Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

Wednesday, 6 March 2013

Pelayaran. Abang, teman dan kawan..





Aku bakal kehilangan seorang kawan baik atas kapal ini. Dia dah nak balik. Hampir dua bulan tidur sebilik (aku rasa kapal lain mungkin tak ada macam ni melainkan kadet), sekarang aku kena belajar tidur seorang. Aku akan hilang teman bersembang. Aku akan hilang seorang yang aku anggap sebagai seorang abang, yang banyak mengajar aku tentang macam-macam perkara. Aku akan hilang seorang kawan yang aku rasa tak pernah lekang senyumnya di mata aku. Begitulah. Buruk baik, dikongsi dan diselesaikan bersama. Dan sekarang, dia dah nak balik ke tanah air.

Mula-mula aku naik kapal, bilik tak berapa nak cukup. Bukan tak cukup sebab apa, cuma bila masuk US, terpaksa ada satu bilik kosong untuk orang yang dipanggil sebagai PSA. Kena pula pegawai kadet pun tiba-tiba ramai kali ini. Jadi, akhirnya aku ke kabin doktor, yang mana ada dua katil berasingan, dan Tarmizee diarahkan sebilik dengan aku. Kebetulan juga kabin ini agak besar dibandingkan dengan kabin lain. Aci kerat kuku, kalau dia bukan sama warganegara dengan aku, aku takkan nak sebilik dengan orang lain. Bukan apa, kalau dengan orang lain, nak solat susah, nak tukar baju susah. Kongsi bilik air lagi aku tak nak. Kalau kena dengan gagak tanah besar, aku rasa tak boleh aku nak tidur dengan bau yang susah nak dihuraikan dengan kata-kata. Perkenalan yang ringkas campur mengejutkan aku, kerana dia adalah senior aku ketika aku masih tahun pertama di ALAM. Mulanya kekok juga aku, tapi akhirnya aku rasa seronok. Atas kapal, sangat-sangat sukar ada pegawai yang nak kongsi bilik sebab masing-masing mahukan privasi, tapi kami tak berapa nak kisah. Waktu bilik kemas, memang sangat kemas. Waktu sibuk, aku rasa kalau ada biawak komodo bersalin atas sofa pun kami tak sedar. Personaliti? Aku dengan dia rasanya jauh berbeza. Dia baik orangnya. Begitulah sedikit sebanyak perkenalan kami.

Orangnya agak kecil, tapi pemikirannya memang matang sungguh. Boleh aku katakan comel. Hahah. Jenis sejuk orangnya. Kalau habis marah sekalipun, mungkin dia akan menyumpah ketika dia balik ke bilik sahaja. Itu adatlah. Bila dah kena dengan gagak tanah besar, memang mulut terasa terlalu ringan untuk menyumpah. Aku sendiri pun, dalam mencuba menggantikan carutan dengan perkataan istighfar, kadang-kadang terlanjur juga. Lain dari itu, aku boleh simpulkan dia sebagai seorang abang dan pegawai yang memang aku hormat. Sepanjang hidup aku, sewaktu keegoan aku cukup tinggi, aku rasa hampir tak pernah pun aku hormat seseorang sebagai abang. Pertama, kerana aku tak pernah ada abang. Kedua, aku tak pernah jadi adik. Kepada Tarmizee, mungkin sepanjang perkenalan dengan aku, ada kekasaran aku kerana aku tak pandai jadi adik, jadi maafkanlah aku.

Aku rasa macam tak berapa nak seronok bila hari makin dekat untuk dia balik. Kapal masih tersangkut di luar pelabuhan, tunggu arahan nak masuk. Barang-barang dia dah siap kemas pun. Aku rasa berat hati sangat. Entahlah. Nanti dah takkan ada adegan melihat pegawai tidur di depan pemanas atas geladak waktu kapal masih membongkar sauh. Nanti dah takkan ada adegan melihat orang taip sms di telefon bimbit walaupun tak ada pancaran atau 'line'. Nanti dah takkan ada adegan melihat orang tak tidur-tidur sebab bergayut dengan bakal bini.

Kalau diizin Tuhan, lepas sikit dari tengah tahun nanti, aku dah boleh mohon balik. Kalau kena pada masa, aku dapat sambut raya. Aku tak nak sambut raya atas laut macam dulu. Kalau kena pada masa, aku nak datang ke Terengganu. Aku akan cari dia. Aku nak beraya dengan dia. Itupun kalau ada jodoh. Dan dalam pada masa yang sama, aku nak juga tengok mana rupa Cik Anim yang selalu buat 3rd Mate aku nan seorang ini asyik gila bayang. Hahah.

Aku harap perkenalan ini takkan terhenti di sini sahaja. Moga Allah izinkan sampai ke syurgaNya.





Selit-selit: Bertemu di tanah asing, akhirnya berpisah jua di tempat yang asing. 

Selit-selit: Kepada pengomen tegar yang selalu meletakkan 'kategori "hina atau tidak" ' pada entri aku, yang mana selalu menggunakan anonymous, sila jangan beri komen apa-apa. Anda sangat-sangat tidak dialu-alukan. Kehadiran anda sebenarnya sangat-sangat membuat orang rasa terganggu. Terima kasih.



Thursday, 7 February 2013

Februari.



Dah lama blog aku menyepi. Walaubagaimanapun, ada cara untuk aku terbitkan entri ini dengan cara automatik. Telah pra-siap ketika kapal aku masih dapat capaian internet, dan aku harap ia akan muncul di blog tepat pada masa. Mungkin tak berapa nak sama masa sebab zon masa berbeza, tapi bolehlah.

Bersempena 7 Februari 2013, aku nyanyi sendiri lagu ini walaupun orang lain atas kapal ini tak faham. Dan aku taip kembali lirik ini sendiri tanpa tiru-dan-tampal. Sekian.


Dia, insan pertama yang bertakhta
Dia, insan pertama yang ku cinta
Dia, pernah membuatku bahagia
Dia yang mengajarku tentang erti rindu.

Dia,
Yang dulu pernah ku sanjungi
Pergi sehingga kini tak berganti
Hilang dari pandangan hidup ini
Membawa luka pedih tak terperi.

Tiada ku duga permulaan yang jernih
Menjadi keruh dengan tiba-tiba
Bisa rintangan antara ku dan dia
Cinta terhalang oleh orang tua.

Kini terkilan sungguh rasa hati
Dia tak pernah lagi ku temui
Dia ku abadikan dalam jiwa
Terima kasih atas segalanya..

Successfully published on Feb 07, 2013

Selit-selit: Makna lagu ini pada aku? Kira macam penterbalikan dari lagu Relaku Pujuk yang pernah aku dengar ketika di kedai satay Haji Samuri di Kajang, Selangor dulu.

Tuesday, 11 December 2012

Bil, Kemodenan dan Hari Ini..


Dari cerita tentang orang kahwin pakai baju tentera (konon kacak), kemudian Harimau Malaya tidur di saat akhir sehingga dapat seri, sampailah ke cerita politik yang tak sudah-sudah dengan tipu helahnya, hari ini aku ada terbaca satu berita menarik. Agak ringan bagi aku.

Di Arab Saudi, seorang lelaki mencatat sejarah dalam hidupnya apabila dianugerahi dengan bil telefon yang aku rasa boleh tahan bayarannya. Angka dalam bil itu ialah SR 10 billion, atau RM 8.16 billion. Ditambah pula dengan kenyataan perkhidmatan komunikasi itu, ia mungkin betul kerana kononnya cas panggilan ke luar negara adalah mahal ditambah penggunaan internet. Lelaki Arab itu mahu menghadapkan bil itu ke muka pengadilan.

Tak lama dahulu, kes yang hampir sama, seorang lelaki terkejut apabila bil kad kreditnya berjumlah juta-juta juga setelah selesai membeli sekotak rokok. Namun, pihak bank membetulkan kembali kesilapan itu, termasuk membayar ganti rugi insan tersebut untuk panggilan ke bank dan sebagainya.

