Saturday, 30 June 2012

Bahasa dan Kerosakannya?

Dari bab perempuan, sampai ke bab agama, aku ada banyak taip macam-macam. Aku nak berkalih angin pula pada bahasa, khususnya Bahasa Melayu.

Mengapa aku nak tulis tentang Bahasa Melayu? Kerana kita ini dah banyak sangat terjajah dengan bahasa asing. Aku jadi sakit hati sebab tengok banyak sangat rosaknya. Rasa sakit hati yang dah tak mampu aku istighfarkan lagi. Jadi mari kita lihat-lihat dahulu contohnya. Kemudian kita ulas sama-sama.

Contoh perkataan Bahasa Inggeris yang di-Melayu-kan oleh orang kita yang tak reti bahasa:

-Konklusi. Disadur dari perkataan 'conclusion'. Maksud sebenar ialah kesimpulan.
-Diskusi. Disadur dari perkataan 'discussion'. Maksud sebenar ialah perbincangan.
-Aplikasi. Disadur dari perkataan 'application'. Maksud sebenar ialah penggunaan.
-Kondisi. Disadur dari perkataan 'condition'. Maksud sebenar ialah keadaan.
-Kondusif. Disadur dari perkataan 'conducive'. Maksud sebenar ialah selesa.

Ok, cukup dengan yang ada seperti di atas. Sakit hati rasanya apabila ada perkataan begini wujud. Apa rakyat Malaysia dah buta kayu sampai perkataan sendiri pun dah tak tahu nak guna elok-elok? Di televisyen, akhbar-akhbar pun boleh nampak perkataan-perkataan ini digunakan. Tak rasa budak-budak yang sedang belajar akan terpengaruh untuk guna perkataan sebegini? Bukan kita tiada perkataan itu, tetapi nak juga me-Melayu-kan bahasa asing. 


Elok pula nak aku sentap bibir sesetengah rakyat Malaysia yang bangga sangat guna bahasa rojak. Alasan yang digunakan ialah, "I for the time being ni kan, tengah in learning process. Lagipun feel like kampung sangat if cakap Melayu terus.". Rasa sakit di telinga aku dengar orang cakap begitu. Elok pula perempuan-perempuan sebangsa dengan aku, lepas itu bergaul tak tentu hala, tanpa kenal waktu, dengan alasan itu adalah kehidupan moden. Nampak sangat cetek akal pemikiran. Nak aku lempang pipi perempuan jenis demikian, fikir bukan mahram pula.

Satu lagi, aku di sini suka untuk menuding jari pada pemerintah sekarang. Ya, aku tak nafikan mereka ada berkhidmat untuk rakyat dan macam-macam lagi. Tapi, bab yang ini, takkan tak nampak di mata sendiri. Semua yang ada dalam kelompok pemimpin ada bidang tugas masing-masing. Jadi di mana orang yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan? Aku bukan nak sokong mana-mana pihak,  tapi tentang benda yang satu ini cukuplah aku sakit hati. Canang pada semua orang, "Kami akan menjaga orang-orang Melayu dan segalanya tentang Melayu", "Kita martabatkan Bahasa Melayu" dan pelbagai jenis slogan dan ucapan. Tapi nama parti politik yang berkuasa sekarang dah sah guna Bahasa Inggeris. UMNO itu United Malays National Organization. Salahkah kalau kita tukar pada Organisasi Nasional Melayu Bersatu? Jadikan ONMB? Apa geli sangatkah kalau dengar begitu? Parti pembangkang pun guna Bahasa Melayu. Elok sahaja guna Parti Keadilan Rakyat. Kalau DAP, tak payah ceritalah, sebab MIC dan MCA pun sama, masing-masing majoriti dalam partinya bukan Melayu. Perubahan ke arah kebaikan tak merugikan sesiapa. Orang-orang DBP atau Dewan Bahasa dan Pustaka pun takkan tak reti nak buka mulut pada pemerintah? Dah, cukup pada bab politik. Kutuk lebih-lebih nanti, nak penjaralah, nak lokaplah, nak samanlah. Macam-macam. Tegur pun tak boleh.

