Wednesday 5 June 2013

Quran Itu Tidak Berubah? Persoalannya?


4 June 2013. 2209 LT. UTC -6. Delaware Outer Anchorage, in proximity of 'D' buoy. Menaip sambil minum teh halia yang dibancuh kadet. 


Rajin pula aku menaip. Heh. Bukan apa, sebab waktu malam boleh tidur nyenyak. Orang asyik fikir nak kahwin memang macam ini. Hahah. Apapun, hari ini kita buka satu topik baru, yakni adakah betul Al Quran itu tidak berubah dari awal turunnya sehingga sekarang?

Jawapan yang pasti ialah; Quran tidak pernah berubah dan takkan berubah. 

Jadi dari mana datangnya persoalan ini? Ini datangnya dari beberapa orang yang sedikit mengalami kekeliruan apabila melihat Quran dari jenis tulisan lain. Apa maksud tulisan lain?

Sebelum itu, aku terangkan sedikit. Quran yang dibaca di Malaysia dan majoriti di dunia ini adalah jenis bacaan Hafs. Quran ada beberapa cara pembacaan, yang mana pernah aku terangkan dahulu dalam topik Qiraat. Jadi, perbezaannya adalah dari segi pembacaan, yang mana melibatkan hukum tajwid yang lebih mendalam.

Jadi, bila hukum tajwid ada sedikit berbeza, maka cara tulisannya juga akan berbeza. Ada beberapa huruf akan nampak berbeza. Contoh paling mudah ialah, Quran dari kaedah Warsh dari Nafa'i. Kalian bijak menggunakan internet. Maka, bukalah surah Al Mulk, dan lihat ayat 15 dan 16. Bandingkan pula dengan cara pembacaan dari Hafs atau jenis Quran yang biasa kita guna.

Namun begitu, suka untuk aku beritahu bahawa maknanya tidak pernah terjejas. Tidak pernah dan tak akan pernah berubah sampai ke akhir masa. Begitulah adanya.

Kitab ini diturunkan oleh Tuhan yang Aziz dan Hakim. Dia itu Maha Kuasa atas tiap-tiap perkara dan tidak ada satu perkara pun terlepas dari urus tadbirnya. Begitulah sedikit sebanyak penerangan dari aku yang serba cetek ilmu pengetahuan. Sekadar satu perkongsian.

Untuk hadis-hadis, penerangan mendalam dan hujah-hujah yang menyokong karangan aku, bolehlah kalian cari sendiri. Aku cukup pasti kalian hebat di papan kekunci.

Yang baik itu datang dari Allah, dan yang buruk itu datang dari kelemahan aku sendiri, di bawah kuasaNya juga.


Selit-selit: Quran itu lengkap. Ibarat 'manual' untuk kita sebagai makhlukNya. Cuma kita sahaja yang tak berapa nak reti bahasa mengikut suruhan Tuhan.

Selit-selit: Bila baru aku boleh kahwin ni??????




Monday 3 June 2013

Lelaki, Gadis, Pengkid dan Cinta. Hahahah.


2 June 2013, 0415hrs LT, UTC -6. Sedang minum sambil menaip di anjungan.

Aku tak banyak buat apa-apa. Kapal dah siap sangkut dekat luar pelabuhan tunggu arahan masuk. Kira-kira 10 hari juga kalau diikut dari mesej yang sampai. Begitulah. Tak ada kerja apa-apa. Bila kapal tak jalan, macam biasa, kerja-kerja di geladak menanti. Bot keselamatan (life boat) nak kena cuci sikit sebab baru lepas tukar wayar. Tempoh hari dah siap cat kerangka untuk rakit keselamatan (life-raft) setelah 2 bulan ditinggalkan oleh Pegawai Ketiga Tarmizee. Begitulah. Nama sahaja pegawai, tapi tak ada pejabat. Kerja tak terbatas hanya dengan menghadap kertas dan pen sahaja. Pegawai Pertama aku, baju kerjanya jauh lebih kotor sebab turun naik tangki. Ada paip berlubang. Macam itulah payahnya nak cari rezeki. Tak ada 'scene' ala-ala filem Titanic.

Baru selesai aku baca sepenuhnya (kira setakat ini penuhlah sebab tak habis) novel jenis sambung-sambung dari blog Cik Aimi Syafiqah. Cerita bab orang bercinta lepas nikah. Tak ada apa yang menarik sangat. Plot dan jalan cerita hampir sama macam cerita Melayu yang lain.Cuma bila cerita bab kahwin, biasalah, buat aku melayang-layang sikit. Hahah. Cerita kahwin chorrr... Apapun, aku tetap menanti kesudahannya. Nak dipikat tuan punya blog, aku tengok cermin, renung muka sendiri, terus aku batalkan hasrat. Hahah. Muka dah hampir sama macam penyangak Somalia, nak pikat gadis-gadis. Rentikan le chor.. Hahah.

Cukup bab seronok-seronok. Aku nak kongsi-kongsi sikit bab benda pelik-pelik yang aku tengok dekat Malaysia sehari dua ini, bersumberkan akhbar online. Tak kiralah Harakah ke, Berita Harian ke, semua aku baca. Maka, bab satu budak pengkid melarikan anak gadis menarik perhatian aku. Bak kata orang, 'catching eyes' gitu..

Dulu, aku tengok fenomena "gadis cun berboiprenkan jantan muka backhoe" & "lelaki kacak dan bergaya bergeprenkan gadis muka ada angkat sikit dari getah abang posmen". Sekarang, dah ada pengkid pula main kacau 'line'. Lagi sadis. Hahah. Tidaklah di sini aku menghina rupa manusia itu. Semuanya sempurna, semuanya cantik di mata Tuhan. Dan kita sebagai manusia, selalu sahaja membezakan kecantikan itu dari segi lapisan kulit mati itu. Aku juga kadang-kadang membezakan juga, sebab aku tak sempurna mana. Yalah, orang boleh kata pilih pasangan dari hati, bukan ikut cantik. Tapi, dah kalau tengok muka pun rasa geli anak tekak, manakan pula aku nak sekatil nanti. Ye tak?

