Friday, 6 July 2012

Wicca, Simbolnya dan Muslim?

Aku sedikit terkejut, apabila Encik Pakcik Seekers yang konon boleh cari hantu itu didapati positif dadah. Rasa nak ketawa pun ada bila dia cuba senyum-senyum dalam pakaian lokap polis. Dari satu hal, ke satu hal. Dulu kena bidas sampai terdiam dengan Dr. Fadzilah Kamsah dalam rancangan realiti, kemudian nak saman orang, sekarang dah ke lokap. Susah nak cerita. Itu sebab aku selalu tekankan, kita ini perlu tahu hukum agama walaupun tak dalam. Membuka aib orang, walaupun benda itu betul, adalah sesuatu yang tak patut dilakukan. Akan dibuka semula aibnya oleh Tuhan. Ok, cukup setakat itu. Aku bukan peminat dia pun. Dan dia ini bukan topik yang aku nak kongsi.



Adapun, topik yang aku nak kongsi ini ialah berkenaan dengan Wicca yang senang kita fahamkan sebagai satu agama yang polytheistic atau yang seumpama dengannya, menggunakan sihir untuk kehidupan seharian.  Cuma rupanya tidaklah macam bomoh Melayu. Reti jugalah mereka berfesyen. Nak cerita panjang lebar mengenai istilah ini, aku rasa kalian handal mencari maklumat. Mengapa aku nak kongsi benda nan satu ini? Kerana aku rasa terkejut apabila ditanya oleh rakanku yang berada di luar negara. Ini adalah dialog antara aku dan dia petang tadi.

Nolt: I'm wondering if in Islam, you will accept Wicca?
Aku: Wicca? Don't think so. Why? Never see any in my country yet. Except for some traditional shaman.
Nolt: Hmm.. I saw a symbol. Pentagram, but inside it having your "Bismillah" words.
Aku: Oo.. I've seen them before. Why? Anything wrong?
Nolt: Just to let you know, that pentagram, is one of the symbols for Wiccan.
Aku: I'll ring you back later. Have to check this out.

Itu perbualan aku dengan rakan aku. Maaf guna bahasa Inggeris, nak suruh dia cakap Melayu, perkataan 'makan' dia tahulah. Lagipun tak guna bahasa rojak macam sesetengah kita. Ok, balik pada topik. Aku tengok simbol yang dikatakan itu. Ya, salah satu simbol yang digunakan oleh Wicca. Apa itu Wicca?



Aku rasa kebanyakan kalian pernah tengok cerita Harry Potter. Wicca ini lebih kurang begitulah. Satu jenis agama baru yang menggunakan sihir dan magik untuk kehidupan. Yang tidak bertuhankan Allah secara pastinya. Nak kata macam Black Metal, tak juga sebab mereka ini tak ada musik keras. Aku tahu benda Wicca ini ketika belayar juga. Maklumat lebih lanjut, boleh cari sendiri. Dan agama ini aku rasa belum sampai di Malaysia secara meluas, tapi bila aku tengok simbol bintang bucu lima yang ada basmalah, rasa terkejut juga. Dengan aku sekali terlepas pandang. 

Maka, aku nasihatkan, beringat-ingat dengan apa yang kita ada di sekeliling. Kena dengan remaja macam aku, kadang-kadang main ikut sedap beli pelekat, tampal dekat motosikal, kereta, bilik, mana-manalah. Bukanlah benda ini boleh terus merosakkan akidah. Cuma, macam kita tak muliakan basmalah itu dengan sebaiknya. Lebih kurang macam kita ukir basmalah atas palang salib. Apa rasa?

Begitu sedikit sebanyak. Silalah ingat-ingatkan dan kongsikan dengan kawan-kawan, saudara-saudara, agar jauhkan benda-benda pelik-pelik macam ini. Payah nak cerita nanti.


Selit-selit: Macam aku cakap, bila hidup tak tahu hukum agama, tak ada pengetahuan, malas, macam-macam benda pelik-pelik boleh jadi.

Selit-selit: Kalau rasa tak selesa dengan entri aku, boleh cakap terang-terang. Senang cerita.

Sejarah, Encik Hitler dan Kisahnya?

Cukup pada bab politik, entri kutuk kerajaan, terus banyak hit, tapi tak berani komen dari orang yang sokong kerajaan. Ramai yang dari pihak penyokong kerajaan yang mengintai. Tapi tak berani nak komen sebab agaknya tak ada idea nak bidas. Lantaklah. Itu hak aku nak sokong siapa. Buat benda merepek dah bertahun-tahun, lagi nak tanya banyak.




Maka, tadi aku pandu kereta, beli nasi (sebab tinggal aku dan mak aku sahaja, malas nak masak, kena pula tak berapa sihat), sambil dengar lagu Ella, Layar Impian. Rasa macam layan bila aku dengar lagu yang nan satu itu. Maksud bagus, siap kena lagi dengan situasi sekarang. Siapa yang faham, fahamlah. Ok, cukup takat itu. ^_^

Pada dalam bawa kereta tadi, terfikir juga aku, apa yang nak ditaip dalam blog, langsung terlintas dalam kepala aku tentang Hitler. Siapa yang tak pernah dengar nama Adolf Hitler? Pemimpin Nazi Jerman yang dikhabarkan cukup kejam, membunuh dan segala macam jenis jenayah yang ada atas muka bumi ini. Jadi ini yang aku nak kongsikan bersama. Tapi tak payahlah nak banding dengan budak-budak konon Nazi Punk apa semua, itu sampah masyarakat kebanyakannya.

Seluruh dunia dicanangkan dengan kekejaman Jerman waktu perang, lebih-lebih lagi Encik Hitler yang bermisai kontot. Tapi, pernah atau tidak kita cuba lihat betul-betul sejarahnya. Kita cuma dengar dari sebelah pihak, termasuklah aku. Maklumat tentang dia pun aku tak banyak, sebab buku tentang dia punyalah banyak cerita dia ini kejam. Namun, aku dapat seludup satu buku tentang dia, dan bagaimana pemerintahannya. Tajuk buku, aku rasa tak elok diberitahu di sini. Kalau nak tahu, aku boleh hantar ikut e-mail. Buku ini aku dapat waktu belayar kapal pertama dulu. Masih ada dalam rak buku di rumah aku.

Kalau buka internet, ada juga maklumat tentang dia, tapi aku tak berapa minat ambil maklumat dari internet sebab kebanyakannya tak boleh pakai dan ada di antaranya yang dah bercampur-campur sebab ramai orang main 'copy-paste'. Jadi, mula-mula sekali, kita lihat siapa Adolf Hitler atau juga dikenali sebagai Encik Hitler. 

