Friday 23 March 2012

Wanita dan Berat Badan..

       Pada entri lepas aku katakan bahawa aku akan kemaskinikan blog selepas aku selesai konvokesyen. Akan tetapi, disebabkan aku ada capaian internet dan aku agak banyak kekosongan masa, aku taip lagi. Macam aku katakan, aku cerita, kupas atau ulas perkara-perkara yang terjadi di depan mata aku atau aku alaminya sendiri. Ada sesetengah manusia berpendapat bahawa jangan percaya apa yang mata kita lihat. Tapi masalahnya, orang yang berkata demikian itupun, aku tak percaya. Ini nak disuruh menidakkan kepercayaan terhadap mata aku sendiri.

Tinggal sehari lagi sebelum aku naik ke pentas untuk terima diploma dalam jurusan Pengajian Nautika. Dah kira-kira empat lima hari berlatih raptai untuk konvokesyen. Raptai penuh dengan uniform lengkap pun dah dibuat. Dan dalam masa ini jugalah aku melihat pelbagai ragam manusia. Pada hari pertama aku daftar masuk, aku ada dengar ramai yang mula mengambil langkah yang hebat dalam menurunkan berat badan. Terlalu bimbang dengan peningkatan berat badan yang kadar kenaikannnya sama berat dengan sepaket biskut meri. Atas kebimbangan dan kesedaran itu, mereka mengambil langkah yang cukup drastik. Sebelum aku meneruskan cerita, haruslah ditegaskan di sini bahawasanya perkara ini tidak berlaku di kalangan orang yang sejantina dengan aku. Mereka-mereka ini terlalu bimbang dengan peningkatan berat badan. 

Aku ada dengar seorang kawan perempuan kepada teman aku yang berkata begini, "lantaklah nak gemuk pun, janji senang hati...". Itulah kata keramatnya yang disebut di hadapan aku. Pada sebelah malamnya, kami pergi ke Kolam Air Panas Gadek di Melaka. Nak dijadikan cerita, apabila jejak sahaja kaki ke dalam, terus-terus kawan teman aku itu bersuara yang mafhumnya, "eh, gemuk sangat ke Ra**ah ni?"(nama sebenar harus aku rahsiakan), dan pertanyaan itu buat aku terfikir. Terfikir apa yang bermain di pemikiran orang perempuan. Biasalah, standard pemikiran mereka tak banyak jauh beza, balik-balik itu juga tapi aku nak tahu apa yang sangat-sangat merisaukan dia dengan kenaikan berat badan. Kalau berat itu boleh membahayakan kesihatan, aku tak peduli sangat. Tapi macam aku cakap tadi, kenaikannya adalah sama ringan dengan sepaket biskut meri.

Jadi, atas kebimbangan golongan itu dan ditambah pula ketaksuban mereka dengan berat badan, maka muncullah satu golongan manusia yang mengaku pakar, hebat dan cerdik pandai; menghasilkan pelbagai jenis formula kimia yang dikatakan boleh dijadikan pil kurus, ubat-ubatan dan bermacam lagi. Malah, tak cukup dengan itu, mencipta pelbagai jenis mesin dan alat mekanikal, hanya bertujuan untuk membantu mereka menguruskan badan. Dalam hal ini, aku sedikit seronok kerana kebanyakan ubat-ubat dan alat-alat mekanikal yang dikatakan membantu itu direka dan dihasilkan oleh orang yang tak kurus. Ironinya dunia. tak cukup dengan itu, penulis-penulis blog, terkenal atau tidak, banyak yang menaip fakta dan tips semata-mata untuk mengajar orang bagaimana untuk menjaga berat badan. Ya, aku tak nafikan penjagaan berat badan itu salah. Tetapi kalau sudah kurang dari berat badan ideal, apa namanya itu? 

 

Lantas, yang menjadi mangsa, dah tentu-tentu orang yang berada di sekeliling. Kerana hendak kurus, suami dan anak-anak terpaksa berlapar sama sebab isteri mogok tak nak makan sebab baru lepas timbang dah naik dua gram. Ada pula suami yang pening kepala sebab lantai rumah dah berlekuk-lekak gara-gara alat senaman mekanikal di rumah. Ada pula yang sanggup berhabis ribuan ringgit nak pergi ke pusat kecantikan untuk merampingkan pinggang. Kalau dah tulang pinggang jenis genetik sama besar dengan kerbau balar, dah tentu-tentu buat macam mana pun takkan ramping. Entahlah. Ada juga segelintir dari kaum aku yang dirasuk dengan pemikiran orang perempuan. Malah ditambah pula dengan mengambil segala jenis susu dan formula untuk otot-otot berkembang  dan pejal. Pada sesetengah orang itu bermaksud gagah dan sebagainya, tetapi aku sebagai orang yang sukakan air, aku berpegang pada kata-kata ini, 'muscle doesn't float'. Itu sahaja. Begitulah adanya sedikit sebanyak. 