Pilih ikut hati. Maka, banyaklah jantan-jantan berakal cerdik dan bijak memilih perempuan tak berapa nak lawa dan seksi sebagai teman hidup. Mengapa? Alasannya mudah, kerana tak perlu kos yang tinggi dan selalunya gadis jenis ini tak banyak kerenah. Kemahiran masak, lipat baju dan kemas rumah serta jaga suami, selalunya menang dengan gadis begini. Jantan-jantan yang bijak ini tahu bahawa "biarlah tidak cantik di mata orang, tetapi di akhirat nanti dia yang paling cantik untuk aku".

Bagaimana dengan gadis-gadis bukan main lawa dan 'panas'? Bukanlah lelaki-lelaki bijak ini tak nak, tetapi mereka gusar dan bimbang. Apatah lagi, kalau jenis dengan semua lelaki dia main sedap berkawan di laman sosial dan tayang muka bukan main senyum lagi. Mau tak risau chor.. Silap-silap pelik-pelik benda jadinya nanti. Itu belum masuk lagi dengan kos Gucci, Chanel, Tissot, dan entah apa-apa jenama-jenama mahal lagi yang memungkinkan bakal suami terus ke kubur akibat sakit jantung. Dan aku boleh katakan, yang mengejar perempuan lawa ini, tak banyak yang nak buat jadi isteri. Sekadar main-main. Akhirnya, jadilah ibarat kata orang, itik tak sudu, ayam tak patuk.

Namun bukanlah aku kata semuanya begitu. Ada juga pasangan yang sama cantik dan segak. Itu tak jadi masalah. Dan itu mungkin sahaja rahmat Tuhan kerana menemukan mereka atas landasan agama. Kadang yang pakai purdah ini boleh tahan juga bikin leleh. Jangan dipandang sebelah mata. Begitulah sedikit sebanyak.

Pengkid? Ini yang paling susah nak cakap. Tak tahu nak ungkap ikut hujung pangkal mana. Sama-sama perempuan. Kalau soket elektrik, kita hentam coupling female-female dah sah takkan ada arus. Faham-fahamlah maksud aku. Dah sah tak boleh kahwin. Nak ada anak? Belum pernah lagi aku jumpa manusia boleh hasilkan bayi tanpa ada sperma. Kalau dikata "cinta kami tidak mengenal jantina", maka bangang adalah perkataan yang paling sesuai. Aku nak tengok sangat bila masing-masing dah berusia, cucu nak panggil dua-dua sebagai nenek. Yang pengkid itu, bila dah tua, dah sah susah nak berseluar, maka aku nak tengok bagaimana dia gulung kain pelikat. Hahah.

Cinta sesama manusia. Hanyalah satu perkataan. Buktinya hampir atau lansung sahaja tiada. Perkahwinan bukanlah bukti kerana ada yang kahwin bukan kerana cinta. Bagi aku ia cuma satu perkataan. Satu perkara yang hanya boleh diucap tanpa boleh dihurai. Tidak ada formula atau susun rungkai molekul. Tidak ada satu pun definisi yang tepat. Begitulah. Lain sangat dengan cinta pada Allah dan pesuruhNya, kerana ia memang hakiki. Dia pencipta. Dia yang mengatur segalanya. Maka, sah tentu kita cinta padaNya. Wajib mencintaiNya.

Kesimpulannya, cinta sesama manusia ini harus sahaja kita telitikan semula. Samada ia benar atau ilusi. Samada ia membawa kita ke jalan yang benar atau terus sahaja menghumban kita. Ada akal, fikir dengan sebaiknya. Jangan hingga tersalah langkah, kerana ia cukup-cukup sahaja boleh membawa padah.



Selit-selit: Jadi yang macam mana harus aku cari? Yang cantikkah? Atau yang comelkah? Atau yang jenis riangkah? Atau yang tahu nak bertadabbur di malam hari tanpa disuruh?


Friday 15 March 2013

Mati dan Selepasnya. Bagaimana?




Tak lama dulu, aku ada buat satu entri bertajuk Manusia dan Agama, Perlukah?. Dan mungkin disebabkan entri itu agak panjang, maka aku lihat graf orang membacanya tak berapa nak ramai. Dan aku agak pasti tak ramai yang baca sampai habis. Satu lagi faktor yang mungkin mempengaruhi, kerana ia melibatkan agama. Itu adalah satu benda yang tak berapa orang gemar. Dalam zaman yang aku rasa lebih ramai orang hafal nama artis dan jenama baju daripada hafal juzuk 'amma, itu memang tak boleh nak kata apa.

Waktu aku mula-mula terfikir nak membetulkan langkah hidup, aku pernah bertanya, "saya ini bukan muslimkah?" Jawapan yang diberi oleh seorang abang kepada aku, "Muslim atau tidak, jawapannya pada Allah. Bukan manusia yang tentukan.". Begitu nasihatnya dia pada aku. Dan aku bertanya lagi selepas dua-tiga minggu selepas itu apabila melihat dia menangis lepas solat dan kebetulan dia ada sakit yang agak perit, "abang takut mati ke?". Dia jawab, "dik, mati tak jadi masalah. Sekejap sahaja dah padam. Tapi yang menjadi kerisauan, amalan untuk bersedia mati.". Aku diam dan terus tak bertanya lagi.

Maka, aku kaitkan dua jawapan di atas. Kita buat seperti persamaan. Kematian itu pasti, tetapi nasib selepas itu masih belum pasti. Ini bukan macam matematik, yang mana kita boleh buat 'try and error method'. Bertitik tolakkan dari dua jawapan itu, aku rasa kita boleh huraikan yang seterusnya, yakni apa yang patut dilakukan, apa yang patut difikirkan.

Lantas, kalau difikir-fikirkan, tahap mana teruk dan jahilnya kita, atau dalam bahasa mudah, bangangnya kita; Iblis nak sesatkan manusia pun minta izin dengan Allah. Kita ini buat jahat ada minta kebenaran? Jadi patutkah kita masih mempersoalkan? Rasanya tak perlu dihuraikan panjang lebar lagi.