Mula-mula sekali, kita diberitahu oleh dunia bahawa Hitler itu diktator yang amatlah kejam. Pernah atau tidak kita terfikir kebenarannya? Yang beritahu maklumat ini hanyalah orang Yahudi, yang mana sah-sah musuh Nazi nombor satu. Suka untuk aku beritahu bahawa Encik Hitler ini adalah orang yang selalu mengambil pendapat dari ulama Islam. Mengapa ulama? Tak pelik? Dan kenapa ulama boleh cantik punya masuk dengan kepala Hitler? Nak kata ulama itu membodek Encik Hitler? Ulama rata-ratanya bukan begitu. Takkan semua ulama dalam Jerman ini jenis jual agama, kan? Kalau kita lihat pula sekarang, pemimpin yang zalim, ulama memang tak nak dekat punya. Siap lawan terang-terang. Muzakarah politik untuk agama dalam Malaysia pun tak berjaya. Jadi, kenapa ulama boleh 'ngam' dengan Hitler?

Itu satu benda. Kita lihat dari segi sejarah keagamaannya. Tak dapat dipastikan secara jelas. Dalam buku yang aku ada, ada di antara ucapan dan penulisannya menyebut "Tuhan alam semesta" dan lain-lain seperti mana yang selalu kita dengar dalam Quran dan kitab-kitab. Tapi tidaklah aku hendak kata dia itu muslim. Dia agungkan agama Islam itu, sebagai satu agama yang relevan, sehingga dibentuk satu divisyen tentera Islam Jerman. Mengapa divisyen agama lain tak dibentuk. Itu salah satu hal yang patut kita fikir-fikirkan.

Tambah lagi, baru-baru ini aku tonton cerita My Way yang boleh kata baru keluar. Cerita yang difilemkan semula atas kisah benar yang berlaku pada zaman perang dunia. Kalau kita tonton cerita ini, kita boleh lihat, hero dalam filem ini diserap dari satu pasukan tentera Jepun, sehinggalah mereka diserap ke Soviet Union sebagai tentera paksa, sehinggalah berakhir sebagai tentera Jerman. Pada waktu mereka dalam pasukan tentera Jepun, hidup sangat-sangat susah dan perit, begitu juga dengan ketika mereka diserap masuk ke Soviet Union. Hidup sangat-sangat tertekan dan dilayan lebih teruk dari binatang. Dikerah siang malam tanpa kira rehat. Tapi bagaimana dengan hidup mereka ketika diserap jadi tentera Jerman? Diberi makan pakai yang cukup, malah tempat tidur yang selesa. Diberi kerja, tetapi ada waktu rehat sama seperti tentera Jerman yang lain. Malah, tidak pula diseksa macam ketika mereka dalam Jepun dan Soviet Union. Siap ada masa untuk beriadah. Cuma bila dipaksa perang itu, adatlah sebagai tentera paksa. Tapi taklah kejam, sebab mereka dijanjikan dengan kerakyatan sepenuhnya seperti Jerman yang lain selepas perang.

Jadi, betulkah Encik Hitler yang kita kenal itu kejam tak bertempat? Kalau setakat bunuh orang dalam perang, Khalid Al-Walid pun kita nak label sebagai orang yang kejam? Atau adakah kerana takut dengan Islam, Yahudi bertindak memburuk-burukkan Encik Hitler sampai kita sendiri kata dia ini memang orang yang sangat kejam? Fikir-fikirkan.

Tidaklah aku nak kata aku ini pakar sejarah. Ada banyak lagi tentang Encik Hitler yang kita tak tahu. Ini sekadar apa yang tulis setelah aku fikir dan aku baca bukunya, teliti kisah-kisah benar yang berlaku dan sebagainya. Jadi kalau ada rasa apa yang aku taip ini silap dan salah, beritahu dan kongsikan dengan aku. Moga kita boleh kongsi-kongsi.







Selit-selit: Sejarah ini kadang-kadang tak berapa nak logik. Contohnya konon adanya zaman Paleolitik, segala yang litik-litik lagi. Tapi tak terfikirkah kita, Nabi Nuh dah pandai buat kapal? Nak buat kapal bukan benda senang. Siap buat tengah padang lagi. Siapa jadi naval arkitek? Kalau Allah bagi cara ajaib begitu sahaja, mesti ramai yang dah beriman. Maksudnya buat kapal itu satu perkara biasa pada umat ketika itu. Kan? Boleh pula Nuh itu pandai bezakan jantan dan betina bagi tiap-tiap jenis binatang, dah macam veterinar. Pandai pula Nuh nak kira 'ship stability' kapal itu. Kalau zaman sekarang, tahap Chief Officer baru cekap nak kira kestabilan kapal. Betul wujudkah zaman segala litik-litik ini? Atau ada yang tak berapa kena dengan sejarah?

Selit-selit: Rasa segan dengan Kak Na (coklat blog) sebab sebut nama aku tengok cerita perempuan bintang. Segan sangat. Muka aku yang sikit punya penuh sifat kelelakian yang tegas dan keras, sekali tengok cerita macam itu. Hahah.

Thursday, 5 July 2012

Politik, ONMB dan Suasananya?


PERHATIAN: Kepada mana-mana pembaca yang tidak sukakan politik, maka sila beralih ke entri lain atau boleh terus ke blog yang lain. Entri ini dibuat atas dasar kebebasan yang ada pada setiap warganegara Malaysia. Bukan nak buat sebab aku nak beralih angin ke politik, tetapi sebab politik itu sebahagian dari kehidupan.









Aku dah banyak tengok dalam Facebook, blog, dan seaneka macam bentuk laman yang ada, kebanyakannya dari pihak BN, khususnya UMNO yang banyak sangat mengutuk orang yang menyokong Pakatan Rakyat atau PR.

Apa yang aku tengok, mereka banyak menyerang peribadi orang, bukannya kelemahan sistem. Kena pula kebanyakannya lebih banyak mencarut dan bagi kata-kata kesat. Lagi seronok, aku tengok mereka suka buat undi dalam FB. Rasa nak gelak pun ada. Contoh soalan paling menarik yang aku tengok, dari page FB Pemuda UMNO Malaysia, macam-macam tanya, tapi akhirnya PR menang juga. Tanya antara BN dan PR mana yang akan menang, 4-5 jam pertama menang, tapi akhirnya tinggal jauh. Rasa malu pun ada.

