Showing posts with label Jam. Show all posts
Showing posts with label Jam. Show all posts

Sunday, 14 October 2012

Waktu Solat, Pengiraan dan Perkongsiannya..


Aku kebelakangan ini sibuk betul dengan macam-macam urusan. Ke sana sini hampir hari-hari. Otak dan akal terus bekerja tak henti-henti. Entri baru? Idea mencurah nak menaip, tapi masanya pula tiris sangat. Maaflah. Maka, hari ini aku ke Bandaraya Bunga Kertas, yakni Bandaraya Ipoh, sekali lagi. Menguruskan sedikit hal. Esok pun mungkin ke sana lagi. Macam-macam kerja. Lusa dah nak ke selatan semenanjung lagi. Gila jadinya. Bukan senang nak senang.

Apapun, aku rasa terpanggil untuk berkongsi satu perkara yang dipersoalkan oleh sahabat aku. Waktu solat. Kalau atas darat, senanglah. Ada azan, ada takwim, macam-macam cara boleh guna nak tahu waktu solat. Tapi bagaimana dengan atas kapal?

Di atas kapal, tak ada jabatan agama nak tolong sediakan takwim. Tapi kena kira sendiri. Kaedah bayang-bayang? Kapal itu sentiasa bergerak dan bergoyang, susah. Lagipun kan senang kalau kira? Maka yang aku perturunkan ini adalah cara pengiraan yang majoriti digunakan oleh pelaut terutamanya pelaut Malaysia. Sekali lagi diingatkan, ini adalah cara pengiraan yang digunakan pelaut. Adapun pengiraan yang sebenarnya digunakan oleh jabatan agama dan falak agak rumit. Dan pengiraan yang digunakan pelaut ada sedikit lari dengan jawapan yang diperolehi dari cara pengiraan ahli falak. Pengiraan berdasarkan ahli falak, bersama sandaran pendapat-pendapat ulama falak, entri akan datang baru aku cerita.


Secara ringkasnya, pengiraan ini melibatkan penggunaan Nautical Almanac. Apa itu almanac? Cari sendiri. Jenuh nak terangkan.

Subuh: Adapun letaknya pada masa Astronomical Twilight. Dalam Nautical Almanac cuma ada Civil dan Nautical sahaja, maka kenalah buat interpolation. Tukar semula pada masa tempatan, dan dikira itulah subuh.

Zohor: Adapun ia berlaku ketika gelincir matahari (rasanya kalian ingat ustaz/ustazah dulu ada cakap). Maka, diambil waktu MP (Meridian Passage) yakni dalam bahasa falak sebagai waktu Istiwa atau dalam bahasa mudahnya, waktu matahari berada di posisi paling tegak pada kedudukan kita. Waktu itu ditukar kepada waktu tempatan dan ditambah dengan 5 minit.

Maghrib: Ini paling senang. Cari waktu matahari terbenam dalam Almanac, kemudian tukar balik pada waktu tempatan. Ada juga yang cari Twilight untuk sunset, tapi kebanyakannya mencari sunset.

Asar: Paling mudah dan paling 'koboi'. Waktu Zohor campur waktu Maghrib, dibahagi dua dan ditambah 20 minit.

Isyak: Ini sebenarnya ada macam-macam pendapat. Yang aku guna, membahagikan waktu malam kepada 8 bahagian, kemudian dikira Isyak itu selepas habisnya 1/8 malam. Begitulah adanya.

Agak kalau ada yang betul-betul berminat nak tahu betul-betul cara kiranya, hubungi aku.

Walaubagaimanapun, setelah dibuat pengiraan semula dan dibandingkan dengan pengiraan sebenar oleh ulama falak, memang ada perbezaan. Pelaut kebiasaannya akan tunggu lambat sedikit dari masa pengiraan supaya tak solat sebelum masuk waktu. Aku sendiri baru belajar cara yang betul dari ustaz yang mengajar ilmu falak dan belum aku aplikasikan lagi. Nanti aku cerita.