Aku ini memang banyak kekurangan. Nak dibanding dengan adik-adik aku pun, aku rasa aku jauh ketinggalan. Tapi apa nak kata, kebodohan aku selama ini yang buat aku buang masa yang takkan boleh aku patah balik. Sampai hari ini, aku masih payah nak buang lagu Bon Jovi dengan Scorpion dari kepala aku. Siap ada seorang adik dari lain mak lain bapa, nasihatkan aku, belajar-belajarlah untuk dengar nasyid. Aku cuba juga, siap aku minta kadet China tolong muat-turunkan guna telefon dia. Itu pun aku dengar yang jenis rancak sikit. Kata orang kontemporari. Ada juga terselit-selit nasyid yang pernah aku dengar waktu aku sekolah di Slim River dulu. Tiba-tiba meremang walaupun nasyid tahap cintan. Keseluruhannya, memang sedap, cuma bila list lagu masuk lagu You And I, aku tetap terikut juga. Hahah. Begitulah sedikit sebanyak.

Kesimpulannya, kita pernah dengar tentang 5 perkara sebelum 5 perkara. Dan di antara semua itu, ada dipesan tentang hidup sebelum mati. Agak-agak kalau tetap nak cuba juga api neraka itu panas atau tidak, janganlah berubah ke arah kebaikan.




Selit-selit: Kawan dan abang aku dah balik. Bila tengok 'pilot chair' depan pemanas dekat geladak, teringat aku dia akan tidur depan pemanas tu. Memang aku rasa pelik sebab aku tak pernah rindukan orang sampai macam ini lebih-lebih lagi seorang kawan. Entahlah. Human parts, complicated.





Wednesday 6 March 2013

Pelayaran. Abang, teman dan kawan..





Aku bakal kehilangan seorang kawan baik atas kapal ini. Dia dah nak balik. Hampir dua bulan tidur sebilik (aku rasa kapal lain mungkin tak ada macam ni melainkan kadet), sekarang aku kena belajar tidur seorang. Aku akan hilang teman bersembang. Aku akan hilang seorang yang aku anggap sebagai seorang abang, yang banyak mengajar aku tentang macam-macam perkara. Aku akan hilang seorang kawan yang aku rasa tak pernah lekang senyumnya di mata aku. Begitulah. Buruk baik, dikongsi dan diselesaikan bersama. Dan sekarang, dia dah nak balik ke tanah air.

Mula-mula aku naik kapal, bilik tak berapa nak cukup. Bukan tak cukup sebab apa, cuma bila masuk US, terpaksa ada satu bilik kosong untuk orang yang dipanggil sebagai PSA. Kena pula pegawai kadet pun tiba-tiba ramai kali ini. Jadi, akhirnya aku ke kabin doktor, yang mana ada dua katil berasingan, dan Tarmizee diarahkan sebilik dengan aku. Kebetulan juga kabin ini agak besar dibandingkan dengan kabin lain. Aci kerat kuku, kalau dia bukan sama warganegara dengan aku, aku takkan nak sebilik dengan orang lain. Bukan apa, kalau dengan orang lain, nak solat susah, nak tukar baju susah. Kongsi bilik air lagi aku tak nak. Kalau kena dengan gagak tanah besar, aku rasa tak boleh aku nak tidur dengan bau yang susah nak dihuraikan dengan kata-kata. Perkenalan yang ringkas campur mengejutkan aku, kerana dia adalah senior aku ketika aku masih tahun pertama di ALAM. Mulanya kekok juga aku, tapi akhirnya aku rasa seronok. Atas kapal, sangat-sangat sukar ada pegawai yang nak kongsi bilik sebab masing-masing mahukan privasi, tapi kami tak berapa nak kisah. Waktu bilik kemas, memang sangat kemas. Waktu sibuk, aku rasa kalau ada biawak komodo bersalin atas sofa pun kami tak sedar. Personaliti? Aku dengan dia rasanya jauh berbeza. Dia baik orangnya. Begitulah sedikit sebanyak perkenalan kami.

Orangnya agak kecil, tapi pemikirannya memang matang sungguh. Boleh aku katakan comel. Hahah. Jenis sejuk orangnya. Kalau habis marah sekalipun, mungkin dia akan menyumpah ketika dia balik ke bilik sahaja. Itu adatlah. Bila dah kena dengan gagak tanah besar, memang mulut terasa terlalu ringan untuk menyumpah. Aku sendiri pun, dalam mencuba menggantikan carutan dengan perkataan istighfar, kadang-kadang terlanjur juga. Lain dari itu, aku boleh simpulkan dia sebagai seorang abang dan pegawai yang memang aku hormat. Sepanjang hidup aku, sewaktu keegoan aku cukup tinggi, aku rasa hampir tak pernah pun aku hormat seseorang sebagai abang. Pertama, kerana aku tak pernah ada abang. Kedua, aku tak pernah jadi adik. Kepada Tarmizee, mungkin sepanjang perkenalan dengan aku, ada kekasaran aku kerana aku tak pandai jadi adik, jadi maafkanlah aku.

Aku rasa macam tak berapa nak seronok bila hari makin dekat untuk dia balik. Kapal masih tersangkut di luar pelabuhan, tunggu arahan nak masuk. Barang-barang dia dah siap kemas pun. Aku rasa berat hati sangat. Entahlah. Nanti dah takkan ada adegan melihat pegawai tidur di depan pemanas atas geladak waktu kapal masih membongkar sauh. Nanti dah takkan ada adegan melihat orang taip sms di telefon bimbit walaupun tak ada pancaran atau 'line'. Nanti dah takkan ada adegan melihat orang tak tidur-tidur sebab bergayut dengan bakal bini.

Kalau diizin Tuhan, lepas sikit dari tengah tahun nanti, aku dah boleh mohon balik. Kalau kena pada masa, aku dapat sambut raya. Aku tak nak sambut raya atas laut macam dulu. Kalau kena pada masa, aku nak datang ke Terengganu. Aku akan cari dia. Aku nak beraya dengan dia. Itupun kalau ada jodoh. Dan dalam pada masa yang sama, aku nak juga tengok mana rupa Cik Anim yang selalu buat 3rd Mate aku nan seorang ini asyik gila bayang. Hahah.

Aku harap perkenalan ini takkan terhenti di sini sahaja. Moga Allah izinkan sampai ke syurgaNya.





Selit-selit: Bertemu di tanah asing, akhirnya berpisah jua di tempat yang asing. 

