hantu, puaka dan penunggu. Biasanya, laluan dan penghubung yang menjadi keutamaan ialah sungai yang jarang tak sejuk dan jarang pula tak jernih. Selain daripada itu, mungkinlah ada alternatif lain untuk komunikasi seperti menggunakan hantu belaan seperti hantu raya atau langsuir. Dalam keadaan begitu, yang mana tempat paling jauh 'yang hamba pernah kunjungi ialah kebun hamba di hujung desa', seseorang yang berpeluang berjalan ke tempat orang lain yang jauh tentulah dihormati dan disegani. Tak perlulah dia pergi jauh-jauh. Kalau tinggal di Kuala Kangsar, dapat pula mengembara ke Ipoh, itu pun dah kira memadai. Dah cukup untuk meruntun kekaguman jiran tetangga dan orang kampungnya. Dah cukup untuk buat modal bersembang dan bercerita sehingga orang yang mendengarnya ternganga-nganga. 

Sikap memandang tinggi pada orang yang 'jauh berjalan' ini merupakan sebahagian dari sebab kenapa pada zaman dahulu manusia suka mengembara. Tapi lazimnya, yang mendapat peluang sebegitu rupa hanyalah lelaki. Orang perempuan sekadar mengembara di ceruk dapur atau di sekitar sungai tempat dia mandi dan membasuh. Pandangan tinggi terhadap orang yang banyak pengalaman kerana jauh perjalanan itu telah menyaksikan kesediaan para ibu bapa kita dahulu bermenantukan pedagang dari Tanah Arab dan benua kecil India. Di mata orang Melayu ketika itu, pedagang-pedagang itu adalah orang-orang hebat, yang banyak ilmunya dan kelebihannya. Kena pula yang datang dari sebelah Tanah Arab, tempat yang melayakkan mereka mengaku sebagai keturunan Nabi walaupun sebenarnya mereka mungkin berketurunan hamba abdi.

Walaubagaimanapun, segala-galanya telah berubah sekarang. Kehidupan manusia itu dilingkungi oleh segala yang berbeza dari dahulu. Sangat berbeza. Hutan belantara telah menjadi hutan batu, rimba jerun dan segala air terjun telah digantikan dengan bukit yang gondol. Sungai-sungai tidak lagi boleh dijadikan tempat menaiki rakit kerana takut terlanggar sampah atau tong sisa toksid. Perhubungan? Tak jadi masalah. Ia bukan lagi isu pada zaman ini. Ia telah menjadi sebahagian dari rutin. Cerita jiran sebelah pergi ke London tak ada bezanya dengan cerita jiran yang lain telah lari berkahwin dengan perempuan Kemboja. Tak ada yang pelik. Tak ada yang menarik.


Kecanggihan hidup juga menyebabkan manusia tidak lagi perlu berjalan untuk mendapatkan sesuatu, termasuk ilmu. Malah dia tak perlu bergerak ke mana-mana kerana semuanya boleh dilakukan hatta sambil berbaring. Hanya perlu menggerakkan jari. Malah, kalau kena gaya, jika tak mahu menggerakkan otaknya sekalipun tidak mengapa. Tiada apa yang payah sekarang. Anda tidak perlu belayar atau terbang ke Paris untuk berkawan dengan dua tiga orang Perancis. Anda boleh menemui mereka di atas meja, di dalam skrin, sama ada di bilik, di rumah mahupun di dalam tandas asal sahaja ada akses internet. Untuk melihat, mengenal dan memahami gaya hidup koboi di Texas atau budaya hidup pelacur di Argentina, untuk menikmati keindahan Kashmir dan Alps, malah untuk apa sahaja, anda tak perlu bergerak walau setapak pun. 

Jadi, dengan segala perubahan cara hidup itu, berhati-hatilah bila anda menilai seseorang. Jangan fikir orang yang tidak keluar rumah, yang tidak pernah merantau dan berkelana itu sempit pengetahuannya. Dia barangkali jauh lebih hebat daripada anda. Dia mungkin kaya dengan ilmu.

TETAPI, janganlah pula anda kagum padanya berlebih-lebihan. Ingat satu, walaupun dia mungkin banyak ilmu, namun hampir pasti dia juga tidak mempunyai sebarang pengalaman selain dari kebijaksanaan dan kepandaian bermain jari di atas papan kekunci dan tetikus.