Apapun, aku suka nak beritahu, bahawa apa yang PR buat, kebanyakannnya dicakap dan diputar-putar. Kali ini aku nak letak beberapa perkara asas dan remeh untuk kita sama-sama fikir.

-Canang pada rakyat, bahawasanya PAS dan PKR diperalat oleh DAP. Tapi kita semua tahu yang UMNO bergabung dengan MCA dan MIC. Apa dua-dua parti itu Melayu dan Islam pada mata mereka? Baru nak cadang buat hudud di Johor, belum apa kena bidas dengan komponen sendiri. Tak diperalat namanya? Tak perlu tunggu slogan 1 Malaysia, semua kaum rata-ratanya dah memang bersatu.

-Dikatakan dan disembangkan pada rakyat bahawa DAP akan sapu semua kalau PRU nanti PR yang menang. Tapi kita semua tahu kerusi yang DAP pegang tak banyak mana pun. Nak kata memerintah secara total yang macam mana? Ini dalam sukatan tingkatan 3 dah belajar.

-Dikatakan pada kita semua bahawa cukai dalam negara kita adalah di antara terendah. Nak tanya sikit, cukai kereta import yang keseluruhannya dah sekitar 300% itu tak tinggi? Tak mencekik rakyat? Buat kereta nasional, tapi harga dengan kereta luar lebih kurang. Padahal cukai import tak ada. Tak pelik. Angka 300% itu tak tinggi?


-Kebanyakan Pemuda UMNO kutuk ulama, kutuk orang-orang yang berpegang pada Islam. Siap ada yang 'edit' gambar ulama jilat tapak kaki apa semua. Apakah Pemuda ini dah hebat sangat ilmu agama? Kalau minta hurai surah Al-Fatihah belum tentu lepas. Ingat api neraka itu sama panas macam api dapur gas dapur?

-Sendiri dah tengok macam mana PR urus negeri-negeri yang ada. Betul ada kepincangan. Ibaratnya macam ambil kereta terpakai, sah-sah ada benda nak kena dibetulkan. Siapa punya silap yang sampai orang susah nak betulkan? Bukan pemerintahan atau 'owner' yang mula-mula? Kalau tonton tv yang sokong kerajaan tahap kipas-susah-mati, memanglah. Cuba tonton TV Selangor. Baru ada rasa.

-Anda kata "Kami memperjuangkan agama, bangsa dan negara", "Kami mempertahankan kedaulatan Melayu", dan segala macam yang Melayu lagi. Tapi sedar atau tidak UMNO itu sendiri singkatan dari Bahasa Inggeris? Tak pelik? Tak rasa nak tukar jadi Organisasi Nasional Melayu Bersatu? ONMB? Eh, rasa geli tekak pula kan? 

-Balik-balik modal bercakap tentang seks, liwat, khalwat, skandal staf dan macam-macam lagi benda lucah. Tak ada modal lainkah nak bercakap? Tak rasa anak-anak akan baca benda macam itu? Profesionallah sikit. Orang dalam bahagian kesihatan punya video lucah senyap terus. Tak ada pun PR nak bising sangat buat modal bercerita. 

-Rumah mampu milik yang ditawarkan kerajaan negeri Selangor jauh lebih murah dan berpatutan dari Rumah PR1MA. Siap boleh ubahsuai minta berapa bilik nak. Baru betul-betul nak tolong rakyat namanya. Tapi ada keluar di tv biasa? Memang takkan keluar punya.

-Modal alasan bila aku bidas komen di FB, "tak ingatkah peristiwa 13 Mei 1969?", "tak bersyukurkah kita?", "apa kita nak jadi seperti Singapura sampai diperintah oleh bangsa Cina?". Aku nak beritahu sikit, soalan-soalan yang kau bangkitkan untuk bidas aku, pertama, dah memang pusing sebab tak dapat jawab soalan aku. Kedua, soalan-soalan kau sangat-sangat menunjukkan bahawa kau 'racist' dan sangat-sangat mempermainkan isu perkauman di Malaysia. Rata-rata orang dah pergi sekolah sekarang. Orang tak pendek akal sangat. Undang-undang negara ada. Nak perintah ikut cara mana? Sembang macam orang tak pernah ambil PMR. Taraf UPSR saja ke apa pun aku tak tau.

-Benda paling lawak, kata Mat Sabu komunis. Ingat Chin Peng berminat lagi nak masuk hutan? Hutan sekarang pun dah tak berapa banyak. Bintang tiga mana datang pun aku tak tahu. Sesedap rasa buat tajuk cerita entah apa-apa. Saja nak takutkan orang-orang tua yang trauma kena dengan komunis. Bikin lawak.

Itu sekadar beberapa perkara asas atau permukaan yang kita boleh  tengok. Aku sangat muda dalam benda begini, tetapi aku rasakan perlu untuk bersuara kerana aku tak sanggup tengok orang jadi susah. Tengok mak aku nak beli barang dapur pun mengeluh sebab harga barang naik mencanak, aku rasa sedih. Turun harga petrol pun yang bukan mampu pakai. Tolong rakyat apanya.

Tak payahlah nak perjuangkan sangat kata-kata Hang Tuah yang cakap "takkan Melayu hilang di dunia". Kubur Hang Tuah pun entah di mana sebenarnya. Dia sendiri pun hilang. Melayu tetap ada. Bukan kita buat penghapusan etnik pun. 

Kesimpulannya, fikirlah sebelum bercakap ikut sedap. Mana yang betul, jangan diputar. Mana yang salah, kita tegur cara baik.







Selit-selit: Aku rasa seronok tengok program JAKIM untuk tarik semula 'mak nyah' atau pondan untuk kembali ke pangkal jalan. Kalau program kerajaan yang berniat baik begini, memang aku tak ada masalah. Malah, aku sokong sepenuhnya. ^_^

Wednesday, 4 July 2012

Cemburu, Lelaki dan Kebenarannya?

Bila sampai pada bab cemburu, kita mungkin pernah dengar orang berkata, "aku tak ada nak cemburu-cemburu dengan isteri aku. Sekarang zaman dah moden.". Atau mungkin juga kita akan dengar, "Aku jenis 'open-minded'. Tak ada nak cemburu-cemburu. Dia ada ruang dia, aku pun ada ruang aku.".