Selit-selit: Kepada pengomen tegar yang selalu meletakkan 'kategori "hina atau tidak" ' pada entri aku, yang mana selalu menggunakan anonymous, sila jangan beri komen apa-apa. Anda sangat-sangat tidak dialu-alukan. Kehadiran anda sebenarnya sangat-sangat membuat orang rasa terganggu. Terima kasih.



Saturday 2 March 2013

Ya Allah, Selamatkanlah Malaysia..


Aku ambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah di atas pemergian dua anggota 69 PDRM. Jasa mempertahankan negara, tiada harganya. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Aku berharap kita dapat bersama-sama berdoa untuk kesejahteraan anggota-anggota keselamatan negara Malaysia.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, Engkau tetapkanlah keamanan ke atas negara Malaysia.
Engkau tetapkanlah agar pertelingkahan ini dapat diselesaikan dengan aman.
Namun ya Allah,
Sekiranya telah Engkau tetapkan pertumpahan darah sebagai titiknya,
Engkau tepatkanlah bidikan senjata-senjata anggota keselamatan Malaysia.
Engkau berikanlah ketenangan di hati mereka yang berada di tengah kekacauan.
Engkau limpahkanlah rahmatMu agar tetap keimanan dan ketaqwaan mereka kepadaMu.

Ya Allah,
Engkau campakkanlah ketakutan ke dalam hati-hati musuh kami.
Engkau kacau-bilaukanlah persatuan mereka.
Engkau lumpuhkanlah senjata-senjata mereka.
Hancurkanlah mereka bagai debu-debu pasir.

Sesungguhnya hanya Engkau tempat kami berlindung.
Engkaulah yang berkuasa meninggikan darjat dan Engkau jualah yang berhak menjatuhkannya.
Menangkanlah negara Malaysia.
Menangkanlah kami.

Amin Ya Rabb.



Selit-selit: Di tengah kekecohan ini, aku dapat berita juga bahawa bekas perdana menteri dapat Master Foreign Going yang mana membawa gelaran Captain. Terkejut juga aku kerana aku difahamkan bukan anugerah kehormat. Lantas, bertanya salah seorang rakan kepada aku, "agak-agak kalau aku suruh dia baca draught, dia tahu tak?" Aku tak tahu nak jawab apa.



Monday 25 February 2013

Coretan Yang Bercampur-campur..



23 Februari 2013. 1730 LT. GMT -6.

Hari ini kapal masih membongkar sauh di tengah laut. Lebih senang disebut statusnya dalam AIS (Automated Identification System), 'at anchor'. Entah bila nak masuk pelabuhan aku tak tahu. Jumaat berlalu begitu sahaja. Suhu cuaca di luar, lebih kurang 17 darjah Celcius pada waktu tengah hari. Orang yang kenal aku, memang tahu aku tak tahan panas, tapi kalau dah sejuk melampau ditambah dengan angin yang kuat dan basah, sampai hidung asyik berdarah, aku pun tak tahan juga. Nak suam-suam kuku. Baru selesa. Begitulah sedikit sebanyak. Lain daripada itu, ada internet. Cuma keadaannya tersangat perlahan. Kiranya sekadar dapat aku tengok-tengok Outlook. Entah bila baru entri ini diterbitkan pun aku tak pasti dengan kelajuan internet yang sama laju dengan pergerakan tungau. Hari masih berlalu begitu sahaja. Tanpa ada apa-apa yang menarik. Cuma sekarang tumpuan aku banyak pada kerja dan e-mail. Apapun, aku tak nak cerita tentang itu. Aku sekadar mengharapkan Allah beri yang terbaik. Itu sahaja.

Masih, aku dalam tekanan yang agak perit di bawah 'kebijaksanaan' rakyat gagak dari tanah besar. Kalau di tanah air, kita boleh lihat cerita-cerita hindustan melambak-lambak di pasaran. Malah, aku boleh kata, aci kerat kuku, dalam kejiranan lingkungan 20 buah rumah, paling kurang ada 5 daripadanya yang mempunyai atau menyimpan cerita-cerita yang berasal dari sana di rumah. Dan yang paling ramai di antaranya, memang meminati cerita dari sana. Dari pengalaman aku, ada yang sanggup tonton walaupun tak ada sarikata. Waktu di sekolah, cikgu suruh belajar bahasa Inggeris bukan main payah nak faham. Tapi bab bahasa dari sana, ada di antara orang-orang kita yang terlebih bijak untuk faham. Tak tahu aku nak kata apa. Malah orang kita bagi pangkat kebesaran lagi untuk orang sana. Untuk tujuan apa anugerah itu, aku pun kurang pasti.

Di dunia realiti, boleh kita lihat bahawasanya mereka sebenarnya tidaklah sehebat mana. Tidak pun mampu membelasah 10 orang samseng dengan hanya sekali libas guna tali pinggang. Adegan pukul-memukul dengan penuh kudrat yang luar biasa itu cuma hanya dalam wayang gambar. Itu sahaja. Terbatas hanya di skrin atau layar. Sifat lelaki yang kekuatannya luar biasa tetapi terselit kejiwangan dan 'ke-mat-bunga-an', memang sama sekali tidak wujud. Sayugia, tiada di dunia nyata ini, apabila berjalan melangkah kaki, secara tidak semena-mena muncul lagu entah dari mana datang dan secara tiba-tiba juga penuh orang menari berjoget di belakang ketika hendak menyatakan perasaan cinta pada pasangan sambil bergolek-golek di lereng bukit. Dan aku rasa, ia hanya berlaku di dalam cerita wayang gambar dari negara sana sahaja. Dalam cerita dari negara lain, aku rasa semuanya dibuat hampir-hampir logik dengan apa yang mampu diterima akal manusia normal. Kadang-kadang cukup sekadar jatuh cinta di tepi longkang atau loji kumbahan. Sayang tetap sayang. Cinta tetap cinta. Kalau sekalipun ada cerita sains, konon ada makhluk asing atau manusia mampu duduk di angkasa lepas atau planet lain, pasti jalan ceritanya dibuat agar nampak logik dan seolah-olah ia boleh dilakukan manusia. Kalau di negara barat, ada jenis-jenis pengkritik filem yang akan membongkar cerita-cerita yang gagal menunjukkan logik. Boleh kita layari Encik Tiub Anda untuk cari "film mistake". Tapi pada fikiran aku, cerita dari negara sana, sah-sah tak boleh nak dikritik. Sebabnya? Sebab dari awal sampai akhir tak boleh pakai. Terlalu banyak berangan.