Apa nak buat kerana sesungguhnya itulah resam kehidupan sekarang. Resam yang bakal melahirkan lebih ramai ahli pertapaan daripada ahli pengembaraan.






Selit-selit: Faham atau tidak aku perli? Kadang-kadang memang tak baik takbur. Tapi adakalanya geram juga di hati aku. Boleh kutuk pelaut, katanya bahawa pelaut ini apapun tak ada. Ceh!

Haramjadah dan Melayu..

Pagi ini aku bersarapan ringkas sahaja. Ada banyak kerja di pagi hari. Nak dijadikan cerita, sekaligus menjadi topik aku dalam entri kali ini, muncullah salah seorang yang bakal bersarapan semeja dengan aku. Maka mukanya penuh dalam keadaan suram dan muram. Maka, tersembullah ayat keramat di pagi hari yang bahagia, "Haram jadah punya ******, dia ingat pangkat dia tinggi, boleh ikut suka hati maki aku?". Aku terdiam, tapi tak pula aku jadi marah sama. Aku tersenyum sendiri. Aku secara tidak langsung menjadi tempat dia meluahkan perasaan yang terbuku. Aku layankan sahaja.

Tapi bukan orang itu yang hendak dijadikan topik. Dia cuma pencetus. Sekadar pencetus cerita. Orang Melayu selalu sangat kita dengar memaki hamun orang dengan perkataan 'haramjadah'. Tapi tahu atau tidak kita mana datangnya perkataan 'haramjadah' itu? Sedap main sebut sahaja.

Kam sami' tuhum  min jaddi wa abi, sayugia asal perkataan itu adapun dari Tanah Arab. Datuk aku dahulu ada diam beberapa lama di sana, jadi dia pun membawa cerita dari sana. Salah satunya asal perkataan 'haramjadah' itu. Tersebut kisah, di sana lebih kurang di sini juga. Ada stesen bas dan teksi. Jadi di stesen ini, apabila ada bakal penumpang, soalan yang akan dikeluarkan oleh konduktor bas atau teksi ialah, "Aina tazhab ya syeikh? Haram? Jeddah?". Maksudnya, tuan, pergi mana? Tanah Haram? Jeddah?. Adapun kedua-dua tempat ini agak jauh dari satu sama lain, dan kiranya destinasi yang sangat popular. Sama kiranya kalau kita pergi ke stesen bas Medan Kidd di Ipoh (sekarang cuma tinggal bas domestik, bas ekspres di Medan Gopeng), kita akan lihat ragam konduktor bas dan teksi. Akan kedengaranlah laungan "Jusco, Jusco, Rainbow, Rainbow, Hospital, Hospital!". Begitu jugalah adanya keadaan di Tanah Arab sana.

Nampak kehebatan orang Melayu? Dapat sahaja benda pelik-pelik, terus dibuatnya bahasa kesat. Kalau bab inovasi dan daya kreatif, orang Melayu layak dapat pujian. Sama juga perkataan 'keparat', yang asalnya dari perkataan kafarat yang bermaksud denda atau tebusan. Hebat bukan? Diadaptasi sesedap rasa. Hahaha.

Namun begitu, mungkin ada di kalangan pembaca yang rasa ragu-ragu dengan entri aku. Terpulang. Boleh selidik sendiri. Aku bukan pakar bahasa, tetapi aku ada asas sedikit dalam bahasa Arab. Elok pula datuk aku banyak bercerita bagaimana 'dahsyatnya' orang Melayu, yakni bangsa aku. Cerita tentang orang Melayu sangat banyak. Kini, perkataan itu telah pun difahami oleh hampir seluruh rakyat Malaysia. Elok pula waktu Bersih tempoh hari, peserta dan polis saling memaki hamun dengan perkataan 'haramjadah' juga. Makin erat hubungan rakyat jadinya. Hahah.


Apapun, kini ia dah jadi perkataan Malaysia. Memang menjadi sangatlah kempen 1 Malaysia itu. Hahaha. Nanti aku cerita benda lain pula.




Selit-selit: Masyarakat di Malaysia sangat kreatif dan inovatif.

Tuesday, 11 September 2012

Tangkap Gambar. Cuci Gambar?

Bernafas lagi aku buat kesekian kalinya. Melihat dunia yang kian aktif dengan cara yang lebih pasif.

