Showing posts with label Bahasa. Show all posts
Showing posts with label Bahasa. Show all posts

Monday, 22 October 2012

Asal-usul Istilah dan Nama.. Apakah?

Aku sarapan pagi ini, sambil baca macam-macam benda pelik-pelik dan berat-berat dalam surat khabar. Pening aku jadinya. Dari mak yang bawa anak ke kafe siber, sampailah ke penipuan dalam politik yang tak sudah-sudah. Maka, pagi ini aku nak menaip benda-benda ringan sahaja. Tambahan pula, orang-orang tersayang dalam hidup aku dah balik ke Perak hari ini. 

Jadi aku terfikir nak ajak pembaca fikir-fikirkan tentang nama-nama dan perkataan yang dah diputar-putar oleh orang barat ikut sesedap hati mereka. Sumbernya aku dapat dari mulut ke mulut, langsung masuk ke telinga aku. Ada yang aku baca dari macam-macam buku. Ada yang aku dapat dari bertanya ke tempat-tempat yang aku pernah singgah dulu. Macam-macam. Setakat mana kesahihan sumber, entahlah. Ini aku kongsikan pun sekadar nak meringankan kepala.


  • Asal nama Portugal, datangnya dari pokok limau yang banyak ditanam di sana. Dalam bahasa Arab, limau disebut "burtuqal". Maka, jadilah ia negeri limau. Negara Portugal.
  • Asal nama Gibraltar, datang dari panggilan Jabal Tariq, yakni tempat singgah Tariq Bin Ziad sewaktu nak menyerang Sepanyol. Diterbalik dan diubah oleh orang, menjadi Gibraltar.
  • Nama binatang Kangaroo yang ada di Australia. Ceritanya, orang putih yang sampai di sana, bertanya, "What is this?", maka tak faham oleh orang asli Australia itu, dijawabnya "Kangaroo" bermaksud "I don't understand you" atau saya tidak faham awak. Maka di atas sebab kebangangan orang putih itu, dipanggilnya sampai sudah, Kangaroo. Kiranya binatang itu sebenarnya tidak bernama.
  • Istilah Alphabet yang ada dalam bahasa Inggeris. Dikatakan berasal dari bahasa Arab, alif ba ta. Maka dipusing oleh orang menjadi Alphabet.
  • Istilah Medicine yang bermaksud ubat. Datang dari bahasa Arab yang bermakna "tulisan Sina (Ibnu Sina)" atau "pen Sina". Adapun, ini memang susah nak cakap sebab ada yang mengatakan datang dari bahasa Latin dan sebagainya.
  • Istilah Admiral. Ini datang dari bahasa Arab. Yakni dari perkataan Amir-Al-Bahr (Kapten laut). Entah dibuang macam mana Bahr (laut) itu, jadilah Admiral.
  • Almanac. Yakni buku yang ada maklumat pergerakan matahari, dan segala objek samawi. Datang dari perkataan Al-manakh. Ini Arab Parsi kalau tak salah aku. Tapi masih tak dapat dipastikan.
  • Adapun satu lagi bahagian, nama-nama bintang yang boleh digunakan untuk navigasi. Kebanyakan bintang-bintang ini mendapat nama dari bahasa Arab. Aldebaran, Alkaid, Alnilam, Fomalhaut, Mirfak, dan macam-macam lagi. Sejarahnya, cuma sedikit yang aku tahu. Nak cerita pun panjang. Lagipun ramai yang aku rasa tak berminat nak tahu nama bintang.

Begitulah sedikit sebanyak. Ada banyak lagi yang aku lupa. Kalau dalam internet, memang boleh cari asal usul perkataan pinjaman dari bahasa Arab. Tapi jalan cerita bagaimana boleh jadi sampai begitu, itu yang menarik bagi aku. Dan kebanyakannya dibuat oleh orang putih/orang barat. Entah macam mana mereka boleh mengaku pandai, pun aku tak tahu. Maka, kalau agak-agak nak berbangga dengan bahasa Inggeris, hentikanlah. Sekadar guna untuk belajar dan berkomunikasi dengan orang luar, cukuplah.




Selit-selit: Rasa berbahagia bila orang-orang tersayang ada dekat dengan kita.

Selit-selit: Mengikut ilmu mantik, secara asasnya, penafian itu bermaksud ada. Contoh, jika menafikan bahawa tuhan itu tidak ada, maka bermaksud ia tahu bahawa tuhan itu ada. Maka, kalau dengar orang cakap, "Kami tidak menipu rakyat", maka maksudnya macam mana? Hahahah.


Thursday, 11 October 2012

Kuala Lumpur, dan Keangkuhannya. Lumpur tetap lumpur.

Aku kembali semula setelah beberapa ketika aku sibuk dengan urusan-urusan yang perlu diselesaikan. Jadi apa yang aku nak kongsikan bersama hari ini ialah beberapa keadaan/pengalaman/situasi yang cukup-cukup menekan perasaan aku ketika aku dalam perjalanan pulang ke negeri tercintaku, Perak. Kalau rasa entri kali ini agak menyinggung mana-mana perasaan pembaca, aku sikit pun tak ambil peduli. Rasa nak baca, baca. Tak nak, kau boleh tengok dekat header apa yang aku tulis.

Tersebutlah kisah di mana aku berada di kawasan selatan tanah air, menuju ke utara semenanjung, menaiki kenderaan awam jualah. Yang dikatakan perkhidmatannya mesra, berhemah jua beriringan senyuman manis bak susu krimer pekat.  Maka, aku pun sampailah ke satu bandar, yang konon dijulang bandar serba hebat dan berbagai-bagai lagi. Perhentian pertama aku, Terminal Bersepadu Selatan atau lebih dikenali dengan TBS. Keadaan di sini memang bagus. Tak ada perayu tiket dan ulat tiket. Dah hampir macam lapangan terbang pun ada. Selesa. Maka, disebabkan aku hendak menuju ke utara, aku perlu tukar ke Puduraya.

Maka, aku pun pergilah ke bahagian tren atau komuter untuk menghala ke stesen Plaza Rakyat. Setelah tiket dibeli, aku pun menjadi keliru di sebelah mana tren yang patut menghala ke Plaza Rakyat. Jadi, aku bertanya pada seorang lelaki berbangsa Cina yang tengah sedap berasmaradana depan orang ramai. Tindakbalas dari beliau? "English please." Aku pun bertanya kembali dengan bahasa penjajah itu. Tapi jawapan yang aku dapat, dia suruh aku ke kaunter pertanyaan yang agak jauh sebab badan aku dah penat. Dengan sedikit perasaan geram, aku melontarkan soalan terakhirku. "Are you Malaysian?" soalku. Jawapan dia, "Yes, I am Malaysian." Maka sahutku dengan bahasa yang dah tak kenal erti kesopanan dan kesusilaan, "Then better you find some other place to live. This is Malaysia. Don't use some other fu*king language with me. Even your people from mainland didn't understand English.". Aku terus ditenangkan oleh seorang abang yang memberitahuku ke mana patut aku menunggu.