Lumrah, perempuan hendak kelihatan cantik. Aku sendiri sukakan perempuan yang cantik, lawa dan macam-macam. Rata-rata kaum aku sukakan begitu. Tetapi dari menghabiskan duit dan membazirkan tenaga, apa kata kalau mula rajin-rajinkan diri buat benda lebih berfaedah dan mendatangkan hasil yang sama? Bagaimana kalau mula menebas kebun sendiri tanpa perlu upah orang? Atau boleh juga potong atau cabut rumput di halaman rumah. Basuh kereta sendiri dan tak perlu hantar ke tempat cuci kereta. Dah tentu-tentu ekonomi kita menjadi lebih baik dan tubuh badan rasa lebih berbahagia. Pada yang muslim, apa kata kalau mula mengamalkan cara pemakanan Rasulullah dan mula banyakkan solat sunat untuk menambah senaman yang sedia ada? Nampak dah? Aku faham. Aku lelaki. Lelaki ini akalnya banyak. Biasalah.

Tetapi, disebabkan aku dianugerahkan dengan akal yang cerdik dan pandai ini, ada satu lagi cara nak kurus melidi tanpa keluar sesen duit pun, malah tanpa perlu keluarkan tenaga pun. Caranya, beri kaum aku itu kahwin satu, dua atau tiga lagi....

Sunday 18 March 2012

Dunia, Inovasi, Islam dan Manusia..

Aku panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Pencipta aku kerana masih memberikan aku peluang untuk terus berdiri dan berjalan dengan sempurna di atas muka bumi ini. Ini mungkin entri terakhir dari aku sebelum aku ke kampus untuk menjalani latihan konvokesyen. Selepas selesai, barulah aku akan kembali balik ke dunia siber yang serba menyerabutkan ini.


Hari ini aku sedikit terkejut dengan satu perkara baru dalam hidup aku. Jam tangan berlandaskan Islam. Itulah intro yang ditempelkan ke atas muka aku apabila aku menjadi sedikit bodoh-bodoh alang apabila melihat sesuatu yang di luar sistem pemahaman aku sebagai manusia normal yang lahir pada tahun 1990. Sejak aku lahir, aku hanya belajar dan memahami bahawasanya jam itu jarum-jarumnya bergerak dari arah kiri ke kanan atau lebih senang disebut oleh bayi berusia lapan bulan sebagai 'clockwise'. Sekarang ini, istilah itu harus sahaja diteliti semula. 'Clockwise' sudah sama sahaja dengan 'anticlockwise'. Jam 'berlandaskan Islam' itu, jarum-jarumnya bergerak dari kanan ke kiri; melawan arah jam biasa yang kita gunakan. Katanya mengikut cara pergerakan kita tawaf di sekeliling Kaabah. Jadi dikatakan bahawasanya mereka mahu mengubahsuai sedikit ciptaan jam yang normal kerana tidak mahu mengikut cara orang bukan Islam. Aku tak bermaksud untuk menyentuh soal agama, tetapi sekadar untuk memberitahu secara telus dan jujur. Aku tak nafikan, Rasulullah sukakan cara pergerakan itu, malah kalau kacau teh tarik pun elok kalau menggunakan pergerakan sedemikian rupa. Tetapi tidaklah menjadi salah sekiranya kita buat dengan cara lain. Itu terpulang pada individu.




Apa yang terlintas di pemikiran aku melihatkan perkara itu? Mungkin ada yang tahu kewujudan jam ini lebih awal dari aku. Tak kisahlah. Apabila aku lihat jam itu, lantas beberapa perkara terus melintas dengan laju di pemikiran aku. Bagaimanalah hendak mengajar kanak-kanak di sekolah rendah atau tadika melihat jam selepas ini? Tidakkah mereka akan terpinga-pinga melihat guru-guru kesayangan mereka menunjukkan jam yang 'clockwise' di sekolah, tetapi di rumah jam yang ada tergantung di dinding bergerak secara 'anticlockwise'? Tidakkah pula mereka akan berpakat mengatakan bahawasanya guru-guru mereka tidak mengikut peredaran dunia? Apakah mereka akan berakhir dengan tidak tahu membaca jam sampai tua? Hahaha. Mungkin. Mungkin juga selepas ini kementerian pendidikan akan pening kepala kerana hanya mampu mengajar murid-murid menggunakan jam digital sahaja. Mungkin juga akan ada inovasi baru bahawasanya jam digital akan berubah dengan menggunakan angka-angka arab dan mengelirukan kanak-kanak apabila melihat titik itu bermaksud kosong. Inovasi-inovasi yang dahsyat impaknya kerana berlandaskan Islam. 


Kalaulah ada bakal-bakal guru yang membaca entri aku ini, pastinya akan berfikir sama. Malah mungkin jauh lebih merepek dari apa yang aku fikirkan. Jika ada, kongsikan entri ini bersama kawan-kawan yang sealiran. Letaklah di laman sosial lain. Biarkan mereka baca dan fikir sama-sama. Tak mengapa. Fikirlah sehingga menjadi bukan-bukan dan bergelak ketawalah seorang diri. Kadangkala seronok berbuat begitu. Aku tidaklah pula mengajak kalian menjadi gila tetapi pemikiran mustahil itulah yang banyak membuahkan pelbagai idea yang manusia lain tak terfikir. 




