Thursday 21 February 2013

Luahan Perasaan yang Bercampur-campur..



Susah aku nak muncul dalam blog sekarang. Begitulah keadaannya. Tak ada banyak cerita juga menjadi salah satu faktor.

Hari ini kapal akan masuk ke pelabuhan setelah beberapa hari menunggu. Cuaca tak menentu. Tempat yang dituju, Nederland, USA (negara pusat segala kufur dan fasad) . Entah apa yang seronok di sana, aku tak tahu. Tempat aku bertolak, Cayo Arcas, Mexico. Dan aku berada di tengah laut rasanya waktu entri ini diterbitkan. Tiada benda-benda 'menarik' yang aku lihat di Mexico. Walaupun kawan aku kata orang sana cantik-cantik.

Masakan tidak, sekarang ini masa dah berubah. Sejak peristiwa sebelum Ramadhan lepas. Mak aku dah pesan dengan sebenar-benar pesan. Jangan tinggal solat. Jangan buat maksiat. Jangan bergaduh dengan orang. Jangan sakitkan hati orang. Jangan makan atau minum benda yang haram. Jangan mengorat anak gadis orang. Jangan dan bermacam jenis jangan lagi. Sebagai seorang anak dan makhluk Tuhan yang sudah menanamkan keazaman dan disiplin yang tinggi, aku berubah. Abang RL takkan kenyit mata pada anak dara orang lagi. Melainkan waktu lepas akad nikah nanti. Bukan lagi kenyit, nak gigit pun boleh.

Habis bab gadis-gadis. Kita beralih sedikit ke dunia politik. Dengar cerita Encik Bijan dan Kak Mah kita kena pakat boikot dek rakyat Pulau Pinang waktu sambutan Tahun Baru Cina. Siap ada boikot dari PSY. Entah betul ke tidak, aku pun tak tahu. Kalau ada di antara kalian yang mempunyai sedikit maklumat, sila kongsi dengan aku. Maklumlah, kadang-kadang cerita sejengkal jadi panjang sedepa. Tapi yang menjadi kehairanan, mengapa ada PSY? Dah tak ada orang lain? Rasanya boleh jemput yang lain. Dah menjadi macam satu kemestian untuk menjemput artis dalam apa-apa acara pun. Duit habis banyak, walaupun dalam kata bahawasanya negara kena berjimat. Bayar artis ada duit, tapi untuk bagi pendidikan, tiba-tiba tiada duit. Payah nak cakap.

Walhal, golongan artis ini tidaklah sebagus mana pun. Tak bawa banyak faedah pun. Nak kata manusia bersatu kerana muzik, tak juga. Nak kata muzik atau lakonan mereka membawa manusia kepada keamanan, memang sah bukan. Yang pasti, golongan artis banyak mendorong kita supaya berlumba-lumba ke neraka. Aku sendiri dah pernah tergelincir jauh, dan aku tahu bagaimana teruk dan jijiknya apabila kita jauh dari Tuhan. Jadi eloklah kalau kita mula tolak artis dari acara-acara rasmi atau keagamaan atau apa-apa acara sekalipun. Biarlah mereka sekadar menghiburkan. Tak melebih-lebih macam sekarang.

Sekarang ini, dalam waktu kapal sedang melabuhkan sauh, aku banyak memancing. Sekadar hobi di masa yang tak berapa lapang. Menghilangkan tekanan yang memuncak akibat ketua pegawai dek atau malim pertama yang memang sangat menjengkelkan. Tak ada pakai batang jorang pun. Tali, mata kail, ladung. Itu sahaja yang aku ada. Tapi 4th Engineer aku ada batang joran siap dengan alat-alat dia yang memang lengkap. Dia memang pakar bab memancing laut atas kapal. Semalam aku dapat ikan dua ekor sekaligus, tapi entah jenis apa. Nak kata ikan keli, memang sah bukan sebab tengah laut. Saiz besar dari keli, tapi kulitnya cerah. Seekor aku lepas balik ke laut, seekor lagi aku potong-potong buat umpan semula. Aku harap dapat ikan yang lagi besar. Boleh buat masak masam manis macam tempoh hari. Dan kalaulah peristiwa sebelum Ramadhan lepas tak berlaku, dah tentu-tentu aku minta dia tolong beritahu apa masakan yang sedap untuk ikan-ikan ini. Tadi pun makan ikan merah masak stim. Eh. Eh.. Kapal dah bergoyang. Aku rasa ada ikan yang makan umpan aku. Abang RL nak kena tengok. Pergi dulu....



Selit-selit: Kapal ini aku rasakan hampir sama sahaja macam penjara. Itu sahaja.


4 comments:

JR said...

"Are u ready for Psy?"
"Yessssss..."

Are u ready for BN?"
"Nooooooooo..."

Alamak, malunya aku..macam nak letak muka dlm poket seluar...

Unknown said...

hoho..best nye merantau banyak tempat...

Unknown said...

JAUH BERJALAN.. JGN LUPE AKU TAW :p

Unknown said...

semoga RL sentiasa sihat2 :) cepat2 naik darat ok :) byk benda nak story