Aku tak berniat nak membangkitkan sifat perkauman di sini. Jauh sekali. Tapi aku meluat dengan sikap warganegara Malaysia yang sangat-sangat menjijikkan. Bahasa Inggeris? Aku dah pergi macam-macam negara. China? 'Yes' dan 'no' pun tak faham. Aku dah masuk Dalian. Nak cerita yang konon Bahasa Inggeris dia hebat? Ceh! Kalau orang Melayu sekalipun yang buat begitu, memang aku pandang dengan penuh jijik sebab lebih bangga dengan bahasa asing dari bahasa sendiri. Ingat Kuala Lumpur bagus sangat? Infrastruktur tinggi, tapi nilai moral rendah. Tak payah nak sembanglah cerita Kuala Lumpur hebat. Geli anak tekak aku.

Sampainya aku ke Plaza Rakyat, aku terus menuju ke Puduraya. Di sini terlalu merunsingkan dan merimaskan. Kenapa? Sebab terlalu banyak perayu tiket. Maka, aku pun pergi ke bahagian tiket. Dalam perjalanan naik ke atas, ada seorang perayu tiket bertanya pada aku destinasi. Aku menjawab tidak tahu. Kenapa aku kata tak tahu? Sebab bapa aku duduk di bahagian selatan Perak. Ibu aku duduk di utara Perak. Rumah aku? Berada di tengah-tengah Perak. Dah tentu aku nak tengok tiket mana yang lebih awal dan sesuai. Apa dia kata pada aku? "Susah kalau orang berjalan tak ada destinasi ni bang, agak-agak la kalau nak tipu pun, bukan duit abang tu besar sangat saya nak ambil". Dari escalator yang naik ke atas, aku turun kembali ke bawah mencari dia. Badan aku yang penat membawa haversack mula mengepam adrenalin. Aku jumpa dia depan kaunter polis bantuan. Aku pun memanggil dia dan berkata, "Kau ada masalah dengan aku? Kau tak nampak dekat papan tanda tu dah tulis jangan beli tiket dengan orang macam kau? Aku ada banyak tempat aku boleh pergi. Dah yang kau nak bahasakan aku apa hal? Tak sekolah?". Kemudian seorang polis bantuan datang dan meminta aku meneruskan urusanku sambil dia bercakap dengan budak tak berapa nak dididik oleh ibubapa itu.

Aku ambil bas Shamisha Holiday untuk ke utara Perak pada jam 1900. Aku pergi makan di medan selera dan aku menunggu. Jam 1900, aku turun dan pengurusan bas di sini sekali lagi membuatkan darah aku menyirap. Mereka suruh naik bas yang ada dahulu, kemudian tukar di Duta. Aku dah malas nak kata apa, ikutkan sahaja. Hujan mula menyimbah bumi Kuala Lumpur yang memang sangat-sangat menyampah ini. Kesejukan mula terasa dan aku pun bertukar bas dan menghala ke utara Perak. Akhirnya, aku sampai di tempat aku lebih kurang jam 0100. Lepas ini aku akan cuba seadanya untuk tak jejak di Kuala Lumpur. Ada banyak pilihan lain.

Aku tak tahu nak kata apa. Sekalipun kita ini tak ada rupa, tak ada harta, banyak dosa, tapi biarlah kita ini berbudi bahasa dengan orang lain. Kesabaran Tuhan tak diketahui tingginya. Tetapi tahap kesabaran manusia terlalu rendah. Aku bukan nabi dan rasul. Duduk di tengah kotaraya sekalipun, tetapi tahap moral macam kerbau balar, tak payah sembanglah. Orang pekan dan kampung tak takut sedikit pun dengan rambut orang bandar yang berwarna karat dan terpacak itu. Ukirlah tatu sampai jari kelingking pun, orang pekan dan kampung tak gentar. Cakaplah bahasa Inggeris berterabur mengalahkan orang putih sendiri pun, kau tetap kena ambil subjek Bahasa Melayu dalam SPM. Tak payahlah nak berlagak dengan Kuala Lumpur. Tak ada apa sangat nak dibanggakan. Namanya tetap lumpur.


Selit-selit: Teringat lagu Senyumlah Kuala Lumpur nyanyian Alleycats. Itu lagu cinta, memanglah semuanya jadi manis dan cantik.

Selit-selit: Khaldun pernah berkata; semakin maju pembangunan, semakin runtuh nilai moral rakyat.

Friday, 28 September 2012

Arah dan Jam. Pencariannya.


Entri lepas, aku kongsikan bagaimana caranya guna tachymeter. Boleh tengok guna link ini kalau nak tengok. Tacymeter. Akan tetapi, tak semua jam tangan analog ada tachymeter. Jam digital? Belilah mahal macam mana sekalipun, fungsinya terlalu terhad, melainkan yang dah tambah macam-macam butang dan segala benda, sampai nak pakai pun tak tergamak.

Kali ini aku kongsikan pula cara nak mencari arah Utara sebenar (True North) menggunakan jam. Sebelum itu, aku haruslah memberitahu pada kalian, bahawasanya, kompas magnet yang kalian ada itu, menunjukkan Utara Magnet. Bukan Utara yang sebenar. Perbezaannya berubah-ubah mengikut tempat. Malah ia kadang-kadang mempunyai beza yang banyak pada sesetengah tempat. Ditambah pula dengan keadaan magnet sekeliling (alat-alat logam, kereta, dan lain-lain). Cara yang paling mudah untuk cari Utara sebenar (True North), guna kompas gyro (gyro compass).

Utara selepas ini merujuk kepada Utara sebenar (True North).

Malas aku nak cerita prinsip asas kaedah ini. Rasa was-was, boleh cuba bila ada matahari.

Maka, dengan jam analog juga kita boleh mencari arah utara. Caranya mudah. Untuk Malaysia, yang terletak di Hemisfera Utara, letak jam pada permukaan rata, kemudian halakan jarum pendek (jarum jam) ke arah matahari. Kemudian, pembahagian antara jarum pendek dan pukul 12 adalah garisan utara-selatan. Sila lihat gambar yang aku lukis walaupun tak berapa nak lawa.