Namun, begitulah senarionya di negara kita, terlalu mengagungkan cerita dari negara tersebut. Sampai ada yang teringin sangat nak berdamping dengan hero-hero dari sebelah sana. Sangat-sangatlah aku rasa tak bertepatan. Dulu, selepas aku balik dari kapal pertama aku, aku jadi sangat-sangat benci pada orang-orang dari negara itu. Tersangat benci dan meluat dicampur dengan menyampah. Kalaulah ada cara aku boleh botolkan bau badan mereka itu dan beri pada peminat kipas-susah-mati cerita-cerita sana, alangkah baiknya. Biar mereka sedar sesungguhnya kebanyakan orang sana, bau badan lepas mandi sama sahaja macam aku yang mungkin tak mandi 4-5 hari. Bukan main pengit lagi. Kalau nak suruh makan nasi sebelah-menyebelah, mungkin 70% selera aku mati begitu sahaja. Tak kiralah kaya mana pun mereka itu, baunya hampir tetap sama macam yang berhijrah secara haram dan bekerja di kedai-kedai makan di negara kita. Dan perkara yang paling aku tak faham, bagaimana selera kita boleh datang menyantap roti canai sambil melihat kain pelikat putih mereka yang sudah bertukar warna hitam kecoklatan?

Kenapa aku taip benda ini? Kerana sekarang ini ada pegawai kadet dari negara China dua orang. Dan orang-orang dari negara sana melanyak mereka sama macam kuli. Tanpa ada had. Ya, ada peraturan dan sebagainya, tapi macam biasalah, nak adu pada siapa? Adu pada pengawal pantai atau penguatkuasa? Nanti dimarah oleh syarikat kerana tidak ikut protokol. Nak diadu pada orang atasan dalam syarikat, yang menjaga kapal ini dari darat, kebetulan orang dari negara sana juga. Jadi susah nak kata. Pegawai kadet ini sah-sah aku nampak tidak menerima latihan untuk menjadi pegawai, tapi lebih kepada kuli atau hamba abdi. Kasihan aku tengok. Di atas kapal ini juga, ada kerani untuk nakhoda (kapten) atau secara rumit disebut sebagai pembantu pengurusan kapal. Ini adalah graduan keluaran dari universiti-universiti, yang dah tak ada kerja, lalu meminta kerja di atas kapal. Pangkatnya, kalau diikutkan cukup terlalu bawah. Tiada lesen atau apa-apa. Sijil-sijil yang dia ada sama macam yang dipunyai oleh kelasi biasa yang baru kali pertama naik kapal. Yang membezakan dia, cumalah dia tahu menaip, memfailkan dokumen dan tahu nak buat surat-menyurat. Itu sahaja. Tapi mengarahkan pegawai kadet macam mak abah dia punya hamba abdi. Bukanlah aku nak menghina. Rezeki itu hak Allah. Tiada niat sama sekali. Tetapi memberitahu apa yang berlaku. Aku tak nafikan mungkin ada yang baik dan bagus, tapi yang aku ada sekarang, memang menduga kesabaran.

Lantas secara terus aku katakan, kalau betullah mereka itu sebagus yang digambarkan dalam cerita-cerita mereka, maka dengan sebetulnya negara mereka tak seperti apa yang kita lihat hari ini. Tidak ada yang akan merempat di tepi jalan kerana kemiskinan. Tidak akan berlaku jurang kehidupan antara dua darjat. Terlalu miskin dan terlalu kaya. Malah, sifat mereka ini sangat suka berbalah sesama sendiri. Orang Melayu kita kiranya bagus lagi cuma ada talam dua muka. Talam mereka mungkin dipanggil talam 2-3 puluh muka. Begitulah keadaannya. Pantang ada pangkat, memijak orang bawahan dah jadi macam adat. Itu yang terjadi atas kapal ini. Ketua pegawai bahagian dek kalau boleh nak kawal semua benda. Buat undang-undang sendiri, tapi dia boleh pula langgar. Sampai nakhoda aku yang asal dari Rusia pun pening kepala dengar dia punya cakap yang bergulung-gulung. Begitulah pada apa yang aku tengok. 

Kata As-Syeikh Malim Ke-tiga Haji Ahmad Tarmizee Al-Terengganuni Al-Makki, pengarang kitab Al-Journal Al-Watch Empat Lapan, yakni salah seorang pegawai dek di atas kapal ini, menyifatkan bahawa kelompok manusia yang serba 'ajaib' daya pemikirannya ini harus sahaja ditenggelamkan ke dasar laut. Paling tidak, buat macam penghapusan etnik terus. Senang cerita. Ini kerana disebabkan mereka, aku dan orang lain terpaksa menghadap kari setiap hari. Malah kehidupan atas kapal ini jadi tunggang terbalik. Mungkin ada di antara kalian yang bakal mengatakan, "bersyukurlah dapat makan, dari jadi macam mangsa Rohingya, nak makan pun susah." Kalau sekiranya ada di antara kalian terdetik hendak berkata demikian, silakan cari dahulu takrif syukur itu. Kemudian nasihatkanlah aku.


23 Februari 2013. 1830 LT. GMT -6.

Allahu Akbar, Allahu Akbar...
Telah masuk waktu solat fardhu Maghrib bagi wilayah MT Eagle Tucson dan kawasan-kawasan yang sama waktu dengannya.


Dah. Kita sambung balik. Dalam hidup aku, aku banyak bergurau. Kali ini aku nak kurangkan bergurau. 

