Tak lama dulu, aku ada buat satu entri bertajuk Manusia dan Agama, Perlukah?. Dan mungkin disebabkan entri itu agak panjang, maka aku lihat graf orang membacanya tak berapa nak ramai. Dan aku agak pasti tak ramai yang baca sampai habis. Satu lagi faktor yang mungkin mempengaruhi, kerana ia melibatkan agama. Itu adalah satu benda yang tak berapa orang gemar. Dalam zaman yang aku rasa lebih ramai orang hafal nama artis dan jenama baju daripada hafal juzuk 'amma, itu memang tak boleh nak kata apa.
Waktu aku mula-mula terfikir nak membetulkan langkah hidup, aku pernah bertanya, "saya ini bukan muslimkah?" Jawapan yang diberi oleh seorang abang kepada aku, "Muslim atau tidak, jawapannya pada Allah. Bukan manusia yang tentukan.". Begitu nasihatnya dia pada aku. Dan aku bertanya lagi selepas dua-tiga minggu selepas itu apabila melihat dia menangis lepas solat dan kebetulan dia ada sakit yang agak perit, "abang takut mati ke?". Dia jawab, "dik, mati tak jadi masalah. Sekejap sahaja dah padam. Tapi yang menjadi kerisauan, amalan untuk bersedia mati.". Aku diam dan terus tak bertanya lagi.
Maka, aku kaitkan dua jawapan di atas. Kita buat seperti persamaan. Kematian itu pasti, tetapi nasib selepas itu masih belum pasti. Ini bukan macam matematik, yang mana kita boleh buat 'try and error method'. Bertitik tolakkan dari dua jawapan itu, aku rasa kita boleh huraikan yang seterusnya, yakni apa yang patut dilakukan, apa yang patut difikirkan.
Lantas, kalau difikir-fikirkan, tahap mana teruk dan jahilnya kita, atau dalam bahasa mudah, bangangnya kita; Iblis nak sesatkan manusia pun minta izin dengan Allah. Kita ini buat jahat ada minta kebenaran? Jadi patutkah kita masih mempersoalkan? Rasanya tak perlu dihuraikan panjang lebar lagi.
Aku ini memang banyak kekurangan. Nak dibanding dengan adik-adik aku pun, aku rasa aku jauh ketinggalan. Tapi apa nak kata, kebodohan aku selama ini yang buat aku buang masa yang takkan boleh aku patah balik. Sampai hari ini, aku masih payah nak buang lagu Bon Jovi dengan Scorpion dari kepala aku. Siap ada seorang adik dari lain mak lain bapa, nasihatkan aku, belajar-belajarlah untuk dengar nasyid. Aku cuba juga, siap aku minta kadet China tolong muat-turunkan guna telefon dia. Itu pun aku dengar yang jenis rancak sikit. Kata orang kontemporari. Ada juga terselit-selit nasyid yang pernah aku dengar waktu aku sekolah di Slim River dulu. Tiba-tiba meremang walaupun nasyid tahap cintan. Keseluruhannya, memang sedap, cuma bila list lagu masuk lagu You And I, aku tetap terikut juga. Hahah. Begitulah sedikit sebanyak.
Kesimpulannya, kita pernah dengar tentang 5 perkara sebelum 5 perkara. Dan di antara semua itu, ada dipesan tentang hidup sebelum mati. Agak-agak kalau tetap nak cuba juga api neraka itu panas atau tidak, janganlah berubah ke arah kebaikan.
Selit-selit: Kawan dan abang aku dah balik. Bila tengok 'pilot chair' depan pemanas dekat geladak, teringat aku dia akan tidur depan pemanas tu. Memang aku rasa pelik sebab aku tak pernah rindukan orang sampai macam ini lebih-lebih lagi seorang kawan. Entahlah. Human parts, complicated.