Jika anda di Hemisfera Selatan, jam 12 itu yang dihalakan ke arah matahari dan garisan Utara-Selatan itu berada di antara jarum pendek dan jam 12. Arahnya berlawanan. Boleh bayangkan garisan itu? Senang sahaja. Tetapi hendaklah jam anda waktunya tepat.

Begitulah adanya. Tak susah mana. Jam ada banyak kegunaan. Mana nak tahu kalau sesak sangat nak mencari arah. Memang orang kata boleh tengok bayang matahari apa semua, cuma memakan masa.

Nanti bila-bila aku ada tergerak nak cerita guna cara ini pada waktu malam (kena cari kedudukan matahari waktu malam guna bulan), aku cerita. Sebab jenuh nak terangkan guna Bahasa Melayu. Itu sebab aku sokong PPSMI di sekolah.




Selit-selit: Cari arah utara, selatan, timur, barat, semuanya senang. Tapi benda yang susah nak dicari, walau hebat macam mana pun ilmu navigasi ialah mencari orang yang boleh kita sandarkan diri untuk dunia dan akhirat.


Thursday, 20 September 2012

Akhbar dan Logiknya..


Hari ini aku buat banyak aktiviti. Dari pagi, sampailah aku dapat rehat sekejap pada tengahari dan petang. Pagi tadi aku sambung balik pengajian kitab Muniatul Musalli (Cita-cita orang yang solat) karangan Syeikh Daud Ibnu Abdullah Al-Fatani. Kitab ini, kalau tak ada guru, susah juga nak faham. Walaupun tulisan jawi, tapi jawinya, boleh tahan susah. Risau salah faham makna dan isi. Lagipun, aku bukan duduk pondok, jadi aku cuma dapat ikuti dengan jadual yang agak jauh jaraknya. Lambat nak habis. Moga kalian dapat doakan aku supaya habis banyak kitab.

Setakat itu bab mengaji. Pada sebelah tengahari, aku baca surat khabar. Apa yang menarik? Ada dua perkara.

Pertama.
Ada laporan dalam akhbar Metro, mengenai seorang pemandu lori yang membawa muatan sawit terbabas selepas tayar hadapan sebelah kiri lorinya meletup. Mangsa sempat berpaut pada stereng dan terselamat dari kemalangan itu. Mangsa berumur 30 tahun. Muatan lorinya kira-kira 10 tan. Jadi apa yang menarik? Berita itu menjadi bahan ketawa aku apabila aku baca laporan berita itu mengatakan mangsa mempunyai pengalaman memandu lori kira-kira 20 tahun. Tak rasa pelik? Ini bermaksud, ketika mangsa berusia kira-kira 10 tahun, beliau telah pandai memandu lori. Wah! Nak ambil lesen kenderaan berat, kena ada lesen D, dan berumur 21 tahun. Jadi berita Metro ini boleh pakai atau tidak? Kalian fikir-fikir sendiri.

Kedua.
Terbaca banyak dan berbondong-bondong orang dan organisasi membuat laporan polis mengenai Pengerusi DAP Perak yang kononnya tak sensitif dengan agama Islam. Kalian baca atau tidak apa yang ditulis oleh beliau? Langsung diputar belit dengan dahsyat oleh media. Dah beliau minta maaf, pun orang tak puas hati. Siap kata terlambat apa semua. Sudahlah. Dah memang dia bukan Islam. Habis-habis sangat kita kritik secara adanya sahaja. Umat Islam di negara lain sibuk halau Kerajaan Amerika Syarikat dari negara mereka, sampai bakar kedutaan, kita sibuk berperang dengan parti politik, yang mana orang kita juga. Kalau NGO-NGO yang buat laporan polis itu ada hasrat nak pakat-pakat halau Kedutaan Amerika Syarikat, ada jugalah nampak usahanya. Tapi agak-agak apa mereka buat? Sepanduk di negara luar bertulis "Pergi jahanam USA", tapi di Malaysia, "DAP anti Islam". Rasa-rasa nampak lucu atau tidak?






Selit-selit: Ini pendapat bebas aku. Dah kalau ada di kalangan kalian memang menyokong kerajaan dengan sepenuh hati, ikut suka pada anda.

Selit-selit: Ada orang 'Tanpa Nama' tulis di shoutbox aku, "blog paling angkuh". Ya, memang angkuh, sombong, riak dan takbur serta segala sifat buruk-buruk lagi. Dah aku tulis dekat header aku; tak suka, ada butang tutup untuk ditekan. Pakai akal sikit.



Tuesday, 18 September 2012

Perempuan Berkata: Lelaki Melayu Tiada Masa Depan

Wahai Tuhanku, curahkanlah selalu selawat serta salam kepada kekasihmu Muhammad yang sebaik-baik makhluk keseluruhannya. Sesungguhnya nafsu amarah yang bertapak di hatiku masih belum mahu menerima nasihat. Kerana jahilnya dari peranan peringatan yang dibawa oleh uban dan hari tua. Moga peringatan itu dapat menyedarkan aku, kerana jika nafsu aku berkuasa, maka sudah pasti ia akan membutakan mata dan menulikan telinga. Ku mohon pada Tuhanku, agar dapat aku mengawal nafsuku walaupun ia telah berlegar di ruang ketaatan.





Hari ini, aku jadi sedikit tersentak apabila ada satu blog, entrinya menceritakan tentang seorang budak perempuan Melayu yang sedang meningkat remaja memperlecehkan lelaki Melayu dengan mengatakan lelaki Melayu tidak ada masa depan. Terus dada aku rasa macam dihimpit. Nak kata senak pun ada. Hebat sungguh kata-kata budak perempuan tersebut. Aku terus rasa ingin bersemuka dengan beliau kerana mulut lancangnya berkata begitu. Dia memberitahu bahawasanya bapanya seorang lelaki berbangsa asing. Aku rasa tak peduli. Aku sanggup berjumpa dengan seisi keluarganya. Nak aku tuding satu-satu muka yang berkata begitu. Boleh kata lelaki Melayu tak ada masa depan. Dia ingat dia berkawan dengan lelaki bukan Melayu itu kira habis hebatlah?

Bukanlah aku nak menaikkan semangat perkauman. Tetapi jenis betina nan seekor itulah yang menyebabkan sifat perkauman yang dicampur dengan sifat marah aku naik ke kepala. Nak sahaja aku suruh dia letak muka-muka kawan-kawan bukan Melayu yang dia ada di depan aku. Nak aku tengok berjaya tahap mana sangat. Ceh!










