Monday 10 September 2012

PDRM, Moral dan Perkongsiannya..

Untuk entri kali ini, aku nak berkongsi sedikit perkara yang aku rasa sedikit terkilan iaitu tentang masyarakat di Malaysia yang suka sangat mengherdik, mencaci dan segala-gala perkataan yang berkaitan dengannya terhadap Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Jangan nak kata aku ini penyokong tegar kerajaan apa semua. Aku menyokong pembangkang (kalau tengok entri aku yang lepas-lepas patut anda dah tahu), tetapi dalam hal ini, aku rasa aku perlu kongsikan sedikit.

Sejak dari umur aku sehari, sampailah sekarang, aku hidup di kalangan masyarakat yang rata-ratanya anggota PDRM. Mereka ini ialah penjawat awam yang menjalankan tugas-tugas yang diberi berdasarkan undang-undang yang telah sedia ada di Malaysia. Aku lihat ada segelintir masyarakat kita, menggelar PDRM ini sebagai 'anjing kerajaan', 'pemakan rasuah', 'samseng beruniform', dan sebagainya. Tetapi sedar atau tidak kita bahawa dah 200 tahun lebih pasukan ini membantu rakyat Malaysia?

Ya, kalau kita lihat video-video yang dipetik dari Perhimpunan Bersih, aku tak nafikan ada jenis-jenis polis yang memang melampaui batas etika. Ada juga di antara mereka, sifatnya seperti binatang. Akan tetapi tahukah kita mengapa mereka jadi begitu? Sebelum apa-apa, kita lihat dahulu siapa di belakang mereka dan siapa yang 'membasuh minda' mereka sehingga anggota-anggota polis ini sanggup bertindak di luar batasan adab manusia. Masih ingatkah kita peristiwa Memali? PDRM menyerang kampung yang ada Ibrahim Libya sampai ramai orang kampung yang tiada dosa mati. Dalam peristiwa ini, pihak polis menerima laporan bahawa ada kubu komunis di kawasan itu. Yang beri laporan dan arahan untuk musnahkan kampung itu siapa? Rasanya dah boleh buka sedikit minda kalian yang membaca.


Aku pernah hidup susah bersama mereka. Kalian yang mengatakan bahawa polis itu semuanya makan rasuah, pernah atau tidak bercampur dengan kelompok polis yang mencari rezeki halal? Yang menerima rasuah terlalu sedikit bilangannya. Sama macam penjaga gol, kita takkan kira berapa banyak bola dia mampu tepis, tapi kita salahkan dia pada satu gol yang bolos. Di kalangan anggota yang aku kenal, ada yang membuat kerja sampingan sebagai pencari besi buruk. Ada yang pernah diberi amaran kerana buat kerja sambilan sebagai pemandu bas ekspres. Ada yang aku pernah lihat datang kerja dengan motosikal kerajaan kerana tak cukup duit untuk isi minyak motor selepas bagi duit belanja sekolah pada anak-anak. Ada yang tetap pergi kerja dalam keadaan sakit demi tidak terlepas elaun perjalanan untuk buat beli buku kolej anak. Pernah kalian tengok? Mereka hidup begitu rupa, tetapi hati mereka senang. Anak-anak mereka berjaya. Jurutera? Doktor? Guru? Pegawai-pegawai kerajaan? Malah ada yang kembali menjadi pegawai kepada bapa sendiri. Kalian tak lihat semua itu. Yang hanya tahu mencari salah orang, tetap mencari salah orang.

Apapun, aku tetap tahu dan sedar bahawa yang memang kepalanya tahap tegar untuk mengatakan PDRM tak guna dan sebagainya, amat sukar nak diubah. Tambahan pula, ada kira-kira 28 juta penduduk Malaysia sekarang. Tak sampai berapa kerat sangat yang nak baca dan ambil tahu. Tapi aku tetap taip kerana aku tahu PDRM dan perkhidmatannya itu tak lain dan tak bukan untuk rakyat Malaysia juga.

Walaubagaimanapun, jika ada di antara kalian ini adalah anggota PDRM, atau ahli keluarga anda ada yang berkhidmat dalam PDRM atau sekadar ada kenalan di dalam pasukan itu, harus ingat satu perkara; orang-orang tua dahulu pernah berpesan, kerana setitik nila habis rosak susu sebelanga. Kerana ada anggota dalam pasukan itu yang tak berapa nak ada sivik dan moral yang baik, habis nama orang lain busuk sama. Jadi, sekiranya ada jumpa di antara mereka itu yang akhlaknya tahap budak yang patut kena rotan, sila tegur mereka. Kalau mereka menjawab dengan alasan yang klise seperti "kau tak payah nak jaga tepi kain orang, kubur lain-lain", sila jawab seperti ini, "memang kubur lain-lain, tapi yang nak mandikan mayat kau esok lusa, nak tanam kau bila mati nanti, orang-orang yang tak sekubur dengan kau.". Begitulah adanya.






Selit-selit: Salah tetap salah, dan hendaklah diperbetulkan. Tak kiralah dari mana datangnya sekalipun.


2 comments:

JR said...

Setuju dgn RL. Tak semua polis jahat, majoritinya baik. Yg tak baik sikit sangat, tapi dah jadi lumrah manusia tak suka kpd yg tak baik, lalu yg tak baik itulah yg diingati selalu. Krn seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit.

Saya sendiri mempunyai rakan yg masih bertugas dgn polis, saya juga ada saudara mara yg bekerja dgn polis. Malah saya sendiri walaupun bukan polis tapi pernah dihantar oleh agensi saya bekerja untuk berkursus di pusat latihan polis Kuala Kubu selama beberapa bulan. Dari situ saya mengenali pegawai2 polis yg hati nuraninya sungguh baik, walaupun ketika berkursus mereka sangat tegas dgn kita...

Sebab itu saya kata kebanyakan polis baik, krn polis yg saya kenali memang baik2 belaka. Tapi sbg pegawai kerajaan polis perlu patuh kpd arahan boss mereka dan boss mereka pula perlu patuh kpd arahan big boss yg bersemayam di Bukit Aman. Big boss yg bersemayam di Bukit Aman pula perlu patuh kpd Menteri yg bertakhta di Putrajaya...


Unknown said...

Ya...... Komen yang rasanya cukup sedap itu adalah, "menteri yang bertakhta di Putrajaya". Mereka ini yang patut kita tuding jari.