Lepas Maghrib tadi, aku banyak bermenung memikirkan apa nak jadi pada kehidupan aku sebegini rupa. Dan aku mula berfikir tentang tanggungjawab harian aku pada Allah yang Maha Tinggi. Tuhan yang Maha Esa dan tiada sekutunya. Seingat aku, ketika aku hendak ke lapangan terbang dulu, pemandu teksi itu bertanya pada aku "adik kerja apa?". Aku terus sahaja menjawab aku adalah pelaut. Itu sahaja. Lantas dia bertanya pada aku, bagaimana keadaan atas kapal. Tanpa berfikir panjang, aku menjawab biasa sahaja. Bergantung pada orang. Dia bertanya lagi, kali ini dengan lebih terperinci; bagaimana solat di atas kapal? Maka aku diam sejenak. Aku pun mula menjawab bermula dengan cara solat di atas kapal. Yakni solat duduk ketika kapal dalam keadaan bergoyang atau bergoncang atau lebih senang aku bahasakan sebagai 'rolling and pitching'. Kemudian aku jawab lagi, pada kebanyakan masa, aku jamak solat kerana perjalanan yang aku lalui memang melebihi 2 marhalah. Dan yang terakhir, aku memberitahu bahawa solat Jumaat tiada di atas kapal, kerana tak cukup jemaah dan aku memang tiada peluang untuk itu. Begitulah sekadarnya menurut pengetahuan aku.

Pemandu teksi itu sekadar mengangguk acuh tak acuh. Seingat aku, air mukanya ada tanda kekesalan atau kekecewaan. Dan sesungguhnya aku langsung tak mengerti apa-apa ketika itu.

Sehinggalah aku berada di atas kapal, barulah aku mengerti maksud air mukanya. Dan ia membawa berjuta-juta kekesalan dalam hidup aku.

Mengapa ketika aku di darat, berhampiran masjid, aku tidak rajin melangkah ke sana? Mengapa cuma ada waktu-waktu tertentu? Mengapa tidak Zohor dan Asar? Mengapa tidak aku wajibkan diri aku solat di masjid ketika Subuh? Mengapa aku tidak hadir dengan lebih awal ke masjid ketika Jumaat di waktu aku sebenarnya tiada alasan untuk lewat? Ketika mana jemaahnya lebih dari mencukupi? Mengapa aku biarkan diri aku solat tanpa aku hargai tanggungjawab solat itu pada diri aku ketika di darat? Ketika mana aku mampu solat ketika berdiri? Mengapa apabila sudah tiada lagi di darat, baru kekesalan aku muncul? Mengapa aku boleh pergi bertugas tepat pada waktu, tetapi tidak pada solat? Mengapa?

Ya, aku rugi. Dan sekiranya roh aku berpisah dari jasad sebelum aku sempat kembali menunaikan tanggungjawab aku dengan sempurna, sungguh ruginya aku. Mungkin sahaja orang akan berkata, apa boleh aku buat kerana memang tak cukup orang Islam di atas kapal. Ya, betul. Tetapi aku bimbang hati aku kembali jauh dari Tuhan seperti dulu. Aku risau.

Aku sekadar berkongsi kekesalan aku. Moga kalian bersyukur atas nikmat Tuhan yang tak terbatas. Aku berharap Allah masih menerima aku. Masih mahu memandang aku dengan rahmatNya. Dan aku berharap agar aku masih berpeluang untuk menebus semua kekesalan aku. Itu sahaja. Aku nak naik bertugas dah.




Selit-selit: Aku teringat doa yang selalu ustazah kesayangan aku dendangkan. Ustazah yang mengajar aku ketika aku di sekolah agama rakyat. Ustazah Maisarah. Di mana beliau berada sekarang, aku tak pasti. Begini bunyinya. "Allah yang Maha Lemah Lembut terhadap hambaNya. Dialah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Perkasa."

Selit-selit: Waktu balik dari bertugas semalam, dalam keadaan bosan, jenguk laptop kawan. Ada tengok klip video Wonder Girls nyanyi lagu Nobody. Memang kalau ikut benda macam ini tak baik, tapi sekadar berkongsi. Ada seorang yang kecil, tapi comel dan gebu. Pipi bukan main bulat gebu lagi. Bukan main lentik lagi. Tak apa. Astaghfirullah. Nanti Abang RL dah dapat jadi Ketua Malim atau Nakhoda, bolehlah cari isteri lagi satu macam itu. Boleh menari depan Abang RL pula. Hahah.

Thursday 21 February 2013

Luahan Perasaan yang Bercampur-campur..



Susah aku nak muncul dalam blog sekarang. Begitulah keadaannya. Tak ada banyak cerita juga menjadi salah satu faktor.

Hari ini kapal akan masuk ke pelabuhan setelah beberapa hari menunggu. Cuaca tak menentu. Tempat yang dituju, Nederland, USA (negara pusat segala kufur dan fasad) . Entah apa yang seronok di sana, aku tak tahu. Tempat aku bertolak, Cayo Arcas, Mexico. Dan aku berada di tengah laut rasanya waktu entri ini diterbitkan. Tiada benda-benda 'menarik' yang aku lihat di Mexico. Walaupun kawan aku kata orang sana cantik-cantik.

Masakan tidak, sekarang ini masa dah berubah. Sejak peristiwa sebelum Ramadhan lepas. Mak aku dah pesan dengan sebenar-benar pesan. Jangan tinggal solat. Jangan buat maksiat. Jangan bergaduh dengan orang. Jangan sakitkan hati orang. Jangan makan atau minum benda yang haram. Jangan mengorat anak gadis orang. Jangan dan bermacam jenis jangan lagi. Sebagai seorang anak dan makhluk Tuhan yang sudah menanamkan keazaman dan disiplin yang tinggi, aku berubah. Abang RL takkan kenyit mata pada anak dara orang lagi. Melainkan waktu lepas akad nikah nanti. Bukan lagi kenyit, nak gigit pun boleh.

Habis bab gadis-gadis. Kita beralih sedikit ke dunia politik. Dengar cerita Encik Bijan dan Kak Mah kita kena pakat boikot dek rakyat Pulau Pinang waktu sambutan Tahun Baru Cina. Siap ada boikot dari PSY. Entah betul ke tidak, aku pun tak tahu. Kalau ada di antara kalian yang mempunyai sedikit maklumat, sila kongsi dengan aku. Maklumlah, kadang-kadang cerita sejengkal jadi panjang sedepa. Tapi yang menjadi kehairanan, mengapa ada PSY? Dah tak ada orang lain? Rasanya boleh jemput yang lain. Dah menjadi macam satu kemestian untuk menjemput artis dalam apa-apa acara pun. Duit habis banyak, walaupun dalam kata bahawasanya negara kena berjimat. Bayar artis ada duit, tapi untuk bagi pendidikan, tiba-tiba tiada duit. Payah nak cakap.

