Tuesday, 3 July 2012

Manusia dan Agama, Perlukah?

Pada entri lepas, aku ada ceritakan sedikit tentang Qiraat. Malam semalam, seorang rakanku mengatakan bahawa dia tertarik dengan entri itu sebab dia tak sangka muka aku tahu tentang Qiraat. Dia yang harus aku rahsiakan namanya, belajar di Darul Quran, telahpun menamatkan pengajiannya di dalam diploma berkaitan Qiraat, sekarang dia sambung dalam Usuluddin pula. Seronok bila dia kongsi pula pengetahuan dia, walaupun aku jadi segan pada dia kerana Al-Quran dah pun ada di dalam dadanya. Siap aku semangat lagi kongsi pada salah seorang blogger mengenai Qiraat. Itulah sedikit sebanyak halwa untuk permulaan.

Aku baru sahaja selesai balik dari klinik. Sakit nampaknya tak berapa nak bagus dalam kebelakangan ini. Tapi kiranya aku ada masa untuk berkongsi buah fikiran lagi dengan kalian. Mungkin malam ini baru nak cuba pergi kerja balik. Begitulah.

Kali ini coretan aku mungkin panjang sedikit memandangkan aku tengok banyak sangat manusia dah makin tak sedar diri. Aku harapkan, kalian dapat kongsikan hasil taipan aku ini sekiranya kalian rasakan perlu (dah naik-taraf letak butang Facebook dekat bawah. Hahah.). Kali ini aku ingin berkongsi tajuk, Perlukah Manusia Beragama?

Dalam masyarakat moden, kita menghadapi suasana yang lain sama sekali. Dalam kehidupan modenlah timbulnya persoalan: "Perlukah manusia beragama?". Bahkan ada golongan yang lantang bersuara mengatakan agama tidak lagi diperlukan dan harus dipisahkan antara kehidupan peribadi dan masyarakat. Menurut golongan yang berfikiran begini, apa yang dimahukan manusia dari agama selama ini telahpun dapat dipenuhi oleh sains dan teknologi. Maka, berkatalah mereka dengan mulut jenis tak makan saman, "Untuk apa lagi agama?". Siap dengan lantang bersuara tanpa segan mengatakan di hadapan kawan atau masyarakat, "Kami atheist. Tidak ada perlunya agama. Semuanya mengarut.".

Dahulu, kalau hendak dianugerahkan rezeki, orang menadah tangan memohon pada Tuhan. Sekarang orang bermohon pada sains ekonomi. Tadahkan tangan pada Tuhan, tangan tetap kosong. Tapi kalau minta pada sains ekonomi, maka melalui pertanian, perkilangan, segala macam jenis industri, ia akan memberikan kekayaan. Kalau dahulu orang yang sakit bermohon pada Tuhan, sekarang orang bermohon pada doktor. Mohon pada Tuhan hanya dapat kesabaran dan ketawakalan menyonsang maut yang mendatang. Tapi mohon pada sains perubatan, sakit dapat disembuhkan. Maka, persoalan-persoalan begini yang menimbulkan keraguan dan kesangsian bagi mereka tentang apa perlunya agama.

Apa lagi kalau dilihat perbezaan antara sebahagian orang beragama dengan sebahagian yang kurang beragama, terutamanya di bandaraya-bandaraya yang pesat membangun. Ada orang yang kuat beragama, tetapi kehidupannya susah, nak membeli susu anak perlu bersusah payah mencari segala besi buruk dan pelbagai jenis pekerjaan yang sukar dan perit. Manakala, ada orang yang mengabaikan agama, tapi kehidupannya mewah, makmur dan mendapat kedudukan yang tinggi dalam komuniti masyarakat. Bahkan ada pula orang yang tidak beragama atau terus menentang agama kehidupannya nampak berjaya. Untuk apa agama? Ada orang yang siang malam berdoa, tetapi tidak dikabulkan, tetapi orang yang langsung tidak berdoa, sentiasa dapat apa yang dia mahukan. Apa kesan agama?

Demikian sebahagian misalan atau contoh dalam kehidupan yang disebut dalam kehidupan moden itu yang menimbulkan pertanyaan dalam hati orang-orang moden: untuk apa agama itu sebenarnya?

Apabila timbul persoalan begitu di dalam hati, bermakna orang itu sampai kepada peringkat menyangsikan agama. Apabila persoalan itu tiada jawapan yang memuaskan fikiran orang moden, lantas agama diabaikan.

Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk menyusun jawapan untuk persoalan demikian. Untuk itu, kita perlu bertolak dari hakikat manusia.



