Sunday, 21 October 2012

Tidak Bersyukurkah? Persoalannya?

Pada entri lepas, aku taip tentang perempuan zaman sekarang. Ramai juga yang aku kesan membaca dengan emosi tak menentu dan tak tentu hala. Bukanlah aku melabel semuanya begitu. Adapun terdapat klausa di entri tersebut dengan menyatakan aku tak nafikan ada yang baik. Bermaksud, tidaklah semuanya begitu. Buat orang yang sentap dan sebagainya, harus diingat, bila kita ada makan cili api, memang kebiasaannya rasa pedas. Hahah. Begitulah adanya.

Ini aku nak menaip pula tentang beberapa orang manusia, yang sesedap bahasa mengatakan aku tidak bersyukur dengan kehidupan yang rakyat Malaysia ada sekarang, apabila mereka melihat aku menyokong kepimpinan yang menjunjung terbinanya kerajaan yang berlandaskan Islam. Bukanlah aku marah. Cuma geram sikit.

Persoalannya di sini, adakah aku tidak bersyukur? Itu bukan persoalan pada pandangan aku sebenarnya. Persandaran begitu, bagi aku tidaklah adil. Maka, persoalan yang sebetulnya ialah, patut atau tidak kita menegur pemimpin yang dah buat silap? Kalau dalam solat, imam tersilap, kita tegur dia. Jadi, kalau dalam hal kepimpinan sesuatu negara, patut atau tidak kita tegur? Tapi macam komen dari blogger JR, silap haribulan, 'bercuti' jawabnya di utara Perak. Tak ke haru namanya?

Sebagai contoh, Nabi Musa dipelihara oleh Firaun. Firaun ini tak payah aku nak terangkan pun kalian tahu siapa dia. Maka berkata Firaun pada Musa, aku angkat kau dari hanyut sungai wahai Musa, adakah kau nak melawan aku?. Tak pening jadinya? Tapi, bukan masalah lawan tak lawan. Tetapi perbuatan Firaun itu salah. Salah tetap salah. Maka nak dibetulkan kesalahan Firaun itu. Takkan nak biarkan hancur terus. Takkan nak kata Musa itu tak bersyukur pula? Kalau difikirkan logik, sama seperti yang ada hari ini; kalau Musa itu tak diambil oleh Firaun, maka sah dia hanyut dan mungkin mati. Di Malaysia, kalau tidak kerana puak itu, kononnya tidak membangun dan makmur Malaysia ini. Yang aku sokong itu, adalah untuk membetulkan keadaan. Bukan nak lawan kerajaan. Tetapi membetulkan.

Namun, ada pula yang mengatakan bahawa kepimpinan yang aku sokong itu tak reti buat apa, cuma tahu angkat bercakap sahaja. Memanglah tak reti buat semua benda. Dah kalau nak buat jalanraya, panggil JKR. Dah kalau nak salurkan elektrik, TNB lah yang akan diarahkan. Tak ada sejarah lagi mana-mana pun wakil rakyat dalam Malaysia ini, bawa backhoe, korek sendiri projek buat longkang. Semua berdasarkan percakapan dia. Dia arahkan. Itu sebab, bila dikatakan benak akal, marah. Tapi itu hakikat.

Fikir-fikirkanlah.

Aku ingatkan nak buat entri pasal kiraan solat guna kaedah yang falak Malaysia praktikkan. Tapi kegeraman di hati aku tak tertahan. Begitulah sedikit sebanyak.




Selit-selit: Aku melihat masa depan. Bukan masa silam. Masa silam itu bukanlah sekadar kenangan tetapi sebagai garis sempadan untuk tidak lagi melampaui batas. *NADY

Selit-selit: Ada yang 'pandai' berkata, "Jangan mempergunakan Quran itu sebagai modal". Eh, dah kalau bukan Quran, nak guna kitab mana pula? Kitab tajul muluk?

Thursday, 18 October 2012

Perempuan Kini dan Senarionya..

Maaflah aku tak dapat nak kemaskini blog setiap hari. Elok pula di musim-musim aku nak kena mempercepatkan proses persiapan untuk menghilang. Rasa macam Malaysia ini kecil atas peta dunia, tapi bila nak melangkah ke sana ke mari, rasa macam luas juga. Nak dijadikan cerita, sedang aku tengah nak membancuh air dalam mug tadi, berderinglah telefon bimbit. Panggilan dari seorang kawan. Sama kaum dengan aku, yakni satu jantina yang cukup terkenal dengan rajin, sopan, lemah lembut, sebaik-baik ciptaan dan berbagai-bagai lagi sifat-sifat mulia dan murni. Maka, disebabkan aku dapat internet yang baik kelajuannya, seperti lajunya otak kaum aku berfikir, maka aku nak kongsikan cerita ini.