Walhal, golongan artis ini tidaklah sebagus mana pun. Tak bawa banyak faedah pun. Nak kata manusia bersatu kerana muzik, tak juga. Nak kata muzik atau lakonan mereka membawa manusia kepada keamanan, memang sah bukan. Yang pasti, golongan artis banyak mendorong kita supaya berlumba-lumba ke neraka. Aku sendiri dah pernah tergelincir jauh, dan aku tahu bagaimana teruk dan jijiknya apabila kita jauh dari Tuhan. Jadi eloklah kalau kita mula tolak artis dari acara-acara rasmi atau keagamaan atau apa-apa acara sekalipun. Biarlah mereka sekadar menghiburkan. Tak melebih-lebih macam sekarang.

Sekarang ini, dalam waktu kapal sedang melabuhkan sauh, aku banyak memancing. Sekadar hobi di masa yang tak berapa lapang. Menghilangkan tekanan yang memuncak akibat ketua pegawai dek atau malim pertama yang memang sangat menjengkelkan. Tak ada pakai batang jorang pun. Tali, mata kail, ladung. Itu sahaja yang aku ada. Tapi 4th Engineer aku ada batang joran siap dengan alat-alat dia yang memang lengkap. Dia memang pakar bab memancing laut atas kapal. Semalam aku dapat ikan dua ekor sekaligus, tapi entah jenis apa. Nak kata ikan keli, memang sah bukan sebab tengah laut. Saiz besar dari keli, tapi kulitnya cerah. Seekor aku lepas balik ke laut, seekor lagi aku potong-potong buat umpan semula. Aku harap dapat ikan yang lagi besar. Boleh buat masak masam manis macam tempoh hari. Dan kalaulah peristiwa sebelum Ramadhan lepas tak berlaku, dah tentu-tentu aku minta dia tolong beritahu apa masakan yang sedap untuk ikan-ikan ini. Tadi pun makan ikan merah masak stim. Eh. Eh.. Kapal dah bergoyang. Aku rasa ada ikan yang makan umpan aku. Abang RL nak kena tengok. Pergi dulu....



Selit-selit: Kapal ini aku rasakan hampir sama sahaja macam penjara. Itu sahaja.


Thursday 7 February 2013

Februari.



Dah lama blog aku menyepi. Walaubagaimanapun, ada cara untuk aku terbitkan entri ini dengan cara automatik. Telah pra-siap ketika kapal aku masih dapat capaian internet, dan aku harap ia akan muncul di blog tepat pada masa. Mungkin tak berapa nak sama masa sebab zon masa berbeza, tapi bolehlah.

Bersempena 7 Februari 2013, aku nyanyi sendiri lagu ini walaupun orang lain atas kapal ini tak faham. Dan aku taip kembali lirik ini sendiri tanpa tiru-dan-tampal. Sekian.


Dia, insan pertama yang bertakhta
Dia, insan pertama yang ku cinta
Dia, pernah membuatku bahagia
Dia yang mengajarku tentang erti rindu.

Dia,
Yang dulu pernah ku sanjungi
Pergi sehingga kini tak berganti
Hilang dari pandangan hidup ini
Membawa luka pedih tak terperi.

Tiada ku duga permulaan yang jernih
Menjadi keruh dengan tiba-tiba
Bisa rintangan antara ku dan dia
Cinta terhalang oleh orang tua.

Kini terkilan sungguh rasa hati
Dia tak pernah lagi ku temui
Dia ku abadikan dalam jiwa
Terima kasih atas segalanya..

Successfully published on Feb 07, 2013

Selit-selit: Makna lagu ini pada aku? Kira macam penterbalikan dari lagu Relaku Pujuk yang pernah aku dengar ketika di kedai satay Haji Samuri di Kajang, Selangor dulu.

Saturday 5 January 2013

Jumpa Barang dan Cara Penyelesaiannya..

Entri ini aku buat untuk berkongsi sedikit pengetahuan. Tercetus rasa untuk berkongsi selepas melihat beberapa orang di kalangan kita kurang arif tentangnya. Namun, ia sekadar pengetahuan secara permukaan dan bukan dalaman; harus sahaja kalian merujuk pada asatizah atau guru-guru yang arif tentangnya.

Dalam undang-undang sekular atau sivil, cara penyelesaian masalah dalam kes jumpa barang memang agak rumit kerana tiada garis panduan khusus. Namun, di dalam Islam ada. Aplikasinya di Malaysia, sama sekali tidak berlaku.

Berikut beberapa jenis contoh kes dan cara penyelesaiannya.


Apabila terjumpa wang dalam jumlah yang banyak atau barang berharga dan orang yang menjumpainya menginginkan wang atau barang tersebut, ia hendaklah diumumkan atau diiklankan selama setahun akan wang yang dijumpainya itu. Jika datang orang menuntutnya, hendaklah dipulangkan. Sekiranya lebih dari setahun, dan orang yang menjumpainya menggunakan wang tersebut untuk tujuan perniagaan, maka untung dari modal tersebut itu adalah haknya. Dan sekiranya datang orang menuntut wang tersebut walaupun selepas setahun, ia tetap perlu dipulangkan. Sekiranya telah digunakan, perlu diganti.

Apabila terjumpa wang dalam jumlah yang kecil, tidak perlu diiklankan besar-besaran. Memadai dengan mengumumkan pada orang sekeliling. Dan jika tiada yang menuntut, maka hendaklah dia berkata, "Aku milik akan wang sekian banyaknya ini" disaksikan orang sekeliling. Namun, jika selepas itu ada orang yang menuntutnya kemudian itu, perlulah dipulangkan.