Kerana itu juga, aku memberhentikan motosikal aku hari ini dan menenangkan jiwa aku di tepi jalan. Nampak gambar yang ada di atas? Aku sayang orang yang beri baju itu pada aku. Sambung balik. Aku berehat kerana terlalu banyak berimaginasi sehingga aku gelak-gelak dan keadaan aku menunggang menjadi sedikit merbahaya. Tak mengapa. Itulah sedikit yang hendak aku kongsikan. Mungkin selepas ini akan ada bermacam-macam benda yang pelik, hairan dan ajaib lagi ganjil akan diinovasikan atau dicipta. Akan ada segelintir manusia yang akan muncul membawa pembaharuan yang kecil tetapi memberikan impak yang tidak sedikit.


Aku yakin, bahawasanya dunia ini sentiasa sahaja bergerak dan segala yang berubah-ubah akan tetap berubah. Segala yang tetap di tempatnya, akan tetap teguh di tempatnya walau apapun yang melanda. Itulah dunia dari kaca mata aku yang tidak berkaca. Moga dunia dan segala isinya harmoni..

Sunday 11 March 2012

Aku yang baik di tengah-tengah pancaroba dunia..


Aku mulakan penaipan aku kali ini dengan memanjat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat tuhan kerana masih memberikan aku peluang bernafas secara percuma. Masih tidak lagi meninggalkan dunia yang semakin kurang difahami oleh aku kerana manusia semakin ramai yang mana turut menambahkan lagi ramainya perangai yang pelik-pelik aku jumpa. Tak mengapa. Pelik-pelik dan bukan-bukan itu selalunya tidak datang dari orang yang sejantina dengan aku. Orang yang diiktiraf mempunyai akal yang banyak tetapi nafsu yang terlalu sedikit.

Setelah berbulan-bulan aku meninggalkan kampung halaman dan saudara-saudara serta rakan-rakan yang berdekatan dengan aku, banyak yang tak percaya aku sekarang dah jadi baik. Maksud aku bukanlah seperti hero yang pakai topeng dan terus-terus selamatkan orang bila dengar jeritan 'Tolong! Tolong!'. Aku juga bukanlah jenis baik yang bila nampak rumah orang retak terus sahaja nak bancuh simen untuk tolong betulkan. 

Dalam hal-hal serupa itu, tak mampulah aku lakukan tetapi hal-hal lain memang aku dah sedia baik. Begitulah halnya dengan sedekah jariah, memberi makan kucing di kedai makan dan juga berdiam diri bila tersedar bahawa aku bercakap dengan orang yang sedang melayari internet yakni bila aku bertanya dikatanya tidak dan benda itu terlihat oleh aku apabila aku mengaktifkan sekejap akaun yang telah lama terkubur pagi tadi dan aku lihat masanya itu tepat pada waktu perbualan yang berulang kali aku tanya sedang buat apa. Dan sesungguhnya baik aku ini apabila tidak marah namun terus tersenyum walaupun pada dasarnya perbuatan seperti itu sedikit sebanyak mampu membuatkan orang rasa sedikit terguris. Malah kalau ada yang berbuat kesilapan pada aku, aku ampunkan sebelum aku tidur; bimbang nanti susah nak minta ampun kalau aku pergi tiba-tiba.


Kalau kebaikan itu diukur dari sifat ramah-tamah, sekali lagi aku terpaksa mengaku bahawa aku dah sedia baik. Ramahku memang layak diklasifikasikan sebagai 'tiada bandingan'. Malah sifat ramah aku pula tidak melihat pada sebarang had umur, darjat atau apa-apa. Cuma dari segi jantina aku sedikit berjaga-jaga. Bukan apa, kita sendiri tahu apa kesannya.

Lalu baik yang bagaimana aku maksudkan? Aku sendiri tak tahu nak cakap. Yang pastinya, aku ini memang baik sangat. Dah nak masuk tahap iman terpuji dah. Punyalah baik sehingga kawan aku cakap aku ini dah buang tabiat. Dah nak mati katanya. Mula-mula, cemas juga bila dikatakan macam itu. Tetapi setelah dua tiga hari aku perhatikan kadar denyut nadi dan tanda-tanda mati yang tidak muncul, aku teruskan kebaikan aku itu. Ya, aku memang dah baik dan itu tidak mampu lagi untuk dinafikan. Buktinya, sekarang ini aku dah tak main 'cilok-cilok' lagi. Dah berhenti keluar dengan orang berlainan jantina sehari tiga empat insan. Aku dah tak jeling-jeling anak dara orang. Kalau tengok pun, sekadar dengan ekor mata. Dah tak bunyikan hon motor atau kereta bila nampak gadis-gadis di tepi jalan. Jika ada yang terlanjur menyapa dan bertanya, aku sekadar menjawab dengan selamba, bukan lagi dengan cara waktu zaman dahulu kala yang penuh dengan beria-ia yakni di waktu zaman aku belum betul-betul baik. 


Lebih dari itu, aku dah menjadi seorang lelaki yang amat taat setia. Tidak pernah tipu-tipu. Apa sahaja aku buat aku akan laporkan pada teman hidup aku nan satu itu secara tepat dan terperinci. Kalau beritahu baru lepas makan mee, berapa helai mee itupun aku beritahu. Berapa liter kuah mee pun akan aku sukat untuk beritahu. Kalau tiada hal, aku lebih banyak memerap di rumah, tak lagi bersiar-siar sambil mendenak 'burung' seperti masa-masa lalu. 