Biar aku nak beritahu dengan sukarela sikit, sayugia yang konon hebat itu tak ada apa-apa. Betina jenis macam ini masih belum kenal erti hidup. Makan minum pun ibubapa yang tanggung lagi. Aku memang pasti. Dan aku juga hampir pasti yang ilmu agamanya taklah tinggi mana. Tahap kalau suruh baca kitab-kitab tua atau kitab kuning, memang haram tak tahu baca. Akademik? SPM? Diploma? Aku boleh agak muka macam itu tak pergi jauh mana. Kalau setakat 'masa depan' yang dia gembar-gemburkan itu hanyalah berupa kehebatan mengangkut dia ke kelab malam atau segala disko, tak payahlah. Hentikanlah. Nak muntah aku.

Dan aku juga hampir pasti, tak berapa kerat lelaki Melayu yang mempunyai masa depan yang cerah, berkehendakkan dia. Dah perangai dan mulut macam longkang tak siap, siapa yang nak? Kalau bagi percuma pada aku pun memang aku buat hamba abdi sahaja. Jadi aku buat hipotesis sendiri mengatakan beliau masih belum jumpa lelaki Melayu berjaya sebab dia memang buta. Itu sahaja. Kadang-kadang bila kita ini kurang ilmu, memang kita akan menampakkan kebodohan yang amat ketara.

Setakat itu sahaja.

Aku nak mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih serta sekalung penghargaan diiringi ingatan yang tulus buat blogger Pari Pari Putih kerana memperkenalkan blog aku ini di entrinya yang ke-600. Beliau ini boleh aku katakan veteran, tapi kadang-kadang coretannya macam orang muda. Follower beliau dah sah-sah berganda-ganda dari aku, sedangkan aku adalah beberapa kerat follower sahaja. Apapun, terima kasih. Buat follower yang memang aktif dan tak berapa aktif serta yang tidur memanjang, pada kalian juga aku ucapkan terima kasih. Nanti aku naiktaraf sikit blog ini. Kena buat shout box nampak gayanya. Itu sahaja. Terima kasih.











Selit-selit: Aku memohon ampun kepada Allah, dari dosa perkataan yang tidak aku iringkan bersama amalan, kerana hal itu sama sahaja dengan mencari keturunan dengan cara berkahwin dengan orang yang mandul. Sesungguhnya dosaku amat berat, kerana menyuruh orang berbuat kebaikan sedang aku tidak mengerjakannya dan aku menyuruh orang istiqamah sedang aku sendiri belum tetap pendirian. Moga diampunkan aku sebelum aku dijemput kematian.




Monday, 17 September 2012

Apakah Perasaan Anda Kalau Dalam Ramai-ramai....

Dua hari sudah aku berdiam diri. Jari-jari aku mula naik lemau bila tak ada senaman. Jadi, aku menaip lagi buat kesekian kali. Kali ini aku nak kongsi tentang "Apakah perasaan anda kalau dalam ramai-ramai....."


Apakah perasaan anda kalau dalam ramai-ramai...

  • dalam ramai-ramai orang, anda yang diperhatikan apabila ada bau-bauan atau bunyi-bunyian yang tidak menyenangkan?
  • dalam ramai-ramai anak, semuanya berjaya kecuali nan seorang yang paling kita sayang?
  • dalam ramai-ramai penonton yang menyaksikan konsert anda, tak ada seorang pun yang tepuk tangan walaupun anda dah menyanyi 18 lagu?
  • dalam ramai-ramai yang buat pemeriksaan kesihatan di pejabat, anda seorang yang disahkan menghidap pelbagai penyakit?
  • dalam ramai-ramai orang di majlis, anda seorang yang berbahasa Inggeris walaupun tunggang-langgang bahasanya?
  • dalam ramai-ramai kawan, semuanya dah berkahwin, sedangkan anda seorang yang makin hari makin tak laku?
  • dalam ramai-ramai orang yang beratur di mesin ATM nak ambil duit, sampai giliran anda, 'out of service' pula sedangkan anda memang tak ada walau sesen pun ketika itu?
  • dalam ramai-ramai orang mengambil pil kurus, anda seorang yang makin gemuk berganda-ganda?
  • dalam ramai-ramai kawan yang memancing, mereka semua dapat ikan, sedangkan anda tak dapat walau seekor pun dari pagi sampai malam walaupun anda adalah seorang pemancing profesional?
  • dalam ramai-ramai pesakit di hospital, doktor dan pelawat memberikan perhatian yang lebih pada anda?
  • dalam ramai-ramai teman wanita anda, yang bawah umur mengaku perutnya berisi kerana anda?
  • dalam ramai-ramai blogger, anda seorang yang dilucutkan keahlian glitterati secara tiba-tiba?
  • dalam ramai-ramai cikgu, anda juga yang ditanya oleh anak murid sama ada dah kahwin atau belum?


Mungkin ada di antara kita, pernah mengalami peristiwa seperti di atas. Dan reaksi kita tentulah berlainan. Ada yang reaksinya positif, ada yang negatif dan ada yang tak ambil tahu langsung. Apapun, itulah yang aku nak kongsikan. Samada kalian nak jawab atau tidak, terpulang.




Selit-selit: Hidup ini ibarat meniti mata pedang yang tajam di atas gunung yang curam. Silap meniti, parah di kaki. Silap mengimbang, jatuh dan mati.




Friday, 14 September 2012

Berita dan Ketulusannya..

Aku jarang-jarang juga baca surat khabar kebelakangan ini. Alasan aku mudah, sebab berita yang disampaikan dari muka hadapan, sampailah ke muka yang berbelas-belas, semuanya politik. Banyak sangat unsur tahyul. Dah macam baca majalah mistik aku rasa.

Pada pagi ini, naiklah seorang rakan, membawa senaskhah surat khabar. Aku yang tengah bosan, mula menyelak satu persatu. Maka, dapatlah aku lihat percakapan seorang menteri berkata begini maksudnya, "Adakah tidak cukup lagi 22 tahun? Kelantan pasti sudah maju jika bersama BN". Mata aku terhenti di situ. Ayat keramat yang sungguh dahsyat. Ditambah pula katanya, tak nak lihat pelajar di Kelantan sakit perut minum air kotor. Pelik juga aku. Adik aku bersekolah di Kok Lanas, Kelantan, tak pernah pula telefon kata sakit perut. Tak pernah pula dia terlantar di hospital kerana minum air. Entahlah. Makin pelik aku. Kerana nak kempen punya hal, sampai bimbang sakit perut pun jadi modal. Tersenyum lebar aku baca berita yang penuh kehairanan, keajaiban dan ketahyulan yang terlampau itu.