Mari sini aku nak beritahu, cemburu itu sesuatu yang bukan boleh dikategorikan sebagai perkara yang teruk. Aku belum berkahwin, tapi rasanya apa yang aku hendak aku kongsikan tidak terbatas pada sesiapa. Mungkin untuk ingatan pada orang lain juga. Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu. Ya, cemburu buta adalah sesuatu yang nampak seperti menyusahkan, dalam hal suami bertanya isteri itu dan ini, menyiasat apa yang dilakukan dan sebagainya. Tetapi aku suka untuk menasihatkan agar janganlah dimarahkan suami yang melakukan tindakan demikian janganlah berkecil atau terasa hati dengan suami dan beranggapan bahawa suami tidak meletakkan kepercayaan. Selalu kita dengar, lelaki akan segera disalah-ertikan sebagai "tidak meletakkan kepercayaan kepada isteri.".

Sebenarnya, kita perlu sedar dan tahu bahawa ia adalah salah satu tuntutan Islam dan menunjukkan bahawa wanita itu sedang memiliki seorang lelaki yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya. 

Kata Imam Ibnu Qayyim, (bahasa Arab aku tak hebat mana), "Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau cemburu terhadap ahli keluarga. Dan siapa yang tiada perasaan ini, maka itulah tandanya tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga dijauhkan dari perkara jahat dan keji. Tanpanya hati akan mati, maka matilah juga sensitiviti anggota terhadap perkara haram, sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.".

Itu satu perkara. Suka juga aku nak beritahu, bergembiralah, dan bersuka serta senyumlah puas-puas kepada suami yang mendapat isteri yang solehah, kerana tak payah nak susah-susah untuk elak dari jatuhnya diri ke kategori dayus. Ini senang nak faham sebab tanpa campur tangan dan nasihat suami, dah tahu nak jaga batas aurat, pergaulan, maruah dan sebagainya. 

Nabi bersabda, "Dari tanda kebahagiaan anak Adam ialah memperolehi wanita solehah (isteri dan anak)."

Elok pula kena macam zaman sekarang, cukuplah payah nak mencari yang solehah. Kalau namanya Solehah, ramailah. Itu pun dah tukar jadi Sally, dan sebagainya. Rasa nak muntah dengar nama manja macam orang tak cukup sifat. Ada pula yang disuruh dan dinasihatkan berubah, tapi mengatakan ia adalah sesuatu yang bukan dirinya. Entahlah. Agaknya dah kebal dari apa neraka. Tapi aku percaya, akan ada makcik-makcik, wanita-wanita, perempuan, gadis, budak perempuan dan yang seangkatan dengannya akan bertanya pada aku, "Habis, lelaki punya langkah tak payah nak tengok? Kalau tak tengok, lagi dahsyat menjadi-jadi.". Tapi harus kita sedar, bukan tak payah tengok langsung, tapi aku banyak berkongsi tentang bahagian lelaki sekarang. Jadi, tunggu aku buat untuk perempuan pula. Ok?

Kenapa perlu cemburu? Cemburu ini lawannya dayus. Ada aku sebutkan dayus ini tadi. Dan dayus adalah tergolong dalam salah satu dosa besar dan takkan masuk syurga. Berat kan? Dah tahu berat, fahamlah apa perlu difikir dan dibuat. Tak payah nak tunjuk moden sangat sampai menghilangkan sifat cemburu dalam hati. Bab hadis atau kata alim-ulama tentang dayus, bolehlah kalian cari di kitab-kitab. Paling tidak, boleh cari dalam internet.

Tapi janganlah pula lepas baca entri ini, terus-terus soal siasat isteri siap bawa masuk dalam bilik gelap, letak alat poligraf, siap gari tangan isteri, semata-mata nak tahu isteri ada pandang tak muka penjual ikan di pasar pagi tadi. Itu melampau ke tahap nak minta pelempang namanya. Gunakan akal untuk bertindak.

Kesimpulannya, perasaan cemburu itu sebenarnya bukan sesuatu yang buruk. Ia membuatkan kehidupan dan kasih sayang itu bertambah kukuh jika pandai kita perhalusi sebaik-baiknya. 





Benar kata orang, cemburu tandanya sayang!  ^_^ 



Tuesday, 3 July 2012

Akaun FB Palsu dan Ketidak-guna-akalnya?

Segala puji-pujian bagi Allah, yang tiada Tuhan hanya Ia, dan adalah Ia pada azal, tiada sesuatu jua pun sertaNya. Dan Dialah Tuhan yang abadi, lagi sentiasa adanya, dan tiada sesuatu jua pun kemudian. DijadikanNya segala makhluk, dan tiada sebarang hajat bagiNya. Maha Suci bagi Allah yang tinggi ketuhananNya, dan tiada sekutu bagiNya, dan lagi akan difanakanNya segala makhluk, kemudian dijadikanNya; maka dikembalikan pula.



Aaauuuukkkkkkk.....

Auuuukkkkkkkk...... (Kesan khas bunyi serigala untuk tambah seram)

Auuuwwwww..!! (Bunyi bapuk kena kacau. Ish!)

Wa ba'adahu adapun kemudian dari itu, telah berkata aku yang insaf akan lemah keadaan dirinya, bersusah payahlah ia mengambil ubat di rumah sakit adanya, dan singkat pengetahuan ilmunya; dan pada suatu masa aku duduk di atas tempat orang berduduk-duduk dalam keadaan yang pening nanar, datanglah suatu pesanan jua. Jauh datangnya dari atas angin, menyusur lalu ke bawah angin, membawa ribut segala taufan dan yang hebet-hebat jua adanya. Berbunyilah pesanan itu dalam bingkai biru, "tk nk, bdk alam kuat makan..haha=p.. lgpun, i xnk laki gmoook mcm u:) *cubit pipi chubby u*haha=p". Adapun beratlah batu jemala memikul pesanan. Terasa guyur jua segala sendi anggota.

Arakian, tersebut jua di mulut hingga ke telinga antara dengar dan tidak. Bergempak gempitalah hati, apa syaitankah merasuk? Tidaklah merasuk aku, tetapi merasuk diri yang menghantar pesanan itu di pagi hari jua. Maka, kam sami'tuhum min jaddi wa abi, tersebut jualah diri penghantar pesanan itu yang amat jahil murakkab. Pecahlah hilai tawa yang berkedengaran di langit tanpa ada sangka bunyi lagi. Tersangatlah geli segala isi perut membaca pesanan begitu sehingga menyebabkan aku pergi ke tandas lagi untuk melepas hajat.

Syahadan, tentunya kalian ingin tahu apa yang berlaku. Adapun yang berlaku itu adalah satu makhluk ciptaan Allah jua, bernama manusia, yang hilang pertimbangannya, konon nak berkawan, bermesej di FB bagai, namun rupanya sebiji macam Tasha Manshahar jua adanya. Hendak menyamarlah seperti diberitakan, konon menyamar segala umpan.