Macam-macam benda menarik yang makin mewarnai negara Malaysia. Dari Perhimpunan Hijau yang aku tengok makin berlawanan dengan warna biru, kemudian ada pula kes kata pengawal peribadi main acah pistol, lepas itu ada pula kes artis yang jawab bahawa mengadakan persembahan untuk syarikat arak itu adalah benda yang pernah dibuat sebelum-sebelum itu lagi. Tapi yang kurang cerdiknya, dah tahu benda tak elok, bila ditegur, tak payahlah nak buat-buat pandai. Esok lusa bila dah mati, nak tanam dalam kubur pun menyusahkan orang sebab jenazah jadi berat apa semua, baru nak tahu. Kalau suami reti mandikan mayat, siap tahu nak buat solat jenazah, bolehlah nak tunjuk pandai. Susah nak cakap. Ingat artis ini golongan bagus? Tahap intelek rata-rata tak tinggi mana. Kiranya bukanlah golongan yang patut disanjung pun.

Tapi itu bukan topik yang aku nak cerita. Benda yang aku nak kongsikan untuk entri kali ini ialah, zaman sekarang manusia suka tangkap gambar, tapi tak suka cuci gambar.

Pada hari ini aku berpeluang untuk menjejakkan kaki ke pekan. Maka berjalanlah aku dengan berbahagia. Syahadan, terlihatlah aku kepada beberapa orang manusia sibuk menangkap gambar. Bergaya sakanlah orang yang ditangkap gambarnya itu. Pelbagai aksi yang menarik. Ada yang melompat, ada yang senget, ada yang muncungkan bibir, ada yang kembungkan pipi. Pendek kata, tak ubah macam monyet. Kaum yang manakah suka berbuat demikian itu? Sayugia yang berbuat perangai seperti itu tidak lain dan tidak bukan majoritinya datang dari kaum gadis. Selesai sahaja sesi fotografi, maka si tukang pengambil gambar pun memindah masukkan kad memori kamera ke dalam laptop. Maka bersorak sorailah mereka dengan gambar yang berbagai rupa tadi.

Namun begitu, apa yang dilihat oleh aku yang berada di tepi sambil minum air, adalah sesuatu yang menarik. Selesai mereka bersorak sorai, mereka pun terus beredar sambil berkata, "Jom balik, nak?". Aku terus memerhatikan gelagat mereka. Maka, tiadalah mereka berkata hendak menuju ke kedai gambar untuk mencucinya. Lalu, usai dari itu, aku pun pulang semula ke tempat yang sepatutnya. Aku bertanya pada pakcik aku, yang juga seorang pengambil gambar, tentang mengapa orang tak ramai dah yang cuci gambar. Maka kata beliau, entahlah. Mungkin kerana nak letak di Facebook sahaja. Atau letak di bingkai gambar elektronik.


Jadi aku diam. Memikirkan keadaan. Makanya, adalah tidak hairan nanti industri mencetak album gambar akan bankrap. Tukang-tukang cuci gambar akan kehilangan punca pendapatan. Dalam situasi lain pula, takkan ada lagi acara nak tunjuk-tunjuk album gambar pada kawan-kawan ketika mengunjungi rumah di masa hadapan. Tak ada lagi aktiviti mengirim gambar pada teman wanita atau tunang melalui pos. Semuanya lungkup dan lingkup kerana teknologi yang kita guna secara begitu sahaja. Malah aku percaya ada di antara kawan-kawan aku yang tidak mencuci gambar di hari raya mereka. Semuanya tersimpan di dalam benda yang dipanggil cip memori, dalam pelbagai bentuk.

Entahlah. Gambar itu satu seni. Orang-orang yang tahu menghargai gambar-gambar mereka, tahu cara menyimpannya dengan baik. Peralatan elektronik, kalau dicelup dalam air, risiko untuk rosak sangat tinggi. Itu belum kira virus apa semua. Tapi yang bercetak itu lebih tahan lama. Paling tidak, jika tak hilang, masih boleh dilihat untuk 20-30 tahun akan datang. Anak cucu anda akan rasa gambar yang ditangkap dari kamera canggih anda hari ini sebagai 'old school'. 

Apapun, fikir-fikirlah. Apa-apa yang kita tempek atas kertas selalunya akan tahan lebih lama. Sama macam kitab-kitab. Sampai sekarang masih kekal dan dipelajari. Begitu juga gambar. Maka, fikir-fikirkanlah mengapa kita dah tak suka cuci gambar, tapi beria nak belajar tangkap gambar.