Kesimpulannya, tak payah nak bangga sangatlah dengan bahasa luar sampai menenggelamkan bahasa kebangsaan sendiri. Lainlah kalau belajar guna pengantaraan bahasa asing sebab orang Malaysia memang malas nak terjemah dan alih bahasa bahan-bahan ilmiah. Orang-orang yang konon mengaku 'moden' dengan menggunakan bahasa rojak, tolonglah. Kebanyakan orang tak hormat langsung pada orang-orang macam anda.

Kalau ada di kalangan pembaca mendapati bahawasanya ada terdapat di kalangan rakan-rakan atau kenalan anda menggunakan dan berbangga dengan bahasa sedemikian rupa, sila sampaikan benda ini atau tampalkan pada laman yang berkenaan. Moga kita semua memelihara dan memulihara bahasa kita.

Ingatlah wahai rakyat Malaysia.

Cintailah Bahasa Kita. 

Bahasa Menunjukkan Bangsa.

Rambut, Wanita dan Islam..

Pada entri lepas, aku beritahu sedikit sebanyak tentang adab, sunnah dan akhlak yang berkaitan dengan kenderaan. Kali ini aku pergi pula ke satu bahagian yang ada sebahagian perempuan tak tahu dan ada sebahagiannya memang suka langgar perintah Allah. Adapun, entri kali ini secara amnya ditujukan kepada semua muslim, khususnya kepada manusia bergelar wanita.

Adapun kali ini aku hendak kongsikan sedikit sebanyak tentang rambut perempuan. Ada banyak benda yang ada perlu kita lihat, dan perlu kita aplikasikan.

Pertama, adapun telah kita sedia maklum bahawa rambut itu adalah aurat perempuan. Beza aurat bagi tiap-tiap kategori, adalah telah sedia maklum jua yakni aurat solat dan aurat ru'yah. Aurat itu adalah perkataan yang diambil dari asal perkataan 'aar, yang bermaksud perkara yang aib atau memalukan. Adapun, terlalu banyak yang kita lihat sekarang, wanita muslim dah tak tahu malu. Susah nak cerita lebih-lebih, nanti banyak pula yang keluar nas, mengalahkan dia dah mengaji 40 kitab.

Kita melangkah pula ke bahagian lain, iaitu hukum memotong rambut di kedai atau salun bukan Islam. Adapun bahagian ini ada yang berpendapat harus, namun majoriti fuqaha memberi pandangan haram menggunting rambut di kedai atau salun bukan Islam. Kalau ada di antara kalian yang dah buat, terpulang pada anda. Elok pula yang menggunting rambut itu berlainan jantina. Apapun, sediakan diri anda untuk akhirat. Nanti ada pula yang kata, "eh, takkan gunting rambut pun susah sangat?". Sebenarnya tak susah, tapi anda yang menyusahkan diri sendiri. Agak rasa diri anda lagi hebat dari ulama, silakan buat apa yang anda suka.

Kemudian, kita lihat pula pada hukum penjagaan rambut. Adapun penjagaan rambut ini juga ada hukum. Pertama, rambut itu hendaklah dimuliakan. Ini sabit sekali dengan hadis nabi. Adapun, ada juga hadis yang mengatakan nabi melarang wanita menyikat rambut terlalu kerap. Kedua, dilarang mencukur rambut. Adapun sekarang boleh kita lihat wanita-wanita yang mengatakan diri mereka 'moden', banyak yang mencukur rambut. Siap ada corak-corak lagi. Nanti api neraka punya corak lagi hebat. Tunggulah. Ketiga, dilarang menyambung rambut. Ini anda boleh rujuk pada asatizah atau alim ulama kerana bab ini agak luas hukumnya. Terakhir, dilarang untuk mewarnakan rambut sama ada untuk menutup warna asli atau warna uban. Adapun bab ini nabi ada beritahu dalam suatu hadis, bahawa warnakan uban itu hendaklah dijauhi dari warna hitam.