Agak-agak, kalau kita kena macam itu, aku rasa mungkin sahaja kita terus rasa pening nanar. Kalau ustaz-ustaz pun, aku rasa mahu juga naik merah mukanya. Anak kahwin lari pun mungkin kita boleh maafkan dan terima 'menantu segera' kita, tapi bila bab wang, manusia mampu menjadi satu makhluk yang sangat menakutkan. Bak kata Encik Rambo, "Killing is easy as breathing". Namun, berita-berita ini cuma ada di zaman sekarang.

Begitulah halnya dunia sekarang. Aku berani jamin, 15-20 tahun dahulu, di zaman bapa aku masih menjadi rebutan ramai gadis, dia mungkin hanya perlu memikirkan beberapa helai bil sahaja di hujung bulan. Bil elektrik, air dan mungkin kalau ada, bil telefon rumah. Namun, cuba kita tenung-tenung peti surat kita pada zaman moden ini. Berapa banyak bil yang sampai? Bil elektrik, air, telefon bimbit sendiri dan isteri, internet, Astro, kad kredit dan segala macam kertas-kertas nipis yang akan membuatkan poket kita nipis di hujung hari. Itu belum masuk Touch N Go yang mana aci kerat jari, waktu bapa aku muda dulu, dia tak pernah terbayang pun bagaimana rupa kad tersebut.

Namun, jika orang bertanya pada aku, "RL, kau rasa kau moden tak dunia sekarang?", aku hanya mampu tersenyum tanpa kata. Satu soalan yang ada dua jawapan yang sangat berbeza. Nak hidup cara ala-ala 15 tahun dahulu, nanti dikata orang sebagai ketinggalan zaman. Nak diikutkan cara zaman sekarang yang ala-ala moden, entah terikut atau tidak dengan kosnya yang mahal.

Kata orang, "go with the flow" atau ikutlah arus. Tapi apa yang aku belajar, untuk kemudikan kapal dengan lebih berkesan dan selamat, lawanlah arus. Fikir-fikirlah.



Selit-selit: Pernah aku buat bil telefon melambung waktu tingkatan dua. Separuh mati aku menahan nyawa dari hilang terbang. Hahah.

Selit-selit: Iye nae sonul japgo nunulkamayo uri saranghaetton-nalto sengkaghepayo, uri nomu saranghaeso apossonnaeyo, soro saranghandan malto mottansondaeyo.



Sunday, 2 December 2012

Ijazah, Contest dan Sembang-sembang..

Pertama, aku nak ucapkan setinggi-tinggi tahniah buat seseorang kerana telah berjaya mendapatkan sekeping ijazah. Aku tak dapat nak pergi sekali kerana aku tidak berkesempatan di atas beberapa halangan dan faktor-faktor yang tak dapat nak dielakkan. Semoga lebih maju di hari-hari mendatang. Semoga ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan agama. Begitulah hendaknya.  Aku ini tumpang gembira. Nak beri hadiah, tunggulah bila-bila. Hahah. Apapun, tahniah.

Nak cerita lebih-lebih pun, tak tahu sangat nak cakap apa. Aku hanya mampu menggunakan ia sebagai sebab untuk aku senyum hari ini. Badan penat. Ada macam-macam kerja. Tapi tak mengapa. Rasa macam dapat semangat baru. Begitulah keadaan.

Bab lain, aku rasa nak buat contest. Aku tengok macam-macam contest ada orang buat. Nampak macam menarik. Tapi aku kekurangan idea kerana aku tak pernah buat apa-apa contest. Kalau ada idea, amat dihargai.

Satu lagi bab, kawan aku hari ini yang duduk di Selangor, di bawah Majlis Perbandaran Selayang, komplen sebab dapat waran tahanan kerana tak bayar cukai pintu selama 2 tahun. Maka, jumlah termasuk denda, kira-kira RM400. Dia kata kerajaan negeri jahat sebab tak berhati perut dan sebagainya kerana zaman pemerintah dulu, tak bayar pun tak kena apa-apa. Aku senyum sahaja. Bagi aku tidak salah, kerana dah memang salah. Tetapi lumrah manusia, suka pada orang yang tak buat apa-apa bila dia buat salah. Aku tak tahu nak kata apa. Kalian yang membaca, nilailah sendiri.

Itu sahaja untuk aku taip-taip. Niat nak mengutuk, mengata, memperli, berjiwang, berkongsi, tak berapa nak ada hari ini kerana senyum sahaja. Hahah.



Selit-selit: Pernah tak anda rasa pedih hulu hati apabila melihat gambar yang sangat-sangat menyakitkan walaupun tahu ia sudah lama berlalu?


Saturday, 24 November 2012

Hati Yang Terkilan dan Sembangnya..


Sebermula hikayat, tersebutlah suatu tempat bernama Taiping, dalam Larut Matang diamnya, tertakluk jua ia di dalam kamus perbendaharaan Negeri Perak Darul Ridzuan, ke utara sedikit letaknya, kecil pekannya itu datang sekarang. Tatkala hijratun nabiyyi seribu empat ratus tiga puluh empat, kepada tahun hijrah, pada tujuh haribulan Muharram, kepada hari Rabu, waktu Dhuha, pada ketika syamsu, pada zaman kerajaan Najib Razak Qaddasalahu Sirrahum Wal Al Sekorpin Al Tantuyia Wa Ghairahu Bum Si For Munggullia Ghafarullahulah Syah, maka tersebutlah satu bahtera, tiada bernama ia hanya bernombor pendaftaran, tersadai ia bersama nakhodanya, Tun Seri Bijaya Wangsa Maju Orang Kaya Haji Effendi, di tepi kawasan berhampiran pantai kerana rosak enjin.

Adapun, dipanggillah nakhoda itu secara istimewa, hanya untuk menghantar pulang bahtera itu tanpa armada ke Lumut untuk diperbaiki. Maka, setelah diperiksa, terpaksalah berada di sana. Nak jadi kisah, terlupa bawa kad bank yang tauke bagi. Eloklah sangat. Maka menggagaulah meminta pertolongan segala sahabat-sahabat yang handai lagi akram. Tak adalah yang nak membantu melainkan seorang. Tak mengapalah. Esok-esok bila yang lain-lain itu susah, aku pula buat tak tahu. Apapun, masalah dah selesai. Itu aku lega.

Tapi itu sekadar intro. Menyakitkan hati aku ialah harga makanan di sana. Pekan Taiping sahaja. Bukan Bandaraya Ipoh. Sepinggan kuey teow goreng RM5.00? Dah gila? Aci kerat tangan, kalau aku bawa makan di kedai mamak berdekatan dengan Medan Kidd, Ipoh, harganya cuma RM3.00. Memang jauh beza. Teh tarik harga RM2.00? Aku rasa marah sangat-sangat. Terkilan, terguris, pedih dan kecewa, semuanya bercampur-campur menjadi satu. Apa sangat yang ada di Taiping? Setakat ada tempat binatang dengan tempat orang yang dah nak jadi binatang, tak payahlah nak cas mahal sangat. Patutlah payah nak maju.

Kalau ada orang Taiping yang membaca, cuba-cubalah anda masuk ke kedai berdekatan dengan stesen bas Taiping, berhadapan dengan CIMB dan Hotel Legend Inn. Harganya tak masuk akal langsung. Aku terus angkat kaki bila aku tengok mahal sangat. Biarlah aku berjalan jauh sikit mencari kedai lain. Kalau ya pun nak jadi Melayu paling kaya, itu bukan jalannya. Beria gantung bendera kerajaan di luar kedai, tapi mahal gila.

Itu satu hal. Satu hal lagi, aku dah nak bekerja dah. Aku tak tahu berapa banyak sangat entri aku boleh buat sebelum aku bekerja. Entah macam mana agaknya bersawang nanti. Sedih aku. Lepas satu-satu benda aku masuk dan kemudian menghilang. Dulu, aku aktif dengan radio amatur. Lepas belayar, aku terus senyap. Cuma sekali sekala aku ada. Itu pun sebab ramai yang lupa siapa aku. Lepas ini, aku rasa follower pun akan lupa siapa aku. Entahlah. Sentap kejap (hati bukan main sensitif sekarang).

