Puas dah aku bercerita, memperli dan seaneka benda lagi. Hari ini aku 'off', ada pengganti, jadi ada masa nak melayari internet dengan cerita baru. Asyik melayari bahtera di atas air kadang-kadang sakit hati juga.
Dalam sedar tak sedar, bulan-bulan kebelakangan ini aku memang lebih banyak menggunakan kenderaan awam daripada menggunakan kenderaan peribadi. Bukan tak ada motor, tak ada kereta, tapi entahlah. Tak kiralah LRT, bas, atau apa sahaja, asalkan yang jenis boleh naik ramai-ramai. "Saja nak menggatal la tu. Cari pasal nak berhimpit dengan awek...." begitu komen dari blogger AAA Jr. kepada aku di suatu hari, suatu masa, ketika aku mula-mula terjebak dengan penagihan menaiki kenderaan awam. Pada ketika itu aku dah agak lama kembali membujang, dan agak lama aku perapkan diri aku untuk meluruskan akal fikiran. Jadi, pada ketika aku lawat-lawat blog dia, dia pun mengomel. Aku boleh agak panjang juga muncungnya ketika itu. Tapi macam biasalah, dia itu, muncung tak muncung pun dia tetap comel. Dalam Malaya ini mana ada lagi blogger yang comel macam dia.
Aku benarkan sahaja dia berbunyi selepas itu. Dah fitrah orang perempuan begitu, jadi kita sebagai lelaki tak boleh ambil hati. Kita kena ingat bahawa seorang perempuan tanpa mulut, sama sahaja seperti donat tanpa lubang. Macam yang aku jangka, lama-kelamaan dia boleh menerima kenyataan bahawa lelaki yang diminatinya dalam diam ini memang dah jatuh hati sangat dengan kenderaan awam. Eleh, perempuan... Campur tolak ibarat belakang parang juga. Kalau rajin diasah, lama-lama tentu tajam. Apa lagi kalau diasah dengan lidah. Hahah.
Apa yang menyebabkan aku suka pada kenderaan awam?
Nak kata kalau harga minyak naik melambung bila kena dengan pemerintahan kerajaan yang 'penyayang' sekarang, rasa-rasanya taklah sangat. Memang beban, tapi masih boleh aku kayuh lagi. Kalau nak dikira harga minyak itu, masih jauh lebih murah daripada harga secawan kopi di kafe, bistro atau hotel-hotel lima enam bintang. Faktor untuk menyelamatkan alam sekitar dari pencemaran juga boleh jadi, tapi tak berapa tepat. Barangkali salah satu sebabnya ialah bila naik kenderaan awam, kita ada peluang untuk buat macam-macam benda. Boleh membaca, boleh main SMS, boleh main tablet, malah boleh melamun sepuas hati. Kalau memandu mana boleh buat begitu. Kalau buat juga, maka hari-harilah kena tidur atas pembahagi jalan. Satu sebab lain yang aku rasa tak kurang pentingnya ialah kenderaan awam menyediakan peluang pada kita untuk melihat macam-macam jenis orang. Nak tengok cara mana, dengan penjuru mata, dengan ekor mata, kepala mata, badan mata, lantaklah.
Dalam banyak-banyak yang boleh ditengok itu, mata aku jarang berminat dengan awek-awek atau gadis-gadis muda. Malas nak menyakitkan hati sendiri. Aku tahu, kalau aku tengok pun bukan mereka nak layan. Tak berapa kerat perempuan yang sudi jeling pada jantan jenis naik kenderaan awam, walaupun mereka tak tahu hakikat sebenar. Jadi, apa yang aku paling suka tengok?
Ya, siapa lagi kalau bukan kakak-kakak dan makcik-makcik yang dah dekat nak 'expired' itu. Kenapa mereka? Sebab aku rasa pada hampir setiap seorang daripada mereka ada nilai cerita yang menarik dan tersendiri.
Selalu aku perhatikan kakak-kakak dan makcik-makcik itu jarang bermuka manis. Malah ada muka-muka yang sama aku tengok kekal masam berhari-hari. Bentuk masamnya mungkin berbeza, tapi dasarnya, muka tak sudah. Aku tak naklah tuduh melulu, tapi aku dapat agak dalam ramai-ramai para kakak dan makcik itu tentu ada yang masam mengenang untung nasib sendiri. Tentu ada yang terfikir, "kalaulah aku masih muda...".
Ya, kalau waktu muda-muda dahulu, di waktu badan masih betul lekuk dan lekaknya, aku jamin sebahagian besar mereka itu tak perlu bersusah payah naik bas atau LRT. Ke sana ke mari tentu dihantar dan dijemput oleh lelaki tersayang. Tak dapat dihantar dengan kereta atau motor, akan dihantar juga dengan teksi, bas atau berjalan kaki. Yang pasti, hantar tetap hantar. Masa membunuh semua itu. Masa menyebabkan segala kemanisan dan kesenangan juga keriangan yang pernah dinikmati mereka tinggal kenangan. Masa menyebabkan mereka terpaksa mengiring diri sendiri ke mana sahaja sedangkan juru iring yang dahulunya mengekori pagi petang, kini hanya bersedia menjadi teman kalau diajak ke bank untuk menjual saham atau mengeluarkan duit simpanan. Itu pun biasanya bukanlah perkhidmatan yang diberikan secara percuma.
Kasihan aku memikirkan nasib mereka. Dalam aku kutuk-kutuk perempuan pun, aku masih ada hati perut. Kasihan juga aku melihat awek-awek sekarang yang tenggelam dalam kegembiraan diiring dan ditemani oleh si dia kesayangan mereka. Aku tahu, lambat atau cepat, giliran mereka pula akan tiba. Giliran untuk ke mana-mana sebatang kara.
Kalau pun ada gadis yang terselamat daripada kemungkinan yang dahsyat itu, bilangan mereka terlalu sedikit dan mendahului senarai mereka, tentulah sesiapa yang dapat berlakikan jantan Malaya nan seorang ini. Hahahah..
Selit-selit: Nak harap lelaki bungkus mata, takkan dapat. Itu sebab Tuhan suruh perempuan bungkus badan.