Kita maju lagi dua tiga tapak ke hadapan. Adapun ini adalah berkaitan dengan hukum mengikat rambut ketika mandi hadas(junub). Adalah dibolehkan mengikat rambut ketika mandi hadas kerana hal ini pernah ditanyakan oleh Ummu Salamah. Adapun, hendaklah disiram 3 kali siraman dan ratakan air pada anggota yang lain. Tetapi jika mandi kerana haid, adalah baik untuk menguraikan rambut. Nak tahu lebih terperinci, boleh rujuk kitab.

Sekarang, ada satu lagi bab yang payah orang Islam nak faham sekarang. Tidak halal bagi wanita memotong rambutnya sehingga menyerupai lelaki. Kata ulama, ia termasuk dalam salah satu dosa besar. Ini tetap dosa besar sekalipun potong pendek tapi pakai tudung. Namun, sekiranya dipendekkan tak menyerupai lelaki, hukumnya ialah harus.

Walaubagaimanapun, ada banyak bab tentang rambut wanita Islam. Ada di antaranya ikut betul dan lurus dengan ajaran dan perintah Allah. Tapi majoritinya tak reti bahasa bahawa api neraka itu bukan macam api lighter. Ikutlah ajaran Allah dan Rasul. Tak susah mana. Buang duit pergi buat rambut di salun, berjam-jam tak ada masalah, tapi bila minta pakai tudung, seribu satu alasan diberi. 

Mari aku nak ingatkan sikit, bahawa Nabi berkata pada anaknya Fatimah, "Wahai anakku Fatimah. Perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya sehingga mendidih otaknya di dalam neraka adalah dari golongan yang tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahram". Cuba tanya pada diri sendiri, dah hebat sangatkah anda nak biar rambut jadi tatapan? Dah hebat sangatkah anda nak melawan dan membidas orang yang minta anda tutup rambut anda? Ingat, azab tuhan itu pedih. Kita sekadar mambaca, mungkin kurang takut. Cuba sesekali minta pada Allah, lihatkan suasana neraka dalam mimpi. Biar melekat terus dalam ingatan.

Aku nak ingatkan pada semua pembaca. Sijil UPSR, PMR, SPM, sijil-sijil setaraf, Diploma, Ijazah, Sarjana, atau apa-apa sekalipun, tak akan jadi peneman waktu dalam kubur dan akhirat. Fikir guna akal, bukan guna perasaan. 

Ingat! Pada manusia anda boleh tipu, anda boleh ugut-ugut, boleh anda main-main. Tapi dengan Allah dan Rasul, tak payahlah nak cari pasal.


Friday, 29 June 2012

Kenderaan, Adab dan Manusia?


Aku dah lama tak kemaskini blog sebab masa tidak mengizinkan. Sekarang aku balik menaip. Jari-jari tangan aku dah lenguh nak melayan karenah manusia yang macam-macam. Dah, takat itu sahaja. Ok, sekarang ini, aku nak taip tentang perkara yang jarang-jarang kita ambil berat sedangkan kita berhadapan dengan perkara ini hampir tiap-tiap hari.

Ramai orang sekarang mengambil berat tentang adab dan tatacara, walaupun sesetengahnya macam tak pernah diasuh langsung. Bagaimana dengan kenderaan? Kita ada macam-macam jenis kenderaan, contohnya kereta, motosikal, kapal, kapal terbang, basikal, beca, keretapi, lori, bas, kuda, unta dan sebagainya. Dari yang diperbuat dengan besi dan plastik, sampailah ke kenderaan yang jenis tahu buang air kecil dan besar dan juga tahu beranak. Aku nak ajak kalian tengok-tengok. Kalau rasa boleh praktikkan, boleh mulakan terus. Kalau yang jenis cipta seribu satu alasan, boleh tengok juga. Aku tak pernah larang. Aku kongsikan sedikit sebanyak adab, sunnah dan akhlak berkenaan kenderaan. Aku muslim, jadi Tuhan aku ada berfirman yang maksudnya, "..Dia menjadikan untuk kamu kapal dan ternakan untuk kamu naiki. Supaya apabila kamu duduk di atasnya, kamu akan ingat nikmat Tuhanmu." Kalau ada di kalangan pembaca adalah bukan muslim, juga digalakkan baca. Agama Islam lengkap dari jalanraya, sampailah ke pentadbiran negara. 

