Aku sarapan pagi ini, sambil baca macam-macam benda pelik-pelik dan berat-berat dalam surat khabar. Pening aku jadinya. Dari mak yang bawa anak ke kafe siber, sampailah ke penipuan dalam politik yang tak sudah-sudah. Maka, pagi ini aku nak menaip benda-benda ringan sahaja. Tambahan pula, orang-orang tersayang dalam hidup aku dah balik ke Perak hari ini.
Jadi aku terfikir nak ajak pembaca fikir-fikirkan tentang nama-nama dan perkataan yang dah diputar-putar oleh orang barat ikut sesedap hati mereka. Sumbernya aku dapat dari mulut ke mulut, langsung masuk ke telinga aku. Ada yang aku baca dari macam-macam buku. Ada yang aku dapat dari bertanya ke tempat-tempat yang aku pernah singgah dulu. Macam-macam. Setakat mana kesahihan sumber, entahlah. Ini aku kongsikan pun sekadar nak meringankan kepala.
- Asal nama Portugal, datangnya dari pokok limau yang banyak ditanam di sana. Dalam bahasa Arab, limau disebut "burtuqal". Maka, jadilah ia negeri limau. Negara Portugal.
- Asal nama Gibraltar, datang dari panggilan Jabal Tariq, yakni tempat singgah Tariq Bin Ziad sewaktu nak menyerang Sepanyol. Diterbalik dan diubah oleh orang, menjadi Gibraltar.
- Nama binatang Kangaroo yang ada di Australia. Ceritanya, orang putih yang sampai di sana, bertanya, "What is this?", maka tak faham oleh orang asli Australia itu, dijawabnya "Kangaroo" bermaksud "I don't understand you" atau saya tidak faham awak. Maka di atas sebab kebangangan orang putih itu, dipanggilnya sampai sudah, Kangaroo. Kiranya binatang itu sebenarnya tidak bernama.
- Istilah Alphabet yang ada dalam bahasa Inggeris. Dikatakan berasal dari bahasa Arab, alif ba ta. Maka dipusing oleh orang menjadi Alphabet.
- Istilah Medicine yang bermaksud ubat. Datang dari bahasa Arab yang bermakna "tulisan Sina (Ibnu Sina)" atau "pen Sina". Adapun, ini memang susah nak cakap sebab ada yang mengatakan datang dari bahasa Latin dan sebagainya.
- Istilah Admiral. Ini datang dari bahasa Arab. Yakni dari perkataan Amir-Al-Bahr (Kapten laut). Entah dibuang macam mana Bahr (laut) itu, jadilah Admiral.
- Almanac. Yakni buku yang ada maklumat pergerakan matahari, dan segala objek samawi. Datang dari perkataan Al-manakh. Ini Arab Parsi kalau tak salah aku. Tapi masih tak dapat dipastikan.
- Adapun satu lagi bahagian, nama-nama bintang yang boleh digunakan untuk navigasi. Kebanyakan bintang-bintang ini mendapat nama dari bahasa Arab. Aldebaran, Alkaid, Alnilam, Fomalhaut, Mirfak, dan macam-macam lagi. Sejarahnya, cuma sedikit yang aku tahu. Nak cerita pun panjang. Lagipun ramai yang aku rasa tak berminat nak tahu nama bintang.
Begitulah sedikit sebanyak. Ada banyak lagi yang aku lupa. Kalau dalam internet, memang boleh cari asal usul perkataan pinjaman dari bahasa Arab. Tapi jalan cerita bagaimana boleh jadi sampai begitu, itu yang menarik bagi aku. Dan kebanyakannya dibuat oleh orang putih/orang barat. Entah macam mana mereka boleh mengaku pandai, pun aku tak tahu. Maka, kalau agak-agak nak berbangga dengan bahasa Inggeris, hentikanlah. Sekadar guna untuk belajar dan berkomunikasi dengan orang luar, cukuplah.
Selit-selit: Rasa berbahagia bila orang-orang tersayang ada dekat dengan kita.
Selit-selit: Mengikut ilmu mantik, secara asasnya, penafian itu bermaksud ada. Contoh, jika menafikan bahawa tuhan itu tidak ada, maka bermaksud ia tahu bahawa tuhan itu ada. Maka, kalau dengar orang cakap, "Kami tidak menipu rakyat", maka maksudnya macam mana? Hahahah.