Manusia itu lahir dan mati. Antara lahir dan mati, terentang satu tempoh masa yang kita panggil dunia. Setelah mati, sampailah kita pada waktu yang tak terbatas terentang masa yang ghaib, kerana tidak dapat disentuh pancaindera, yang disebut akhirat. Dengan kelahiran manusia itu ke dunia, maka telah datang bersamanya satu pakej lengkap iaitu naluri-naluri asasi. Psikologi moden tak suka guna istilah naluri. Orang lebih suka guna istilah 'need', atau keperluan. Namun, naluri itu rasanya masih relevan untuk diguna. Naluri asas itu terbahagi pada 2 lapisan; pertama, 'selamat'. Kedua, 'senang' dalam pengertian nikmat, suka, gembira atau puas.

Naluri asas ini bersifat semulajadi. Semenjak dari lahir lagi. Perhatikan perlakuan bayi, apabila terancam dia akan menangis. Kalau kesenangannya terganggu, contoh digigit nyamuk, dia akan menangis supaya ibunya akan menghilangkan gangguan itu. Begitu juga pada orang dewasa. Sama sahaja, cuma suasananya sedikit berbeza. Kita susah payah belajar tinggi-tinggi, maki orang sana sini apabila bekerja dan sebagainya kerana kita mahu senang dan selamat. Kita bekerja. Untuk apa kerja? kerana kerja memberikan kita wang. Untuk apa wang? Untuk kita 'membeli' keselamatan dan kesenangan hidup.

Cuba teliti motif tiap tindakan dan laku perbuatan manusia. Apabila digali motif-motif perilaku manusia, dapat kita simpulkan bahawa ia kembali pada yang asas. Untuk senang dan selamat. Maka dapatlah kita simpulkan bahawa kehidupan diisi oleh naluri asas ini, baik bagi individu, masyarakat dan negara.

Kita semua tahu manusia terdiri dari dua unsur iaitu jasad dan roh. Naluri asas itu sebenarnya adalah untuk manusia. Baik bagi jasadnya, dan baik juga untuk rohnya. Jasad mengarah kepada dunia nyata, roh mengarah ke arah alam akhirat yang ghaib. Maka diperusahakanlah segalanya sehingga lebih kepada jasad sahaja sehingga bahagian roh itu ditenggelamkan terus. Hanya untuk senang dan selamat. Segala yang zahir, nampaknya hanya memerlukan naluri asas untuk jasad dan dunia sahaja. Dan roh serta peranan agama seperti tidak nampak fungsinya dalam dunia nyata. Maka dikatakanlah oleh orang-orang moden itu, "agama tidak diperlukan.".

Mungkin betul jawapannya, sekiranya dia hidup tanpa ada roh. Tetapi masalahnya semua manusia ada roh. Setiap manusia pula akan menemui hari mati. Setiap benda akan rasa kematian. Mengelak sedikit pun tak boleh. Ini dinamakan hukum alam. Hukum alam ini adalah suatu yang pasti. Semuanya akan mati. Termasuklah kalian yang membaca ini. Dan kematian takkan berlalu begitu sahaja. Kita akan berpindah ke tahap yang lain.

Jarak antara lahir dan mati itu disebut sebagai umur. Dan sains yang kita agung-agungkan itu tidak dapat menentukan umur seseorang. Kerana takdir datang dari Tuhan. Iradat Tuhan tak mampu dikira oleh manusia dengan sains dan teknologi.

Kenapa aku bangkitkan hal umur? Ini untuk beritahu kalian, bahawa tiap-tiap kita takkan dapat lepas dari perjalanan hidup, bertolak dari lahir, menuju ke arah kematian, walaupun kita cuba mengelak. Manusia terus-menerus berkonfrontasi dengan maut. Hidup tidak lain menggeser kematian. Dan suatu saat, manusia akan dikalahkan juga oleh maut.

Masuklah ke kedai buku. Dari ribuan buku yang ada tersusun dalam rak-rak yang berpuluh, berapa banyak tajuknya tentang kematian? Mungkin sekitar 5-6 tajuk sahaja.


Mati itu adalah sesuatu yang wajib hukumnya. Bukan sunat atau harus. Semua nyawa yang ada mengarah ke arah itu. Dunia cuma satu tempat untuk kewujudan manusia. Manakala, akhirat itu adalah satu destinasi yang tiketnya cuma satu hala. Tak ada pergi-balik macam pakej pelancongan. Ya, tujuan hidup itu adalah mati. Tujuan dunia ialah akhirat. Ini mungkin sesuatu yang kalian tak suka. Kalian nak hidup selama mungkin. Tiap-tiap kali ulangtahun kelahiran, nak ada orang ucap "moga panjang umur" dan sebagainya.

