Sunday, 11 March 2012

Aku yang baik di tengah-tengah pancaroba dunia..


Aku mulakan penaipan aku kali ini dengan memanjat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat tuhan kerana masih memberikan aku peluang bernafas secara percuma. Masih tidak lagi meninggalkan dunia yang semakin kurang difahami oleh aku kerana manusia semakin ramai yang mana turut menambahkan lagi ramainya perangai yang pelik-pelik aku jumpa. Tak mengapa. Pelik-pelik dan bukan-bukan itu selalunya tidak datang dari orang yang sejantina dengan aku. Orang yang diiktiraf mempunyai akal yang banyak tetapi nafsu yang terlalu sedikit.

Setelah berbulan-bulan aku meninggalkan kampung halaman dan saudara-saudara serta rakan-rakan yang berdekatan dengan aku, banyak yang tak percaya aku sekarang dah jadi baik. Maksud aku bukanlah seperti hero yang pakai topeng dan terus-terus selamatkan orang bila dengar jeritan 'Tolong! Tolong!'. Aku juga bukanlah jenis baik yang bila nampak rumah orang retak terus sahaja nak bancuh simen untuk tolong betulkan. 

Dalam hal-hal serupa itu, tak mampulah aku lakukan tetapi hal-hal lain memang aku dah sedia baik. Begitulah halnya dengan sedekah jariah, memberi makan kucing di kedai makan dan juga berdiam diri bila tersedar bahawa aku bercakap dengan orang yang sedang melayari internet yakni bila aku bertanya dikatanya tidak dan benda itu terlihat oleh aku apabila aku mengaktifkan sekejap akaun yang telah lama terkubur pagi tadi dan aku lihat masanya itu tepat pada waktu perbualan yang berulang kali aku tanya sedang buat apa. Dan sesungguhnya baik aku ini apabila tidak marah namun terus tersenyum walaupun pada dasarnya perbuatan seperti itu sedikit sebanyak mampu membuatkan orang rasa sedikit terguris. Malah kalau ada yang berbuat kesilapan pada aku, aku ampunkan sebelum aku tidur; bimbang nanti susah nak minta ampun kalau aku pergi tiba-tiba.


Kalau kebaikan itu diukur dari sifat ramah-tamah, sekali lagi aku terpaksa mengaku bahawa aku dah sedia baik. Ramahku memang layak diklasifikasikan sebagai 'tiada bandingan'. Malah sifat ramah aku pula tidak melihat pada sebarang had umur, darjat atau apa-apa. Cuma dari segi jantina aku sedikit berjaga-jaga. Bukan apa, kita sendiri tahu apa kesannya.

Lalu baik yang bagaimana aku maksudkan? Aku sendiri tak tahu nak cakap. Yang pastinya, aku ini memang baik sangat. Dah nak masuk tahap iman terpuji dah. Punyalah baik sehingga kawan aku cakap aku ini dah buang tabiat. Dah nak mati katanya. Mula-mula, cemas juga bila dikatakan macam itu. Tetapi setelah dua tiga hari aku perhatikan kadar denyut nadi dan tanda-tanda mati yang tidak muncul, aku teruskan kebaikan aku itu. Ya, aku memang dah baik dan itu tidak mampu lagi untuk dinafikan. Buktinya, sekarang ini aku dah tak main 'cilok-cilok' lagi. Dah berhenti keluar dengan orang berlainan jantina sehari tiga empat insan. Aku dah tak jeling-jeling anak dara orang. Kalau tengok pun, sekadar dengan ekor mata. Dah tak bunyikan hon motor atau kereta bila nampak gadis-gadis di tepi jalan. Jika ada yang terlanjur menyapa dan bertanya, aku sekadar menjawab dengan selamba, bukan lagi dengan cara waktu zaman dahulu kala yang penuh dengan beria-ia yakni di waktu zaman aku belum betul-betul baik. 


Lebih dari itu, aku dah menjadi seorang lelaki yang amat taat setia. Tidak pernah tipu-tipu. Apa sahaja aku buat aku akan laporkan pada teman hidup aku nan satu itu secara tepat dan terperinci. Kalau beritahu baru lepas makan mee, berapa helai mee itupun aku beritahu. Berapa liter kuah mee pun akan aku sukat untuk beritahu. Kalau tiada hal, aku lebih banyak memerap di rumah, tak lagi bersiar-siar sambil mendenak 'burung' seperti masa-masa lalu. 

Malah, kalau diikutkan tahap piawaian dunia, aku ini dah sesuai sangat dah untuk dijadikan suami dan diambil untuk dijadikan anak menantu. Dan aku sebenarnya terlalu rela untuk diperlakukan begitu. Memang aku dah baik sangat-sangat.

Kenapa aku jadi baik sejak setahun lepas? Macam mana aku boleh berubah sampai begini sekali? Ke mana hilangnya sifat-sifat kasanova yang sikit-sikit ada juga pada aku? 

Aku tak pasti. Tetapi aku cukup yakin, di sebalik apa pun yang terjadi pada seorang lelaki, pasti ada seorang perempuan di sebaliknya. Macam kawan aku yang masuk bawah lori bersama-sama motor kesayangannya. Walaupun dia menunggang sendirian, namun setelah diteliti dan diperiksa secara mendalam, ternyata ada seorang perempuan di sebalik kejadian itu. "Mula-mula aku nampak perempuan muda kat tepi jalan, tapi tiba-tiba dia terbang melayang depan motor aku. Apa lagi, aku terus pulas minyak dan akibatnya aku sedar aku ada bawah lori ayam..."

Aku juga tak terkecuali. Aku tahu sangat segala perubahan mendadak yang sejajar dengan anjakan paradigma yang melampau ini sedang berlaku disebabkan oleh Cik Ikin aku. Dan kerana aku ini bukan gay, mala sudah tentulah dia itu seorang perempuan. Nak tambah sikit, seorang perempuan yang cantik dan sentiasa sahaja membuatkan aku menitik-nitik...

Ya, aku banyak berubah kerananya. Aku dah lakukan banyak perkara baik demi kerananya.

Ahhh.. Kalaulah kerana seorang perempuan aku boleh menjadi sebaik ini, bayangkanlah jika aku mempunyai beberapa orang perempuan. Tentu-tentu sahaja aku akan menjadi teramat-amat baik, mulia dan budiman lagi terpuji....

6 comments:

Hany Khuzaini said...

Follow sini n balas kunjung....letak chatbox>>
sng org tgl jejak :)

iema ツ said...

segmen tu leebih kurang untuk memperkenalkan blog kita kat org la .. kalau kita join segmen tu , org boleh tahu la tentang blog kita .. selain tu dapat meningkatkan follower blog kita :)

Romeo Laut said...

letak chatbox? mcm mana? tak berapa nak cerdik bab benda blog ni lagi.

Romeo Laut said...

macam tu. err.. masalahnya kebanyakan segmen yang ada saya tengok tadi, suruh tag orang. tak berapa nak faham lagi ni. kira macam group ke?

Hany Khuzaini said...

http://cbox.ws/?r=2-2298466

iema ツ said...

erm , nanti awak add saya kat fb . senang skit nak crita psal blog nie .