Selit-selit: Mak aku dan pakcik aku suka betul cuci gambar. Walaupun mereka tak hebat menangkap gamabr. Cukup quota, terus hantar ke kedai. Seronok sebab aku tahu album itu nanti akan menceritakan banyak kenangan dan peristiwa.

Selit-selit: Dulu, hobi fotografi ini luas. Dari tangkap gambar, sampailah mencuci gambar. Semua dipelajari. Sekarang? Ramai yang tahu menangkap gambar sahaja. Kalau tanya teori bagaimana nak cuci gambar guna negatif, haram tak tahu.


Monday, 10 September 2012

PDRM, Moral dan Perkongsiannya..

Untuk entri kali ini, aku nak berkongsi sedikit perkara yang aku rasa sedikit terkilan iaitu tentang masyarakat di Malaysia yang suka sangat mengherdik, mencaci dan segala-gala perkataan yang berkaitan dengannya terhadap Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Jangan nak kata aku ini penyokong tegar kerajaan apa semua. Aku menyokong pembangkang (kalau tengok entri aku yang lepas-lepas patut anda dah tahu), tetapi dalam hal ini, aku rasa aku perlu kongsikan sedikit.

Sejak dari umur aku sehari, sampailah sekarang, aku hidup di kalangan masyarakat yang rata-ratanya anggota PDRM. Mereka ini ialah penjawat awam yang menjalankan tugas-tugas yang diberi berdasarkan undang-undang yang telah sedia ada di Malaysia. Aku lihat ada segelintir masyarakat kita, menggelar PDRM ini sebagai 'anjing kerajaan', 'pemakan rasuah', 'samseng beruniform', dan sebagainya. Tetapi sedar atau tidak kita bahawa dah 200 tahun lebih pasukan ini membantu rakyat Malaysia?

Ya, kalau kita lihat video-video yang dipetik dari Perhimpunan Bersih, aku tak nafikan ada jenis-jenis polis yang memang melampaui batas etika. Ada juga di antara mereka, sifatnya seperti binatang. Akan tetapi tahukah kita mengapa mereka jadi begitu? Sebelum apa-apa, kita lihat dahulu siapa di belakang mereka dan siapa yang 'membasuh minda' mereka sehingga anggota-anggota polis ini sanggup bertindak di luar batasan adab manusia. Masih ingatkah kita peristiwa Memali? PDRM menyerang kampung yang ada Ibrahim Libya sampai ramai orang kampung yang tiada dosa mati. Dalam peristiwa ini, pihak polis menerima laporan bahawa ada kubu komunis di kawasan itu. Yang beri laporan dan arahan untuk musnahkan kampung itu siapa? Rasanya dah boleh buka sedikit minda kalian yang membaca.


Aku pernah hidup susah bersama mereka. Kalian yang mengatakan bahawa polis itu semuanya makan rasuah, pernah atau tidak bercampur dengan kelompok polis yang mencari rezeki halal? Yang menerima rasuah terlalu sedikit bilangannya. Sama macam penjaga gol, kita takkan kira berapa banyak bola dia mampu tepis, tapi kita salahkan dia pada satu gol yang bolos. Di kalangan anggota yang aku kenal, ada yang membuat kerja sampingan sebagai pencari besi buruk. Ada yang pernah diberi amaran kerana buat kerja sambilan sebagai pemandu bas ekspres. Ada yang aku pernah lihat datang kerja dengan motosikal kerajaan kerana tak cukup duit untuk isi minyak motor selepas bagi duit belanja sekolah pada anak-anak. Ada yang tetap pergi kerja dalam keadaan sakit demi tidak terlepas elaun perjalanan untuk buat beli buku kolej anak. Pernah kalian tengok? Mereka hidup begitu rupa, tetapi hati mereka senang. Anak-anak mereka berjaya. Jurutera? Doktor? Guru? Pegawai-pegawai kerajaan? Malah ada yang kembali menjadi pegawai kepada bapa sendiri. Kalian tak lihat semua itu. Yang hanya tahu mencari salah orang, tetap mencari salah orang.