Bab lain, aku dah mula tengok ramai Muslim yang dah mula jejak kaki semula dalam restoran-restoran makanan segera yang kononnya nak diboikot. Heh. Beria-ialah bersumpah apa semua tak nak jejak, tak nak makan dan macam-macam lagi, tapi cuma untuk sehari dua. Yang dari dulu tak sedar-sedar pun lagi ramai. Entah apa nak jadi. Sekadar bahan lelucon orang kafir harbi. Semua pakat gelak.

Fikir-fikirlah. Melayu dan Islam nampak sinonim, tapi sebenarnya dua benda yang sangat berbeza. Macam hitam dan putih. Tersangat jauh. Agak-agak mana yang kita nak ikut?




Selit-selit: Lebih baik tak pandai bergaya, daripada berhabis harta.

Selit-selit: Ramai orang bertanya bila nak kahwin. Aku memang nak. Tapi ada satu masalah. Macam mana nak kahwin empat tanpa yang lain-lain saling bergaduh? Hahah.



Wednesday, 14 November 2012

Sekolah, Rakan-rakan dan Kenangan..


Hari ini aku demam menjadi-jadi. Berhujan berembun semalam, sampai badan rasa nak tumbang. Susah bila orang tak faham kita susah. Waktu dia susah, dia minta tolong. Manis ayatnya, tapi bila kita nak perlukan balik, dia beri seribu satu macam alasan yang sangat tak masuk akal. Tak mengapa.

Jadi aku nak cerita pula tentang beberapa perkara yang rasa aku seronok bila aku tengok dan ingat-ingatkan bila aku tengok kawan-kawan sekolah aku. Kena pula waktu cuti-cuti macam ini. Nak sangat kumpul ramai-ramai. Tak kiralah kawan sekolah rendah atau menengah. Di mana-mana pun, setiap orang ada wataknya sendiri dan paling kurang ada memegang satu tindakan atau peranan yang akan memudahkan orang lain ingat dia. 

Aku nak kongsi sedikit tentang beberapa memori aku yang agak dah berhabuk ini.
  • Ketua kelas waktu aku sekolah rendah, namanya dirahsiakan. Sangat suka menghisap tali leher warna biru (melambangkan ketua kelas). Aku tak tahu kenapa, tapi kalau setakat nak belanja aku makan tengahari, semata-mata untuk aku pakai tali leher itu, memang aku takkan sanggup. Hahah.
  • Seorang insan yang aku sangat-sangat ingat dia menari atas pentas dulu. Kena pula cikgu pada ketika itu tak berapa nak kreatif, tak habis-habis dengan irama Pop Yeh-Yeh. Kasihan budak-budak menari pakai skirt kembang dengan sehelai sapu tangan. Tapi, insan itu sudah pun kelihatan ayu dan sangat muslimah sekarang. Hahah. Bagus bukan?
  • Kawan aku yang aku rasa boleh tahan asyik nak kena kejar dengan cikgu. Rotan atau pembaris kuning entah berapa batang dah patah. Sekarang dia dah jadi orang bekerja dengan Kementerian Kesihatan. Entah hidup ke tidak pesakit di bawah jagaan dia, entahlah.
  • Penolong ketua pengawas yang sangat-sangat aku takut. Tahap gengster dalam sekolah macam mana pun, dialah satu-satunya perempuan yang paling gengster. Berani dia lempang budak lelaki. Memang kalah makcik guard dia punya garang. Tapi sekarang? Dia dah jadi lemah lembut, muslimah dan lain-lain. Kalau telefon, suaranya macam segan-segan (sebab aurat). Hahah.
  • Manusia paling 'playboy' dalam sekolah rendah. Kira tahap budak perempuan terus macam kena pukau bila dia lalu. Tahap tukar pasangan selang 2-3 jam seorang. Sekarang, dialah yang paling awal antara semua nak mendirikan rumah tangga.
  • Ini cuma antara kawan aku dan aku. Kami pernah minat satu perempuan yang sama. Tapi bila dah besar sekarang, itulah yang nak jadi bahan lawak pun. Sebab? Sebabnya ada pada perempuan itu sendiri. Hahah.
  • Ketua pengawas sekolah? Ya, dulu dialah yang paling garang, paling baran, dan segalanya. Kira macam bila dia berjalan, ada awan hitam mengiringi dari belakang. Sekarang? Laluan kerjaya yang dia pilih, akan banyak mengajarnya supaya bersabar. Hahah.
  • Nama panggilan? Ada macam-macam. Nama serangga-serangga yang jarang disebut, binatang-binatang yang kita sendiri tak tergamak nak bela, selalu jadi pilihan. Ini anda boleh fikirkan sendiri. Kalau aku sebut, segan jadinya nanti.
  • Anak tauke kedai. Namanya? Rahsia cukuplah. Dari dulu, kini dan mungkin sampai bila-bila, dia tetap darjah 6. Takkan besar-besar lagi. Hahah.
  • Ada satu kawan, dulu dialah tokan rokok. Terbang dari sekolah, rasanya tak ada pagar yang boleh kepung dia. Nama panggilan pun macam nama syarikat bas. Tetapi sekarang dah jadi polis. Pelik aku.
Itu serba sedikit tentang kehidupan sekolah aku. Ada banyak lagi. Tapi tak larat aku nak taip semua dalam demam-demam macam ini. Apapun, semua orang yang terlibat secara langsung atau tak langsung dalam memori ini, sebenarnya menjadi warna-warna yang banyak mencorakkan hidup aku. Itu sebab bila ada di antara kalian yang seolah-olah tak mahu bertegur sapa dengan kawan-kawan sekolah, aku dan kawan-kawan lain tak marah. Tetapi kami rasa terkilan. Teman lelaki atau wanita itu memang penting, tetapi kalau dah berselisih bahu, janganlah buat tak tahu. Bukan cantik atau kacak sangat pun muka teman kau tu. Begitu adanya.

Aku harap dapat jumpa lagi semua-semua muka yang pernah muncul di zaman kanak-kanak aku. Dari mula aku masuk sekolah sampailah sekolah kata dah tamat zaman pakai baju sekolah. Terima kasih kawan-kawan!


Selit-selit: Kawan-kawan dari kecil, bila dah besar, tak kiralah dah jadi Tan Sri atau menteri sekalipun, dia tetap kawan.

Selit-selit: Ada yang patah balik jadi cikgu di sekolah yang sama dia duduk waktu kecil dahulu. Bagi aku, boleh tahan bosan juga tengok tiang bendera yang sama dari kecil sampai besar. Hahahah.




Monday, 12 November 2012

Dadah, Syabu, dan Perkongsiannya..

Dah macam-macam aku tengok entri follower aku. Dari cerita bab resepi asparagus, sampailah ke bab cikgu dan PBS, angkut sekali dengan cerita bab cicak, luahan hati dan sebagainya. Macam-macam. Cuma ramai yang aku tengok blog dah berubah-ubah rupa. Ada yang dah macam laman berita, ada yang dah tukar nama, macam-macam. Aku ikutkan sahaja. Apapun, semuanya menarik. 

Kali ini aku nak kongsikan sedikit tentang sejenis dadah yang dah banyak budak-budak sedut sekarang ini. Methamphetamine. Ada juga memanggil 'syabu'. Lebih dikenali di kalangan budak-budak sebangsa aku sebagai 'batu' atau 'ice'. Mungkin juga ada nama-nama komersial lain. Bentuk fizikalnya? Macam garam, tapi  halus-halus. Macam kaca mentol kena tumbuk halus-halus pun ada. 

