Thursday, 1 March 2012

Lemas..



Mungkin sehingga ke hari ini, sehingga ke saat ini, ramai pasangan yang bermasalah tak kira disebabkan apapun. Tidak sedikit juga pasangan yang retak dan kembali bersimen elok. Tak dinafikan, ada segelintir manusia yang terdiam dan termenung pada saat ini memikirkan cara untuk mengubah persepsi manusia, lebih-lebih lagi pasangannya terhadap apa yang dilakukannya.

Tidak mustahil juga di dalam dunia ini telah ada wanita, perempuan dan betina yang berura-ura hendak mencari segala bomoh dan pawang untuk belajar resepi nasi kangkang ataupun ilmu penunduk. Tak kurang juga bilangan kaum nan satu itu yang berlaku curang dan menyembunyikan pelbagai aktiviti yang tak patut dilakukan. Aku secara terus menerangkan di sini bahawasanya aku bercakap tentang pasangan. Tak kiralah untuk yang belum berkahwin, yang dah beranak lapan, yang bermadu ataupun untuk haiwan. Semuanya sekali. Malah pokok-pokok yang ada pun, sekiranya berpasangan, turut terlibat.

Bab main bomoh atau pawang ini, aku kirakan masih lagi mampu diterima akal sekiranya wanita itu setia. Teori yang digunakan dah betul, cuma praktikalnya salah. Bagaimana pula dengan yang curang? Atau yang buat perkara pelik-pelik dan bukan-bukan di belakang pengetahuan pasangannya? Ini ada sedikit kekeliruan. Aku sendiri susah nak menafsirkannya. Mungkin inginkan kebebasan dan keseronokan yang tak guna akal fikiran. Pendapat muktabar, bebas membawa babas.

Kita tinggalkan persoalan itu di situ. kalau ada salah seekor dari kalangan manusia yang suka menobatkan diri mereka cantik itu yang berfikiran bernas dan lebih bijak dari aku, pasti sahaja boleh jawab soalan itu tanpa ada sedikit masalah. Tak mengapa, kita bergerak pula untuk bercakap tentang mentaliti manusia yang menganggap bahawasanya dalam dunia ini, perlulah mengikut gerak kata dan budi bicaranya sahaja. Dah sah tentu akan ada ramai makcik-makcik dan kakak-kakak yang terasa. Lebih khusus lagi tentang sikap kita dengan manusia yang kita akui, yang kita takhtakan di hati kita sebagai teman hidup. Kita nobatkan dia dengan tingkat antara tertinggi dalam hidup kita. Mungkin sahaja lebih rendah dari keluarga, tapi pastinya lebih dari kawan. Tetapi adakah sikap kita menunjukkan bahawasanya ada perasaan hormat kita terhadapnya? Paling tidak, adakah kita meletakkan dia setara dengan manusia biasa? Bunyinya seperti mudah.

Mari kita renungkan sedikit ujian untuk menjadi kayu pengukurnya. Apabila bersama keluarga, bagaimana caranya kita bercakap, bertutur, berkelakuan dengan mereka? Apabila bersama rakan-rakan, kawan-kawan, bagaimana pula sikap kita dengan mereka? Sekarang, bayangkan pula bagaimana kita bercakap, berbahasa, berkelakuan, bertindak, ber apa sekalipun dengan pasangan kita yang kita katakan terlalu sayang itu. Adakah kita meletakkan dia sebagai keutamaan? Apabila bersabit dengan teman hidup, adakah patut kita mempertikaikan soal tempoh masa perkenalan atau sebagainya? Dah tentu tiada alasan. Penyakitnya datang dari hati sendiri. Kata orang, perempuan itu terlalu kompleks. Aci kerat kuku sekalipun, aku tetap tak bersetuju. Plot, rangka dan apa sahaja tentang kaum konon berjiwa lembut itu dah sah tentu hampir sama sahaja.

Apabila teman hidup itu, yakni manusia bernama lelaki melakukan sesuatu yang dah tentu untuk diri pasangannya, adakah patut kita mencaci maki, mengherdik, bertindak kasar dan memanggil sesuatu yang buruk terhadapnya yang tak pernah kita sebutkan pada seorang kawan? Sedangkan teman hidup itu mengakui dan bersumpah bahawa dia melakukan itu demi hidup pasangannya. Apabila cuba menerangkan keadaan dan apa yang dilakukan, serta merta ditolak. Jadi di mana silapnya sehingga kita menghukum manusia lain sedemikian rupa? Adakah patut kita melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh pasangan itu tanpa mengambil kira perasaannya? Atau kita campakkan sahaja perasaannya dan kita anggap sahaja dia adalah binatang yang tak tahu apa-apa? Kasar bunyinya, tapi itulah yang berlaku tanpa kebanyakan orang perempuan sedar. Secara dasarnya, banyak perkara di atas melibatkan mulut. Kerana organ nan satu di atas muka itulah perempuan banyak ke neraka. Kita lakukan perkara-perkara yang menyakitkan hati dan berusaha menyembunyikannya. Apa kita harus anggap bahawa kehidupan ini tiada mizan dan kita bebas melakukan apa sahaja?

Pasti ramai manusia yang ada perkataan 'Perempuan' di atas kad pengenalannya akan mengatakan bahawa aku skeptikal, dan seaneka bentuk perkataan pelik-pelik. Biasalah, orang perempuan, selalu suka bercakap dengan disulamkan segala bentuk istilah-istilah moden dan dicampur sikit dengan bahasa orang putih itu; sekadar nak menunjukkan dirinya tak ketinggalan. Padahal, ada di antaranya SPM pun lebih banyak tersenarai gred G dari A.

Begitulah sedikit sebanyak tentang apa yang ada. Aku lihat, aku rasa dan aku alaminya. Apa ada atau tidak jalan untuk dapat kebahagiaan dan ketenteraman dari kaum nan satu itu? Aku tak nafikan ada kebahagiaan pada mereka, cuma lumpurnya lebih banyak dari emas yang tersembunyi. Dan kaum aku pula, mahu tak mahu terpaksa menerima keadaannya.

Dan itu juga termasuklah aku...

1 comment:

nurshamila said...

em mendalam ni. hehe pompuan yg cepat sentap tu of cos la dah makan cili. sbb tu pedas berbisa. nice la camna kau describe situasi lemas nih. mmg sgt berkait