Aku dah lama tak kemaskini blog sebab masa tidak mengizinkan. Sekarang aku balik menaip. Jari-jari tangan aku dah lenguh nak melayan karenah manusia yang macam-macam. Dah, takat itu sahaja. Ok, sekarang ini, aku nak taip tentang perkara yang jarang-jarang kita ambil berat sedangkan kita berhadapan dengan perkara ini hampir tiap-tiap hari.
Ramai orang sekarang mengambil berat tentang adab dan tatacara, walaupun sesetengahnya macam tak pernah diasuh langsung. Bagaimana dengan kenderaan? Kita ada macam-macam jenis kenderaan, contohnya kereta, motosikal, kapal, kapal terbang, basikal, beca, keretapi, lori, bas, kuda, unta dan sebagainya. Dari yang diperbuat dengan besi dan plastik, sampailah ke kenderaan yang jenis tahu buang air kecil dan besar dan juga tahu beranak. Aku nak ajak kalian tengok-tengok. Kalau rasa boleh praktikkan, boleh mulakan terus. Kalau yang jenis cipta seribu satu alasan, boleh tengok juga. Aku tak pernah larang. Aku kongsikan sedikit sebanyak adab, sunnah dan akhlak berkenaan kenderaan. Aku muslim, jadi Tuhan aku ada berfirman yang maksudnya, "..Dia menjadikan untuk kamu kapal dan ternakan untuk kamu naiki. Supaya apabila kamu duduk di atasnya, kamu akan ingat nikmat Tuhanmu." Kalau ada di kalangan pembaca adalah bukan muslim, juga digalakkan baca. Agama Islam lengkap dari jalanraya, sampailah ke pentadbiran negara.
Adab-adab dan sunnah ketika membeli atau menerima kenderaan baru (tak kiralah koyak plastik atau jenis terpakai):
• Disunatkan membaca doa seperti berikut: "Ya Allah, berikan aku kebaikannya dan kebaikan penciptaanya, dan jauhkan aku dari kejahatan dan kejahatan penciptaanya." Aku tak boleh taip dalam bahasa Arab sebab aku bukan 'copy-paste' macam sesetengah orang lain. Jadi pandai-pandai cari. Aku percaya kalian bijak-bijak belaka.
Adab-adab dan sunnah apabila berkenderaan atau sedang dalam perjalanan:
• Hendaklah menolong orang lain yang tidak berkenderaan. Tak semua orang mampu berkenderaan. Dah diberi nikmat oleh Tuhan, jangan sombong tak tentu hala. Bila ditarik nikmat itu nanti, baru nak tahu rasanya macam mana. Ajaklah naik sekali. Pahala dapat, sekaligus kurang cemar alam sekitar. Muhammad ada bersabda, "Sesiapa yang dapat nikmat tunggangan(kenderaan), maka manfaatkannya untuk yang tak dapat." Satu lagi, berikanlah salam pada yang berjalan kaki. Tapi janganlah anda beri salam waktu tengah bawa laju-laju. Bijak sampai macam itu pun susah juga. Buatlah ketika selamat berbuat demikian.
Adab-adab dan sunnah apabila berada dalam kesesakan lalu-lintas:
• Bab ini sangatlah bagus. Kebanyakan kita akan menyumpah seranah. Termasuklah aku waktu aku jahil dulu. Silap-silap ada yang mencarut. Apa yang perlu kita buat, hendaklah membaca basmalah. Mengapa? Kata Muhammad, sekalipun kita maki syaitan, contohnya "celaka punya setan!", sebenarnya dia makin suka. Makin besar dia sampai lebih dari sebuah rumah. Tapi bila kita baca basmalah, kecil dia sehingga sekecil lalat dan dia pun hilang. Kenapa dengan syaitan? Dia suka buat kita marah. Itu sahaja. Akibat dari marah, sendiri boleh fikir. Ini banyak berlaku untuk pengguna jalanraya di bandaraya.
Adab-adab dan sunnah berkaitan mencuci kenderaan:
• Muhammad itu mencuci dan membersihkan tunggangannya sendiri. Kita ini tak reti-reti bahasa nak pergi membazir pergi cuci kereta dekat 'car wash'. Kalau dah duduk dalam rumah pangsa tingkat 23, tak apalah sebab tak ada pilihan. Tapi kalau dah paip air tercongok di luar rumah, tak payah nak mengada buang duit hanya untuk cuci sebab but kereta ada kena najis burung. Badan sihat sebab berpeluh, duit pun jimat, pahala pun dapat sebab ikut sunnah.
Adab-adab dan sunnah apabila dijemput naik kenderaan:
• Bila orang jemput untuk tumpang, hendaklah tunggu sehingga tuan kenderaan itu memberitahu di mana kita boleh duduk. Jangan nak sedap-sedap langkah masuk ikut suka hati. Ini kerana Muhammad beritahu bahawa tuan punya kenderaan itu lebih berhak ke atas kenderaannya. Tapi jangan pula kalau ada kalian yang baru nak ambil lesen memandu, suruh penguji JPJ itu duduk di belakang pula. Itu nak kena lempang sampai mendap namanya.
Adab-adab dan sunnah berkenaan kelajuan kenderaan:
• Muhammad bersabda, "Kebaikan itu tiada pada menunggang kuda atau unta dengan laju. Maka bertenang dan tungganglah dengan aman". Hadis ini sebut tentang kuda dan unta sebab itu yang ada pada masa baginda. Janganlah singkat sangat akal untuk mengecualikan hadis ini untuk kereta dan bas. Pandulah dengan selamat. Ikut peraturan jalanraya. Lainlah kalau ambulans atau kereta polis dalam kecemasan. Itu dah memang dalam keadaan tak baik. Kalau anda naik bas pula, dan pemandu itu pandu bas macam pandu kereta lumba, beritahu dia, Muhammad tak suka. Kalau dia tak dengar, elok lagi kalau pemandu itu muslim, cakap pada dia, "Nanti di akhirat kau buat muka tak malu nak minta syafaat nabi, tapi ikut sunnah tak mahu."
Adab-adab dan sunnah berkenaan kenderaan yang dimiliki:
• Aku suka hendak mengingatkan bahawa jenis kenderaan, atau harta benda tak membawa sebarang nilai di hadapan Allah dan rasul. Pandulah kereta mahal yang sama harga dengan kapal terbang sekalipun, siap tampal nombor pendaftaran mahal macam harga rumah sekalipun, Allah tak pandang langsung. Perasaan riak atau bangga diri itu tak harus ada. Sepatutnya kita lihat bagaimana tahap kesopanan pemandu itu di atas jalanraya.
Dah lenguh taip rasanya. Apapun, dah nampak sedikit sebanyak perkara yang nak aku kongsikan. Kenderaan itu nikmat Allah, maka boleh kita gunakan nikmat yang diberi itu untuk menambahkan rasa cinta kita kepada Rasulullah. Dengan nikmat itu juga akan membuatkan kita rasa bahawa kita ini sangat-sangat kerdil di mata Allah. Maka, mari kita sama-sama manfaatkan kenderaan yang diberikan kepada kita.
4 comments:
amboi panjang taip. tau la lama tak menaip. huhu..
bagus la tajuk ni. tq atas peringatan. ;)
pergh karangan spm!
mat rempit paling xde adab! mencik!
Kak Na: Peringatan untuk semua. ^_^
Kecik: Itu yang kita nak didik. Nak didik bagi wujud rempit jenis baca doa dulu baru dia merempit. Siap jenis pergi kuliah maghrib punya. Baru canggih. Hahah.
thanks for the info
Post a Comment