Kita mulakan dengan harganya dahulu. Kalau peniaga-peniaga kecil-kecilan, mereka biasanya membeli dengan kuantiti yang agak kecil. 1g atau 1 gram di kawasan Ipoh harganya sekitar RM250. Daripada 1 gram ini, ia akan dipaket-paketkan kecil-kecil untuk tujuan perniagaan. 1 gram itu boleh menghasilkan kira-kira 15-20 paket kecil yang berharga RM50. Itu kira harga mengikut piawaian. Untungnya? Anda sendiri boleh kira. Lumayan bukan? Memang mahal. Benda ini juga tak boleh kena air, waima embun sekalipun. Kalau tak, nanti dia melekat-lekat. Macam itulah.

Sasaran dadah jenis ini tak kira orang. Budak sekolah pun ada ambil. Kata pengambil dadah jenis ini, kebiasaannya pelajar-pelajar kolej suka mengambilnya kerana ia akan membuatkan badan tak memerlukan tidur. Selera makan hilang. Boleh tumpu satu buku kira sampai khatam. Paling muda yang aku pernah campur, tingkatan satu. Hebat bukan? Tapi, kata mereka, dadah jenis ini tak gian atau ketagih. Itu kata mereka. Sejauh mana kebenaran untuk bab kehebatan dadah ini, aku tak tahu nak kata. Susah nak cakap.

Cara nak menghisap dadah jenis ini? Tak susah mana. Perlu sedikit kreativiti. Ia menggunakan alat buatan sendiri yang dipanggil dapur. Ada satu bahagian yang selalunya dibuat dari kaca, ini bahagian untuk letak ais tersebut dan dibakar, kemudian terus ke air, dan di bahagian satu lagi, ada tiub untuk sedut asapnya.

Mengenal pasti mereka ini? Agak susah. Tapi boleh periksa barang-barang mereka. Lihat-lihat kalau-kalau ada jenis penyedut minuman Vitagen atau straw yang dipotong serong. Boleh jadi juga batang kapas telinga yang dipotong serong. Gunanya? Untuk ceduk ais tersebut dari paket kecil itu. Lihat juga jenis pemetik api. Kebiasaannya menggunakan pemetik api boleh laras macam jenama Alladdin dan sebagainya, supaya apinya boleh dikawal untuk jadi betul-betul kecil. Dapur, mungkin boleh cari.

Apapun, aku ceritakan semua ini dari pengalaman aku. Sedih aku tengok anak bangsa aku macam dah tak tahu hala tuju hidup. Aku kongsikan ini, supaya kalau ada di kalangan pembaca ini yang mungkin ada anak-anak, atau kawan-kawan, yang dah lain macam, tolong dan tolong dan tolong pantau mereka ini. Aku jadi luluh hati tengok kawan-kawan ada yang terjebak benda-benda macam ini. Zaman sekarang dah tak kira lelaki atau perempuan. Main redah semua benda. Bangang yang bukan-bukan.



Selit-selit: Rasa pelik bila lihat budak-budak perempuan sekarang bukan main bangga sebut nak pergi kelab atau 'club' dengan kawan-kawan. Bukit Bintanglah, Changkatlah, nak minumlah, weed apa bagai. Kalau ya pun jahat, tak payahlah nak bangga dengan kejahatan. Nampak sangat bangangnya.

Selit-selit: Myvi warna biru cantik atau tidak?

Sunday, 11 November 2012

Cinta Antara Dua Blogger? Apakah?


Berdasarkan tajuk di atas, neuron-neuron dalam kepala kalian dah mula merenjis macam-macam cerita hanya berdasarkan tajuk tersebut. Fikirlah apapun, aku nak kongsi sikit cerita tentang dua blogger yang terikat perasaan antara satu sama lain.

Pada suatu hari, selepas beberapa lama adanya berhubungan dari jarak jauh, maka mereka pun merancanglah untuk bersua muka dan bertentang mata. Tapi biasalah, bila dah tua-tua macam ini, tak perlu lagi nak 'declare' macam budak-budak zaman sekolah rendah sekarang. Cukup bila hati terjentik, dah tahu terikat sendiri. Mulalah tidur pun tak berapa nak nyenyak siap meracau-racau, bila mandi macam basah tak basah mengalahkan kulit kalis air, bila makan rasa macam tak berapa nak cukup rencah. Bab lain-lain tak payah cerita, tengok berita di tv, boleh nampak muka dia yang jadi pemberita. Nak cakap bab fizikal, kalau letak tepi Siti Nurhaliza, Erra, Lisa Surihani, tak kira mana artis pun, tak kira India atau Korea atau Venezuela, tetap kata dialah yang paling lawa. 

Maka, tibalah hari yang dinanti dan dijanji. Berdekatanlah dua hati. Dunia yang ramai manusia macam ada dua orang sahaja. Hujan yang sejuk dan dingin yang diketahui umum mampu menjadi punca orang demam, langsung tak dihiraukan. Langkah kaki kedua-dua manusia itu tetap dihayun, lecak dan lopak tak dihiraukan. Elok sahaja bertentang mata, mulut masing-masing tak serancak mana, hanya mata yang berkomunikasi.

Bila bercinta, biasalah, orang lain takkan tahu apa-apa. Hanya sekadar bertentang mata dah cukup untuk segala-galanya. Macam 'bluetooth', muat turun sahaja semua perkara terus ke hati. Masa seolah-olah terasa pantas berlalu. Terlalu laju. Sehingga berdesis di hati "kalaulah masa boleh dihentikan sementara". Tetapi itu mustahil.

Hmm... Setakat itu sahaja. Siapa dengan siapa, tak boleh aku beritahu. Itu suatu rahsia. Identiti? Pun tak boleh beritahu. Kalian bebas membuat andaian dan spekulasi. Blog mana? Pun tak boleh diberitahu. Rahsia. Semua maklumat ada di dalam senarai follower. Tahap aktif? Semuanya rahsia. Biarlah rahsia. Hahahahah. Kebenarannya? Memang sahih. Tahap 'muttafakun alaih'. 






Selit-selit: Kalau blogger kahwin, agak-agak konsep macam mana nak dibuat?

Selit-selit: Aku cadang nak beli kereta, apa pendapat kalian?






Monday, 22 October 2012

Asal-usul Istilah dan Nama.. Apakah?

Aku sarapan pagi ini, sambil baca macam-macam benda pelik-pelik dan berat-berat dalam surat khabar. Pening aku jadinya. Dari mak yang bawa anak ke kafe siber, sampailah ke penipuan dalam politik yang tak sudah-sudah. Maka, pagi ini aku nak menaip benda-benda ringan sahaja. Tambahan pula, orang-orang tersayang dalam hidup aku dah balik ke Perak hari ini. 

Jadi aku terfikir nak ajak pembaca fikir-fikirkan tentang nama-nama dan perkataan yang dah diputar-putar oleh orang barat ikut sesedap hati mereka. Sumbernya aku dapat dari mulut ke mulut, langsung masuk ke telinga aku. Ada yang aku baca dari macam-macam buku. Ada yang aku dapat dari bertanya ke tempat-tempat yang aku pernah singgah dulu. Macam-macam. Setakat mana kesahihan sumber, entahlah. Ini aku kongsikan pun sekadar nak meringankan kepala.