Malah, kalau diikutkan tahap piawaian dunia, aku ini dah sesuai sangat dah untuk dijadikan suami dan diambil untuk dijadikan anak menantu. Dan aku sebenarnya terlalu rela untuk diperlakukan begitu. Memang aku dah baik sangat-sangat.

Kenapa aku jadi baik sejak setahun lepas? Macam mana aku boleh berubah sampai begini sekali? Ke mana hilangnya sifat-sifat kasanova yang sikit-sikit ada juga pada aku? 

Aku tak pasti. Tetapi aku cukup yakin, di sebalik apa pun yang terjadi pada seorang lelaki, pasti ada seorang perempuan di sebaliknya. Macam kawan aku yang masuk bawah lori bersama-sama motor kesayangannya. Walaupun dia menunggang sendirian, namun setelah diteliti dan diperiksa secara mendalam, ternyata ada seorang perempuan di sebalik kejadian itu. "Mula-mula aku nampak perempuan muda kat tepi jalan, tapi tiba-tiba dia terbang melayang depan motor aku. Apa lagi, aku terus pulas minyak dan akibatnya aku sedar aku ada bawah lori ayam..."

Aku juga tak terkecuali. Aku tahu sangat segala perubahan mendadak yang sejajar dengan anjakan paradigma yang melampau ini sedang berlaku disebabkan oleh Cik Ikin aku. Dan kerana aku ini bukan gay, mala sudah tentulah dia itu seorang perempuan. Nak tambah sikit, seorang perempuan yang cantik dan sentiasa sahaja membuatkan aku menitik-nitik...

Ya, aku banyak berubah kerananya. Aku dah lakukan banyak perkara baik demi kerananya.

Ahhh.. Kalaulah kerana seorang perempuan aku boleh menjadi sebaik ini, bayangkanlah jika aku mempunyai beberapa orang perempuan. Tentu-tentu sahaja aku akan menjadi teramat-amat baik, mulia dan budiman lagi terpuji....

Wednesday 7 March 2012

Penapis Air BioAura NanoTech..

Hari ini aku boleh dikatakan tak berapa nak upaya. Apapun, aku ada benda nak diiklan sikit pada sesiapa yang baca bahagian ini.

Aku nak jual Penapis Air BioAura berteknologi Nano atau lebih senang disebut sebagai 'BioAura NanoTech Water Filter'. Harga asal, RM2080. Aku ada 3 unit lagi dan semuanya baru dan ada warranty. Jadi, untuk 3 unit ini, aku buat stock clearance terus dengan harga RM800 seunit. Itupun aku boleh runding harga lagi. Kalau ada yang boleh dapatkan pembeli, ada komisen sikit. Begitu sedikit sebanyak. Di bawah ini gambar bendanya.



Tentang penghantaran, untuk yang berada di kawasan Ipoh-Kuala Kangsar-Taiping, aku sanggup hantarkan dan buat pemasangan percuma. Untuk yang diluar kawasan, segala kos penghantaran ditanggung beres. Sebenarnya, pemasangannya cukup mudah.

Kebaikan penapis air ini, aku sendiri dah pakai lebih kurang 2 tahun. Airnya beralkali tapi tidaklah sama macam air zam-zam. Air yang ada tak perlu dimasak dan ianya dah diuji lebih baik dari air mineral biasa. Kalau rasa ragu-ragu, boleh cuba selidik sendiri di mana-mana laman lain. Kalau rasa nak buat mak atau makcik atau sesiapa yang korang sayang gembira dan ceria, cuba tunjuk benda ini. Siap ada 6 penapis berasingan untuk pastikan air yang nak diminum bersih. Kalau berminat, boleh terus tinggalkan komen di bawah. Dah tahap diskaun maut, jadi rugi rasanya kalau lepaskan sedangkan rumah masih tiada penapis air.

Tuesday 6 March 2012

Sejarah dan Hari Ini..

Aku taip lagi. Ada manusia yang mengeluarkan bunyi-bunyi seakan tak puas hati. Biasalah, orang cerita tentang apapun, tetap ada segelintir manusia yang tak puas hati.

Sekian aku menaip beberapa kisah dan cerita, tak pernah pula aku usik tentang zaman kanak-kanak aku. Dulu, waktu aku meningkat usia remaja, aku bersekolah di sekolah berasrama. Di mana letaknya, biarlah aku simpan sendiri. Jadi, pada waktu aku meningkat remaja itu, aku mula menjaga diri aku dengan begitu baik sekali. Ini boleh dilihat dengan sifat aku yang cukup tak suka dibasahi hujan dan panas terik. Alasannya mudah, takut basah dan takut panas. Hatta kalau guru atau warden aku suruh ambil apapun, yakni jalannya perlu menempuh hujan atau panas itu, memang takkan aku lakukan. Walaupun hujannya sekadar dua tiga titik. Atas alasan itu juga, ketika atas kapal dulu, aku selalu ponteng kerja. Bukan kerana aku malas, tapi aku tak suka panas dan hujan. Kadang-kadang aku menghilang atas alasan hujan ataupun 'dah nak hujan'. Mungkin akan ada yang berkata bahawasanya aku ini jantan manja dan sebagainya, tapi aku tak peduli kerana sebab-sebab yang lebih kompleks takkan ada orang ambil berat.