Maka, pada mula perkenalan, agaklah rasa terkejut kerana di'poke' atau diusik oleh seorang artis YouTube. Namun namanya berlainan. Maklumlah, sekarang selalu jumpa kawan-kawan di kampung, maka sembangnya dah tentu lagu Melayu yang terkini jua adanya. Adapun, segala rakannya yang ada di dalam FB dia, banyaknya datang dari Kuala Kangsar, bandar Di-Raja penuh berdaulat, mempunyai keris Taming Sari jua adanya.

Dah. Cukup dengan bahasa ala-ala Sulalatus Salatin. Ingat aku buta kayu sangat sampai macam tak pernah tengok budak nama Tasha bernyanyi dalam YouTube? Nama di FB Nur Ummu Sakinah. Bila aku tanya, kenapa ada nama Natasya, cantik dia jawab, "nama i Nur Ummu Sakinah Natasya.". Aku layankan lagi. Aku boleh agak siapa, tapi aku rasa tak elok berprasangka buruk. Kerana cara taipannya sangat biasa bagi aku. Kena pula aku tengok waktu hantarnya mesej yang 'chubby' itu pada jam 5.40 pagi atau jam 0540. Entahlah. Siap komen gambar aku bukan main manja. Lelaki pun ada perasaan peliklah kalau tiba-tiba manja semacam. Allah Maha Tahu. Tak perlu menguji aku sampai macam ini. Kalau satu hari Allah balas keadaannya kerana mempermainkan orang, baru nak rasa langit itu ada berapa lapis. Kalau masa itu digunakan untuk solat sunat kan lebih baik? Ini tidak, masih lagi nak memperbodohkan diri sendiri. Ini alamatnya. http://www.facebook.com/nur.u.sakinah


Inilah hadis Nabi untuk orang-orang begini. "Barangsiapa yang menipu tidak termasuk dalam golonganku". Riwayat sebahagian Ahl-Sunan. 

Tak rasa malukah perbuatan begitu? Apa tak rasakah itu perbuatan memalukan diri sendiri? Buat akaun palsu, tapi nak buat tak berapa nak pandai. Tak perlu nak pandai IT kalau nak jejak IP Address. Sama bangsa, sama agama, satu negara, tapi perangai macam orang tak sekolah. Kalau main-main sikit-sikit cukuplah. Aku ini dah cukup sakit jiwa sebab macam-macam masalah. Tak payah nak timbul masalah lain.

P/s: Aku seru pada semua pembaca, janganlah dibuat perangai sebegini. Itu menjatuhkan maruah sendiri, maruah bangsa, maruah orang-orang yang terlibat.




Manusia dan Agama, Perlukah?

Pada entri lepas, aku ada ceritakan sedikit tentang Qiraat. Malam semalam, seorang rakanku mengatakan bahawa dia tertarik dengan entri itu sebab dia tak sangka muka aku tahu tentang Qiraat. Dia yang harus aku rahsiakan namanya, belajar di Darul Quran, telahpun menamatkan pengajiannya di dalam diploma berkaitan Qiraat, sekarang dia sambung dalam Usuluddin pula. Seronok bila dia kongsi pula pengetahuan dia, walaupun aku jadi segan pada dia kerana Al-Quran dah pun ada di dalam dadanya. Siap aku semangat lagi kongsi pada salah seorang blogger mengenai Qiraat. Itulah sedikit sebanyak halwa untuk permulaan.

Aku baru sahaja selesai balik dari klinik. Sakit nampaknya tak berapa nak bagus dalam kebelakangan ini. Tapi kiranya aku ada masa untuk berkongsi buah fikiran lagi dengan kalian. Mungkin malam ini baru nak cuba pergi kerja balik. Begitulah.

Kali ini coretan aku mungkin panjang sedikit memandangkan aku tengok banyak sangat manusia dah makin tak sedar diri. Aku harapkan, kalian dapat kongsikan hasil taipan aku ini sekiranya kalian rasakan perlu (dah naik-taraf letak butang Facebook dekat bawah. Hahah.). Kali ini aku ingin berkongsi tajuk, Perlukah Manusia Beragama?

Dalam masyarakat moden, kita menghadapi suasana yang lain sama sekali. Dalam kehidupan modenlah timbulnya persoalan: "Perlukah manusia beragama?". Bahkan ada golongan yang lantang bersuara mengatakan agama tidak lagi diperlukan dan harus dipisahkan antara kehidupan peribadi dan masyarakat. Menurut golongan yang berfikiran begini, apa yang dimahukan manusia dari agama selama ini telahpun dapat dipenuhi oleh sains dan teknologi. Maka, berkatalah mereka dengan mulut jenis tak makan saman, "Untuk apa lagi agama?". Siap dengan lantang bersuara tanpa segan mengatakan di hadapan kawan atau masyarakat, "Kami atheist. Tidak ada perlunya agama. Semuanya mengarut.".

Dahulu, kalau hendak dianugerahkan rezeki, orang menadah tangan memohon pada Tuhan. Sekarang orang bermohon pada sains ekonomi. Tadahkan tangan pada Tuhan, tangan tetap kosong. Tapi kalau minta pada sains ekonomi, maka melalui pertanian, perkilangan, segala macam jenis industri, ia akan memberikan kekayaan. Kalau dahulu orang yang sakit bermohon pada Tuhan, sekarang orang bermohon pada doktor. Mohon pada Tuhan hanya dapat kesabaran dan ketawakalan menyonsang maut yang mendatang. Tapi mohon pada sains perubatan, sakit dapat disembuhkan. Maka, persoalan-persoalan begini yang menimbulkan keraguan dan kesangsian bagi mereka tentang apa perlunya agama.

Apa lagi kalau dilihat perbezaan antara sebahagian orang beragama dengan sebahagian yang kurang beragama, terutamanya di bandaraya-bandaraya yang pesat membangun. Ada orang yang kuat beragama, tetapi kehidupannya susah, nak membeli susu anak perlu bersusah payah mencari segala besi buruk dan pelbagai jenis pekerjaan yang sukar dan perit. Manakala, ada orang yang mengabaikan agama, tapi kehidupannya mewah, makmur dan mendapat kedudukan yang tinggi dalam komuniti masyarakat. Bahkan ada pula orang yang tidak beragama atau terus menentang agama kehidupannya nampak berjaya. Untuk apa agama? Ada orang yang siang malam berdoa, tetapi tidak dikabulkan, tetapi orang yang langsung tidak berdoa, sentiasa dapat apa yang dia mahukan. Apa kesan agama?