Apapun, aku tetap tahu dan sedar bahawa yang memang kepalanya tahap tegar untuk mengatakan PDRM tak guna dan sebagainya, amat sukar nak diubah. Tambahan pula, ada kira-kira 28 juta penduduk Malaysia sekarang. Tak sampai berapa kerat sangat yang nak baca dan ambil tahu. Tapi aku tetap taip kerana aku tahu PDRM dan perkhidmatannya itu tak lain dan tak bukan untuk rakyat Malaysia juga.

Walaubagaimanapun, jika ada di antara kalian ini adalah anggota PDRM, atau ahli keluarga anda ada yang berkhidmat dalam PDRM atau sekadar ada kenalan di dalam pasukan itu, harus ingat satu perkara; orang-orang tua dahulu pernah berpesan, kerana setitik nila habis rosak susu sebelanga. Kerana ada anggota dalam pasukan itu yang tak berapa nak ada sivik dan moral yang baik, habis nama orang lain busuk sama. Jadi, sekiranya ada jumpa di antara mereka itu yang akhlaknya tahap budak yang patut kena rotan, sila tegur mereka. Kalau mereka menjawab dengan alasan yang klise seperti "kau tak payah nak jaga tepi kain orang, kubur lain-lain", sila jawab seperti ini, "memang kubur lain-lain, tapi yang nak mandikan mayat kau esok lusa, nak tanam kau bila mati nanti, orang-orang yang tak sekubur dengan kau.". Begitulah adanya.






Selit-selit: Salah tetap salah, dan hendaklah diperbetulkan. Tak kiralah dari mana datangnya sekalipun.


Sunday, 9 September 2012

Menghilangkah Aku?

Lama jari jemari aku tak menekan papan kekunci. Lama juga aku tak menjengah apa dah jadi dengan blog aku. Sebelum puasa lagi, jari jemari aku dah puasa terlebih awal. Sebabnya? Ada beberapa orang sahaja yang tahu. Apapun, sekarang sedikit sebanyak aku rasakan dunia berputar lebih laju dari semalam, lebih pantas dari sebulan dua lepas, dan sememangnya berlalu dengan cepat kalau dibandingkan dengan setahun lebih yang lalu. Dunia dan isinya makin menarik. Aku? Turut dihayun bersama dengan kepantasan, kelajuan dan kecepatan masa yang berlalu. Tanpa aku sedar.

Cukup setakat itu. Aku rasakan masih ada lagi masa untuk aku ucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri kepada pembaca, rakan-rakan, kenalan, yang masih rasa aku ini kawan ataupun tidak, tak terkecuali walau seorang pun. Ke mana aku menghilang dan apa yang kerjakan, itu rahsia buat masa sekarang. Maka, ada beberapa perkara yang suka untuk aku ceritakan dan kongsikan bersama. Tak ada sebarang nasihat atau apa-apa untuk entri kali ini kerana jari-jemari aku baru nak 'warm-up'.

Pertama: Aku mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih beriringan dengan sekalung penghargaan yang tidak ternilai kepada si dia kerana menyedarkan aku bahawa hidup ini tidak harus terus-menerus diselubungi kejahatan dan kenistaan. Antara sedar dan tidak, dia memberikan aku satu peluang untuk aku melihat ke hadapan dengan keyakinan baru untuk mencari satu kehidupan yang diredhai Tuhan. Sungguh, aku bukan yang terbaik. Aku pernah melampaui batas untuk diri sendiri, dan aku tidak akan berhenti bernafas hanya kerana itu.

Kedua: Pernah dapat 'notification' dalam Facebook memberitahu ada orang 'like' post ucapan selamat hari raya anda setelah 669 hari anda post? Menarik bukan? Memang bunyinya pelik. Manusia bertuah ini memang nak kena. Apapun, rasa seronok juga. Kalau dah muka kacak macam aku, tak kira lelaki atau perempuan, mesti ada tindakbalas punya. Hahah. Hati sekeras kerikil sekalipun, kalau dah aku curah asid hidroklorik hari-hari, akhirnya bertebuk juga. Begitulah perumpamaannya. Manusia zaman sekarang memang suka buat cerita ala-ala novel. Tak kiralah lelaki atau perempuan, tak jauh beza. Cuma kaum aku lebih baik sikit dari yang sebelah sana.