Aku tak ingat apa yang kami tunggu..
Berdasarkan sejarah-sejarah ringkas di atas itulah, aku teringat akan suatu tarikh keramat. Tarikh yang menyaksikan segala-galanya. 19 Februari - hari yang mana hujan mula menggila di kawasan Tanjung Bidara. Longkang-longkang dan parit-parit di seluruh kawasan itu mula meninggi dengan air hujan yang lebat, beriringan dengan pancaran kilat yang meriah bagai pertunjukan bunga api yang lebih sinonim dengan amalan bakar duit. Kesejukannya mula hendak menyerang ke tubuh aku yang dah mula takut. Tidak aku pedulikan lagi payung atau baju hujan yang tidak lagi boleh diharap. Segalanya melakar sejarah yang cukup hebat.

Aku berjalan dan terus berjalan walaupun menggigil kesejukan.
Aku teruskan langkahan di dalam tirai hujan itu walau langkah mula menjadi berat dan perlahan.
Sendirian?

Heh! Kalau diupah dengan lapan sembilan ratus guni beras sekalipun, walau dinaikkan gaji tujuh lapan puluh peratus setahun sekalipun, walau diupah dengan apapun, aku takkan meredah hujan itu bersendirian. Pantang betul aku nak meredah hujan begitu seorangan. Namun begitu, tidak pula aku sanggup meredah lautan hujan itu bertiga, berempat, berlima, berenam atau ber apapun yang melebihinya. Ya. Aku meredahnya berdua. Tidak lain dan tidak bukan, tentulah dengan Cik Ikin aku.

Dengan Cik Ikin aku, terus sahaja aku redah hujan itu.

Pemandangan Boston dari atas kapal aku

"Untuk you, lautan api sanggup I renangi", aku pernah dengar orang berkata begitu pada pasangannya. Pernah juga aku tengok orang yang melafazkannya itu jenis orang yang akan menyumpah seranah dan mengamuk sakan hanya kerana terkena percikan abu rokok atau percikan air yang dilanggar oleh kereta. Dahulu, lebih kurang campur tolak, aku pun begitu juga.

Tetapi, tarikh keramat itu mengubah segalanya. Kalau kena dengan orang dan caranya, nampaknya aku juga adalah tergolong dalam kategori lelaki yang boleh meredah lautan api. Lagipun, apa sangatlah api. Air lebih merbahaya kerana lebih banyak manusia mati kerana disebabkan air. Jadi, aku tak kisah sangatlah. Redahlah apapun. Asalkan dengan Cik Ikin aku.

Sekarang, aku rasa seronok. Pasti dan sah tentu dia akan kata, "beruntungnya aku ada dia sebagai peneman aku."

Sebenarnya, tak kira sesiapapun, memang akan rasa cukup beruntung kalau dapat jantan nan satu ini....

Satu lagi, secara tiba-tiba aku jumpa benda pertandingan dari Mountain Dew. Seronok aku tengok. Cuba-cuba klik dan baca sendiri dulu. Pertandingan Mountain Dew

Saturday 3 March 2012

Pelayaran Hidup..

Hujung minggu lagi. Hari ini tak banyak aktiviti yang aku buat, melainkan tengok skrin televisyen dan tatap telefon bimbit kalau-kalau ada mesej atau panggilan yang masuk. Ditunggu sangat itu tak lainlah yang nan seorang itu. Aku lelaki, walaupun terasa sunyi dan tertanya-tanya, aku masih stabil. Aku tak cepat tersentak macam kelompok manusia yang satu lagi itu.

Jadi, aku buat keputusan menaip lagi. Malam tadi aku mengalami sedikit krisis dengan diri aku sendiri. Gagal atau separa gagal dalam menjalankan beberapa perkara. Kata orang, hidup ini bagaikan satu pelayaran. Ya, pelayaran. Jadi, dalam memastikan pelayaran menuju destinasi itu selamat, haruslah kita membuat beberapa persediaan asas. Dalam ilmu pelayaran, perancangan pelayaran itu terbahagi kepada empat bahagian utama, 'appraisal', 'planning', 'execution' dan 'monitoring'. Aku terpaksa meminjam istilah dari bahasa penjajah itu kerana aku belajar menggunakan bahasa mereka. Dalam istilah Melayu, mungkin sedikit berbeza.