Demikian sebahagian misalan atau contoh dalam kehidupan yang disebut dalam kehidupan moden itu yang menimbulkan pertanyaan dalam hati orang-orang moden: untuk apa agama itu sebenarnya?

Apabila timbul persoalan begitu di dalam hati, bermakna orang itu sampai kepada peringkat menyangsikan agama. Apabila persoalan itu tiada jawapan yang memuaskan fikiran orang moden, lantas agama diabaikan.

Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk menyusun jawapan untuk persoalan demikian. Untuk itu, kita perlu bertolak dari hakikat manusia.



Manusia itu lahir dan mati. Antara lahir dan mati, terentang satu tempoh masa yang kita panggil dunia. Setelah mati, sampailah kita pada waktu yang tak terbatas terentang masa yang ghaib, kerana tidak dapat disentuh pancaindera, yang disebut akhirat. Dengan kelahiran manusia itu ke dunia, maka telah datang bersamanya satu pakej lengkap iaitu naluri-naluri asasi. Psikologi moden tak suka guna istilah naluri. Orang lebih suka guna istilah 'need', atau keperluan. Namun, naluri itu rasanya masih relevan untuk diguna. Naluri asas itu terbahagi pada 2 lapisan; pertama, 'selamat'. Kedua, 'senang' dalam pengertian nikmat, suka, gembira atau puas.

Naluri asas ini bersifat semulajadi. Semenjak dari lahir lagi. Perhatikan perlakuan bayi, apabila terancam dia akan menangis. Kalau kesenangannya terganggu, contoh digigit nyamuk, dia akan menangis supaya ibunya akan menghilangkan gangguan itu. Begitu juga pada orang dewasa. Sama sahaja, cuma suasananya sedikit berbeza. Kita susah payah belajar tinggi-tinggi, maki orang sana sini apabila bekerja dan sebagainya kerana kita mahu senang dan selamat. Kita bekerja. Untuk apa kerja? kerana kerja memberikan kita wang. Untuk apa wang? Untuk kita 'membeli' keselamatan dan kesenangan hidup.

Cuba teliti motif tiap tindakan dan laku perbuatan manusia. Apabila digali motif-motif perilaku manusia, dapat kita simpulkan bahawa ia kembali pada yang asas. Untuk senang dan selamat. Maka dapatlah kita simpulkan bahawa kehidupan diisi oleh naluri asas ini, baik bagi individu, masyarakat dan negara.

Kita semua tahu manusia terdiri dari dua unsur iaitu jasad dan roh. Naluri asas itu sebenarnya adalah untuk manusia. Baik bagi jasadnya, dan baik juga untuk rohnya. Jasad mengarah kepada dunia nyata, roh mengarah ke arah alam akhirat yang ghaib. Maka diperusahakanlah segalanya sehingga lebih kepada jasad sahaja sehingga bahagian roh itu ditenggelamkan terus. Hanya untuk senang dan selamat. Segala yang zahir, nampaknya hanya memerlukan naluri asas untuk jasad dan dunia sahaja. Dan roh serta peranan agama seperti tidak nampak fungsinya dalam dunia nyata. Maka dikatakanlah oleh orang-orang moden itu, "agama tidak diperlukan.".

Mungkin betul jawapannya, sekiranya dia hidup tanpa ada roh. Tetapi masalahnya semua manusia ada roh. Setiap manusia pula akan menemui hari mati. Setiap benda akan rasa kematian. Mengelak sedikit pun tak boleh. Ini dinamakan hukum alam. Hukum alam ini adalah suatu yang pasti. Semuanya akan mati. Termasuklah kalian yang membaca ini. Dan kematian takkan berlalu begitu sahaja. Kita akan berpindah ke tahap yang lain.

Jarak antara lahir dan mati itu disebut sebagai umur. Dan sains yang kita agung-agungkan itu tidak dapat menentukan umur seseorang. Kerana takdir datang dari Tuhan. Iradat Tuhan tak mampu dikira oleh manusia dengan sains dan teknologi.

Kenapa aku bangkitkan hal umur? Ini untuk beritahu kalian, bahawa tiap-tiap kita takkan dapat lepas dari perjalanan hidup, bertolak dari lahir, menuju ke arah kematian, walaupun kita cuba mengelak. Manusia terus-menerus berkonfrontasi dengan maut. Hidup tidak lain menggeser kematian. Dan suatu saat, manusia akan dikalahkan juga oleh maut.

Masuklah ke kedai buku. Dari ribuan buku yang ada tersusun dalam rak-rak yang berpuluh, berapa banyak tajuknya tentang kematian? Mungkin sekitar 5-6 tajuk sahaja.


Mati itu adalah sesuatu yang wajib hukumnya. Bukan sunat atau harus. Semua nyawa yang ada mengarah ke arah itu. Dunia cuma satu tempat untuk kewujudan manusia. Manakala, akhirat itu adalah satu destinasi yang tiketnya cuma satu hala. Tak ada pergi-balik macam pakej pelancongan. Ya, tujuan hidup itu adalah mati. Tujuan dunia ialah akhirat. Ini mungkin sesuatu yang kalian tak suka. Kalian nak hidup selama mungkin. Tiap-tiap kali ulangtahun kelahiran, nak ada orang ucap "moga panjang umur" dan sebagainya.

Tapi kalau kita fikir-fikirkan, kematian itu taklah menakutkan sangat. Sekejap sahaja, dah mati. Tapi yang merisaukan ialah akhirat. Maut adalah pintu gerbang untuk berangkat ke akhirat. Kerisauan yang berkembang jadi ketakutan itu ialah, bagaimana nasib aku di akhirat? Ingat saja-saja Tuhan hidupkan atas muka bumi? Tak terfikirkah orang-orang yang mempersoalkan relevan atau tidak agama ini, tentang apa tujuannya dihidupkan?

Di sana nanti, akan ada mahkamah. Di sana tak ada lagi rasuah-rasuah. Tak ada lagi hakim yang nak makan duit suapan. Tak ada. Kerana Allah sendiri yang jadi hakim. Waktu itu baru nak tahu ada rasa atau tak ada rasa. Sekiranya hidup di dunia ada naluri-naluri asasnya, untuk kesejahteraan di dunia, begitu juga hidup di akhirat itu memerlukan naluri asasnya untuk kelansungan senang dan selamat di akhirat.

Namun begitu, cerita-cerita tentang alam barzakh dan akhirat yang berasal dari pengetahuan manusia tidak lain bersifat tafsiran atau khayalan. Pengetahuan yang benar tentangnya hanyalah berasal dari Tuhan yang Maha Tahu dan yang menciptakan sendiri alam ghaib itu. Dan tak banyak dari pengetahuan itu yang diturunkan kepada manusia.