Adab-adab dan sunnah ketika membeli atau menerima kenderaan baru (tak kiralah koyak plastik atau jenis terpakai): 
Disunatkan membaca doa seperti berikut: "Ya Allah, berikan aku kebaikannya dan kebaikan penciptaanya, dan jauhkan aku dari kejahatan dan kejahatan penciptaanya." Aku tak boleh taip dalam bahasa Arab sebab aku bukan 'copy-paste' macam sesetengah orang lain. Jadi pandai-pandai cari. Aku percaya kalian bijak-bijak belaka.

Adab-adab dan sunnah apabila berkenderaan atau sedang dalam perjalanan:
Hendaklah menolong orang lain yang tidak berkenderaan. Tak semua orang mampu berkenderaan. Dah diberi nikmat oleh Tuhan, jangan sombong tak tentu hala. Bila ditarik nikmat itu nanti, baru nak tahu rasanya macam mana. Ajaklah naik sekali. Pahala dapat, sekaligus kurang cemar alam sekitar. Muhammad ada bersabda, "Sesiapa yang dapat nikmat tunggangan(kenderaan), maka manfaatkannya untuk yang tak dapat." Satu lagi, berikanlah salam pada yang berjalan kaki. Tapi janganlah anda beri salam waktu tengah bawa laju-laju. Bijak sampai macam itu pun susah juga. Buatlah ketika selamat berbuat demikian.

Adab-adab dan sunnah apabila berada dalam kesesakan lalu-lintas: 
Bab ini sangatlah bagus. Kebanyakan kita akan menyumpah seranah. Termasuklah aku waktu aku jahil dulu. Silap-silap ada yang mencarut. Apa yang perlu kita buat, hendaklah membaca basmalah. Mengapa? Kata Muhammad, sekalipun kita maki syaitan, contohnya "celaka punya setan!", sebenarnya dia makin suka. Makin besar dia sampai lebih dari sebuah rumah. Tapi bila kita baca basmalah, kecil dia sehingga sekecil lalat dan dia pun hilang. Kenapa dengan syaitan? Dia suka buat kita marah. Itu sahaja. Akibat dari marah, sendiri boleh fikir. Ini banyak berlaku untuk pengguna jalanraya di bandaraya.

Adab-adab dan sunnah berkaitan mencuci kenderaan:
Muhammad itu mencuci dan membersihkan tunggangannya sendiri. Kita ini tak reti-reti bahasa nak pergi membazir pergi cuci kereta dekat 'car wash'. Kalau dah duduk dalam rumah pangsa tingkat 23, tak apalah sebab tak ada pilihan. Tapi kalau dah paip air tercongok di luar rumah, tak payah nak mengada buang duit hanya untuk cuci sebab but kereta ada kena najis burung. Badan sihat sebab berpeluh, duit pun jimat, pahala pun dapat sebab ikut sunnah.

Adab-adab dan sunnah apabila dijemput naik kenderaan:
Bila orang jemput untuk tumpang, hendaklah tunggu sehingga tuan kenderaan itu memberitahu di mana kita boleh duduk. Jangan nak sedap-sedap langkah masuk ikut suka hati. Ini kerana Muhammad beritahu bahawa tuan punya kenderaan itu lebih berhak ke atas kenderaannya. Tapi jangan pula kalau ada kalian yang baru nak ambil lesen memandu, suruh penguji JPJ itu duduk di belakang pula. Itu nak kena lempang sampai mendap namanya.