Bukanlah aku nak kata pembangkang itu 100% betul. Ada juga usaha kerajaan yang sangat aku sokong. Contohnya, bekas PM dulu buat PPSMI, ajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris. Aku sokong. Bila pembangkang kata, tak daulatkan Bahasa Melayu, aku tak berapa setuju. Sebabnya mudah, bila ditanya pada guru-guru sains, rata-rata yang aku jumpa, sokong PPSMI. Ini sebab, bila masuk ke peringkat yang lagi tinggi, Bahasa Inggeris diguna pakai. Tak payahlah sesiapa nak beritahu aku, ada yang Bahasa Melayu. Berapa kerat sangat buku matematik dan sains dalam Bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi? Dan adalah lebih mudah guna Bahasa Inggeris. Contohnya, dalam topik transformer. Transformer Injak Naik, dalam Bahasa Inggeris ialah Step Up Transformer. Senang nak ingat. Injak itu apa? Injak itu datang dari Bahasa Indonesia. Contoh lain, Hull Material, dalam Bahasa Melayu jadi Unsur Binaan Lambung. Tak pelik?



Cukup setakat itu. PPSMI bukan topik utama. Yang aku nak utarakan ialah manusia sanggup menggunakan apa sahaja untuk kepentingan diri. Surat khabar, berita di televisyen, gunanya untuk memberitahu kita berita tanpa menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik. Sampai nak baca surat khabar pun jadi sengsara. Duit dah keluar, tapi berita macam hampas. Bab artis boleh tolak tepi. Hampir tak ada manfaat pun. Yang paling sedap, berita tentang budak lelaki umur 14 tahun yang terlalu bermoral akhlaknya yang bersumbang mahram dengan kakaknya yang berumur 15 tahun sampai keluar anak, boleh pula ada ayat tambahan di hujungnya, "suspek telah diikat jamin oleh bapanya yang juga BEKAS AHLI PARTI PEMBANGKANG". Memang dahsyat. Padahal bekas ahli itu, dah jadi orang kuat di sebelah sana. Tapi tak cakap macam itu. Kena juga ada perkataan 'parti pembangkang'. Penulis berita pun dah macam longkang.

Walaubagaimanapun, kalau kita tak percaya langsung dengan akhbar dan berita pun tak boleh juga. Nanti tercangak-cangak kita bila orang bertanya apa dah jadi dengan dunia. Ada benda kita boleh ambil, tapi tak semua. Tak boleh percaya bulat-bulat. Tapi iringilah pembacaan anda dengan akal fikiran yang waras. Ada beberapa perkara yang kita perlu imbang-imbangkan.



Selit-selit: Tapi ada satu benda yang ramai orang percaya dalam akhbar - nombor ekor.  ^_^

Wednesday, 12 September 2012

Di Antara Ahli Pengembaraan dan Ahli Pertapaan..

Kata orang-orang tua, "jauh perjalanan, luas pengalaman". Sehingga hari ini, kata-kata itu masih kedengaran dan masih menjadi pegangan kebanyakan orang - termasuklah jenis yang balik pergi ke Indonesia semata-mata untuk menghayun kayu golf. Ramai yang masih percaya bahawa semakin jauh seseorang itu berjalan, semakin banyak dia sampai ke tempat orang, maka semakin banyaklah perkara dan pengalaman baru yang dipelajarinya. 

Tetapi, itu dulu. Manusia pada masa dahulu umumnya terperangkap dalam lingkungan hidup yang cukup sempit. Perhubungan amatlah sukar, malah adakalanya mustahil. Kalau nak ke mana-mana, terpaksa meredah hutan belantara. Terpaksa berhadapan dengan harimau, gajah, khinzir hutan, ular dan segala serba serbi hidupan liar. Itu belum ambil kira segala hantu, puaka dan penunggu. Biasanya, laluan dan penghubung yang menjadi keutamaan ialah sungai yang jarang tak sejuk dan jarang pula tak jernih. Selain daripada itu, mungkinlah ada alternatif lain untuk komunikasi seperti menggunakan hantu belaan seperti hantu raya atau langsuir. Dalam keadaan begitu, yang mana tempat paling jauh 'yang hamba pernah kunjungi ialah kebun hamba di hujung desa', seseorang yang berpeluang berjalan ke tempat orang lain yang jauh tentulah dihormati dan disegani. Tak perlulah dia pergi jauh-jauh. Kalau tinggal di Kuala Kangsar, dapat pula mengembara ke Ipoh, itu pun dah kira memadai. Dah cukup untuk meruntun kekaguman jiran tetangga dan orang kampungnya. Dah cukup untuk buat modal bersembang dan bercerita sehingga orang yang mendengarnya ternganga-nganga. 

Sikap memandang tinggi pada orang yang 'jauh berjalan' ini merupakan sebahagian dari sebab kenapa pada zaman dahulu manusia suka mengembara. Tapi lazimnya, yang mendapat peluang sebegitu rupa hanyalah lelaki. Orang perempuan sekadar mengembara di ceruk dapur atau di sekitar sungai tempat dia mandi dan membasuh. Pandangan tinggi terhadap orang yang banyak pengalaman kerana jauh perjalanan itu telah menyaksikan kesediaan para ibu bapa kita dahulu bermenantukan pedagang dari Tanah Arab dan benua kecil India. Di mata orang Melayu ketika itu, pedagang-pedagang itu adalah orang-orang hebat, yang banyak ilmunya dan kelebihannya. Kena pula yang datang dari sebelah Tanah Arab, tempat yang melayakkan mereka mengaku sebagai keturunan Nabi walaupun sebenarnya mereka mungkin berketurunan hamba abdi.

Walaubagaimanapun, segala-galanya telah berubah sekarang. Kehidupan manusia itu dilingkungi oleh segala yang berbeza dari dahulu. Sangat berbeza. Hutan belantara telah menjadi hutan batu, rimba jerun dan segala air terjun telah digantikan dengan bukit yang gondol. Sungai-sungai tidak lagi boleh dijadikan tempat menaiki rakit kerana takut terlanggar sampah atau tong sisa toksid. Perhubungan? Tak jadi masalah. Ia bukan lagi isu pada zaman ini. Ia telah menjadi sebahagian dari rutin. Cerita jiran sebelah pergi ke London tak ada bezanya dengan cerita jiran yang lain telah lari berkahwin dengan perempuan Kemboja. Tak ada yang pelik. Tak ada yang menarik.


