Sunday, 18 March 2012

Dunia, Inovasi, Islam dan Manusia..

Aku panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Pencipta aku kerana masih memberikan aku peluang untuk terus berdiri dan berjalan dengan sempurna di atas muka bumi ini. Ini mungkin entri terakhir dari aku sebelum aku ke kampus untuk menjalani latihan konvokesyen. Selepas selesai, barulah aku akan kembali balik ke dunia siber yang serba menyerabutkan ini.


Hari ini aku sedikit terkejut dengan satu perkara baru dalam hidup aku. Jam tangan berlandaskan Islam. Itulah intro yang ditempelkan ke atas muka aku apabila aku menjadi sedikit bodoh-bodoh alang apabila melihat sesuatu yang di luar sistem pemahaman aku sebagai manusia normal yang lahir pada tahun 1990. Sejak aku lahir, aku hanya belajar dan memahami bahawasanya jam itu jarum-jarumnya bergerak dari arah kiri ke kanan atau lebih senang disebut oleh bayi berusia lapan bulan sebagai 'clockwise'. Sekarang ini, istilah itu harus sahaja diteliti semula. 'Clockwise' sudah sama sahaja dengan 'anticlockwise'. Jam 'berlandaskan Islam' itu, jarum-jarumnya bergerak dari kanan ke kiri; melawan arah jam biasa yang kita gunakan. Katanya mengikut cara pergerakan kita tawaf di sekeliling Kaabah. Jadi dikatakan bahawasanya mereka mahu mengubahsuai sedikit ciptaan jam yang normal kerana tidak mahu mengikut cara orang bukan Islam. Aku tak bermaksud untuk menyentuh soal agama, tetapi sekadar untuk memberitahu secara telus dan jujur. Aku tak nafikan, Rasulullah sukakan cara pergerakan itu, malah kalau kacau teh tarik pun elok kalau menggunakan pergerakan sedemikian rupa. Tetapi tidaklah menjadi salah sekiranya kita buat dengan cara lain. Itu terpulang pada individu.




Apa yang terlintas di pemikiran aku melihatkan perkara itu? Mungkin ada yang tahu kewujudan jam ini lebih awal dari aku. Tak kisahlah. Apabila aku lihat jam itu, lantas beberapa perkara terus melintas dengan laju di pemikiran aku. Bagaimanalah hendak mengajar kanak-kanak di sekolah rendah atau tadika melihat jam selepas ini? Tidakkah mereka akan terpinga-pinga melihat guru-guru kesayangan mereka menunjukkan jam yang 'clockwise' di sekolah, tetapi di rumah jam yang ada tergantung di dinding bergerak secara 'anticlockwise'? Tidakkah pula mereka akan berpakat mengatakan bahawasanya guru-guru mereka tidak mengikut peredaran dunia? Apakah mereka akan berakhir dengan tidak tahu membaca jam sampai tua? Hahaha. Mungkin. Mungkin juga selepas ini kementerian pendidikan akan pening kepala kerana hanya mampu mengajar murid-murid menggunakan jam digital sahaja. Mungkin juga akan ada inovasi baru bahawasanya jam digital akan berubah dengan menggunakan angka-angka arab dan mengelirukan kanak-kanak apabila melihat titik itu bermaksud kosong. Inovasi-inovasi yang dahsyat impaknya kerana berlandaskan Islam. 


Kalaulah ada bakal-bakal guru yang membaca entri aku ini, pastinya akan berfikir sama. Malah mungkin jauh lebih merepek dari apa yang aku fikirkan. Jika ada, kongsikan entri ini bersama kawan-kawan yang sealiran. Letaklah di laman sosial lain. Biarkan mereka baca dan fikir sama-sama. Tak mengapa. Fikirlah sehingga menjadi bukan-bukan dan bergelak ketawalah seorang diri. Kadangkala seronok berbuat begitu. Aku tidaklah pula mengajak kalian menjadi gila tetapi pemikiran mustahil itulah yang banyak membuahkan pelbagai idea yang manusia lain tak terfikir. 




Kerana itu juga, aku memberhentikan motosikal aku hari ini dan menenangkan jiwa aku di tepi jalan. Nampak gambar yang ada di atas? Aku sayang orang yang beri baju itu pada aku. Sambung balik. Aku berehat kerana terlalu banyak berimaginasi sehingga aku gelak-gelak dan keadaan aku menunggang menjadi sedikit merbahaya. Tak mengapa. Itulah sedikit yang hendak aku kongsikan. Mungkin selepas ini akan ada bermacam-macam benda yang pelik, hairan dan ajaib lagi ganjil akan diinovasikan atau dicipta. Akan ada segelintir manusia yang akan muncul membawa pembaharuan yang kecil tetapi memberikan impak yang tidak sedikit.


Aku yakin, bahawasanya dunia ini sentiasa sahaja bergerak dan segala yang berubah-ubah akan tetap berubah. Segala yang tetap di tempatnya, akan tetap teguh di tempatnya walau apapun yang melanda. Itulah dunia dari kaca mata aku yang tidak berkaca. Moga dunia dan segala isinya harmoni..

2 comments:

Hazz Zyy said...

karangan nie sy bg markah 100%...so awk dpt "A" lah.. =)

Unknown said...

Dapat A? Terima kasih. :)