Adab-adab dan sunnah berkenaan kelajuan kenderaan:
Muhammad bersabda, "Kebaikan itu tiada pada menunggang kuda atau unta dengan laju. Maka bertenang dan tungganglah dengan aman". Hadis ini sebut tentang kuda dan unta sebab itu yang ada pada masa baginda. Janganlah singkat sangat akal untuk mengecualikan hadis ini untuk kereta dan bas. Pandulah dengan selamat. Ikut peraturan jalanraya. Lainlah kalau ambulans atau kereta polis dalam kecemasan. Itu dah memang dalam keadaan tak baik. Kalau anda naik bas pula, dan pemandu itu pandu bas macam pandu kereta lumba, beritahu dia, Muhammad tak suka. Kalau dia tak dengar, elok lagi kalau pemandu itu muslim, cakap pada dia, "Nanti di akhirat kau buat muka tak malu nak minta syafaat nabi, tapi ikut sunnah tak mahu."

Adab-adab dan sunnah berkenaan kenderaan yang dimiliki:
Aku suka hendak mengingatkan bahawa jenis kenderaan, atau harta benda tak membawa sebarang nilai di hadapan Allah dan rasul. Pandulah kereta mahal yang sama harga dengan kapal terbang sekalipun, siap tampal nombor pendaftaran mahal macam harga rumah sekalipun, Allah tak pandang langsung. Perasaan riak atau bangga diri itu tak harus ada. Sepatutnya kita lihat bagaimana tahap kesopanan pemandu itu di atas jalanraya.

Dah lenguh taip rasanya. Apapun, dah nampak sedikit sebanyak perkara yang nak aku kongsikan. Kenderaan itu nikmat Allah, maka boleh kita gunakan nikmat yang diberi itu untuk menambahkan rasa cinta kita kepada Rasulullah. Dengan nikmat itu juga akan membuatkan kita rasa bahawa kita ini sangat-sangat kerdil di mata Allah. Maka, mari kita sama-sama manfaatkan kenderaan yang diberikan kepada kita.

Saturday, 2 June 2012

Fahaman Merbahaya? Kebenarannya?

Hari ini berlalu dengan begitu lambat. Langkahan aku pun sangat-sangat perlahan. Tapi ada satu benda yang aku rasakan agak suka untuk dikongsi bersama. Berhimpunlah semua adik-beradik aku dari semua keluarga dan ada di antara kami yang membawa beberapa jenis buku lepas solat Jumaat tadi. Lagipun agak rasa nak mengamuk juga kalau terus menerus kena kerja untuk kenduri. Ok, Topiknya agak sensitif pada sesetengah orang, iaitu tentang Syiah. Agak khusus pada yang aku tulis ini banyak berkaitan pada Syiah Imamiah.

Sebelum itu, pada pembaca-pembaca blog ini, sila buat rujukan lain (cross-reference) dan sila tanya pada guru-guru, ustaz atau ustazah, atau mana-mana orang yang dalam ilmu agamanya. Aku ini orang awam, tak tinggi ilmu, jadi sila jangan sedap hentam guna baca apa yang tersedia di internet. Lagipun, aku tahu bahawasanya ada di kalangan kalian yang kurang ambil tahu tentang agama, dan lebih banyak ambil tahu tentang artis dan fesyen. Namun begitu, aku percaya pembaca-pembaca blog aku ini bijak-bijak belaka.

Ok, apa itu Syiah? Secara definisi ringkas, satu aliran agama yang terpesong dari Islam yang sebenar. Mengagungkan Saidina Ali, sehingga ada di antara cabangnya yang terlalu ekstrim sehingga tidak mengiktiraf Muhammad sebagai rasul. Punca kemunculan Syiah, ada macam-macam versi. Aku tak pasti mana yang sebenar-benarnya. Selebihnya, elok kalian cari pada alim ulama.