Dari pengetahuan yang sedikit yang kita terima melalui wahyu dan hadis dapat kita pastikan bahawa akhirat itu berbeza sama sekali dengan dunia.

Allah berfirman: Aku menyediakan untuk hamba-hambaKu yang soleh, apa yang belum kelihatan oleh mata dan didengar oleh telinga dan juga tidak timbul dalam hati manusia untuk menghayatinya.

Semasa di dunia, kalian boleh mempunyai saudara-mara dan teman yang banyak dan berkedudukan sosial tinggi. Namun tenaga-tenaga sosial itu takkan mampu membantu kalian di akhirat nanti. Kekayaan, nama, harta dan pangkat, orang-orang kenamaan yang kalian kenal dan rapat, takkan terpakai di akhirat. Kekuasaan politik yang kalian punyai sebagai perdana menteri atau diktator sekalipun tidak dapat dipanjangkan sampai di akhirat. Tinggi macam mana pun ilmu sains dan teknologi kalian, hanya akan terhenti sampai di pintu kubur. Kesenian yang memberi keseronokan dan kenikmatan hidup pada orang lain, tak ada erti bagi orang mati. Tafsiran yang direka falsafah dan nilai-nilai yang disusunnya hanyalah teruntuk bagi manusia di dunia ini. Wang yang jadi nadi pusat gerak kebudayaan moden takkan laku di akhirat. Jelas, di akhirat, kebudayaan, cara hidup, wang, pangkat atau apapun yang bersifat dunia, tidak berguna di akhirat. Kesemuanya ditinggalkan di dunia, tidak akan dibawa ke akhirat.

Maka, setiap saat manusia menyedari maut yang tengah di arah kehidupannya, timbullah pertanyaan di dalam hatinya; bagaimana hendak membina keselamatan dan kesenangan aku di akhirat nanti? Terhadap pertanyaan dan persoalan begitu, agama telah menyediakan jawapannya.

Namun, kita akan temukan banyak jawapan. Bukan ada satu sahaja agama di dunia ini. Tetapi hendak memilih yang benar dan tepat, haruslah kita selidik apa itu agama. Itulah yang akan memberikan kesenangan dan keselamatan yang hakiki. 





Dah puas aku bercoret panjang. Tak ada istilah 'hak cipta terpelihara' dalam blog aku. Dah puas aku menaip. Maka fikir-fikirkanlah apa yang aku kongsikan. Moga kita sama-sama dapat membina kesejahteraan yang kekal di sana nanti.


Monday, 2 July 2012

Qiraat, Masyarakat dan Al-Quran..

Hari ini aku solat subuh di surau yang ada di dalam kejiranan rumah aku. Kaki masih lagi sakit terpijak paku tempoh hari, tapi aku rasa nak melapangkan dada dari banyak benda yang berserabut. Lagipun aku tak dibenarkan bekerja buat sementara waktu sebab sakit. Jarang-jarang sangat aku rajin ke surau waktu subuh. Kalau waktu maghrib dan isyak, rajinlah kaki aku melangkah. Moga Tuhan bagi aku kerajinan yang kuat untuk berjemaah di lain-lain waktu juga. Apapun, semuanya berjalan seperti biasa, jemaah subuh hari ini ada 3 saf. Kira cantik sangatlah sebab kawasan ini kecil.

Cuma ada satu benda yang aku kirakan menarik sebab aku pasti tak ramai rakyat Malaysia yang tahu atau sedar tentang topik yang aku nak ceritakan ini. Cari-cari idea nak buat entri, terus fikir benda ini. Ia berkenaan dengan sesuatu yang disebut sebagai Qiraat. Kenapa? Sebab subuh tadi imam yang ada guna cara bacaan Warash. Rasa seronok bila dia jadi imam sebab dia pandai bab Qiraat. Aku setakat tahu begitu sahaja sebab aku belajar sikit dari ustaz aku tentang benda ini waktu nak masuk pertandingan tarannum dulu.

Apa itu Qiraat? Juga disebut sebagai Qiraat Sab'ah. Qiraat itu ialah satu sandaran cara atau kaedah pembacaan bergantung pada imam-imam para 'qurra'. Sab'ah itu pula bermaksud tujuh kerana pangkalnya disandarkan pada kaedah asal yang ada tujuh imam yang berada di sisi Al-Shatibi (aku ingat nama ini sebab nama arwah sepupu aku hampir sama). Tiap-tiap imam ini kaedahnya lain antara satu sama lain. Dan yang tambah lagi menarik, mereka ada anak murid, dan anak murid punya bacaan tak sama dengan guru. Hebatkan?

Orang yang tak biasa dengar, mungkin akan terkejut kalau dengar cara bacaannya pelik sikit, elok pula kalau dengar cara Warash sebab agak ketara bezanya berbanding yang lain. Nak tahu ketara macam mana, cubalah cari dalam Youtube atau mana-mana sumber. Aku percaya kalian cukup handal bab mencari guna internet. Aku pun cuma ada satu sahaja buku nipis tentang Qiraat.

Tujuan aku tulis, sekadar untuk memberitahu benda yang agak terpencil. Sekarang dah tak ada lagi program Akademi Quran. Aku tak tahu kenapa dah tak ada. Sedangkan peserta-peserta ada yang mahir dengan ilmu Qiraat. Tapi bab menyanyi, melompat, merosakkan akhlak, makin bercambah-cambah. Siap orang-orang tua pun disogok dengan hiburan sampai melompat atas pentas di tengah-tengah pasaraya. Susah nak cerita. Takkanlah sebab Ustaz Zamri dalam program 'Mari Mengaji' datang BERSIH terus buang dia dari kembangkan ilmu agama? Aku dah mula sensitif. Dah. Cukup takat itu.














Kesimpulannya, Al-Quran itu turun dengan bahasa syurga. Siap ada pula sasteranya sendiri. Sains pun ada, semuanya ada. Nak baca ikut cara mana pun boleh pilih. Kalau dah lidah keras macam kayu pun ada cara nak baca. Tak ada penghalang.




Selit-selit 1: Cuba kita renung-renungkan, kenapa ilmu dan pengetahuan tentang Al-Quran khususnya, dan Islam amnya, sangat malap dalam satu negara yang kononnya digelar 'Negara Islam'? Siapakah yang patut kita tenyeh kepalanya untuk ini?