  • Asal nama Portugal, datangnya dari pokok limau yang banyak ditanam di sana. Dalam bahasa Arab, limau disebut "burtuqal". Maka, jadilah ia negeri limau. Negara Portugal.
  • Asal nama Gibraltar, datang dari panggilan Jabal Tariq, yakni tempat singgah Tariq Bin Ziad sewaktu nak menyerang Sepanyol. Diterbalik dan diubah oleh orang, menjadi Gibraltar.
  • Nama binatang Kangaroo yang ada di Australia. Ceritanya, orang putih yang sampai di sana, bertanya, "What is this?", maka tak faham oleh orang asli Australia itu, dijawabnya "Kangaroo" bermaksud "I don't understand you" atau saya tidak faham awak. Maka di atas sebab kebangangan orang putih itu, dipanggilnya sampai sudah, Kangaroo. Kiranya binatang itu sebenarnya tidak bernama.
  • Istilah Alphabet yang ada dalam bahasa Inggeris. Dikatakan berasal dari bahasa Arab, alif ba ta. Maka dipusing oleh orang menjadi Alphabet.
  • Istilah Medicine yang bermaksud ubat. Datang dari bahasa Arab yang bermakna "tulisan Sina (Ibnu Sina)" atau "pen Sina". Adapun, ini memang susah nak cakap sebab ada yang mengatakan datang dari bahasa Latin dan sebagainya.
  • Istilah Admiral. Ini datang dari bahasa Arab. Yakni dari perkataan Amir-Al-Bahr (Kapten laut). Entah dibuang macam mana Bahr (laut) itu, jadilah Admiral.
  • Almanac. Yakni buku yang ada maklumat pergerakan matahari, dan segala objek samawi. Datang dari perkataan Al-manakh. Ini Arab Parsi kalau tak salah aku. Tapi masih tak dapat dipastikan.
  • Adapun satu lagi bahagian, nama-nama bintang yang boleh digunakan untuk navigasi. Kebanyakan bintang-bintang ini mendapat nama dari bahasa Arab. Aldebaran, Alkaid, Alnilam, Fomalhaut, Mirfak, dan macam-macam lagi. Sejarahnya, cuma sedikit yang aku tahu. Nak cerita pun panjang. Lagipun ramai yang aku rasa tak berminat nak tahu nama bintang.

Begitulah sedikit sebanyak. Ada banyak lagi yang aku lupa. Kalau dalam internet, memang boleh cari asal usul perkataan pinjaman dari bahasa Arab. Tapi jalan cerita bagaimana boleh jadi sampai begitu, itu yang menarik bagi aku. Dan kebanyakannya dibuat oleh orang putih/orang barat. Entah macam mana mereka boleh mengaku pandai, pun aku tak tahu. Maka, kalau agak-agak nak berbangga dengan bahasa Inggeris, hentikanlah. Sekadar guna untuk belajar dan berkomunikasi dengan orang luar, cukuplah.




Selit-selit: Rasa berbahagia bila orang-orang tersayang ada dekat dengan kita.

Selit-selit: Mengikut ilmu mantik, secara asasnya, penafian itu bermaksud ada. Contoh, jika menafikan bahawa tuhan itu tidak ada, maka bermaksud ia tahu bahawa tuhan itu ada. Maka, kalau dengar orang cakap, "Kami tidak menipu rakyat", maka maksudnya macam mana? Hahahah.


Thursday, 11 October 2012

Kuala Lumpur, dan Keangkuhannya. Lumpur tetap lumpur.

Aku kembali semula setelah beberapa ketika aku sibuk dengan urusan-urusan yang perlu diselesaikan. Jadi apa yang aku nak kongsikan bersama hari ini ialah beberapa keadaan/pengalaman/situasi yang cukup-cukup menekan perasaan aku ketika aku dalam perjalanan pulang ke negeri tercintaku, Perak. Kalau rasa entri kali ini agak menyinggung mana-mana perasaan pembaca, aku sikit pun tak ambil peduli. Rasa nak baca, baca. Tak nak, kau boleh tengok dekat header apa yang aku tulis.

Tersebutlah kisah di mana aku berada di kawasan selatan tanah air, menuju ke utara semenanjung, menaiki kenderaan awam jualah. Yang dikatakan perkhidmatannya mesra, berhemah jua beriringan senyuman manis bak susu krimer pekat.  Maka, aku pun sampailah ke satu bandar, yang konon dijulang bandar serba hebat dan berbagai-bagai lagi. Perhentian pertama aku, Terminal Bersepadu Selatan atau lebih dikenali dengan TBS. Keadaan di sini memang bagus. Tak ada perayu tiket dan ulat tiket. Dah hampir macam lapangan terbang pun ada. Selesa. Maka, disebabkan aku hendak menuju ke utara, aku perlu tukar ke Puduraya.

Maka, aku pun pergilah ke bahagian tren atau komuter untuk menghala ke stesen Plaza Rakyat. Setelah tiket dibeli, aku pun menjadi keliru di sebelah mana tren yang patut menghala ke Plaza Rakyat. Jadi, aku bertanya pada seorang lelaki berbangsa Cina yang tengah sedap berasmaradana depan orang ramai. Tindakbalas dari beliau? "English please." Aku pun bertanya kembali dengan bahasa penjajah itu. Tapi jawapan yang aku dapat, dia suruh aku ke kaunter pertanyaan yang agak jauh sebab badan aku dah penat. Dengan sedikit perasaan geram, aku melontarkan soalan terakhirku. "Are you Malaysian?" soalku. Jawapan dia, "Yes, I am Malaysian." Maka sahutku dengan bahasa yang dah tak kenal erti kesopanan dan kesusilaan, "Then better you find some other place to live. This is Malaysia. Don't use some other fu*king language with me. Even your people from mainland didn't understand English.". Aku terus ditenangkan oleh seorang abang yang memberitahuku ke mana patut aku menunggu.

Aku tak berniat nak membangkitkan sifat perkauman di sini. Jauh sekali. Tapi aku meluat dengan sikap warganegara Malaysia yang sangat-sangat menjijikkan. Bahasa Inggeris? Aku dah pergi macam-macam negara. China? 'Yes' dan 'no' pun tak faham. Aku dah masuk Dalian. Nak cerita yang konon Bahasa Inggeris dia hebat? Ceh! Kalau orang Melayu sekalipun yang buat begitu, memang aku pandang dengan penuh jijik sebab lebih bangga dengan bahasa asing dari bahasa sendiri. Ingat Kuala Lumpur bagus sangat? Infrastruktur tinggi, tapi nilai moral rendah. Tak payah nak sembanglah cerita Kuala Lumpur hebat. Geli anak tekak aku.

Sampainya aku ke Plaza Rakyat, aku terus menuju ke Puduraya. Di sini terlalu merunsingkan dan merimaskan. Kenapa? Sebab terlalu banyak perayu tiket. Maka, aku pun pergi ke bahagian tiket. Dalam perjalanan naik ke atas, ada seorang perayu tiket bertanya pada aku destinasi. Aku menjawab tidak tahu. Kenapa aku kata tak tahu? Sebab bapa aku duduk di bahagian selatan Perak. Ibu aku duduk di utara Perak. Rumah aku? Berada di tengah-tengah Perak. Dah tentu aku nak tengok tiket mana yang lebih awal dan sesuai. Apa dia kata pada aku? "Susah kalau orang berjalan tak ada destinasi ni bang, agak-agak la kalau nak tipu pun, bukan duit abang tu besar sangat saya nak ambil". Dari escalator yang naik ke atas, aku turun kembali ke bawah mencari dia. Badan aku yang penat membawa haversack mula mengepam adrenalin. Aku jumpa dia depan kaunter polis bantuan. Aku pun memanggil dia dan berkata, "Kau ada masalah dengan aku? Kau tak nampak dekat papan tanda tu dah tulis jangan beli tiket dengan orang macam kau? Aku ada banyak tempat aku boleh pergi. Dah yang kau nak bahasakan aku apa hal? Tak sekolah?". Kemudian seorang polis bantuan datang dan meminta aku meneruskan urusanku sambil dia bercakap dengan budak tak berapa nak dididik oleh ibubapa itu.

Aku ambil bas Shamisha Holiday untuk ke utara Perak pada jam 1900. Aku pergi makan di medan selera dan aku menunggu. Jam 1900, aku turun dan pengurusan bas di sini sekali lagi membuatkan darah aku menyirap. Mereka suruh naik bas yang ada dahulu, kemudian tukar di Duta. Aku dah malas nak kata apa, ikutkan sahaja. Hujan mula menyimbah bumi Kuala Lumpur yang memang sangat-sangat menyampah ini. Kesejukan mula terasa dan aku pun bertukar bas dan menghala ke utara Perak. Akhirnya, aku sampai di tempat aku lebih kurang jam 0100. Lepas ini aku akan cuba seadanya untuk tak jejak di Kuala Lumpur. Ada banyak pilihan lain.