Satu lagi, mungkin ada yang akan kata, "macam manalah nak jadi pelaut. Solat pun kira tak tahu." Bagi aku, memang kami tak berapa pandai, tapi paling tidak, kami tak mencipta alasan untuk tinggal solat. Sekalipun kami sibuk dan separuh gila sebab kerja, tanggungjawab sebagai makhluk tuhan tetap dijalankan. Jangan jadi macam orang yang ada di darat. Ada azan, ada takwim, tapi tetap tak solat.





Selit-selit: Aku separuh bingung dengan filem-filem di Malaysia. Aku tengok pagi tadi satu cerita di siaran Oasis. Cerita tentang ustaz bunuh orang apa bagai. Pelik aku, dalam filem Malaysia, kebanyakannya, asal ustaz, pakai kopiah, serban, dilabel sebagai jahat, gila, sasau, tak boleh percaya dan sebagainya. Apa yang pakai pakaian tak cukup kain, dedah sesuka hati itu baik sangatkah? Dah tak ada akal?

Selit-selit: Politik sikit. Untuk solat, kita pilih imam yang betul-betul layak dan alim untuk jadi imam kita untuk solat lima minit. Tapi, kita tak pilih yang alim dan betul-betul elok untuk jadi imam (pemimpin) negara yang akan memerintah selama 5 tahun. Tak pelik?


Friday, 28 September 2012

Arah dan Jam. Pencariannya.


Entri lepas, aku kongsikan bagaimana caranya guna tachymeter. Boleh tengok guna link ini kalau nak tengok. Tacymeter. Akan tetapi, tak semua jam tangan analog ada tachymeter. Jam digital? Belilah mahal macam mana sekalipun, fungsinya terlalu terhad, melainkan yang dah tambah macam-macam butang dan segala benda, sampai nak pakai pun tak tergamak.

Kali ini aku kongsikan pula cara nak mencari arah Utara sebenar (True North) menggunakan jam. Sebelum itu, aku haruslah memberitahu pada kalian, bahawasanya, kompas magnet yang kalian ada itu, menunjukkan Utara Magnet. Bukan Utara yang sebenar. Perbezaannya berubah-ubah mengikut tempat. Malah ia kadang-kadang mempunyai beza yang banyak pada sesetengah tempat. Ditambah pula dengan keadaan magnet sekeliling (alat-alat logam, kereta, dan lain-lain). Cara yang paling mudah untuk cari Utara sebenar (True North), guna kompas gyro (gyro compass).

Utara selepas ini merujuk kepada Utara sebenar (True North).

Malas aku nak cerita prinsip asas kaedah ini. Rasa was-was, boleh cuba bila ada matahari.

Maka, dengan jam analog juga kita boleh mencari arah utara. Caranya mudah. Untuk Malaysia, yang terletak di Hemisfera Utara, letak jam pada permukaan rata, kemudian halakan jarum pendek (jarum jam) ke arah matahari. Kemudian, pembahagian antara jarum pendek dan pukul 12 adalah garisan utara-selatan. Sila lihat gambar yang aku lukis walaupun tak berapa nak lawa.





Jika anda di Hemisfera Selatan, jam 12 itu yang dihalakan ke arah matahari dan garisan Utara-Selatan itu berada di antara jarum pendek dan jam 12. Arahnya berlawanan. Boleh bayangkan garisan itu? Senang sahaja. Tetapi hendaklah jam anda waktunya tepat.

Begitulah adanya. Tak susah mana. Jam ada banyak kegunaan. Mana nak tahu kalau sesak sangat nak mencari arah. Memang orang kata boleh tengok bayang matahari apa semua, cuma memakan masa.

Nanti bila-bila aku ada tergerak nak cerita guna cara ini pada waktu malam (kena cari kedudukan matahari waktu malam guna bulan), aku cerita. Sebab jenuh nak terangkan guna Bahasa Melayu. Itu sebab aku sokong PPSMI di sekolah.