Apa yang menarik tentang Syiah yang aku nak cerita? Mungkin ada di antara kalian dah lama tahu dan sedia maklum ada puak Syiah dah mula bertapak di Malaysia. Entah macam mana orang kita boleh sedap terima fahaman mereka, aku kurang pasti. Ada pula yang menambah ketidak-bijaksanaan dengan mengatakan ia datang dari parti politik tertentu. Payah dengan Malaysia, asal ada benda pelik, kena dengan politik. Agaknya kalau lepas ini ada orang gempar ikan paus datang Malaysia pun kata parti politik yang ambil. Apa-apalah. Jadi, mulalah bertapaknya puak Syiah. Ada terjadi beberapa kes di masjid-masjid dan surau-surau di sekitar Ulu Kinta, Perak, mendapat risalah dan buku-buku dari fahaman ini. Dari kulitnya, sekadar bertajuk "Kembali ke Jalan Benar", tetapi susunan ayat dan caranya akan membuatkan orang yang lemah asas agama akan terpesong. Elok pula kena dengan orang yang tak ambil tahu tentang sejarah Islam.

Maka, berbuallah aku dan adik-beradik aku tentang perkara ini berserta dengan beberapa orang pakcik. Biasalah, orang lelaki. Kaum lelaki memang ambil berat benda-benda ilmiah. Tak macam orang perempuan, asal ada kenduri, mulut buat dosa sampai tahap naik sibuk malaikat nak catat. Lantaklah. Fenomena orang perempuan payah nak diubah.

Jadi, muncullah antara yang paling kecil antara kami, melontarkan soalan yang memecahkan tawa semua orang. "Kalau dikatakan Hassan itu maksum, macam mana cerita dengan Hassan iktiraf Muawiyah sebagai ketua? Dah Syiah ni kata Muawiyah ni kafir, dah tu Hassan iktiraf Muawiyah? Sekarang ni dikatakan Hassan itu maksum. Maksum takkan buat dosa dan silap. Kalau Hassan iktiraf Muawiyah secara peribadi, maksudnya Hassan buat silap. Kalau itu ilham dari Allah, maksudnya Muawiyah itu ketua yang diiktiraf Allah.". (sesiapa yang tidak faham dialog ini, sila rujuk pada yang berkenaan untuk cari maklumat). Begitu kata dari seorang budak yang berumur tak sampai 15 tahun. Budak kecil macam itu pun boleh tengok kesilapan Syiah selepas dia tengok risalah-risalah yang diberikan. Peliknya, rakyat Malaysia ini dah sah-sah majoritinya Sunni. Yang tukang terjemah buku ini pun dah tentu Melayu. Mana agaknya dia letak akal fikiran. Kalau Wahabbi, biasalah aku jumpa. Tapi taklah sampai caci maki Aisyah, Abu Bakr, Usman. Dahsyat.

Setakat ini sahaja. Aku harap penaipan aku kali ini boleh buat kalian fikir-fikir balik. Ada di antara kita yang dah pesong tahap entah ke mana. Bukanlah buku atau risalah atau orang yang boleh memesongkan kita. Tetapi semuanya disebabkan hati kita sendiri. Ilmu wajib dicari. Ilmu dunia dan akhirat harus seimbang. Nanti esok-esok nak kafan mak ayah sendiri pun kita terkial-kial. Jangan kata Syiah, agama lain pun boleh cucuk baik punya. Ok, moga-moga diteguhkan iman kita dan ditambahkan lagi. Syiah taklah bahaya mana pun, asalkan kita ada ilmu asasnya di dada. Ijazah universiti kita boleh cari, ilmu agama macam mana? Cario. 




Selit-selit: Satu perkara yang aku puji tentang Syiah, mereka sangat taat setia pada ketua. Apa yang diarahkan, dibuat serta merta tanpa banyak tanya. Kita? yang konon mengaku Ahlus Sunnah? Yusuf Qardawi suruh keluar hentam pemimpin zalim pun kita buat tak tahu. Eloklah sangat.