Aku tak tahu nak kata apa. Sekalipun kita ini tak ada rupa, tak ada harta, banyak dosa, tapi biarlah kita ini berbudi bahasa dengan orang lain. Kesabaran Tuhan tak diketahui tingginya. Tetapi tahap kesabaran manusia terlalu rendah. Aku bukan nabi dan rasul. Duduk di tengah kotaraya sekalipun, tetapi tahap moral macam kerbau balar, tak payah sembanglah. Orang pekan dan kampung tak takut sedikit pun dengan rambut orang bandar yang berwarna karat dan terpacak itu. Ukirlah tatu sampai jari kelingking pun, orang pekan dan kampung tak gentar. Cakaplah bahasa Inggeris berterabur mengalahkan orang putih sendiri pun, kau tetap kena ambil subjek Bahasa Melayu dalam SPM. Tak payahlah nak berlagak dengan Kuala Lumpur. Tak ada apa sangat nak dibanggakan. Namanya tetap lumpur.


Selit-selit: Teringat lagu Senyumlah Kuala Lumpur nyanyian Alleycats. Itu lagu cinta, memanglah semuanya jadi manis dan cantik.

Selit-selit: Khaldun pernah berkata; semakin maju pembangunan, semakin runtuh nilai moral rakyat.

Thursday, 13 September 2012

Perempuan dan Usia..

Puas dah aku bercerita, memperli dan seaneka benda lagi. Hari ini aku 'off', ada pengganti, jadi ada masa nak melayari internet dengan cerita baru. Asyik melayari bahtera di atas air kadang-kadang sakit hati juga.



Dalam sedar tak sedar, bulan-bulan kebelakangan ini aku memang lebih banyak menggunakan kenderaan awam daripada menggunakan kenderaan peribadi. Bukan tak ada motor, tak ada kereta, tapi entahlah. Tak kiralah LRT, bas, atau apa sahaja, asalkan yang jenis boleh naik ramai-ramai. "Saja nak menggatal la tu. Cari pasal nak berhimpit dengan awek...." begitu komen dari blogger AAA Jr. kepada aku di suatu hari, suatu masa, ketika aku mula-mula terjebak dengan penagihan menaiki kenderaan awam. Pada ketika itu aku dah agak lama kembali membujang, dan agak lama aku perapkan diri aku untuk meluruskan akal fikiran. Jadi, pada ketika aku lawat-lawat blog dia, dia pun mengomel. Aku boleh agak panjang juga muncungnya ketika itu. Tapi macam biasalah, dia itu, muncung tak muncung pun dia tetap comel. Dalam Malaya ini mana ada lagi blogger yang comel macam dia.

Aku benarkan sahaja dia berbunyi selepas itu. Dah fitrah orang perempuan begitu, jadi kita sebagai lelaki tak boleh ambil hati. Kita kena ingat bahawa seorang perempuan tanpa mulut, sama sahaja seperti donat tanpa lubang. Macam yang aku jangka, lama-kelamaan dia boleh menerima kenyataan bahawa lelaki yang diminatinya dalam diam ini memang dah jatuh hati sangat dengan kenderaan awam. Eleh, perempuan... Campur tolak ibarat belakang parang juga. Kalau rajin diasah, lama-lama tentu tajam. Apa lagi kalau diasah dengan lidah. Hahah.


Apa yang menyebabkan aku suka pada kenderaan awam?

Nak kata kalau harga minyak naik melambung bila kena dengan pemerintahan kerajaan yang 'penyayang' sekarang, rasa-rasanya taklah sangat. Memang beban, tapi masih boleh aku kayuh lagi. Kalau nak dikira harga minyak itu, masih jauh lebih murah daripada harga secawan kopi di kafe, bistro atau hotel-hotel lima enam bintang. Faktor untuk menyelamatkan alam sekitar dari pencemaran juga boleh jadi, tapi tak berapa tepat. Barangkali salah satu sebabnya ialah bila naik kenderaan awam, kita ada peluang untuk buat macam-macam benda. Boleh membaca, boleh main SMS, boleh main tablet, malah boleh melamun sepuas hati. Kalau memandu mana boleh buat begitu. Kalau buat juga, maka hari-harilah kena tidur atas pembahagi jalan. Satu sebab lain yang aku rasa tak kurang pentingnya ialah kenderaan awam menyediakan peluang pada kita untuk melihat macam-macam jenis orang. Nak tengok cara mana, dengan penjuru mata, dengan ekor mata, kepala mata, badan mata, lantaklah.

Dalam banyak-banyak yang boleh ditengok itu, mata aku jarang berminat dengan awek-awek atau gadis-gadis muda. Malas nak menyakitkan hati sendiri. Aku tahu, kalau aku tengok pun bukan mereka nak layan. Tak berapa kerat perempuan yang sudi jeling pada jantan jenis naik kenderaan awam, walaupun mereka tak tahu hakikat sebenar. Jadi, apa yang aku paling suka tengok?

Ya, siapa lagi kalau bukan kakak-kakak dan makcik-makcik yang dah dekat nak 'expired' itu. Kenapa mereka? Sebab aku rasa pada hampir setiap seorang daripada mereka ada nilai cerita yang menarik dan tersendiri.

Selalu aku perhatikan kakak-kakak dan makcik-makcik itu jarang bermuka manis. Malah ada muka-muka yang sama aku tengok kekal masam berhari-hari. Bentuk masamnya mungkin berbeza, tapi dasarnya, muka tak sudah. Aku tak naklah tuduh melulu, tapi aku dapat agak dalam ramai-ramai para kakak dan makcik itu tentu ada yang masam mengenang untung nasib sendiri. Tentu ada yang terfikir, "kalaulah aku masih muda...".

Ya, kalau waktu muda-muda dahulu, di waktu badan masih betul lekuk dan lekaknya, aku jamin sebahagian besar mereka itu tak perlu bersusah payah naik bas atau LRT. Ke sana ke mari tentu dihantar dan dijemput oleh lelaki tersayang. Tak dapat dihantar dengan kereta atau motor, akan dihantar juga dengan teksi, bas atau berjalan kaki. Yang pasti, hantar tetap hantar. Masa membunuh semua itu. Masa menyebabkan segala kemanisan dan kesenangan juga keriangan yang pernah dinikmati mereka tinggal kenangan. Masa menyebabkan mereka terpaksa mengiring diri sendiri ke mana sahaja sedangkan juru iring yang dahulunya mengekori pagi petang, kini hanya bersedia menjadi teman kalau diajak ke bank untuk menjual saham atau mengeluarkan duit simpanan. Itu pun biasanya bukanlah perkhidmatan yang diberikan secara percuma.

Kasihan aku memikirkan nasib mereka. Dalam aku kutuk-kutuk perempuan pun, aku masih ada hati perut. Kasihan juga aku melihat awek-awek sekarang yang tenggelam dalam kegembiraan diiring dan ditemani oleh si dia kesayangan mereka. Aku tahu, lambat atau cepat, giliran mereka pula akan tiba. Giliran untuk ke mana-mana sebatang kara.

Kalau pun ada gadis yang terselamat daripada kemungkinan yang dahsyat itu, bilangan mereka terlalu sedikit dan mendahului senarai mereka, tentulah sesiapa yang dapat berlakikan jantan Malaya nan seorang ini. Hahahah..






Selit-selit: Nak harap lelaki bungkus mata, takkan dapat. Itu sebab Tuhan suruh perempuan bungkus badan.


Tuesday, 11 September 2012

Tangkap Gambar. Cuci Gambar?

Bernafas lagi aku buat kesekian kalinya. Melihat dunia yang kian aktif dengan cara yang lebih pasif.