Ini adalah perbualan pertengahan di antara aku dan dia sebentar tadi. Bab mengadu masalahnya yang boleh aku katakan merunsingkan. Yang permulaan tak ada kaitan dengan apa yang aku nak cerita dalam entri ini. Nama yang diletak di sini hanya AZ untuk menyembunyikan identiti.

AZ: Aku pening betul kepala aku ni. Opah aku dah nak datang dah dari Shah Alam. Aku balik tadi, tengok rumah apa pun tak berkemas lagi. Satu apa benda pun tak bergerak. Opah aku memang bising jawabnya kalau dia nampak macam ini punya rumah.
Aku: Bukan kamu ada adik perempuan? Takkan tak menolong langsung?
AZ: Allahu Akbar! Budak perempuan zaman sekarang bukan boleh pakai. Satu apa benda pun tak boleh harap.
Aku: Dah tu, cuba kamu suruh dulu. Mana lalu kamu nak mengemas sesorang. Jenuh kerjanya.
AZ: Tak payahlah. Perempuan sekarang apa pun tak boleh buat. Boleh aku kata rata-rata rupa itu juga.
Aku: Susah nak cakap. Dah tu nak tak nak, kemas. Aku nak menolong pun jauh. Sabar. Apa-apa telefon aku.
AZ: Nanti kamu dah ada dalam kawasan Kuala, kamu telefon aku. Rasa nak teriak aku dari subuh tak henti-henti kerja. 
Aku: Sabarlah. Cuba yang terbaik.
*Setakat ini sahaja. Seterusnya perbualan kosong yang singkat.
*Perbualan ini berlangsung dengan loghat Kuala Kangsar.


Apa yang menarik di dalam perbualan itu? Bab perempuan. Lama dah jari-jemari aku tak menaip bab kaum yang nan satu ini. Satu jenis bangsa yang seringkali menyebabkan kaum aku runsing, pening kepala, mencetuskan perang dan sebagainya. Yang bagus di kalangan mereka aku tak nafikan. Memang ada. Sampai tahap lalu depan suami pun beria tunduk hulur tangan sampai menyeret tanah. Itu sekadar kes terpencil. Kalau zaman dahulu, di mana zaman Alexander Graham Bell masih kanak-kanak, aku boleh percaya yang orang perempuanlah yang rajin dan pandai mengemas rumah, uruskan itu ini dalam rumah. Kira jadi pengurus untuk suami yang bergelar tauke. Zaman Najib Razak? Perempuan dah pandai melawan. Ditegur sikit, dia terus jumpa peguam. Dinasihat sikit, katanya kita tak kuno, kolot, dan berbagai-bagai lagi istilah yang menunjukkan kita seolah-olah datang dari zaman batu.

Benarkah perempuan tak boleh pakai? Entah. Nak cakap lebih-lebih, tak berani pula kerana aku belum kahwin. Tetapi kalau diukur dari pengalaman aku melihat mereka dan tatacara hidup mereka, aku boleh katakan majoritinya ibarat minyak wangi. Kenapa minyak wangi? Kerana ia hanya harum dicium tetapi tak boleh diminum. Banyak sangat kes-kes lelaki jatuh lingkup dan tersadai kerana bangsa yang banyak lekuk-lekak ini. Ada pula contoh kes, kadang-kadang dah jumpa yang elok, bersembang memang tahap rasa tak nak tidur dah buat selamanya bila dengar suara, tapi alih-alih, ada orang yang punya. Itu pun haru juga.

Ada pula kes, bukan main elok bercakap apa semua, ketika kita tengah cuti, boleh layan bersembang. Bila sampai waktu kita disibukkan dengan waktu bekerja, katanya kita dah berubah. Jenis ini pun susah nak dilentur juga.

Waima apa pun, hanya mereka jugalah yang boleh menenteramkan hati bila kita resah, walaupun kebanyakan kali, merekalah yang menjadi punca resah. Aku harapkan esok-esok pendidikan Malaysia ada sesi mengajar perempuan untuk menjadi perempuan. Bukan hanya perempuan atas dasar fizikal dan atas jantina yang tertera di kad pengenalan.



Selit-selit: Lelaki dan perempuan itu sama sahaja di hadapan Tuhan, tetapi tidak serupa. Agak kalau teringin nak memperjuangkan hak persamaan gender, jadilah perempuan yang betul-betul perempuan dahulu. Kemudian nak jadi lelaki, penkid, tomboy, ikut sukalah.

Selit-selit: Dulu rajin aku buat gambar dengan quote, tapi sekarang ini tak banyak masa.