Kecanggihan hidup juga menyebabkan manusia tidak lagi perlu berjalan untuk mendapatkan sesuatu, termasuk ilmu. Malah dia tak perlu bergerak ke mana-mana kerana semuanya boleh dilakukan hatta sambil berbaring. Hanya perlu menggerakkan jari. Malah, kalau kena gaya, jika tak mahu menggerakkan otaknya sekalipun tidak mengapa. Tiada apa yang payah sekarang. Anda tidak perlu belayar atau terbang ke Paris untuk berkawan dengan dua tiga orang Perancis. Anda boleh menemui mereka di atas meja, di dalam skrin, sama ada di bilik, di rumah mahupun di dalam tandas asal sahaja ada akses internet. Untuk melihat, mengenal dan memahami gaya hidup koboi di Texas atau budaya hidup pelacur di Argentina, untuk menikmati keindahan Kashmir dan Alps, malah untuk apa sahaja, anda tak perlu bergerak walau setapak pun. 

Jadi, dengan segala perubahan cara hidup itu, berhati-hatilah bila anda menilai seseorang. Jangan fikir orang yang tidak keluar rumah, yang tidak pernah merantau dan berkelana itu sempit pengetahuannya. Dia barangkali jauh lebih hebat daripada anda. Dia mungkin kaya dengan ilmu.

TETAPI, janganlah pula anda kagum padanya berlebih-lebihan. Ingat satu, walaupun dia mungkin banyak ilmu, namun hampir pasti dia juga tidak mempunyai sebarang pengalaman selain dari kebijaksanaan dan kepandaian bermain jari di atas papan kekunci dan tetikus.

Apa nak buat kerana sesungguhnya itulah resam kehidupan sekarang. Resam yang bakal melahirkan lebih ramai ahli pertapaan daripada ahli pengembaraan.






Selit-selit: Faham atau tidak aku perli? Kadang-kadang memang tak baik takbur. Tapi adakalanya geram juga di hati aku. Boleh kutuk pelaut, katanya bahawa pelaut ini apapun tak ada. Ceh!

Haramjadah dan Melayu..

Pagi ini aku bersarapan ringkas sahaja. Ada banyak kerja di pagi hari. Nak dijadikan cerita, sekaligus menjadi topik aku dalam entri kali ini, muncullah salah seorang yang bakal bersarapan semeja dengan aku. Maka mukanya penuh dalam keadaan suram dan muram. Maka, tersembullah ayat keramat di pagi hari yang bahagia, "Haram jadah punya ******, dia ingat pangkat dia tinggi, boleh ikut suka hati maki aku?". Aku terdiam, tapi tak pula aku jadi marah sama. Aku tersenyum sendiri. Aku secara tidak langsung menjadi tempat dia meluahkan perasaan yang terbuku. Aku layankan sahaja.

Tapi bukan orang itu yang hendak dijadikan topik. Dia cuma pencetus. Sekadar pencetus cerita. Orang Melayu selalu sangat kita dengar memaki hamun orang dengan perkataan 'haramjadah'. Tapi tahu atau tidak kita mana datangnya perkataan 'haramjadah' itu? Sedap main sebut sahaja.

Kam sami' tuhum  min jaddi wa abi, sayugia asal perkataan itu adapun dari Tanah Arab. Datuk aku dahulu ada diam beberapa lama di sana, jadi dia pun membawa cerita dari sana. Salah satunya asal perkataan 'haramjadah' itu. Tersebut kisah, di sana lebih kurang di sini juga. Ada stesen bas dan teksi. Jadi di stesen ini, apabila ada bakal penumpang, soalan yang akan dikeluarkan oleh konduktor bas atau teksi ialah, "Aina tazhab ya syeikh? Haram? Jeddah?". Maksudnya, tuan, pergi mana? Tanah Haram? Jeddah?. Adapun kedua-dua tempat ini agak jauh dari satu sama lain, dan kiranya destinasi yang sangat popular. Sama kiranya kalau kita pergi ke stesen bas Medan Kidd di Ipoh (sekarang cuma tinggal bas domestik, bas ekspres di Medan Gopeng), kita akan lihat ragam konduktor bas dan teksi. Akan kedengaranlah laungan "Jusco, Jusco, Rainbow, Rainbow, Hospital, Hospital!". Begitu jugalah adanya keadaan di Tanah Arab sana.

Nampak kehebatan orang Melayu? Dapat sahaja benda pelik-pelik, terus dibuatnya bahasa kesat. Kalau bab inovasi dan daya kreatif, orang Melayu layak dapat pujian. Sama juga perkataan 'keparat', yang asalnya dari perkataan kafarat yang bermaksud denda atau tebusan. Hebat bukan? Diadaptasi sesedap rasa. Hahaha.

Namun begitu, mungkin ada di kalangan pembaca yang rasa ragu-ragu dengan entri aku. Terpulang. Boleh selidik sendiri. Aku bukan pakar bahasa, tetapi aku ada asas sedikit dalam bahasa Arab. Elok pula datuk aku banyak bercerita bagaimana 'dahsyatnya' orang Melayu, yakni bangsa aku. Cerita tentang orang Melayu sangat banyak. Kini, perkataan itu telah pun difahami oleh hampir seluruh rakyat Malaysia. Elok pula waktu Bersih tempoh hari, peserta dan polis saling memaki hamun dengan perkataan 'haramjadah' juga. Makin erat hubungan rakyat jadinya. Hahah.


Apapun, kini ia dah jadi perkataan Malaysia. Memang menjadi sangatlah kempen 1 Malaysia itu. Hahaha. Nanti aku cerita benda lain pula.




Selit-selit: Masyarakat di Malaysia sangat kreatif dan inovatif.

Tuesday, 11 September 2012

Tangkap Gambar. Cuci Gambar?

Bernafas lagi aku buat kesekian kalinya. Melihat dunia yang kian aktif dengan cara yang lebih pasif.

Macam-macam benda menarik yang makin mewarnai negara Malaysia. Dari Perhimpunan Hijau yang aku tengok makin berlawanan dengan warna biru, kemudian ada pula kes kata pengawal peribadi main acah pistol, lepas itu ada pula kes artis yang jawab bahawa mengadakan persembahan untuk syarikat arak itu adalah benda yang pernah dibuat sebelum-sebelum itu lagi. Tapi yang kurang cerdiknya, dah tahu benda tak elok, bila ditegur, tak payahlah nak buat-buat pandai. Esok lusa bila dah mati, nak tanam dalam kubur pun menyusahkan orang sebab jenazah jadi berat apa semua, baru nak tahu. Kalau suami reti mandikan mayat, siap tahu nak buat solat jenazah, bolehlah nak tunjuk pandai. Susah nak cakap. Ingat artis ini golongan bagus? Tahap intelek rata-rata tak tinggi mana. Kiranya bukanlah golongan yang patut disanjung pun.

Tapi itu bukan topik yang aku nak cerita. Benda yang aku nak kongsikan untuk entri kali ini ialah, zaman sekarang manusia suka tangkap gambar, tapi tak suka cuci gambar.