Macam-macam benda menarik yang makin mewarnai negara Malaysia. Dari Perhimpunan Hijau yang aku tengok makin berlawanan dengan warna biru, kemudian ada pula kes kata pengawal peribadi main acah pistol, lepas itu ada pula kes artis yang jawab bahawa mengadakan persembahan untuk syarikat arak itu adalah benda yang pernah dibuat sebelum-sebelum itu lagi. Tapi yang kurang cerdiknya, dah tahu benda tak elok, bila ditegur, tak payahlah nak buat-buat pandai. Esok lusa bila dah mati, nak tanam dalam kubur pun menyusahkan orang sebab jenazah jadi berat apa semua, baru nak tahu. Kalau suami reti mandikan mayat, siap tahu nak buat solat jenazah, bolehlah nak tunjuk pandai. Susah nak cakap. Ingat artis ini golongan bagus? Tahap intelek rata-rata tak tinggi mana. Kiranya bukanlah golongan yang patut disanjung pun.

Tapi itu bukan topik yang aku nak cerita. Benda yang aku nak kongsikan untuk entri kali ini ialah, zaman sekarang manusia suka tangkap gambar, tapi tak suka cuci gambar.

Pada hari ini aku berpeluang untuk menjejakkan kaki ke pekan. Maka berjalanlah aku dengan berbahagia. Syahadan, terlihatlah aku kepada beberapa orang manusia sibuk menangkap gambar. Bergaya sakanlah orang yang ditangkap gambarnya itu. Pelbagai aksi yang menarik. Ada yang melompat, ada yang senget, ada yang muncungkan bibir, ada yang kembungkan pipi. Pendek kata, tak ubah macam monyet. Kaum yang manakah suka berbuat demikian itu? Sayugia yang berbuat perangai seperti itu tidak lain dan tidak bukan majoritinya datang dari kaum gadis. Selesai sahaja sesi fotografi, maka si tukang pengambil gambar pun memindah masukkan kad memori kamera ke dalam laptop. Maka bersorak sorailah mereka dengan gambar yang berbagai rupa tadi.

Namun begitu, apa yang dilihat oleh aku yang berada di tepi sambil minum air, adalah sesuatu yang menarik. Selesai mereka bersorak sorai, mereka pun terus beredar sambil berkata, "Jom balik, nak?". Aku terus memerhatikan gelagat mereka. Maka, tiadalah mereka berkata hendak menuju ke kedai gambar untuk mencucinya. Lalu, usai dari itu, aku pun pulang semula ke tempat yang sepatutnya. Aku bertanya pada pakcik aku, yang juga seorang pengambil gambar, tentang mengapa orang tak ramai dah yang cuci gambar. Maka kata beliau, entahlah. Mungkin kerana nak letak di Facebook sahaja. Atau letak di bingkai gambar elektronik.


Jadi aku diam. Memikirkan keadaan. Makanya, adalah tidak hairan nanti industri mencetak album gambar akan bankrap. Tukang-tukang cuci gambar akan kehilangan punca pendapatan. Dalam situasi lain pula, takkan ada lagi acara nak tunjuk-tunjuk album gambar pada kawan-kawan ketika mengunjungi rumah di masa hadapan. Tak ada lagi aktiviti mengirim gambar pada teman wanita atau tunang melalui pos. Semuanya lungkup dan lingkup kerana teknologi yang kita guna secara begitu sahaja. Malah aku percaya ada di antara kawan-kawan aku yang tidak mencuci gambar di hari raya mereka. Semuanya tersimpan di dalam benda yang dipanggil cip memori, dalam pelbagai bentuk.

Entahlah. Gambar itu satu seni. Orang-orang yang tahu menghargai gambar-gambar mereka, tahu cara menyimpannya dengan baik. Peralatan elektronik, kalau dicelup dalam air, risiko untuk rosak sangat tinggi. Itu belum kira virus apa semua. Tapi yang bercetak itu lebih tahan lama. Paling tidak, jika tak hilang, masih boleh dilihat untuk 20-30 tahun akan datang. Anak cucu anda akan rasa gambar yang ditangkap dari kamera canggih anda hari ini sebagai 'old school'. 

Apapun, fikir-fikirlah. Apa-apa yang kita tempek atas kertas selalunya akan tahan lebih lama. Sama macam kitab-kitab. Sampai sekarang masih kekal dan dipelajari. Begitu juga gambar. Maka, fikir-fikirkanlah mengapa kita dah tak suka cuci gambar, tapi beria nak belajar tangkap gambar.







Selit-selit: Mak aku dan pakcik aku suka betul cuci gambar. Walaupun mereka tak hebat menangkap gamabr. Cukup quota, terus hantar ke kedai. Seronok sebab aku tahu album itu nanti akan menceritakan banyak kenangan dan peristiwa.

Selit-selit: Dulu, hobi fotografi ini luas. Dari tangkap gambar, sampailah mencuci gambar. Semua dipelajari. Sekarang? Ramai yang tahu menangkap gambar sahaja. Kalau tanya teori bagaimana nak cuci gambar guna negatif, haram tak tahu.


Monday, 28 May 2012

Tembakau, Pengalaman dan Ceritanya..

Pertama, aku mohon maaf kerana ada entri yang aku padam atas masalah teknikal. Penutupan buat sementara waktu yang terjadi tanpa notis adalah dibuat untuk betulkan Google+. 

Sebelum aku lanjutkan pada apa aku nak cerita, izinkan aku ucap tahniah pada jenis wanita separuh umur yang berjaya tunjuk pandai dengan meletakkan entri tentang jenis istilah yang berkenaan tentang sifat lelaki yang menganggap bahawa lelaki selalu berada di atas. Siap tampal tajuk 'fakta bukan auta'. Pada orang yang tahu siapa beliau, boleh tengok blog perempuan yang cukup layak dipanggil makcik ini. Aku sangkakan taip sendiri, paling tidak ambil dari buku, tapi nyatanya sangkaan aku meleset. Dari wikipedia dia rembat. Ilmiah apa benda. Ambil degree, tapi 'fakta' dari wikipedia? Eloklah. Nampak sangat jenis Melayu cakap macam bagus. Patutlah Melayu susah nak bangun. Wikipedia pun dah siap beritahu tahap 'reliability' benda tersebut tidak dijamin. Kalau dah sah salah, perbaikilah. Orang muda tegur, nak melenting. Apa punya akal. Ok. Setakat itu sahaja.

Jadi, mari aku bawa pula kepada cerita yang aku nak sampaikan. Rata-rata rakyat Malaysia tahu apa itu tembakau. Produk tembakau dah sah ada macam-macam. Ini yang aku nak cerita. Macam aku, masih lagi dalam proses berhenti merokok. Guna gula-gula getah yang doktor bagi. Memang berkesan. Aku pun ada kekurangan juga. Baik, di Malaysia, rata-rata kita tengok orang merokok macam yang biasa kita lihat. Yang tradisional sikit, guna daun. Paling tidak, pakai paip. Itu kebiasaan. Aku pun begitu juga. Pernah guna paip waktu aku belajar sekejap di ABM dulu. 

Tapi aku pernah jumpa yang guna tembakau cara yang lain dan bagi aku, jauh lebih merbahaya. Pertama, aku berkawan dengan 'Pump Man' waktu atas kapal dulu. Dia dari India, bahagian utara sikit dari Chennai. Cara dia lepas gian, ambil tembakau jenis halus, campur sedikit dengan kapur, gentel secukup rasa, tepuk-tepuk sikit bagi lebihan kapur keluar, kemudian letak antara gigi bawah dengan bibir. Disebabkan aku cukup suka mencuba (lagipun bukan dadah), aku buat dan letak macam dia buat. Akibatnya, rasa pedas tahap menghakis dan aku basuh terus. Kalau dah nama kapur, memang rasa tahap nak meleleh airmata. Merah menyala gusi aku jadinya. Mungkin akan ada yang kata aku bodoh sebab cuba. Lantaklah.