Selit-selit 2: Tak rasa segankah pada budak umur 8 tahun pandai mengaji, sedangkan yang dah nak bergelar ibu atau bapa kepada budak masih merangkak-rangkak nak baca Quran? Ada ijazah, diploma, master macam-macam di IPT, tapi Quran tak reti-reti? Siap ada yang tak berapa nak boleh beza huruf-huruf. Fikirlah...

Samseng, Masyarakat dan Persoalannya?

"Kalau kau berani, datang jemput aku di rumah, kemudian kita selesai masalah. Panggil berapa banyak orang kau!"

"Aku tak takut siapa pun. Satu panggilan, semua budak-budak aku datang!"

"Setakat nak 'lauk' orang, aku tak hairanlah. Sekali libas aku henjut semua."

"Jangan sampai aku buat kau tak jumpa dunia lagi! Pedang aku dah banyak makan orang!"


Biasa atau tidak anda dengar jenis-jenis contoh ayat di atas? Biasa atau tidak anda melihat beberapa jenis manusia mengaku samseng dan seolah-olah tidak lut dengan apa-apa? Senangkah hati anda apabila anda melihat adanya orang-orang begini rupa dalam masyarakat?

Aku secara jujur mengatakan aku benci dan meluat dengan orang yang mengaku samseng atau 'gengster'. Elok pula pada sesetengah orang yang mengaku menegakkan agama, bangsa dan negara, tapi hakikatnya memukul, mencederakan dan mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam yang dah sah-sah satu negara dengannya. Ada pula kes-kes yang bermusuh dengan bangsa atau agama sendiri.


Apa dah jadi? Apa dah rasa kuat dan gagah sangat? Mari lihat sama-sama apa yang aku nak ingatkan. Aku tak kisah sama ada yang membaca ini adalah muslim, atau bukan muslim, tak kira apa bangsa sekalipun.

Pertama, tak malukah rasanya apabila mengaku hebat, kebal dan kuat atau sebagainya, sedangkan Tuhan tak pandang sikit pun? Aku nak cerita sikit tentang orang-orang yang betul-betul 'samseng' dan 'gengster' untuk jadi titik tolak pemikiran orang-orang yang kurang berguna pada masyarakat ini.

Hampir semua orang Islam tahu siapa Saidina Omar. Salah satu khalifah Islam. Tak nak cerita lain tentang dia, cuma nak sebut bagaimana 'samseng'nya dia. Kisah pertama, pernah berlaku gempa bumi pada waktu pemerintahannya. Dihentaknya bumi yang sedang bergoncang, langsung bertanya, "Hei bumi! Tenanglah! Apakah aku tidak berlaku adil di atasmu?". Bumi yang besar dan mampu bunuh orang berjuta-juta pun rasa segan kena macam itu dengan Omar. Setakat nak mengaku samseng pekan atau bandar, cuba tepuk bumi waktu ada gempa. Boleh buat bumi diam? Kalau nak rasa kena gelak depan muka oleh budak berumur 3 bulan, cubalah. Itu baru satu cerita. Satu kisah lagi, pernah ada satu orang yahudi nak mengadu pada Omar sebab Amru bin As rampas tanah. Apa yang diberi oleh Omar untuk disampaikan pada Amru ialah sebatang tulang yang digariskan dengan pedang. Bila Amru dapat tulang itu, mengeletar Amru sebab rasa takut dan terus sahaja serahkan balik tanah itu pada yahudi tersebut. Amru tahu apa yang cuba disampaikan oleh Omar. Kisah ini kalau nak tahu lebih lanjut, buka kitab. Cuba orang-orang yang bergelar samseng ini buat macam Omar. Ada kesan? Bukan setakat tiada kesan, silap-silap kena ketawa dengan warga emas.

Kita bergerak pula pada contoh orang yang kedua iaitu Khalid Al-Walid. Siapa dia? Salah seorang panglima Islam. Waktu dalam perang Yarmuk, dia ada jumpa dengan panglima musuh yang bernama Mahan. Musuh dia ini cukuplah berlagak, takbur, riak, konon bagus, semua ada. Bila Mahan beritahu pada Khalid untuk berundur, apa Khalid beritahu pada dia? Ini katanya, "Kami tidak akan keluar dari negeri kami kerana kelaparan seperti yang engkau sangkakan. Tetapi kami ialah satu kaum yang suka minum darah dan kami tahu tidak ada darah yang lebih lazat dan nikmat seperti darah orang Rom, dan sebab itulah kami ke mari!". Sekarang, rasa-rasa boleh buat macam Khalid Al-Walid? Samseng sangatkah sampai nak tampal pelekat itu ini nak bagi orang tengok? Tak rasa segan nak bercakap macam Khalid sedangkan dia dah bunuh ramai orang? Setakat nak bunuh ikan keli pun dah takut-takut kena sengat, tak payah nak cerita banyak.

'Samseng-samseng' yang aku beri contoh tadi, walaupun dah banyak bunuh orang, cukup orang hormat, cukup orang segan, tetap takut pada Allah. Bila disebut tentang panas dan beratnya azab neraka, mereka punya takut sampai menggigil. Itu baru dua orang contoh. Ada banyak lagi. Yang tuan-tuan dan puan-puan yang nak mengaku samseng ini dah kebal dari api nerakakah? Ingat api neraka itu macam api dapur gas memasak yang ada di dapur rumah?

Dan satu lagi aku tak faham, perempuan-perempuan yang suka sangat berkepit dengan lelaki jenis ini. Apa tak rasa risau nak ambil lelaki begini jadi pemimpin keluarga? Tak risau dengan azab Allah yang panas, pedih dan sakit? Dah bebal sangat kepala dan akal sampai tak boleh fikir?

Susah hati aku tengok bila masyarakat jadi rosak sebab ada kelompok manusia macam ini. Kalau undang-undang negara boleh kita ubah ikut suka, nak sahaja aku cadangkan supaya sebat sampai taubat orang-orang macam ini di tengah-tengah masyarakat. Nak lagi berperisa, kita toreh sikit-sikit badannya, kemudian simbah cuka. Baru ada rasa.

Aku suka untuk mengingatkan diri aku sendiri dan rakan-rakan pembaca, jauhkan diri dari kelompok manusia jenis ini. Jauhkan diri, agar benda ini tak merebak masuk di kalangan kita yang menyayangi keluarga, masyarakat dan agama.






Selit-selit 1: Iblis nak buat jahat pun minta izin dulu pada Tuhan. Mereka? Kan itu dah tempah tiket ke neraka namanya?

Selit-selit 2: Ada orang sarankan aku bagi hadiah istimewa pada pengikut(follower) ke-100. Patutkah? Hahah.