Pada peringkat 'appraisal', seseorang itu hendaklah membina satu perancangan awal di dalam mindanya berkenaan bagaimana perjalanan itu akan dijalankan. Ini termasuklah mengumpulkan segala maklumat yang berkenaan dan membuat sedikit ramalan. Sama seperti apa yang aku rancang, cari sumber pendapatan yang lebih baik, dengan menggunakan masa yang sedikit dan mampu meimbangkan kehidupan aku untuk baki umur aku yang masih panjang. Dari segi rupa paras, aku cuba baikinya lagi walaupun ada orang kata rupa paras aku dah elok tapi perlu diperkemaskan sikit. Apa-apalah, janji aku nak buat sedikit penambah baikan. Terpaksa ikut sedikit cara spesies satu lagi itu. Tiada pilihan lain. Kemudian, aku masuk pula kepada 'planning'. Dalam proses ini, aku telah membuat kira-kira dan membuat garis panduan aku untuk mencapai matlamat aku. Aku tak sekadar letak dalam kepala, tapi aku tulis dan aku catatkan ke atas kertas. Aku pahat cantik-cantik dalam minda aku agar tak terlupa. Selepas siap semuanya, aku mula mengorak langkah dengan bergaya ke peringkat seterusnya yakni peringkat 'execution'. Dalam bahagian ini, aku meletakkan perancangan awal aku itu sebagai 'living document' yang harus aku ikut panduannya dan perlu pula aku ubah sekiranya perlu. 

Peringkat terakhir, 'monitoring'. Ini peringkat yang sedang memeningkan kepala aku. Hampir semuanya kelihatan sempurna. Mengikut garis masa yang aku sediakan, semuanya nampak lancar sehinggalah aku menyedari sesuatu telah berlaku. Perubahan yang tidak aku jangka akan berlaku. Aku baru sedar sekarang, sedangkan ia dah bermula kira-kira sama dengan waktu bermulanya aku mengubah arah untuk mencari sesuatu yang lebih elok. Malam tadi, aku seperti biasa akan mendengar cerita darinya dan sebagainya. Begitu juga aku, akan berkongsi apa sahaja yang dapat aku ceritakan. Perkara terakhir yang aku dengar dari si dia ialah pembentangan bajetnya untuk mengharungi semester baru. Pada akhir pembentangannya, aku minta dia letak satu nota kecil di bawah kira-kiranya yang bermaksud, akan dikaji semula sebelum satu bulan setengah dari sekarang. Usai sahaja perbualan itu, dia kembali pasif. Untuk pengetahuan, dia adalah gadis yang penuh dengan keceriaan walaupun adakalanya agak kebudak-budakan. Tapi, semuanya kini lesap. Hari ini aku cuma penuhi masa dengan membaca surat-suratnya dahulu.

Aku suarakan perubahan itu padanya malam tadi. Dan itulah yang terakhir. Hari ini dia tak lagi menghubungi aku ataupun membalas apa-apa yang datang dari aku. Entah kenapa. Aku cuba mencari punca masalah. Dengan berbekalkan tahap intelek dan tahap kemahiran aku, aku mula membongkar dan membuat kajian semula terhadap apa yang telah aku buat. Keputusannya, aku tak menjumpai apa-apa. Entah. Kali ini, pelayaran hidup aku sekali lagi menentang ombak yang ganas. Dan aku sebagai nakhodanya, pastinya tidak boleh berdiam diri.

Hasrat hati aku, aku nak muncul di hadapannya dengan serba lengkap dan bergaya pada hari jadinya. Tahun lepas, aku hanya mampu mengucapkannya, tetapi tahun ini biarlah aku hadir dengan memberikan senyuman padanya. Bukan setakat itu sahaja, tapi banyak yang hendak aku perbaiki tahun ini. Aku hendak memperbaiki keadaan hari raya yang tahun lepas aku hambarkan. Aku nak berpakaian sedondon dengannya. Aku nak lakukan semua itu. Dan semua itu memerlukan duit sebagai alat untuk aku mencapai matlamat jangka pendek itu. Itu sahaja. Di mana salah silapnya, aku sendiri kurang pasti. Terlalu banyak cabang yang muncul.

Namun aku tahu, aku tetap akan bangkit berdiri walaupun berkali-kali jatuh tersungkur!

Friday 2 March 2012

Perempuan dan Kecantikan...

Seperti beberapa hari yang lalu, aku datang lagi ke kafe yang agak sedap dan murah ini untuk makan tengah hari. Menu aku mudah dan ringkas, jus apa entah segelas diiringi dengan penuh setia oleh sepinggan benda macam mee. Kelazatannya, tak hebat mana. Tetapi untuk orang tak beristeri macam aku dah kira sedap sangat. Secara tiba-tiba, muncullah seorang perempuan, duduk di suatu sudut.

Melihat perempuan itu menatap sekeping cermin kecil yang dikeluarkan dari tas tangannya, kemudian memalitkan gincu ke bibir dan membetul-betulkan bulu mata di hadapan khalayak menimbulkan kesan yang agak luar biasa di hati aku. Kalau dalam drama melayu, mungkin ia akan menimbulkan kesan khas atau dalam bahasa lainnya "special effect". Cuma, jenis bunyi latar belakangnya menimbulkan sedikit kekeliruan; samada hendak menangis, bunyi serigala yang seram ataupun bunyi gelak yang melampau.