Pada hari ini aku berpeluang untuk menjejakkan kaki ke pekan. Maka berjalanlah aku dengan berbahagia. Syahadan, terlihatlah aku kepada beberapa orang manusia sibuk menangkap gambar. Bergaya sakanlah orang yang ditangkap gambarnya itu. Pelbagai aksi yang menarik. Ada yang melompat, ada yang senget, ada yang muncungkan bibir, ada yang kembungkan pipi. Pendek kata, tak ubah macam monyet. Kaum yang manakah suka berbuat demikian itu? Sayugia yang berbuat perangai seperti itu tidak lain dan tidak bukan majoritinya datang dari kaum gadis. Selesai sahaja sesi fotografi, maka si tukang pengambil gambar pun memindah masukkan kad memori kamera ke dalam laptop. Maka bersorak sorailah mereka dengan gambar yang berbagai rupa tadi.

Namun begitu, apa yang dilihat oleh aku yang berada di tepi sambil minum air, adalah sesuatu yang menarik. Selesai mereka bersorak sorai, mereka pun terus beredar sambil berkata, "Jom balik, nak?". Aku terus memerhatikan gelagat mereka. Maka, tiadalah mereka berkata hendak menuju ke kedai gambar untuk mencucinya. Lalu, usai dari itu, aku pun pulang semula ke tempat yang sepatutnya. Aku bertanya pada pakcik aku, yang juga seorang pengambil gambar, tentang mengapa orang tak ramai dah yang cuci gambar. Maka kata beliau, entahlah. Mungkin kerana nak letak di Facebook sahaja. Atau letak di bingkai gambar elektronik.


Jadi aku diam. Memikirkan keadaan. Makanya, adalah tidak hairan nanti industri mencetak album gambar akan bankrap. Tukang-tukang cuci gambar akan kehilangan punca pendapatan. Dalam situasi lain pula, takkan ada lagi acara nak tunjuk-tunjuk album gambar pada kawan-kawan ketika mengunjungi rumah di masa hadapan. Tak ada lagi aktiviti mengirim gambar pada teman wanita atau tunang melalui pos. Semuanya lungkup dan lingkup kerana teknologi yang kita guna secara begitu sahaja. Malah aku percaya ada di antara kawan-kawan aku yang tidak mencuci gambar di hari raya mereka. Semuanya tersimpan di dalam benda yang dipanggil cip memori, dalam pelbagai bentuk.

Entahlah. Gambar itu satu seni. Orang-orang yang tahu menghargai gambar-gambar mereka, tahu cara menyimpannya dengan baik. Peralatan elektronik, kalau dicelup dalam air, risiko untuk rosak sangat tinggi. Itu belum kira virus apa semua. Tapi yang bercetak itu lebih tahan lama. Paling tidak, jika tak hilang, masih boleh dilihat untuk 20-30 tahun akan datang. Anak cucu anda akan rasa gambar yang ditangkap dari kamera canggih anda hari ini sebagai 'old school'. 

Apapun, fikir-fikirlah. Apa-apa yang kita tempek atas kertas selalunya akan tahan lebih lama. Sama macam kitab-kitab. Sampai sekarang masih kekal dan dipelajari. Begitu juga gambar. Maka, fikir-fikirkanlah mengapa kita dah tak suka cuci gambar, tapi beria nak belajar tangkap gambar.







Selit-selit: Mak aku dan pakcik aku suka betul cuci gambar. Walaupun mereka tak hebat menangkap gamabr. Cukup quota, terus hantar ke kedai. Seronok sebab aku tahu album itu nanti akan menceritakan banyak kenangan dan peristiwa.

Selit-selit: Dulu, hobi fotografi ini luas. Dari tangkap gambar, sampailah mencuci gambar. Semua dipelajari. Sekarang? Ramai yang tahu menangkap gambar sahaja. Kalau tanya teori bagaimana nak cuci gambar guna negatif, haram tak tahu.


Monday, 2 July 2012

Qiraat, Masyarakat dan Al-Quran..

Hari ini aku solat subuh di surau yang ada di dalam kejiranan rumah aku. Kaki masih lagi sakit terpijak paku tempoh hari, tapi aku rasa nak melapangkan dada dari banyak benda yang berserabut. Lagipun aku tak dibenarkan bekerja buat sementara waktu sebab sakit. Jarang-jarang sangat aku rajin ke surau waktu subuh. Kalau waktu maghrib dan isyak, rajinlah kaki aku melangkah. Moga Tuhan bagi aku kerajinan yang kuat untuk berjemaah di lain-lain waktu juga. Apapun, semuanya berjalan seperti biasa, jemaah subuh hari ini ada 3 saf. Kira cantik sangatlah sebab kawasan ini kecil.

Cuma ada satu benda yang aku kirakan menarik sebab aku pasti tak ramai rakyat Malaysia yang tahu atau sedar tentang topik yang aku nak ceritakan ini. Cari-cari idea nak buat entri, terus fikir benda ini. Ia berkenaan dengan sesuatu yang disebut sebagai Qiraat. Kenapa? Sebab subuh tadi imam yang ada guna cara bacaan Warash. Rasa seronok bila dia jadi imam sebab dia pandai bab Qiraat. Aku setakat tahu begitu sahaja sebab aku belajar sikit dari ustaz aku tentang benda ini waktu nak masuk pertandingan tarannum dulu.

Apa itu Qiraat? Juga disebut sebagai Qiraat Sab'ah. Qiraat itu ialah satu sandaran cara atau kaedah pembacaan bergantung pada imam-imam para 'qurra'. Sab'ah itu pula bermaksud tujuh kerana pangkalnya disandarkan pada kaedah asal yang ada tujuh imam yang berada di sisi Al-Shatibi (aku ingat nama ini sebab nama arwah sepupu aku hampir sama). Tiap-tiap imam ini kaedahnya lain antara satu sama lain. Dan yang tambah lagi menarik, mereka ada anak murid, dan anak murid punya bacaan tak sama dengan guru. Hebatkan?

Orang yang tak biasa dengar, mungkin akan terkejut kalau dengar cara bacaannya pelik sikit, elok pula kalau dengar cara Warash sebab agak ketara bezanya berbanding yang lain. Nak tahu ketara macam mana, cubalah cari dalam Youtube atau mana-mana sumber. Aku percaya kalian cukup handal bab mencari guna internet. Aku pun cuma ada satu sahaja buku nipis tentang Qiraat.