Tapi kalau kita fikir-fikirkan, kematian itu taklah menakutkan sangat. Sekejap sahaja, dah mati. Tapi yang merisaukan ialah akhirat. Maut adalah pintu gerbang untuk berangkat ke akhirat. Kerisauan yang berkembang jadi ketakutan itu ialah, bagaimana nasib aku di akhirat? Ingat saja-saja Tuhan hidupkan atas muka bumi? Tak terfikirkah orang-orang yang mempersoalkan relevan atau tidak agama ini, tentang apa tujuannya dihidupkan?

Di sana nanti, akan ada mahkamah. Di sana tak ada lagi rasuah-rasuah. Tak ada lagi hakim yang nak makan duit suapan. Tak ada. Kerana Allah sendiri yang jadi hakim. Waktu itu baru nak tahu ada rasa atau tak ada rasa. Sekiranya hidup di dunia ada naluri-naluri asasnya, untuk kesejahteraan di dunia, begitu juga hidup di akhirat itu memerlukan naluri asasnya untuk kelansungan senang dan selamat di akhirat.

Namun begitu, cerita-cerita tentang alam barzakh dan akhirat yang berasal dari pengetahuan manusia tidak lain bersifat tafsiran atau khayalan. Pengetahuan yang benar tentangnya hanyalah berasal dari Tuhan yang Maha Tahu dan yang menciptakan sendiri alam ghaib itu. Dan tak banyak dari pengetahuan itu yang diturunkan kepada manusia.

Dari pengetahuan yang sedikit yang kita terima melalui wahyu dan hadis dapat kita pastikan bahawa akhirat itu berbeza sama sekali dengan dunia.

Allah berfirman: Aku menyediakan untuk hamba-hambaKu yang soleh, apa yang belum kelihatan oleh mata dan didengar oleh telinga dan juga tidak timbul dalam hati manusia untuk menghayatinya.

Semasa di dunia, kalian boleh mempunyai saudara-mara dan teman yang banyak dan berkedudukan sosial tinggi. Namun tenaga-tenaga sosial itu takkan mampu membantu kalian di akhirat nanti. Kekayaan, nama, harta dan pangkat, orang-orang kenamaan yang kalian kenal dan rapat, takkan terpakai di akhirat. Kekuasaan politik yang kalian punyai sebagai perdana menteri atau diktator sekalipun tidak dapat dipanjangkan sampai di akhirat. Tinggi macam mana pun ilmu sains dan teknologi kalian, hanya akan terhenti sampai di pintu kubur. Kesenian yang memberi keseronokan dan kenikmatan hidup pada orang lain, tak ada erti bagi orang mati. Tafsiran yang direka falsafah dan nilai-nilai yang disusunnya hanyalah teruntuk bagi manusia di dunia ini. Wang yang jadi nadi pusat gerak kebudayaan moden takkan laku di akhirat. Jelas, di akhirat, kebudayaan, cara hidup, wang, pangkat atau apapun yang bersifat dunia, tidak berguna di akhirat. Kesemuanya ditinggalkan di dunia, tidak akan dibawa ke akhirat.

Maka, setiap saat manusia menyedari maut yang tengah di arah kehidupannya, timbullah pertanyaan di dalam hatinya; bagaimana hendak membina keselamatan dan kesenangan aku di akhirat nanti? Terhadap pertanyaan dan persoalan begitu, agama telah menyediakan jawapannya.

Namun, kita akan temukan banyak jawapan. Bukan ada satu sahaja agama di dunia ini. Tetapi hendak memilih yang benar dan tepat, haruslah kita selidik apa itu agama. Itulah yang akan memberikan kesenangan dan keselamatan yang hakiki. 





Dah puas aku bercoret panjang. Tak ada istilah 'hak cipta terpelihara' dalam blog aku. Dah puas aku menaip. Maka fikir-fikirkanlah apa yang aku kongsikan. Moga kita sama-sama dapat membina kesejahteraan yang kekal di sana nanti.


4 comments:

Wadi AR said...

panjang karangan kau ni. bagus bagus

Unknown said...

Panjang, tapi ramai orang tak ambil isi~

Anonymous said...

entri yang punyai maksud yang mendalam.. kenapa kita perlu beragama lebih2 lagi Islam.. kerana dengan Islam je kita akan selamat.. itu pun kalau kita betul2 menjadi mukmin..

selain tu, dengan Islam & beriman kepada Allah je insya Allah hati kita akan terisi, hidup kita terpandu dengan arah tujuan yang jelas kenapa kita dilahirkan di dunia.. kerana kita tak pernah pun diminta untuk dilahirkan.. sebab tu lah Allah menyediakan Islam untuk kita.. kan? =)

Unknown said...

ungulavender: Betul. Cuma ada segelintir manusia tak berapa nak sedar diri. ^_^