Selit-selit: Cari arah utara, selatan, timur, barat, semuanya senang. Tapi benda yang susah nak dicari, walau hebat macam mana pun ilmu navigasi ialah mencari orang yang boleh kita sandarkan diri untuk dunia dan akhirat.


Tuesday, 25 September 2012

Tachymeter pada Jam dan Penggunaannya..

Aku kebelakangan ini agak tak menaip hari-hari. Banyak benda yang aku kena laksanakan dan kerjakan. Tapi ada juga masa yang aku curi-curi untuk lawat blog-blog yang aku rasakan banyak berkongsi pendapat dan cerita. Tak semua blog aku pergi. Aku tengok juga pada jenis isu atau perkara yang dikongsi.

Kali ini aku nak kongsi sedikit ilmu yang aku dapati ramai di antara kita tak tahu. Tachymeter. Boleh kita lihat pada sesetengah jam tangan analog (jam yang pakai jarum). Aku tak berapa minat jam digital sebab fungsinya terlalu terhad. Ramai yang aku tengok pakai jam ada tachymeter tapi tak tahu cara guna. Jadi, fungsi tachymeter ini ialah untuk pengukuran kelajuan dan lain-lain. Cara penggunaannya senang walaupun kelihatan seperti rumit. 

Jadi mari kita mulakan dengan asasnya dahulu. Tapi, tolong baca sampai habis. Formula memang nampak rumit, tapi aku kena beritahu juga.

Lihat skala luar, bukan dalam
Pertama, ia adalah jenis skala yang ada di sekeliling jam tangan. analog. Boleh tengok gambar ilustrasi yang aku sertakan sekali. Jadi formula asasnya ialah formula yang kita belajar di sekolah dulu. Jarak = Masa darab kelajuan. Maka, dalam penggunaan tachymeter, kita nak mendapatkan kelajuan. Jadi, kita pusing formula itu menjadi Kelajuan = Jarak bahagi masa. Rasa macam susah? Tak payah susah. Ini memang perlu aku ceritakan. Sekadar formula. Tak payah buat pengiraan pun bila dah tahu guna tachymeter.

Kedua, kalau dilihat atas skala tachymeter, jam 12 menunjukkan 60, jam 3 menunjukkan 240, jam 6 menunjukkan 120, dan jam 9 menunjukkan angka 80. Angka-angka lain juga ada. Tengok sendiri. Cara penggunaannya? Senang. Kalau tak faham juga, aku ada sediakan video.

Andaikan anda sedang memandu untuk jarak 1 kilometer. Kemudian, anda lihat berapa saat yang anda ambil untuk jarak 1 kilometer itu. Sebagai contoh, anda mengambil masa 30 saat untuk 1 kilometer, jadi, kelajuan anda ialah 120km/j. Atas tachymeter, jam 6 (30 saat) menunjukkan angka 120. Maka itulah kelajuan anda. Tapi perlu diingat, bahawasanya ia hanya menunjukkan kelajuan purata.


Maka, sekarang kalian dah tahu cara penggunaan tachymeter. Tidaklah anda kelihatan bodoh menggunakan jam yang ada skala tachymeter tapi tak tahu menggunakannya. Tachymeter ini juga boleh mengira kuantiti masa yang diperlukan untuk mengisi minyak dan lain-lain. Macam aku, banyak kegunaannya dalam membantu kerja. Cuma kita perlu pandai menggunakan formula yang ada. Jam tangan banyak kegunaannya, terutama jam analog. Antara lain ialah mencari arah tanpa guna kompas. Nanti aku cerita lagi.





Selit-selit: Video aku berkualiti rendah, jadi kena rujuk pada jam anda sendiri, atau boleh cari gambar di internet.

Selit-selit: Ada satu lagi jam yang aku simpan. Dah lama mati. Tapi dia pernah jaga aku dalam tempoh masa yang agak lama. Kemudian ada orang tolong simpankan, dan akhirnya ada kembali di tangan aku. Aku akan baiki balik jam itu selepas aku dapat baiki balik kerosakan hidup aku, dan aku akan kembalikan pada dia.