Tujuan aku tulis, sekadar untuk memberitahu benda yang agak terpencil. Sekarang dah tak ada lagi program Akademi Quran. Aku tak tahu kenapa dah tak ada. Sedangkan peserta-peserta ada yang mahir dengan ilmu Qiraat. Tapi bab menyanyi, melompat, merosakkan akhlak, makin bercambah-cambah. Siap orang-orang tua pun disogok dengan hiburan sampai melompat atas pentas di tengah-tengah pasaraya. Susah nak cerita. Takkanlah sebab Ustaz Zamri dalam program 'Mari Mengaji' datang BERSIH terus buang dia dari kembangkan ilmu agama? Aku dah mula sensitif. Dah. Cukup takat itu.














Kesimpulannya, Al-Quran itu turun dengan bahasa syurga. Siap ada pula sasteranya sendiri. Sains pun ada, semuanya ada. Nak baca ikut cara mana pun boleh pilih. Kalau dah lidah keras macam kayu pun ada cara nak baca. Tak ada penghalang.




Selit-selit 1: Cuba kita renung-renungkan, kenapa ilmu dan pengetahuan tentang Al-Quran khususnya, dan Islam amnya, sangat malap dalam satu negara yang kononnya digelar 'Negara Islam'? Siapakah yang patut kita tenyeh kepalanya untuk ini?

Selit-selit 2: Tak rasa segankah pada budak umur 8 tahun pandai mengaji, sedangkan yang dah nak bergelar ibu atau bapa kepada budak masih merangkak-rangkak nak baca Quran? Ada ijazah, diploma, master macam-macam di IPT, tapi Quran tak reti-reti? Siap ada yang tak berapa nak boleh beza huruf-huruf. Fikirlah...

Saturday, 30 June 2012

Bahasa dan Kerosakannya?

Dari bab perempuan, sampai ke bab agama, aku ada banyak taip macam-macam. Aku nak berkalih angin pula pada bahasa, khususnya Bahasa Melayu.

Mengapa aku nak tulis tentang Bahasa Melayu? Kerana kita ini dah banyak sangat terjajah dengan bahasa asing. Aku jadi sakit hati sebab tengok banyak sangat rosaknya. Rasa sakit hati yang dah tak mampu aku istighfarkan lagi. Jadi mari kita lihat-lihat dahulu contohnya. Kemudian kita ulas sama-sama.

Contoh perkataan Bahasa Inggeris yang di-Melayu-kan oleh orang kita yang tak reti bahasa:

-Konklusi. Disadur dari perkataan 'conclusion'. Maksud sebenar ialah kesimpulan.
-Diskusi. Disadur dari perkataan 'discussion'. Maksud sebenar ialah perbincangan.
-Aplikasi. Disadur dari perkataan 'application'. Maksud sebenar ialah penggunaan.
-Kondisi. Disadur dari perkataan 'condition'. Maksud sebenar ialah keadaan.
-Kondusif. Disadur dari perkataan 'conducive'. Maksud sebenar ialah selesa.

Ok, cukup dengan yang ada seperti di atas. Sakit hati rasanya apabila ada perkataan begini wujud. Apa rakyat Malaysia dah buta kayu sampai perkataan sendiri pun dah tak tahu nak guna elok-elok? Di televisyen, akhbar-akhbar pun boleh nampak perkataan-perkataan ini digunakan. Tak rasa budak-budak yang sedang belajar akan terpengaruh untuk guna perkataan sebegini? Bukan kita tiada perkataan itu, tetapi nak juga me-Melayu-kan bahasa asing. 


Elok pula nak aku sentap bibir sesetengah rakyat Malaysia yang bangga sangat guna bahasa rojak. Alasan yang digunakan ialah, "I for the time being ni kan, tengah in learning process. Lagipun feel like kampung sangat if cakap Melayu terus.". Rasa sakit di telinga aku dengar orang cakap begitu. Elok pula perempuan-perempuan sebangsa dengan aku, lepas itu bergaul tak tentu hala, tanpa kenal waktu, dengan alasan itu adalah kehidupan moden. Nampak sangat cetek akal pemikiran. Nak aku lempang pipi perempuan jenis demikian, fikir bukan mahram pula.

Satu lagi, aku di sini suka untuk menuding jari pada pemerintah sekarang. Ya, aku tak nafikan mereka ada berkhidmat untuk rakyat dan macam-macam lagi. Tapi, bab yang ini, takkan tak nampak di mata sendiri. Semua yang ada dalam kelompok pemimpin ada bidang tugas masing-masing. Jadi di mana orang yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan? Aku bukan nak sokong mana-mana pihak,  tapi tentang benda yang satu ini cukuplah aku sakit hati. Canang pada semua orang, "Kami akan menjaga orang-orang Melayu dan segalanya tentang Melayu", "Kita martabatkan Bahasa Melayu" dan pelbagai jenis slogan dan ucapan. Tapi nama parti politik yang berkuasa sekarang dah sah guna Bahasa Inggeris. UMNO itu United Malays National Organization. Salahkah kalau kita tukar pada Organisasi Nasional Melayu Bersatu? Jadikan ONMB? Apa geli sangatkah kalau dengar begitu? Parti pembangkang pun guna Bahasa Melayu. Elok sahaja guna Parti Keadilan Rakyat. Kalau DAP, tak payah ceritalah, sebab MIC dan MCA pun sama, masing-masing majoriti dalam partinya bukan Melayu. Perubahan ke arah kebaikan tak merugikan sesiapa. Orang-orang DBP atau Dewan Bahasa dan Pustaka pun takkan tak reti nak buka mulut pada pemerintah? Dah, cukup pada bab politik. Kutuk lebih-lebih nanti, nak penjaralah, nak lokaplah, nak samanlah. Macam-macam. Tegur pun tak boleh.

Kesimpulannya, tak payah nak bangga sangatlah dengan bahasa luar sampai menenggelamkan bahasa kebangsaan sendiri. Lainlah kalau belajar guna pengantaraan bahasa asing sebab orang Malaysia memang malas nak terjemah dan alih bahasa bahan-bahan ilmiah. Orang-orang yang konon mengaku 'moden' dengan menggunakan bahasa rojak, tolonglah. Kebanyakan orang tak hormat langsung pada orang-orang macam anda.

Kalau ada di kalangan pembaca mendapati bahawasanya ada terdapat di kalangan rakan-rakan atau kenalan anda menggunakan dan berbangga dengan bahasa sedemikian rupa, sila sampaikan benda ini atau tampalkan pada laman yang berkenaan. Moga kita semua memelihara dan memulihara bahasa kita.

Ingatlah wahai rakyat Malaysia.

Cintailah Bahasa Kita. 

Bahasa Menunjukkan Bangsa.