Kalian mungkin tertanya-tanya, apa hairannya melihat spesies itu dengan adegan begitu? Biasalah, hubungan orang perempuan dengan cermin kecil dan pek kosmetik mudah alih  sama sahaja seperti mamak roti canai, kain penuh calit minyak dan tangan yang tak berapa menyelerakan. Berpisah tiada. Tetapi, itu kalau perempuan muda. Kalau yang lekuk-lekak di badan dan di pinggang masih merening-rening. Bagaimana kalau perempuan itu sekali ditoleh, macam umur 60, betul-betul perhati nampak macam opah yang selalu berlakon jadi dukun? Bagaimana pula kalau perempuan yang jenis kulit betis dan lengan dah sama macam surat khabar yang berhujan berpanas bertahun-tahun?

Perempuan seperti itulah yang aku tengok. Lama dia belek-belek mukanya di sudut itu. Banyak kali gincu merah menyala itu pergi balik di atas bibirnya yang aku tengok dah kecut macam jari budak yang berendam dalam sungai lama-lama. Tak kurang juga kekerapannya bulu-bulu matanya yang dah tinggal berapa helai itu diusik-usik. Aku kurang pasti samada dia sedang membetulkan bulu matanya atau sekadar mengira berapa helai bulu mata yang tinggal.

Melihat dari rambutnya yang diwarnakan separa karat itu, ditambah pula dengan warna, corak dan fesyen pakaiannya yang kalau aku bagi dekat bakal mak mertua aku nescaya tanpa ragu-ragu orang tua itu akan demam berminggu-minggu, aku cukup yakin bahawasanya perempuan tua itu sedang berjuang mati-matian untuk mencantikkan dirinya. Aku gunakan frasa kata mencantikkan, bukan mengekalkan kecantikan kerana berdasarkan saki baki yang ada pada rupa dan tubuhnya, dia memang tak pernah cantik dari waktu muda sehinggalah ke waktu tua. Kalau dah tak pernah cantik, bagaimana hendak mengatakan bahawa dia mengekalkan sesuatu yang tidak pernah dia miliki?

Kasihan. Aku tak tahu apa yang bermain di fikiran perempuan yang aku rasakan layak dipanggil oleh mak aku sebagai makcik itu. Pun begitu, tidaklah pula sukar untuk aku membayangkannya. Tahap piawaian pemikiran kaum itu tak banyak jauh bezanya. Bila dah mula hadap cermin dan tengok muka sendiri, yang akan muncul dalam hati mereka ialah, "cantik juga aku ini.." Yang lebih ekstrim sedikit, akan membuang perkataan 'juga' itu lantas menobatkan dirinya sendiri sebagai lebih cantik dari spesiesnya sendiri.

Aku ceritakan kisah nenek nan seekor itu bukan kerana apa, hanya untuk memberi peringatan kepada setiap warganegara yang tidak sejantina dengan aku. Khususnya kepada gadis-gadis muda yang ada, lebih-lebih lagi yang jenis kebam-kebam bibir selang sejam dan angkat-angkat kening depan cermin supaya lebih berhati-hati dengan tindakan dan kegemaran mereka. Aku, dan semua orang lain tahu bahawa hubungan orang perempuan dengan kecantikan samalah seperti hubungan cawan dan tangkainya, seperti sudip dengan pemegangnya, namun berpada-padalah. 

Kalau dah gila sangat nak mencantikkan diri atau menambah kecantikan yang sedia ada, buatlah. Tiada siapa yang akan melarang. Nak lilit tudung sampai tercekik asal nampak lawa dan bergaya, tidak akan ada siapa yang mengata. Cuma, biarlah ada koma dan titiknya. Janganlah dah sampai umur tua begitu pun masih lagi beria-ia nak buat bukan-bukan. Kalau sekalipun tak tahu malu dengan jiran-jiran, anak-anak dan cucu, belajar-belajarlah malu pada lembu dan kambing. 

Perempuan, wanita, gadis, dan betina, walau siapapun dia dan apa jua bakanya, harus sedar akan satu perkara; bahawa mereka itu umumnya sama sahaja seperti motor kapcai; semakin tua, semakin dihias jadi makin tak kena. Lagi banyak aksesori, lagi banyak ditampal pelekat, lagi bertambah buruknya. Lelaki pula tidak begitu, kerana rata-ratanya kaum aku itu ibarat tanah. Semakin lama, semakin dirata makin berharga. 

Itulah sebabnya kalau dinaikkan pangkat tiga ratus kali setahun pun, aku tetap tak ingin nak jadi perempuan. Ish, geli!

Thursday 1 March 2012

Lemas..



Mungkin sehingga ke hari ini, sehingga ke saat ini, ramai pasangan yang bermasalah tak kira disebabkan apapun. Tidak sedikit juga pasangan yang retak dan kembali bersimen elok. Tak dinafikan, ada segelintir manusia yang terdiam dan termenung pada saat ini memikirkan cara untuk mengubah persepsi manusia, lebih-lebih lagi pasangannya terhadap apa yang dilakukannya.

Tidak mustahil juga di dalam dunia ini telah ada wanita, perempuan dan betina yang berura-ura hendak mencari segala bomoh dan pawang untuk belajar resepi nasi kangkang ataupun ilmu penunduk. Tak kurang juga bilangan kaum nan satu itu yang berlaku curang dan menyembunyikan pelbagai aktiviti yang tak patut dilakukan. Aku secara terus menerangkan di sini bahawasanya aku bercakap tentang pasangan. Tak kiralah untuk yang belum berkahwin, yang dah beranak lapan, yang bermadu ataupun untuk haiwan. Semuanya sekali. Malah pokok-pokok yang ada pun, sekiranya berpasangan, turut terlibat.