Apabila terjumpa ternakan, contohnya kambing jantan dan betina, dan ingin memilikinya, maka hendaklah dia mengiklannya selama setahun. Jika dalam masa setahun pengiklanan itu, ternakan itu beranak pinak, maka ia masih tetap milik tuan asalnya. Namun, anak-anak ternakan yang lahir selepas setahun tempoh pengiklanan, adalah hak milik orang yang menjumpai ternakan itu. Dan jika tuntutan dibuat oleh tuan asal, tuan asal tersebut hendaklah membayar upah kepada orang yang jumpa untuk kos makanan ternakan, kos penjagaan termasuk upah menjaga selama mana ia di dalam penjagaan.

Apabila terjumpa bayi di dalam negara yang ada komuniti Islam, walaupun bayi yang dijumpai itu memang nampak bukan anak Melayu atau Islam, malah jelas sepet matanya atau hitam warna kulitnya, hendaklah tetap diambil bayi itu secara anak Islam dan diIslamkan. Ketika mengambilnya, hendaklah ada saksi ketika waktu pengambilan, melainkan di situasi bahaya seperti ada binatang buas hendak mencederakan bayi itu. Penjagaannya hendaklah dimaklumkan pada Baitulmal untuk urusan wang belanja anak itu. Perlulah diiklankan tentang jumpa bayi tersebut.


Itulah sedikit sebanyak tentang cara atau undang-undang jumpa barang yang ditulis dalam kitab-kitab tua. Namun, penjelasan yang aku beri, sangat-sangat mudah dan hanya menjadi titik tolak untuk kalian berfikir bagaimana lengkap dan canggihnya perundangan Islam. Harus juga disimpulkan di sini bahawa, pemilikan barang-barang yang dijumpai itu bersifat pemilikan sementara sampai bila-bila. Waima ada orang menuntut setelah 20 tahun sekalipun, tetap perlu dipulangkan dengan hematnya. Begitulah. 

Sekian.


Selit-selit: Dah memang undang-undang Islam canggih. Tapi tetap tak nak guna. Macam mana nak sebut Quran sebagai panduan bila disoal dalam kubur nanti, sedangkan kita guna perlembagaan sekular?

Selit-selit: Hari ini aku sedikit gembira. Itu sahaja.



Thursday 3 January 2013

Warna kehidupan dan Coraknya..

Lama sangat dah aku tak kemaskini blog. Bukan apa, kebelakangan ini ruang masa aku agak sempit dan semput. Begitulah keadaannya sedikit sebanyak. Pada yang selalu menyinggah, maaf aku ucapkan.

Pagi tadi kita dikejutkan dengan pemergian pahlawan negara, Kanang Anak Langkau. Dulu waktu sekolah, novel dia menjadi salah satu novel yang aku minat. Sebabnya? Waktu aku baca novel dia, umur aku sekadar darjah 6. Kira dialah Rambo versi Malaysia bagi diri aku selain dari Leftenan Adnan. Duduk dalam hospital lebih setahun, tapi masih kuat dan mampu berdiri ketika tuanya. Banyak kali aku ulang baca novel tentang dia. Ayat yang paling aku ingat dan aku rasa mendalam, komen beliau apabila diberi anugerah SP dan PGB. Katanya, pujian dan pingat seperti minyak wangi; baik untuk dicium tapi tak boleh diminum. Hidup dia selepas tentera seperti agak menemui kesempitan sehingga menumpang di tanah mertua. Sedih. Tetapi, aku bangga dan sangat-sangat menghargai jasanya.

Setakat itu yang mampu aku luah tentang pahlawan negara kita.

Kita masuk topik lain pula.

Pagi tadi juga, ketika aku sedang bersarapan seorangan, aku asyik melihat orang di sekeliling aku. Tak ada apa-apa. Cuma manusia yang berlainan bangsa dan agama serta corak moral. Mula-mula nampak macam biasa, tetapi bila duduk seorang diri, kena pula dengan kopi beriringan rokok, nikotin-nikotin dalam rokok aku mula mengecas neuron-neuron otak aku untuk berfikir dengan lebih cergas dan kreatif. Aku terfikir tentang satu persoalan yang pernah seseorang lontarkan pada aku.

Soalannya, kalaulah diizinkan oleh Tuhan untuk masuk syurga, dapatkah kita minta untuk tengok dunia dan jelajahi dunia seperti yang kita inginkan di dunia?

Aku tak arif tentang ilmu ketauhidan. Aku tak tahu nak jawab apa. Cuma soalan itu buat aku berfikir dengan ligat. Di syurga, tiada lagi sifat-sifat cacat cela. Tiada lagi keburukan. Tiada lagi keinginan yang hina. Kalau kita minta jelajah dunia sekalipun, aku tak rasa akan ada lagi wajah George W Bush di dunia itu. Aku tak rasa kita akan menjelajah dengan diselitkan kepayahan dan kesulitan. Takkan ada lagi 'cuci-cuci mata' melihat anak-anak gadis berpeleseran dengan baju tak cukup sifat. Mungkin takkan ada.

Warna-warna yang ada ini, sebenarnya campuran dari warna-warna lain. Biru campur kuning jadi hijau dan begitulah seterusnya. Samalah seperti kehidupan, warna 'blonde' rambut makcik umur 70 tahun itu memang buruk, tetapi kadangkala ia menjadi faktor kita mengukir senyuman. Baju sendat yang dipakai oleh gadis yang memang sah-sah obesiti, sehingga nampak lemak tepu di pinggang itu memang membuatkan nafsu terhenti, tetapi itulah yang akan menjadi bahan perbualan kita untuk menceriakan suasana. Memang itulah hukumnya. Keajaiban warna-warni kehidupan.

Maka, fikir-fikirlah bagaimana kita calit warna dalam kehidupan kita. Samada ceria, cerah, gelap dan menakutkan atau campuran kedua-duanya. Kita tentukan.




Selit-selit: Aku jadi tak faham kenapa ramai sangat Melayu beragama Islam bangang sangat pergi sambut tahun baru di kelab-kelab malam. Nak kata mak bapa tak ajar, mungkin juga. Ditegur nanti, marah. Tapi otak serupa kambing.

Selit-selit: Kalau nak tunggu orang yang betul-betul baik untuk menegur, maka, makin berkuranglah orang yang menasihatkan. Memang aku juga pernah melampaui batas diri aku sendiri, tapi fikirlah. Akhirat tu lama chor oi.... Bukan sehari dua!