Wednesday 12 September 2012

Di Antara Ahli Pengembaraan dan Ahli Pertapaan..

Kata orang-orang tua, "jauh perjalanan, luas pengalaman". Sehingga hari ini, kata-kata itu masih kedengaran dan masih menjadi pegangan kebanyakan orang - termasuklah jenis yang balik pergi ke Indonesia semata-mata untuk menghayun kayu golf. Ramai yang masih percaya bahawa semakin jauh seseorang itu berjalan, semakin banyak dia sampai ke tempat orang, maka semakin banyaklah perkara dan pengalaman baru yang dipelajarinya. 

Tetapi, itu dulu. Manusia pada masa dahulu umumnya terperangkap dalam lingkungan hidup yang cukup sempit. Perhubungan amatlah sukar, malah adakalanya mustahil. Kalau nak ke mana-mana, terpaksa meredah hutan belantara. Terpaksa berhadapan dengan harimau, gajah, khinzir hutan, ular dan segala serba serbi hidupan liar. Itu belum ambil kira segala hantu, puaka dan penunggu. Biasanya, laluan dan penghubung yang menjadi keutamaan ialah sungai yang jarang tak sejuk dan jarang pula tak jernih. Selain daripada itu, mungkinlah ada alternatif lain untuk komunikasi seperti menggunakan hantu belaan seperti hantu raya atau langsuir. Dalam keadaan begitu, yang mana tempat paling jauh 'yang hamba pernah kunjungi ialah kebun hamba di hujung desa', seseorang yang berpeluang berjalan ke tempat orang lain yang jauh tentulah dihormati dan disegani. Tak perlulah dia pergi jauh-jauh. Kalau tinggal di Kuala Kangsar, dapat pula mengembara ke Ipoh, itu pun dah kira memadai. Dah cukup untuk meruntun kekaguman jiran tetangga dan orang kampungnya. Dah cukup untuk buat modal bersembang dan bercerita sehingga orang yang mendengarnya ternganga-nganga. 

Sikap memandang tinggi pada orang yang 'jauh berjalan' ini merupakan sebahagian dari sebab kenapa pada zaman dahulu manusia suka mengembara. Tapi lazimnya, yang mendapat peluang sebegitu rupa hanyalah lelaki. Orang perempuan sekadar mengembara di ceruk dapur atau di sekitar sungai tempat dia mandi dan membasuh. Pandangan tinggi terhadap orang yang banyak pengalaman kerana jauh perjalanan itu telah menyaksikan kesediaan para ibu bapa kita dahulu bermenantukan pedagang dari Tanah Arab dan benua kecil India. Di mata orang Melayu ketika itu, pedagang-pedagang itu adalah orang-orang hebat, yang banyak ilmunya dan kelebihannya. Kena pula yang datang dari sebelah Tanah Arab, tempat yang melayakkan mereka mengaku sebagai keturunan Nabi walaupun sebenarnya mereka mungkin berketurunan hamba abdi.

Walaubagaimanapun, segala-galanya telah berubah sekarang. Kehidupan manusia itu dilingkungi oleh segala yang berbeza dari dahulu. Sangat berbeza. Hutan belantara telah menjadi hutan batu, rimba jerun dan segala air terjun telah digantikan dengan bukit yang gondol. Sungai-sungai tidak lagi boleh dijadikan tempat menaiki rakit kerana takut terlanggar sampah atau tong sisa toksid. Perhubungan? Tak jadi masalah. Ia bukan lagi isu pada zaman ini. Ia telah menjadi sebahagian dari rutin. Cerita jiran sebelah pergi ke London tak ada bezanya dengan cerita jiran yang lain telah lari berkahwin dengan perempuan Kemboja. Tak ada yang pelik. Tak ada yang menarik.


Kecanggihan hidup juga menyebabkan manusia tidak lagi perlu berjalan untuk mendapatkan sesuatu, termasuk ilmu. Malah dia tak perlu bergerak ke mana-mana kerana semuanya boleh dilakukan hatta sambil berbaring. Hanya perlu menggerakkan jari. Malah, kalau kena gaya, jika tak mahu menggerakkan otaknya sekalipun tidak mengapa. Tiada apa yang payah sekarang. Anda tidak perlu belayar atau terbang ke Paris untuk berkawan dengan dua tiga orang Perancis. Anda boleh menemui mereka di atas meja, di dalam skrin, sama ada di bilik, di rumah mahupun di dalam tandas asal sahaja ada akses internet. Untuk melihat, mengenal dan memahami gaya hidup koboi di Texas atau budaya hidup pelacur di Argentina, untuk menikmati keindahan Kashmir dan Alps, malah untuk apa sahaja, anda tak perlu bergerak walau setapak pun. 

Jadi, dengan segala perubahan cara hidup itu, berhati-hatilah bila anda menilai seseorang. Jangan fikir orang yang tidak keluar rumah, yang tidak pernah merantau dan berkelana itu sempit pengetahuannya. Dia barangkali jauh lebih hebat daripada anda. Dia mungkin kaya dengan ilmu.

TETAPI, janganlah pula anda kagum padanya berlebih-lebihan. Ingat satu, walaupun dia mungkin banyak ilmu, namun hampir pasti dia juga tidak mempunyai sebarang pengalaman selain dari kebijaksanaan dan kepandaian bermain jari di atas papan kekunci dan tetikus.

Apa nak buat kerana sesungguhnya itulah resam kehidupan sekarang. Resam yang bakal melahirkan lebih ramai ahli pertapaan daripada ahli pengembaraan.






Selit-selit: Faham atau tidak aku perli? Kadang-kadang memang tak baik takbur. Tapi adakalanya geram juga di hati aku. Boleh kutuk pelaut, katanya bahawa pelaut ini apapun tak ada. Ceh!

7 comments:

kocix! said...

weyy3..rajin jenguk aq ek! tengss la..hahha..

Unknown said...

Kocix: Hahahaha...

Unknown said...

Well all i could say is.. kedua-dua ada kelebihan dan kekurangan :)

Unknown said...

Yang pasti, banyak berjalan itu lebih banyak kelebihan..

Unknown said...

betul tu ... aku dulu berangan nak jadi pramugari... tapi tak kesampian sebab tinggi tak menyampai.. sbb apa sbb nak gi travel :)

p/s: aku letak ko lam blog list ok harap maklong senang aku nak pantau ko gi merantau ke tau ko ada kat atas darat ha ha ha ^_____^

Unknown said...

PPP: Aiyaaa.. Tak dapat jadi pramugari? Tak apa. Sekarang tiket kapal terbang dah murah-murah. Macam naik bas.

Dalam blog list anda? Wah, terus rasa nak sikat rambut. Hahah.

Unknown said...

ha ha ha >..< sikat ada tak?? tak de nak bagi pinjam ni ... :P