Inilah Ina. Kawan aku. Bukan teman wanita.
Ketiga: Buat pertama kalinya dalam hidup aku menjejakkan kaki ke I-City di Shah Alam, Selangor. Asalnya ada kenduri kahwin, tapi disebabkan jauh, maka bermalam di rumah kawan. Maka di sebelah malamnya, agak bosan jadi berangkatlah aku, Khairuddin, Syaqiera @ Ina, dan Ika menuju ke I-City. Kalau aku tahu dari awal trafiknya sesak, jenuh nak beratur untuk letak kereta, takkan aku pergi. Kena pula letak kereta kawasan tanah merah dan perlu bayar RM10. Rasa macam  tak patut. Alih-alih, yang aku tengok tidaklah sehebat mana macam dalam gambar-gambar kawan-kawan aku yang pernah aku tengok. Penuh sesak dengan manusia. Nak berjalan pun susah. Aku pernah masuk Snow City di Singapura, bayarannya pun tak semahal di I-City. Siap cantum dengan Pusat Sains lagi. Apapun, begitulah perjalanan aku.

Keempat: Setelah 6 tahun tak bersua muka, tak bertepuk tampar, akhirnya aku bertemu dia kembali. Namanya panggilannya Aja. Dulu besar. Sekarang bertambah cantik. Geram aku tengok pipi dia. Hahah. Berkawan sejak dari kem Wilderness di Langkawi pada tingkatan 4, kemudian berhubung guna telefon, Facebook, siap pernah hilang lagi, jumpa balik, akhirnya dapat sarapan pagi dengan dia di Bangi. Itupun aku dapat peluang sebab aku pergi I-City. Waktu nak berangkat, melencong sekejap ke Bangi. Orangnya pandai. Ambil jurusan tentang penerbangan apa entah. Yang aku pasti kira asas kerjanya pengurusan di lapangan terbang. Hebat. Apapun, aku harap dia sihat dan ceria-ceria selalu.

Kelima: Syahadan, adapun terdetiklah aku nak berhubung dengan rakan-rakan, sahabat-sahabat lama di bangku sekolah rendah dahulu, SKTR. Aku di sekolah rendah dulu, baik. Sampai sekarang pun baik juga. Jadi, aku dapat tahu salah seorang kawan aku buat kenduri kahwin. Zaman sekarang ramai kahwin muda. Tak nak rugi umur katanya. Apa-apalah. Disebabkan aku sedikit terlewat, maka aku pun ajak kawan-kawan berkenduri di kedai makan di Tambun. Maka, berhari rayalah kami. Yang ada pun tak ramai. Aku, Rashdan, Aliff, Amir dan kembarnya, Syukri, Faliq, Abu Huzaifah dan rasanya ada seorang lagi. Tak ingat aku. Aku rasa kerdil sangat sebab majoriti mereka dah jadi Al-Hafiz. Al-Quran dah melekat dalam kepala dan jiwa. Nampak dari jauh macam K-Pop, ada yang gaya macam mat rempit baru lepas keluar lokap, tapi ilmu di dada tahap boleh sebat-sebat Imam Muda. Begitulah adanya. Bercerita hal sekolah, cikgu-cikgu, rakan-rakan yang hilang dan segala kenangan yang ada. Hebat rasanya. Dari sekolah biasa, siapa sangka dah nak ambil Master, jurusan agama tahap dalam punya. Segan aku. Setakat nak suruh jadi khatib Jumaat, aku rasa dia boleh senyum sinis lagi. Nak nikah? Khutbah nikah pun mereka boleh baca sendiri. Apapun, aku sayang kawan-kawan aku. Dan yang paling hebat aku perhatikan ialah, pelajar-pelajar lelaki dahulu yang akan jadi buruan cikgu, yang akan jadi mangsa pembaris kayu berwarna kuning, dah jauh lebih hebat dari pelajar-pelajar perempuan. Kalau yang kasar sikit, ramai budak lelaki yang jadi orang, dan ramai perempuan dah nak jadi beruang. Nampak? Dah aku kata lelaki memang jauh lebih hebat dari perempuan. Tak payahlah nak perjuangkan sangat 'hak persamaan gender' yang anda gembar-gemburkan sangat itu. Hahah. Begitulah adanya.

Sedikit sebanyak aku menaip ini, aku rasa bahagia. Rasa sedikit ruang untuk aku kecapi rasa rahmat Tuhan yang aku selalu lupakan. Aku harap Tuhan takkan menyentap buang rahmatNya dari aku dan orang-orang yang aku sayangi. Aku harapkan kebahagiaan ini takkan pernah putus, malah ditambah beriringan dengan keberkatan dariNya.