Bab main bomoh atau pawang ini, aku kirakan masih lagi mampu diterima akal sekiranya wanita itu setia. Teori yang digunakan dah betul, cuma praktikalnya salah. Bagaimana pula dengan yang curang? Atau yang buat perkara pelik-pelik dan bukan-bukan di belakang pengetahuan pasangannya? Ini ada sedikit kekeliruan. Aku sendiri susah nak menafsirkannya. Mungkin inginkan kebebasan dan keseronokan yang tak guna akal fikiran. Pendapat muktabar, bebas membawa babas.

Kita tinggalkan persoalan itu di situ. kalau ada salah seekor dari kalangan manusia yang suka menobatkan diri mereka cantik itu yang berfikiran bernas dan lebih bijak dari aku, pasti sahaja boleh jawab soalan itu tanpa ada sedikit masalah. Tak mengapa, kita bergerak pula untuk bercakap tentang mentaliti manusia yang menganggap bahawasanya dalam dunia ini, perlulah mengikut gerak kata dan budi bicaranya sahaja. Dah sah tentu akan ada ramai makcik-makcik dan kakak-kakak yang terasa. Lebih khusus lagi tentang sikap kita dengan manusia yang kita akui, yang kita takhtakan di hati kita sebagai teman hidup. Kita nobatkan dia dengan tingkat antara tertinggi dalam hidup kita. Mungkin sahaja lebih rendah dari keluarga, tapi pastinya lebih dari kawan. Tetapi adakah sikap kita menunjukkan bahawasanya ada perasaan hormat kita terhadapnya? Paling tidak, adakah kita meletakkan dia setara dengan manusia biasa? Bunyinya seperti mudah.

Mari kita renungkan sedikit ujian untuk menjadi kayu pengukurnya. Apabila bersama keluarga, bagaimana caranya kita bercakap, bertutur, berkelakuan dengan mereka? Apabila bersama rakan-rakan, kawan-kawan, bagaimana pula sikap kita dengan mereka? Sekarang, bayangkan pula bagaimana kita bercakap, berbahasa, berkelakuan, bertindak, ber apa sekalipun dengan pasangan kita yang kita katakan terlalu sayang itu. Adakah kita meletakkan dia sebagai keutamaan? Apabila bersabit dengan teman hidup, adakah patut kita mempertikaikan soal tempoh masa perkenalan atau sebagainya? Dah tentu tiada alasan. Penyakitnya datang dari hati sendiri. Kata orang, perempuan itu terlalu kompleks. Aci kerat kuku sekalipun, aku tetap tak bersetuju. Plot, rangka dan apa sahaja tentang kaum konon berjiwa lembut itu dah sah tentu hampir sama sahaja.

Apabila teman hidup itu, yakni manusia bernama lelaki melakukan sesuatu yang dah tentu untuk diri pasangannya, adakah patut kita mencaci maki, mengherdik, bertindak kasar dan memanggil sesuatu yang buruk terhadapnya yang tak pernah kita sebutkan pada seorang kawan? Sedangkan teman hidup itu mengakui dan bersumpah bahawa dia melakukan itu demi hidup pasangannya. Apabila cuba menerangkan keadaan dan apa yang dilakukan, serta merta ditolak. Jadi di mana silapnya sehingga kita menghukum manusia lain sedemikian rupa? Adakah patut kita melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh pasangan itu tanpa mengambil kira perasaannya? Atau kita campakkan sahaja perasaannya dan kita anggap sahaja dia adalah binatang yang tak tahu apa-apa? Kasar bunyinya, tapi itulah yang berlaku tanpa kebanyakan orang perempuan sedar. Secara dasarnya, banyak perkara di atas melibatkan mulut. Kerana organ nan satu di atas muka itulah perempuan banyak ke neraka. Kita lakukan perkara-perkara yang menyakitkan hati dan berusaha menyembunyikannya. Apa kita harus anggap bahawa kehidupan ini tiada mizan dan kita bebas melakukan apa sahaja?

Pasti ramai manusia yang ada perkataan 'Perempuan' di atas kad pengenalannya akan mengatakan bahawa aku skeptikal, dan seaneka bentuk perkataan pelik-pelik. Biasalah, orang perempuan, selalu suka bercakap dengan disulamkan segala bentuk istilah-istilah moden dan dicampur sikit dengan bahasa orang putih itu; sekadar nak menunjukkan dirinya tak ketinggalan. Padahal, ada di antaranya SPM pun lebih banyak tersenarai gred G dari A.

Begitulah sedikit sebanyak tentang apa yang ada. Aku lihat, aku rasa dan aku alaminya. Apa ada atau tidak jalan untuk dapat kebahagiaan dan ketenteraman dari kaum nan satu itu? Aku tak nafikan ada kebahagiaan pada mereka, cuma lumpurnya lebih banyak dari emas yang tersembunyi. Dan kaum aku pula, mahu tak mahu terpaksa menerima keadaannya.

Dan itu juga termasuklah aku...