Kedua, tahap dahsyat punya. Ini aku jumpa waktu aku di Cabinda, Angola. Tembakaunya jenis serbuk hitam macam belerang peluru. Diletak atas tapak tangan sedikit, dikaut dengan atas kuku jari telunjuk tangan satu lagi. Terus disedut dengan hidung. Diulang lagi sekali ke hidung satu lagi. Memang tergamam aku tengok mula-mula. Aku tak berani cuba sebab aku rasa benda macam itu boleh buat paru-paru aku hancur terus. Jadi, aku sekadar melihat. Pengalaman macam ini, sah-sah susah nak cari. Setakat tengok dalam wikipedia, budak tadika boleh tolong cari. Apapun, benda yang aku sangat-sangat ingat waktu di Angola, aku beli Pau Cabinda, atau Kayu Cabinda. Aku jual dekat kawan aku bila aku sampai di Malaysia. Gunanya, eloklah anda cari sendiri.

Memang rata-ratanya kita lihat produk tembakau digunakan oleh lelaki. Bukan kerana lelaki itu bodoh, tetapi kerana mencari tempat dan ruang yang sesuai untuk melegakan. Kalau nak kata tembakau boleh membunuh apa semua, gincu yang orang perempuan palit ke bibir itu pun sama bahaya juga. Terpulang pada yang menilai. Yang pasti, ia tak elok untuk kesihatan. Pada yang masih merokok, mari kita sama-sama berhenti. Lagipun bendanya dah difatwakan haram.

Setakat itu sahaja entri aku kali ini. Nasihat aku, dalam dunia ini, manusia tak lepas dari silap. Kalau dah silap, elok mengaku. Perbaiki diri dan jadi warganegara yang lebih berdisiplin. Pengalaman tak dilihat dari umur sahaja. Faktor lain juga diambil kira. Moga kita sama-sama menuju ke arah yang lebih baik.

Sunday, 15 April 2012

Bakal Mrs. Romeo..

Dalam entri lepas, aku kehilangan sedikit kawalan dari segi tutur bahasa aku. Aku takkan tarik balik, kerana ia adalah kebenaran. Pada sesiapa yang nampak apa yang aku kata, tahniah. Pada yang salah faham, nak berfikir secara negatif, terpulang. Ok, cukup takat itu. Aku di dalam perasaan yang penuh bunga-bungaan kali ini.

Aku dianugerahkan dengan kesempurnaan dari segi fizikal. Maksud aku tak ada cacat di mana-mana yang zahir. Kekurangan dah pasti ada, tapi cukuplah untuk diklasifikasikan sebagai manusia normal. Memang aku minat dia. Dari pertama kali aku mula bersembang dengan dia, sampailah sekarang, rasa seronok senantiasa. Ish. Kalau dikenang-kenang, rasa nak sarung balik baju sekolah. Boleh tengok dia muda dan cantik sentiasa.

Hari ini aku hantar mesej pada dia. Penuh dengan gelak ketawa. Aku nak panggil dia adik, walaupun pemikirannya dah matang. Biasalah, takkan tak boleh nak manja-manja. Tahap jiwang aku taklah sampai nak bermama-papa macam budak sekarang. Itulah rasa seronok duduk jauh-jauh. Kepercayaan penting. Tiada yang palsu-palsu. Ada ditanyakan pada aku, adakah aku serius atau bergurau? Jawapannya tak payah aku ceritakan di sini. Tengok oranglah, kalau dah nama jantan Melayu sejati, memang segalanya tiada halangan. Asal sahaja dunia ini ada aku dan dia. Hahah. Dah-dah, banyak aku mengarut. Taip entri ini pun aku senyum-senyum lagi. Boleh bayangkan betapa gembiranya aku? Hari sebelum-sebelum ini bukanlah tak gembira langsung. Cuma hari ini aku rasakan tiap butir patah perkataannya, lebih bermakna dari sajak-sajak A. Samad Said.

Pendek kata, tak kiralah nak renang lautan api, nak redah kampung gorila, masuk kandang harimau, melompat-lompat dalam kilang bom atom, tak kiralah apapun, memang aku tak kisah. Aku sanggup ke mana sahaja asalkan dengan dia. Hahahaha... 

Kejap lagi nak ucap selamat malam pada dia. Dah tentu penat dia menghadap buku, berusaha mati-matian nak kejar impian. Jadi takat ini sahaja dulu. Aku ucapkan selamat pada semua. 73. Cario.

Thursday, 5 April 2012

Gambar dan Kenangan..

Tarikh:    5 April 2012
Masa:     Jam 1900
Tempat:  Rumah 

Secara tiba-tiba aku dapat beberapa gambar di dalam peti surat elektronik aku di Yahoo!. Gambar dari siapa lagi kalau bukan si dia. Katanya boleh tengok bila aku rindukan dia. Ceh! Patutnya kalau rindu, belai-belailah sikit, datang duduk rapat-rapat. Inilah masalah kaum wanita. Mereka sentiasa mengatakan bahawa lelaki ini banyak ragam, perangai dan sebagainya. Walhal, mereka yang tak cukup lagi curahkan kasih sayang. Ok, sambung balik. Teremosi seketika. Jadi, aku pun bagi juga gambar-gambar aku. Ada gambar lama-lama, jadi aku beri pada dia menerusi surat elektronik.

Arakian, aku pun pergilah ke kabinet di ruang tamu aku. Album aku yang dah tak dikemaskini sejak tingkatan 5, aku ambil dan aku belek-belek. Dah lama sangat aku tak buka album usang yang dah terperuk sejak sekian lama. Syahadan, bila aku belek dan tengok satu persatu gambar-gambar yang ada, kenangan, memori, ingatan dan sebagainya mula menerjah masuk satu-satu ke kepala. Dari zaman kecil hingga aku meningkat dewasa. Ya, rupa aku yang dahulu. Kata orang, 'A picture tells you thousands of stories'. Rasa aku taklah sampai beribu pun.
Aku dah tak ingat banyak nama. Yang peluk aku, namanya Zulhairi, pegang mesin rambut namanya Razik, pakai baju melayu biru namanya Saiful dan yang lain, aku mohon maaf dari kalian kerana aku lupa nama. Harap dapat jumpa lagi.


Ada gambar yang elok, ada gambar yang dah mula kabur. Mana tidak, zaman 90-an dulu kamera pun mahal. Pakai filem lagi, tak macam sekarang pakai memory card. Tapi ada satu benda yang menarik. Gambar dulu-dulu, kita cuci di kedai dan kita simpan dalam album. Sekarang, kita cuma tangkap dan letak dalam komputer atau telefon. Cara sekarang ini seolahnya tak menghargai gambar yang ada. Kalau kena komputer rosak, habis semua kenangan yang ada. Entahlah. Apapun, aku rasa seronok. Kehidupan lampau yang bangkit secara tiba-tiba. Kawan-kawan yang masih ada, aku harapkan kalian semua berbahagia dan sentiasa berjaya, bagi yang telah meninggalkan aku di dunia ini terlebih awal, aku harapkan kalian sentiasa berada dalam keadaan yang bahagia dan sentosa di bawah rahmatNya.

Zaman aku sekolah rendah. Darjah berapa entah.
Mungkin kalian yang baca entri ini ada mengenali sesiapa dalam gambar-gambar dalam entri ini. Kebanyakannya dah terputus hubungan dengan aku. Semuanya baik-baik belaka. Aku rindu zaman asrama aku. Aku rindu zaman sekolah aku. 

Cuma satu sahaja...

Kalaulah aku betul-betul diberi peluang balik ke zaman lampau, aku akan jadi pelajar yang baik. Aku akan cuba jadi pelajar contoh. Aku nak belajar rajin-rajin. Kalau di zaman SMKA, aku nak jadi imam dan pelajar paling baik serta alim. Kira berserban senantiasa tanpa kira masa. Kalau di sekolah teknik, aku nak jadi budak PKA yang paling rajin dan berwibawa. Tahap bawa papan LK ke sana dan ke mari. Dan yang paling utama, aku nak ngorat awek banyak-banyak.. Hahahahah....

P/S: Gelak kuat-kuat sangat ada yang sembur aku nanti. Bab awek-awek ada yang sensitif woo.. Siap kata aku gay. Hahahahahah...